Isnin

Nikmati Buncis ungu dalam Diet Harian anda

Tags
Selalunya di sabah hanya empat variati kacang buncis yang biasa ditanam iaitu kacang buncis manis (biji berwarna perang), kacang buncis manis (biji berwarna putih), kacang buncis bulat dan kacang buncis leper/lebar. Variati kacang buncis bulat adalah variati yang banyak ditanam secara komersil. Manakala kacang buncis manis banyak ditanam di Kundasang, Sabah. Jarang orang menanam kacang buncis ungu. Tanomkinotuan telah mendapatkan benih ini secara online di mylestaryseeds dan menanamnya di kebun belakang rumah tanomkinotuan. Ternyata ia tumbuh dengan galak tetapi tidaklah secantik pertumbuhan di tempat asalnya kerana kacang buncis jenis ini menyukai suhu sejuk untuk pertumbuhan yang baik.









bunga dah mula muncul



Tidak lama lagi tanomkinotuan akan mendapat hasilnya, kerana semingu dua lagi buahnya akan muncul kali pertama apabila tanda-tanda bunga/kudupnya mula kelihatan. Hari ini tempat tinggal tanomkinotuan sangat panas membahang kerana sudah lama hujan tidak menimpa tanah. Harapan agar kacang buncis ungu tanomkinotuan berjaya menempuh cuaca oven ini dan memberikan sedikit buahnya untuk tanomkinotuan merasa.

Musuh utama adalah belalang dan siput babi, dua pokok telah mati akibat dibaham batangnya, menanam kacang buncis ungu tidaklah cerewet sangat. Apa yang perlu dilakukan ialah, sediakan batas yang digaul dengan tinja binatang atau baja kompos, tanomkinotuan menggunakan baja kompos kerana ia sangat kaya dengan pelbagai nutrient dan mikroorganisma baik yang dapat memulihkan tanah secara semulajadi. Tanam benih kacang buncis dengan 20 hingga 30 cm dengan setiap lubang dua biji benih, benih yang terbantut pertumbuhannya dicadang untuk dicabut saja agar persaingan pokok tidak berlaku. Siram anak pokok kacang buncis ungu dua kali sehari. Selepas dua minggu ke tiga minggu bubuh tinja binatang atau baja NPK organik untuk pertumbuhan yang maksimum.

Oleh kerana variati kacang buncis ungu yang ditanam oleh tanomkinotuan ini jenis menjalar, sediakan kayu untuk membolehkan kacang buncis ini memanjat. Boleh juga menanam pokok ini pada pagar rumah agar ia boleh memanjat tanpa menyediakan kayu, mudah dan kerja kurang.

Tanomkinotuan tidak dapat memberikan info buah kacang buncis ini kerana pokok yang ditanam di belakang rumah belum mengeluarkan hasilnya lagi. In sha Allah, 2 minggu lagi tanomkinotuan akan memperolehi tuaian pertama bagi kacang buncis ungu. Tanomkinotuan akan update info berhubung kacang buncis ini.

Selamat berkebun...

Basil Itali (Western Herbs) VS Kemangi Nusantara (Eastern herb)

Tags
Basil Itali (Italian Basil) adalah satu herba yang sering digunakan untuk memasak daging oleh kebanyakan chef-chef luar negara. Jika rajin menonton rancangan memasak di astro anda akan sedar basil adalah salah satu herba yang digunakan. Maka dengan semangat untuk mendapatkan benih saya mencari benih ini yang dijual secara online. Maka dapatlah tanomkinotuan menanam benih basil di kebun belakang rumah.



Secara umumnya, basil adalah termasuk dalam keluarga kemangi atau selasih namun yang membezakannya ialah aroma, basil mempunyai aroma tersendiri yang unik dan berbau harum. Tidak hairanlah ia sesuai untuk menambah aroma pada masakan terutamanya daging di mana berfungsi untuk menghilangkan henyir daging, ikan dan daging ayam. khasiat basil sememangnya tidak dinafikan untuk tubuh badan kita. Tanomkinotuan jika memasak ikan akan mencampurkan hirisan basil untuk menambah aroma selain untuk mengurangkan bau hanyir pada ikan tersebut. Hasilnya ikan sama ada digoreng atau dikukus menghasilkan aroma yang cukup mempersonakan sehingga boleh menambah dua kali nasi dalam pinggan. 


Gambar di atas pula adalah pokok kemangi atau dalam sebutan englishnya lemon basil, aroma pokok kemangi sangat kuat hinggakan melalui pokok ini kita akan merasa baunya. Di negara-negara asia tenggara pokok ini sangat popular untuk masakan. Ia juga sesuai dibuat sambal kemangi dengan digaul bersama perahan limau nipis dan sedikit garam. Memang cukup menyelerakan.

Banyak khasiat basil dan kemnagi ini pada manusia, pertama ia sesuai untuk pencernaan, minyak aromaterapi, kaya dengan beta karotena dan sebagainya. Oleh kerana khasiatnya disarankan untuk menanam pokok ini di rumah sama ada ditanam di tanah atau polibag. Pokok basil dan kemangi menyukai cahaya matahari lansung oleh itu tanam pokok ini secara terus pada matahari, juga pokok ini sangat suka dengan air, kekurangan air menyebabkan pokok ini mudah layu dan mati. Siram pokok ini dua kali sehari jika cuaca panas atau kemarau.

Selamat menanam pokok herba basil dan kemangi.

Ahad

Salad Arugula Berjaya Disempurnakan di KBR

Tags

Eksperimen menanam sayur arugula di kebun belakang rumah tanomkinotuan berjaya dilaksanakan. Alhamdullilah berjaya membenihkan sayur ini yang jarang-jarang ditanam oleh para petani di Sabah. Oleh kerana tanomkinotuan berjaya membesarkan sayur luar negara ini maka terfikir untuk mendapatkan benihnya bagi penanaman semula pada musim akan datang. Benih arugula dibeli secara online semasa promosi benih sayur ini. Saya beli 1 pek dengan harga RM1 sahaja. 



Pertama kali melihat bentuk daunnya terfikir bahawa daunnya seakan-akan sawi bunga atau sayur bunga manis. Namun apabila sayur arugula ini semakin membesar terserlah keunikan sayur ini dengan ciri daunnya berbentuk roket di panggalnya. Maka tak hairan sayur ini juga dikenali sebagai sayur roket sempena daunnya menyerupai roket sehingga ibu tanomkinotuan sangat teruja ingin memetik bagi makan malam katanya, tapi tanomkinotuan tegah untuk berbuat demikian. Perlu dimatangkan terlebih dahulu barulah dituai untuk dimakan.

Menanam sayur jenis ini tidaklah sesusah mana. tekniknya sama dengan cara menanam sayur daun yang lainnya. Pastikan medium tanaman digaul bersama tinja binatang, guano atau baja kompos. Tabur benih arugula dengan jarak yang sepatutnya. Siram benih tersebut dua kali sehari ketika musim panas dan tidak perlu jika hari hujan atau mengikut keperluan. Selepas seminggu (mengikut kadar pertumbuhan anak pokok) bolehlah dipindahkan ke tapak/batas yang disediakan. Ada artikel mengatakan bahawa sayur arugula ini tidak menyukai cuaca yang sangat panas kerana kepanasan akan menyebabkan rasanya sedikit pahit.

Apabila anak pokok arugula telah dipindahkan ke tapak baharu maka penjagaan dengan menyiram dan membuat rumput harus dilakukan agar anak pokok arugula cukup bekalan air serta perebutan zat nutrient tidak berlaku.

Musuh utama pokok ini ialah belalang, ulat sayur dan siput babi, kadang-kadang lintah bulan juga menunjukkan kehebatan merata daun anak pokok arugula yang masih kecil. Untuk mengelakkan masalah ini, musnahkan musuh pokok arugula secara manual atau jika tidak kisah terhadap organik atau tidak organik gunakan racun serangga jika perlu. (kebun belakang rumah tanomkinotuan tidak menggunakan bahan kimia sebagai penjaga kebun memadai dengan pemusnahan secara organik atau alami.)

Sayur arugula boleh dituai setelah genap 3 atau 4 minggu mengikut kadar pertumbuhan sayur tersebut. Namun untuk pengetahuan sayur arugula ini sangat sesuai dituai dalam keadaan yang belum beberapa matang bagi mengelak rasa sayur tersebut menjadi pahit. Sayur yng dituai awal agak kurang pahitnya berbanding menuai pokok sayur ini yang sudah matang.


Sayur togula, brokoli dan sayur kerinting bulat






Sayur arugula ini mengandungi kalsium, folid asid, zat besi, magnesium, dan vitamin. Arugula bermanfaat kepada tubuh badan dengan membantu pencernaan apabila memakannya, serta sebagai minyak pada usus kita. Apabila meminum jusnya ia membantu menghilangkan bintik-bintik pada kulit (ada juga menyatakan meminum jusnya meningkatkan tahap seks kepada tahap maksima), membersihkan darah dan mempercepatkan alirannya, mengurangkan sakit gigi, menguatkan gusi dan mengelak pendarahan pada gigi. 

Untuk mereka di luar sana yang ingin menanam dan mencuba resipi baharu berkaitan dengan sayur arugula pakcik google boleh membantu. Selamat menanam sayur arugula dalam kebun anda.

Selamat bertani dan menuai hasil. 



Selasa

Lada Putih Borneo, Jenis cili rare khas dari Sabah

Tags
Mungkin apabila pembaca membaca tajuk pos ini, terbayang biji lada putih seperti biji lada hitam yang banyak ditanam di negeri Sarawak. Tetapi sebenarnya lada putih yang tanomkinotuan maksudkan ialah lada seperti lada yang kita selalu tanam atau beli. Cumanya ia berwarna putih ketika muda dan bertukar warna kepada merah jika sudah tua.

Jenis cili ini banyak ditanam di negeri Sabah dan Sarawak, selalunya lada putih ini dimasak bersama-sama daun bawang losun, ikan masin serta ramuan sampingan lain, memang sedap menjilat jari. Selain itu, lada putih juga digunakan dalam ramuan membuat serunding tuhau yang popular dikalangan kaum Kadazandusun di Sabah. Jom cuci mata melihat lada putih yang ditanam oleh tanomkinotuan di kebun belakang rumah.


Pokok lada putih dengan buahnya

 
buah yang cantik tanpa jangkitan



Dijual RM2 setompok



buah yang sudah matang



buah yang tua akan dijadikan benih untuk musim berikutnya

Penanaman lada putih ini sama dengan jenis lada atau cili yang lainnya, media harus digaul bersama kompos atau tinja binatang. Musuh utama pokok ini ialah ulat buah, dan reput akar oleh sejenis bacteria. Pokok lada putih amat suka dengan pancaran matahari secara terus sekurang-kurangnya 6 jam atau lebih. Terdapat dua jenis lada putih iaitu jenis pedas dan langsung tidak mempunyai rasa pedas. Bagi Mereka yang tidak suka pedas tetapi mahu aroma lada ini dalam masakan mereka maka boleh memilih lada putih jenis tak pedas.

Selamat berkebun dan menuai hasil.


Pokok Daun Bawang Rencah Popular di Dalam Sup

Tags
Daun bawang atau green onion sangat digemari kerana bau harumnya dapat meningkatkan nafsu makan apabila dicampurkan dalam masakan berasaskan sup, soto atau dimasak dengan lada putih (lado topurak). Khasiat daun bawang kepada manusia tidak boleh dinafikan lagi, ia cukup berkhasiat kepada kesihatan kita. Tanomkinotuan menanam daun bawang di kebun belakang rumah supaya bekalan daun bawang sentiasa ada dan bila ingin menggunakannya petik saja di kebun di belakang rumah tersebut dan boleh dicampurkan apa-apa resipi yang dikehendaki, amalan menanam daun bawang serta sayur mayur ini membolehkan kita jimat beberapa ringgit dalam sehari. Jika sesiapa meminati suup pinapat (pinapat stew), salah satu ramuannya adalah daun bawang. 

Tanomkinotuan telah membeli seikat daun bawang di pasar terbuka (di Sabah pasar terbuka digelar sebagai Tomu atau Badi oleh kaum Kadazan dan  Dusun), tanomkinotuan terfikir untuk meninggalkan sedikit batang yang dikerat daunnya untuk cubaan menanam dikebun belakang rumah, hasilnya lihat gambar-gambar dibawah:


daun bawang berusia 2 minggu


Berusaha untuk membesar walaupun musim hujan yang lebat


Nampak baik pertumbuhannya


Daun bawang bersama pokok bawang putih (garlic)
Dari pemerhatian tanomkinotuan, menanam pokok daun bawang ini tidaklah susah sangat, hanya pastikan tanah yang digunakan cukup atau dicampur dengan baja kompos atau tinja binatang. Pokok daun bawang atau keratan pokoknya boleh ditanam terus pada batas yang disediakan. Tanam batang keratan daun bawang sedalam 3 inci untuk memudahkan percambahan pucuk baharu serta jangan lupa untuk menyiram pokok tersebut sehingga ia mampu membesar. Sekirannya ingin bekalan daun bawang sentiasa cukup dan berpanjangan berbaloi kiranya hanya potong daun bawang itu dan jangan dicabut, untuk beberapa minggu daun muda akan mula tumbuh dan bekalan daun bawang di rumah anda berterusan selagi pokok daun bawang tersebut hidup dengan baik tanpa jangkitan atau gangguan.

Brokoli Hijau di Kebun belakang Rumah

Tags
Hari ini tanomkinotuan sangat gembira tidak terkata kerana usaha untuk menanam brokoli berjaya seperti mana yang diharapkan. Kawasan penanaman adalah kawasan tanah rendah dan cuaca yang sangat panas maklumlah area tempat tinggal tanomkinotuan adalah di kawasan panas, kepanasannya boleh membakar kulit. Tetapi brokoli yang disemai pada 26 Mac 2014 telah bercambah pada hari kelima hingga tanomkinotuan tidak sabar menunggu benih brokoli ini membesar untuk dipindahkan ke batas yang disediakan. Hari-hari dok belek sayur brokoli ini dengan  menyiramnya dua kali sehari, oleh kerana tanomkinotuan bercuti selama 2 minggu dapatlah tanomkinotuan menumpuhkan penanaman dan menjaga kebun di halaman rumah yang sekangkang kera itu.



Benih brokoli berusia 6 hari
 

benih brokoli berusia 1 minggu


Berusia 1 minggu 4 hari

Dipindahkan ke batas


Companion plant dengan radish


Dimulsakan dengan cocopeat


Brokoli dengan pokok kemangi

Harapan ini bukan satakat disini sahaja, tetapi biarlah sehingga dapat menuai bunga brokolinya. Jika penanaman brokoli ini berjaya hingga menghasilkan tuaian bermakna brokoli juga boleh ditanam di kawasan tanah rendah yang suhunya mencecah 30 - 35 darjah celsius.

Sayur brokoli tidaklah sesusah menanam asparagus, dah 4 kali mencuba menyemai benih asparagus asyik gagal sahaja. Kena kumpul ilmu pasal sayur asparagus dulu baru benih asparagus yang tinggal sedikit akan disemai. Berbalik kepada menanam brokoli ini, apa yang perlu dilakukan ialah pastikan tanah yang digunakan untuk menyemai harus digaulkan dengan baja kompos atau tinja binatang. Boleh juga memperbaiki atau meneutralkan tanah tersebut dengan meletakkan lime (serbuk kapur) pada tanah mengikut jumlah yang sepatutnya. Semai benih brokoli dan tabur tanah di atasnya senipis mungkin, cukup sekadar untuk menutupi benih-benih brokoli tersebut. Jangan lupa siram dengan air dua kali sehari untuk memudahkan proses percambahan benih itu.

Setelah seminggu atau lebih yakni kira-kira daunnya berjumlah 4 bolehlah dipindahkan ke batas yang disediakan, batas tersebut juga harus menggunakan tanah sesuai iaitu tanah yang dibubuh baja kompos atau tinja binatang. Jika ingin memudahkan kerja boleh membeli tanah siap sedia di nusery berhampiran. Pada ketika ini brokoli harus dijaga terutamanya kelembapan tanah tetapi tidak menakung air. Perlu juga mengawal musuh utama sayur brokoli antaranya belalang, ulat pokok dan siput babi. Jika belalang, ulat dan siput babi memadai dengan memungut menggunakan tangan serta musnahkan di luar kebun anda. Pada tempoh ini sayur brokoli bolehlah ditambah dengan baja teh kompos jika ada, mikroorganisma baik berperanan untuk membekalkan nutrient tambahan kepada brokoli dan hasilnya brokoli tersebut menunjukkan pertumbuhan yang sangat galak.

Sayur brokoli ini akan diupdate dari semasa ke semasa kerana brokoli tanomkinotuan baharu hendak membesarkan diri, jadi maklumat kemudian akan dipos untuk info para pembaca sekalian. Seboleh-bolehnya tanomkinotuan tidak akan menggunakan racun serangga atau racun kulat untuk membasmi serangan pada brokoli atau sayuran lain. Memadai dengan menggunakan kaedah menual atau boleh guna kaedah organik untuk mengurangkan serangan perosak pada tanaman.

Sebatas Sawi Kerinting (Ong King) Cukup Untuk Bekalan Dapur

Tags
Sayur ong king atau sayur kerinting adalah satu jenis sayur berdaun yang amat disukai oleh rakyat Melaysia sebagai sayur santapan harian. Sayur ini menyerupai sayur kobis cina tetapi variati ini tidak menghasilkan daun membulat (non-heading) tetapi terbuka. Cumanya daun seolah-oleh berombak-ombak atau kerinting sifatnya. Batang yang berwarna putih pucat dan mudah patah jika sayur tersebut tumbuh pada medium yang cukup zat nutrient. Benih sayur ini mudah diperolehi kerana ia ditanam secara banyak di negara kita, anda boleh perolehi benih melalui kedai-kedai nusery atau kedai hardware yang ada menjualnya atau boleh juga membeli benih sayur ini melalui pasar online yang berwibawa.

Baru berusia empat hari



telah dipindahkan ke tapak yang baharu



walaupun berlubang seperti ditembak mariam tetapi ia cukup organik

ongking berusia 2 minggu

Penanaman sayur ong king ini cukup mudah iaitu taburkan benih pada tapak semaian yang telah digaulkan dengan baja kompos atau tinja binatang. Siram tanah agar kelembapan tersebut memudahkan benih ong king bercambah dengan baik. selepas seminggu, boleh dialihkan ke tapak penanaman yang disediakan dan pastikan juga tanah tersebut telahpun dibubuh tinja binatang atau kompos. Tanam dengan jarak 8 hingga 10 cm bagi pertumbuhan yang maksima. 

Musuh utama sayur ini ialah kekabu, belalang dan juga siput babi. Oleh yang demikian jika mahukan sayur tersebut bebas dari serangan musuh utamanya boleh dilindungi dengan jaring atau kelambu agar sayur itu tidak dimakan. Jangan lupa siram dua kali sehari dan sekali atau tidak perlu pada musim hujan. Pastikan rumput perlu dicabut agar persaingan mendapatkan nutrient antara sayur ong king dan rumput tidak berlaku. Sayur ini akan matang dan boleh dituai pada 40 hingga 45 hari selepas ditanam.

Nikmati sayur tanam sendiri yang dijamin bebas racun serangga dan organik sifatnya. Amalan memakan sayur organik tanam sendiri dapat mengekalkan kesihatan seisi keluarga.

Isnin

Bayam Merah Sayuran Kegemaran Rakyat Malaysia

Tags
Bayam Merah atau nama saintifiknya Amaranthus tricolor Linn dan bercaya atau tidak sayur bayam berasal dari Asia tenggara dan menyebar ke benua lain seperti di Amerika Latin dan Afrika namun bayam bervariati berbeza. Bagi kaum Kadazandusun pula sayur bayam merah dikenali sebagai "sansam taragang". Terdapat dua jenis bayam yang di tanam di negara kita iaitu jenis bayam merah dan hijau. Menanam sayur bayam memang berbaloi kerana bayam adalah sayuran yang kaya dengan betakarotena dan zat besi.


Bayam sedang mula membesar


Tumbuh dengan subur


Bayam merah adalah sayuran yang mudah ditanam, campakkan sahaja benih tersebut ke tanah pasti benih bayam ini akan bercambah selepas tiga hari. Namun jika mahu bayam tersebut tumbuh subur dan baik seeloknya gembur medium tanaman dengan mencampurkan baja kompos atau tinja binatang, jika tanah jenis tanah liat atau clay tambah sedikit lime (serbuk kapur) untuk meneutralkan tanah yang berasid itu. Manakala fungsi baja kompos atau tinja binatang adalah memperbaiki struktur tanah dengan mengayakan zat nutrient untuk makanan pada pokok bayam kelak.

Sekiranya anda ingin menyemai pada pasu, gunakan media topsoil yang boleh dibeli di kedai pertanian berhampiran. Topsoil sangat sesuai untuk semaian benih kerana media ini sangat bernutrisi tinggi. Topsoil juga sesuai untuk menyemai salad dan petola segi. Sila guna pasu bersaiz besar agar boleh memuatkan lebih sedikit benih pada ruang pasu tersebut.

Oleh kerana benih bayam ini agak halus, bolehlah campurkan bersama sedikit tanah dan tabur rata di atas batas, tujuan benih bayam tersebut digaul bersama tanah adalah untuk menjarakkan benih agar tidak tumbuh dengan rapat. Selepas benih bayam itu ditabur tadi tabur semula sedikit tanah di atasnya dan siram dengan air secukupnya. Hasilnya benih bayam merah akan tumbuh dengan baik. Pastikan medium tanaman haruslah lembab senantiasa untuk pertumbuhan pokok bayam secara sihat. Siram dua kali sehari jika musim kering dan sekali atau tidak perlu jika musim hujan. Pokok bayam amat suka dengan cahaya matahari langsung dan air yang banyak.

Gambar di atas menunjukkan bayam merah yang terlalu rapat dan bila ini berlaku perebutan makanan pasti akan timbul menyebabkan pembahagian zat makanan tidak sekata. Buktinya terdapat pokok bayam yang kelihatan berwarna kuning menandakan tidak cukup zat seperti mana yang diperlukan. Namun setelah tanomkinotuan menyiram pokok bayam ini dengan kompos teh buatan sendiri bayam tersebut tumbuh dengan baik.


Sudah boleh dituai


Maaf tidak dapat sertakan gambar bayam merah tumbuh serumpun kerana sudah dimasukkan ke dalam periuk sebelum saya sempat mengambil gambarnya. Tanomkinotuan hanya ada di rumah pada hujung-hujung minggu kerana tugas dan tanggungjawab yang harus dipikul. Cuma mereka hanya tinggalkan satu pokok untuk mendapatkan benihnya. Oleh kerana bayam merah berkhasiat dipercayai memakan sayur bayam secara konsisten boleh membantu mengawal barah dalam tubuh badan. Oleh yang demikian, pastikan sayur bayam ada dalam setiap kebun kita. Ia bukan sahaja baik untuk tubuh badan tetapi sedap dan enak untuk dibuat sayur dalam menu masakan kita seharian.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Percubaan Menanam Pokok Timun Cina di Laman Rumah

Tags
Ramai dikalangan kita meminati buah timun dalam hidangan makanan yang disajikan tidak kira pagi, tengahari mahupun malam. Tidak lengkap hidangan nasi lemak jika hirisan buah timun tidak disertakan. Buah timun juga sesuai untuk dicampurkan apa-apa resipi berasaskan sup. Buah timun mempunyai pelbagai khasiat sampingan untuk tubuh badan kita. Sama seperti kacang panjang galaxy pokok timun amat mudah tumbuh di negara kita, cahaya langsung dari matahari amat disukai oleh tumbuhan ini. Timun cina adalah tanaman paling awal di Kebun Belakang Rumah bersama sawi pahit, petola ular, kacang panjang, lobak putih dan franch breakfast radish.


Timun mulai menjalar


Semakin tinggi pokok ini memanjat


Mula berbunga dan berbuah






bunga semakin banyak



buah dibalut dengan kertas




Cara penanaman timun agak mudah, pokok timun suka akan pancaran cahaya matahari secara terus dari pagi hingga ke petang. Ada dua cara menanam pokok timun cina iaitu semai terus pada batas atau semai terlebih dahulu dalam polibeg seterusnya pindahkan jika daunnya berjumlah empat. Jika anda memilih semaian terus pada biji pastikan batas harus lembab tetapi tidak menakung air dan tanah harus dicampurkan dengan baja kompos atau tinja binatang (tinja ayam, tinja kambing, tinja lembu, tinja kuda, tinja kerbau, tinja kelawar yang diproses - tinja ini kaya dengan zat nitrogen untuk pertumbuhan sempurna pada pokok).

Jika memilih menyemai biji timun dalam polibeg pula pastikan tanah yang digunakan harus digaulkan dengan baja kompos atau tinja binatang dan medium tanaman tersebut mestilah lembab agar memudahkan benih timun bercambah dengan baik. Selepas seminggu bolehlah alihkan anak benih timun tersebut ke tapak penanaman yang disediakan, jangan lupa siram selepas ditanam, ini bertujuan melembabkan tapak medium tersebut agar benih timun tersebut cukup air.

Seperti timun armenia, timun cina juga merupakan sejenis sayuran berbuah yang menjalar, oleh itu pastikan pokoknya disediakan kayu penyokong atau tali rapia agar pokok timun menjalar mengikut kayu atau tali rapia ke atas, jika tidak ia akan menjalar ke bawah dan ini akan merosakkan buah timun jika terkena air dengan jumlah yang banyak. Pada tempoh ini pokok timun harus dibaja sekali lagi agar pertumbuhannya galak sehinggalah berbuah.

Tidak seperti pokok kiwi, pokok timun mempunyai bunga jantan dan bunga betina dalam satu pokok. Ini bermaksud dianggarkan 1 bunga betina kira-kira 10 bunga jantan di sekitarnya. Ini memudahkan pendebungaan berlaku dengan baik dengan bantuan serangga yang ingin menghisap madu pada bunga timun cina ini. Dalam tempoh 1 bulan lebih, anda boleh menikmati buah timun tanam sendiri yang rangup dan bebas racun serangga.


Buah timun dan salad cina manis


Buah timun cina terakhir



Gambar di atas adalah pokok timun tanomkinotuan yang sekian lama membekalkan buah timun yang segar dan bebas racun serangga, buahnya berbeza dengan buah timun yang dijual di pasaran kerana bebas baja kimia dan racun serangga. Ia betul-betul berbau harum (harum timun segar, lebih-lebih lagi buah yang sederhana besar) rangup dan struktur buahnya lembut serta manis. Selamat tinggal kawan, benih mu ini akan dijadikan benih baharu yang akan disemai pada masa akan datang. Dengan itu keturunan mu tidak akan pupus.

Selamat bertani dan menuai hasil.


Khamis

Pokok Salad Siomak Megah Membesar di KBR

Tags

salad siomak 

Sering kita terdengar bahawa tumbuhan salad aka lettuce ini hanya sesuai tumbuh subur di kawasan tanah tinggi seperti Cameron Highland dan Kundasang di Sabah kerana tumbuhan salad jenis ini tidak tahan panas. Mitos ini ada kebenarannya kerana asal pertumbuhan sayuran jenis salad adalah di kawasan sejuk. Majoriti salad di Malaysia ditanam di dua tempat ini bagi kualiti salad yang baik dan segar. Suhu sejuk membolehkan pokok salad membesar dengan baik dan kurang rasa pahit apabila dimakan sebagai makanan salad. Kadang-kadang juga ditanam oleh individu untuk kegunaan sendiri terutamanya di kawasan Kundasang yang sejuk dan nyaman. Majoriti kegiatan ekonomi di Kundasang ialah bertani terutamanya jenis sayuran yang dipasarkan ke sekitar Sabah serta Brunei Darul Salam.

Walau bagaimanapun, dengan teknik dan cara yang betul menanam salad ini ia boleh tumbuh dengan baik walaupun masih menggunakan kaedah tradisi (tanpa baja kimia dan racun serangga). Percubaan pertama kali menanam salad di halaman rumah menunjukkan hasil yang memberansangkan. Menanam sayur sangat istimewa kerana ia adalah hasil tangan sendiri dan bebas racun serangga. Tanomkinotuan telah mendapatkan benih jenis salad siomak ini di kedai pertanian sekitar bandar. Dengan hajat besar untuk menanam pokok salad tanomkinotuan memilih salad siomak kerana daunnya sangat unik jenis panjang berkilat. Tiba dirumah pada petangnya tanomkinotuan semai benih salad dalam potongan bekas plastik minuman botol mineral 1.5 liter. Tanomkinotuan hanya menggunakan media atau tanah kebun jenis hitam. Tabur benih di atasnya dan siram dengan air secukupnya. 

Selepas 2 minggu proses percambahan mula kelihatan, akar mula keluar dari kepompong benih. Apa yang tanomkinotuan lakukan ialah menjaga kelembapan media agar tidak kering. Media sering disembur dengan air untuk melembabkannya. Sambil menunggu anak benih membesar tanomkinotuan menyediakan batas penanaman. Tanah dicangkul dan digembur hingga menjadi serpihan-serpihan kecil. Buang segala akar, kayu, ranting dan dedaunan yang tidak sesuai diletakkan dalam batas. Tanomkinotuan menaburkan kapur pertanian dan kompos tinja binatang serta sedikit baja NPK organik dan siram batas tersebut. Batas direhatkan selama 2 minggu untuk proses penghapusan mikrob-mikrob jahat.

2 minggu berikutnya, anak pokok salad sesuai dialihkan ke batas. Ini adalah aktiviti yang sangat disukai oleh tanomkinotuan. dengan hati-hati tanomkinotuan cabut anak pokok salad tersebut dan tanam pada lubang yang telah dibuat lebih awal. Lubang harus sedalam 2 inci atau mengikut saiz anak pokok salad dengan jarak lubang ialah 10 inci. Masukkan akarnya ke dalam hingga paras bahagian daun, jangan terlebih pula tanam hingga tinggal daun kelihatan. Anak pokok salad tidak mampu tumbuh dengan baik dan seterusnya akan mati. Tanomkinotuan padat-padatkan tanah secara perlahan-lahan bagi mengurangkan ruang udara di dalam tanah dan membolehkan pokok berdiri stabil sekiranya dilakukan penyiraman. 

Setelah tanomkinotuan selesai menanam kesemua benih salad siomak ini, tanomkinotuan letakkan teduhan jaring hitam untuk mengelak anak pokok salad mati kepanasan oleh sinaran matahari terik selama 7 hari. Dalam tempoh 7 hari itu tanomkinotuan lakukan semburan air bagi melembabkan media agar anak pokok salad dapat melakukan proses pengakaran semula. Selepas dialihkan dan anak pokok salad berusia 2 minggu, tanaman tersebut mula belajar membesar dengan menghasilkan pucuk baharu. Pada masa ini tanomkinotuan membubuh baja NPK organik di sekeliling pokok dengan membuat pengemburan terlebih dahulu. Baja penting untuk tanaman bagi tumbuhbesaran yang sihat.

2 bulan lebih pokok salad siomak ini sudah tanomkinotuan tuai. Tanomkinotuan tidak memenggalnya tetapi hanya memetik daunnya sahaja. Sudah berkali-kali tanomkinotuan tuai daunnya dengan memetik daunnya dari bawah dan tinggalkan daun muda di pucuknya. Seminggu kemudian daun mula membesar dan nampak cantik sekali. Tanomkinotuan tuai daunnya dan makan sebagai salad. Kadang-kadang apabila emak tanomkinotuan ada membuat sup ayam, tanomkinotuan celurkan ke dalam sup seketika dan angkat serta hidangkan. Aroma yang memenuhi ruang tempat makan, aroma buah padi yang mula berisi. Jika sudah puas makan sebagai salad, emak tanomkinotuan masak tumis dengan telur seketika. Dimasak singkat agar nutrisinya tidak hilang. 

Gambar-gambar yang dimuat turun ini adalah salah satu contoh keberhasilan menanam salad di kawasan tanah rendah yang boleh dikatakan kawasan yang agak panas. Nama salad ini adalah salad cina manis, manakala di Sabah pula salad ini dipanggil sayur minyak atau sayur mentah. Siomak lettuce atau salad siomak adalah nama gelaran yang popular untuk salad tersebut.

Jika kita menanam salad cina manis ini secara kecil-kecilan, kita boleh dengan hanya memetik daun yang matang dan tinggalkan daun muda untuk pertumbuhan yang seterusnya. Ini bermaksud selagi pokok salad ini hidup subur selagi itulah kita memperolehi bekalan daun salad ini secukupnya. Pastikan selepas dituai (dipetik daunnya) perlulah dibubuh tinja binatang atau baja kompos untuk menggalakkan pertumbuhan pucuk muda.


Pucuk muda
Dengan biji benihnya yang berwarna hitam, Salad cina manis aka litus gompuri ini tidak susah untuk dijaga, pastikan tapak semaian cukup zat nutrient dengan menambah baja organik atau tinja binatang. Boleh ditabur terus ke tapak samaian atau ditanam dalam bekas atau polibag dan setelah 2 minggu bolehlah dialihkan ke tapak semaian. Anda juga boleh menggunakan media topsoil yang boleh dibeli di kedai berhampiran. Medium tanaman haruslah lembab dan siram dengan air jika tanah terlalu kering kerana tanah kering memungkinkan salad tidak akan bercambah dengan sempurna. 

Struktur daunnya yang lembut dan mudah patah, sedikit crunchy atau rangup dan rasa pahit manis, tidak seperti kebanyakan salad yang ada, salad jenis ini adalah berbau harum seperti buah padi yang muda. Salad ini menjadi matang dalam tempoh 5 minggu atau 50 hari berdasarkan penjagaan, jenis tanah yang digunakan dan air yang cukup. Pada pengamatan Tanomkinotuan, salad jenis ini tahan panas dan pastikan ia ditanam di bawah cahaya matahari untuk mendapatkan pertumbuhan yang baik.

Cara menyemai beni salad siomak adalah dengan mengunakan media campuran buatan sendiri iaitu 2 bahagian tanah loam, 1 bahagian kompos dan 1 bahagian pasir sungai. Anda juga boleh menggunakan peat moss dengan dicampurkan dengan tanah loam. Pastikan media lembab senantiasa. Seeloknya semai dalam pasu terlebih dahulu.


Tabur benih salad pada pasu dan timbus dengan sedikit tanah. Siram media dengan air yang cukup. Letak pasu ditempat teduh tetapi masih terkena haba matahari. Benih salad mula bercambah selepas 7 hingga 14 hari. Kadang-kadang boleh sampai 3 minggu. Setelah benih salad sudah mempunyai 4 helai daun barulah pindahkan sama ada pada batas atau pasu bersesuaian mengikut kehendak anda. Seterusnya jaga anak pokok salad siomak mengikut tatacara dan penjagaan sayuran lain.



Selamat bertani dan menuai hasil.