Isnin

Bayam Merah Sayuran Kegemaran Rakyat Malaysia

Tags

Bayam Merah atau nama saintifiknya Amaranthus tricolor Linn dan bercaya atau tidak sayur bayam berasal dari Asia tenggara dan menyebar ke benua lain seperti di Amerika Latin dan Afrika namun bayam bervariati berbeza. Bagi kaum Kadazandusun pula sayur bayam merah dikenali sebagai "sansam taragang". Terdapat dua jenis bayam yang di tanam di negara kita iaitu jenis bayam merah dan hijau. Menanam sayur bayam memang berbaloi kerana bayam adalah sayuran yang kaya dengan betakarotena dan zat besi.


Bayam sedang mula membesar


Tumbuh dengan subur


Bayam merah adalah sayuran yang mudah ditanam, campakkan sahaja benih tersebut ke tanah pasti benih bayam ini akan bercambah selepas tiga hari. Namun jika mahu bayam tersebut tumbuh subur dan baik seeloknya gembur medium tanaman dengan mencampurkan baja kompos atau tinja binatang, jika tanah jenis tanah liat atau clay tambah sedikit lime (serbuk kapur) untuk meneutralkan tanah yang berasid itu. Manakala fungsi baja kompos atau tinja binatang adalah memperbaiki struktur tanah dengan mengayakan zat nutrient untuk makanan pada pokok bayam kelak.

Sekiranya anda ingin menyemai pada pasu, gunakan media topsoil yang boleh dibeli di kedai pertanian berhampiran. Topsoil sangat sesuai untuk semaian benih kerana media ini sangat bernutrisi tinggi. Topsoil juga sesuai untuk menyemai salad dan petola segi. Sila guna pasu bersaiz besar agar boleh memuatkan lebih sedikit benih pada ruang pasu tersebut.

Oleh kerana benih bayam ini agak halus, bolehlah campurkan bersama sedikit tanah dan tabur rata di atas batas, tujuan benih bayam tersebut digaul bersama tanah adalah untuk menjarakkan benih agar tidak tumbuh dengan rapat. Selepas benih bayam itu ditabur tadi tabur semula sedikit tanah di atasnya dan siram dengan air secukupnya. Hasilnya benih bayam merah akan tumbuh dengan baik. Pastikan medium tanaman haruslah lembab senantiasa untuk pertumbuhan pokok bayam secara sihat. Siram dua kali sehari jika musim kering dan sekali atau tidak perlu jika musim hujan. Pokok bayam amat suka dengan cahaya matahari langsung dan air yang banyak.

Gambar di atas menunjukkan bayam merah yang terlalu rapat dan bila ini berlaku perebutan makanan pasti akan timbul menyebabkan pembahagian zat makanan tidak sekata. Buktinya terdapat pokok bayam yang kelihatan berwarna kuning menandakan tidak cukup zat seperti mana yang diperlukan. Namun setelah tanomkinotuan menyiram pokok bayam ini dengan kompos teh buatan sendiri bayam tersebut tumbuh dengan baik.


Sudah boleh dituai


Maaf tidak dapat sertakan gambar bayam merah tumbuh serumpun kerana sudah dimasukkan ke dalam periuk sebelum saya sempat mengambil gambarnya. Tanomkinotuan hanya ada di rumah pada hujung-hujung minggu kerana tugas dan tanggungjawab yang harus dipikul. Cuma mereka hanya tinggalkan satu pokok untuk mendapatkan benihnya. Oleh kerana bayam merah berkhasiat dipercayai memakan sayur bayam secara konsisten boleh membantu mengawal barah dalam tubuh badan. Oleh yang demikian, pastikan sayur bayam ada dalam setiap kebun kita. Ia bukan sahaja baik untuk tubuh badan tetapi sedap dan enak untuk dibuat sayur dalam menu masakan kita seharian.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.


EmoticonEmoticon