Khamis

Pokok Salad Siomak Megah Membesar di KBR

Tags


salad siomak 

Sering kita terdengar bahawa tumbuhan salad aka lettuce ini hanya sesuai tumbuh subur di kawasan tanah tinggi seperti Cameron Highland dan Kundasang di Sabah kerana tumbuhan salad jenis ini tidak tahan panas. Mitos ini ada kebenarannya kerana asal pertumbuhan sayuran jenis salad adalah di kawasan sejuk. Majoriti salad di Malaysia ditanam di dua tempat ini bagi kualiti salad yang baik dan segar. Suhu sejuk membolehkan pokok salad membesar dengan baik dan kurang rasa pahit apabila dimakan sebagai makanan salad. Kadang-kadang juga ditanam oleh individu untuk kegunaan sendiri terutamanya di kawasan Kundasang yang sejuk dan nyaman. Majoriti kegiatan ekonomi di Kundasang ialah bertani terutamanya jenis sayuran yang dipasarkan ke sekitar Sabah serta Brunei Darul Salam.

Walau bagaimanapun, dengan teknik dan cara yang betul menanam salad ini ia boleh tumbuh dengan baik walaupun masih menggunakan kaedah tradisi (tanpa baja kimia dan racun serangga). Percubaan pertama kali menanam salad di halaman rumah menunjukkan hasil yang memberansangkan. Menanam sayur sangat istimewa kerana ia adalah hasil tangan sendiri dan bebas racun serangga. Tanomkinotuan telah mendapatkan benih jenis salad siomak ini di kedai pertanian sekitar bandar. Dengan hajat besar untuk menanam pokok salad tanomkinotuan memilih salad siomak kerana daunnya sangat unik jenis panjang berkilat. Tiba dirumah pada petangnya tanomkinotuan semai benih salad dalam potongan bekas plastik minuman botol mineral 1.5 liter. Tanomkinotuan hanya menggunakan media atau tanah kebun jenis hitam. Tabur benih di atasnya dan siram dengan air secukupnya. 

Selepas 2 minggu proses percambahan mula kelihatan, akar mula keluar dari kepompong benih. Apa yang tanomkinotuan lakukan ialah menjaga kelembapan media agar tidak kering. Media sering disembur dengan air untuk melembabkannya. Sambil menunggu anak benih membesar tanomkinotuan menyediakan batas penanaman. Tanah dicangkul dan digembur hingga menjadi serpihan-serpihan kecil. Buang segala akar, kayu, ranting dan dedaunan yang tidak sesuai diletakkan dalam batas. Tanomkinotuan menaburkan kapur pertanian dan kompos tinja binatang serta sedikit baja NPK organik dan siram batas tersebut. Batas direhatkan selama 2 minggu untuk proses penghapusan mikrob-mikrob jahat.

2 minggu berikutnya, anak pokok salad sesuai dialihkan ke batas. Ini adalah aktiviti yang sangat disukai oleh tanomkinotuan. dengan hati-hati tanomkinotuan cabut anak pokok salad tersebut dan tanam pada lubang yang telah dibuat lebih awal. Lubang harus sedalam 2 inci atau mengikut saiz anak pokok salad dengan jarak lubang ialah 10 inci. Masukkan akarnya ke dalam hingga paras bahagian daun, jangan terlebih pula tanam hingga tinggal daun kelihatan. Anak pokok salad tidak mampu tumbuh dengan baik dan seterusnya akan mati. Tanomkinotuan padat-padatkan tanah secara perlahan-lahan bagi mengurangkan ruang udara di dalam tanah dan membolehkan pokok berdiri stabil sekiranya dilakukan penyiraman. 

Setelah tanomkinotuan selesai menanam kesemua benih salad siomak ini, tanomkinotuan letakkan teduhan jaring hitam untuk mengelak anak pokok salad mati kepanasan oleh sinaran matahari terik selama 7 hari. Dalam tempoh 7 hari itu tanomkinotuan lakukan semburan air bagi melembabkan media agar anak pokok salad dapat melakukan proses pengakaran semula. Selepas dialihkan dan anak pokok salad berusia 2 minggu, tanaman tersebut mula belajar membesar dengan menghasilkan pucuk baharu. Pada masa ini tanomkinotuan membubuh baja NPK organik di sekeliling pokok dengan membuat pengemburan terlebih dahulu. Baja penting untuk tanaman bagi tumbuhbesaran yang sihat.

2 bulan lebih pokok salad siomak ini sudah tanomkinotuan tuai. Tanomkinotuan tidak memenggalnya tetapi hanya memetik daunnya sahaja. Sudah berkali-kali tanomkinotuan tuai daunnya dengan memetik daunnya dari bawah dan tinggalkan daun muda di pucuknya. Seminggu kemudian daun mula membesar dan nampak cantik sekali. Tanomkinotuan tuai daunnya dan makan sebagai salad. Kadang-kadang apabila emak tanomkinotuan ada membuat sup ayam, tanomkinotuan celurkan ke dalam sup seketika dan angkat serta hidangkan. Aroma yang memenuhi ruang tempat makan, aroma buah padi yang mula berisi. Jika sudah puas makan sebagai salad, emak tanomkinotuan masak tumis dengan telur seketika. Dimasak singkat agar nutrisinya tidak hilang. 

Gambar-gambar yang dimuat turun ini adalah salah satu contoh keberhasilan menanam salad di kawasan tanah rendah yang boleh dikatakan kawasan yang agak panas. Nama salad ini adalah salad cina manis, manakala di Sabah pula salad ini dipanggil sayur minyak atau sayur mentah. Siomak lettuce atau salad siomak adalah nama gelaran yang popular untuk salad tersebut.

Jika kita menanam salad cina manis ini secara kecil-kecilan, kita boleh dengan hanya memetik daun yang matang dan tinggalkan daun muda untuk pertumbuhan yang seterusnya. Ini bermaksud selagi pokok salad ini hidup subur selagi itulah kita memperolehi bekalan daun salad ini secukupnya. Pastikan selepas dituai (dipetik daunnya) perlulah dibubuh tinja binatang atau baja kompos untuk menggalakkan pertumbuhan pucuk muda.


Pucuk muda
Dengan biji benihnya yang berwarna hitam, Salad cina manis aka litus gompuri ini tidak susah untuk dijaga, pastikan tapak semaian cukup zat nutrient dengan menambah baja organik atau tinja binatang. Boleh ditabur terus ke tapak samaian atau ditanam dalam bekas atau polibag dan setelah 2 minggu bolehlah dialihkan ke tapak semaian. Anda juga boleh menggunakan media topsoil yang boleh dibeli di kedai berhampiran. Medium tanaman haruslah lembab dan siram dengan air jika tanah terlalu kering kerana tanah kering memungkinkan salad tidak akan bercambah dengan sempurna. 

Struktur daunnya yang lembut dan mudah patah, sedikit crunchy atau rangup dan rasa pahit manis, tidak seperti kebanyakan salad yang ada, salad jenis ini adalah berbau harum seperti buah padi yang muda. Salad ini menjadi matang dalam tempoh 5 minggu atau 50 hari berdasarkan penjagaan, jenis tanah yang digunakan dan air yang cukup. Pada pengamatan Tanomkinotuan, salad jenis ini tahan panas dan pastikan ia ditanam di bawah cahaya matahari untuk mendapatkan pertumbuhan yang baik.

Cara menyemai beni salad siomak adalah dengan mengunakan media campuran buatan sendiri iaitu 2 bahagian tanah loam, 1 bahagian kompos dan 1 bahagian pasir sungai. Anda juga boleh menggunakan peat moss dengan dicampurkan dengan tanah loam. Pastikan media lembab senantiasa. Seeloknya semai dalam pasu terlebih dahulu.


Tabur benih salad pada pasu dan timbus dengan sedikit tanah. Siram media dengan air yang cukup. Letak pasu ditempat teduh tetapi masih terkena haba matahari. Benih salad mula bercambah selepas 7 hingga 14 hari. Kadang-kadang boleh sampai 3 minggu. Setelah benih salad sudah mempunyai 4 helai daun barulah pindahkan sama ada pada batas atau pasu bersesuaian mengikut kehendak anda. Seterusnya jaga anak pokok salad siomak mengikut tatacara dan penjagaan sayuran lain.



Selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.

This Is The Oldest Page


EmoticonEmoticon