Rabu

KACANG PANJANG GALAXY

Tags
Kacang panjang galaxy atau galaxy yard long bean merupakan sayuran buah yang sering terdapat di pasar minggu atau di pasaraya berhampiran. Tidak sah sesebuah pasar atau pasaraya jika tidak menjual sayur ini. Rakyat Malaysia menyukai sayur kacang panjang. Ia enak di masak tumis belacan atau dicampurkan ke dalam masakan kari untuk memperbaiki struktur rasa pada masakan. Tanomkinotuan sering menanam kacang panjang di kebun belakang rumah. Kerana ia sangat mudah tumbuh pada cuaca dan suhu di negara kita. Ia paling sesuai di kawasan suhu sederhana seperti di tanah tinggi tetapi pembaca jangan risau kacang panjang ini juga boleh tumbuh di mana-mana tempat dan tidak memilih jenis tanah yang telah dibaikpulih. 

terdapat beberapa variati, bentuk dan warna kacang panjang yang boleh ditemui. Kita boleh melihat kacang panjang berwarna putih, hijau tua, merah, putih berjalur ungu dan sebagainya. Terdapat variati kacang panjang yang renek tidak menjalar dan variati pokok kacang panjang menjalar. Namun variati pokok kacang panjang menjalar lebih dominan di tanam oleh pekebun dan peladang di negara ini kerana penghasilan tuaian yang sangat lumayan. 

Tanomkinotuan tidak memerah otak untuk menyemai benih kacang panjang ini. Hanya korek tanah dan masukkan benih tersebut lalu timbus semula dengan tanah, gerenti 4 hari sahaja ia sudah mula bercambah yang penting kandungan nutrient dan kelembapan harus seiring bagi mendapatkan pokok kacang panjang yang sihat dan juga benih kacang panjang mestilah elok. Gambar yang digunakan dalam entry ini adalah tanaman kacang panjang musim kedua dan masih mengeluarkan hasil yang banyak pada ketika ini (semasa entry ini ditulis). Jimat wang dan tenaga ke pasar atau pasaraya untuk membeli sayur. Sayur tanam sendiri lebih baik dan puas hati kerana kitalah yang menanam dan menjaganya hinggalah memetik hasilnya. Kepuasan yang tidak dapat diungkap dengan kata-kata. Syukur kepada Ilahi atas anugerah minat menanam pada tanomkinotuan. Emak tanomkinotuan hanya tersenyum seharian kerana bila masa memasak waktu tengahari atau malam, emak tanomkinotuan hanya berjalan beberapa meter dengan menjinjing bakul kecil untuk mengutip dan memetik sayuran di kebun belakang rumah untuk dimasak sebagai juadah. 

Kacang panjang galaxy ini adalah tanaman di kebun belakang rumah musim kedua dan benih tersebut adalah hasil benih dari tanaman musim pertama. Tanomkinotuan menanamnya semula untuk bekalan sayur secara berterusan. Kacang panjang galaxy sangat tahan penyakit, dan pokoknya mengeluarkan hasil yang sangat banyak hinggalah ke penghujungnya. Untuk pengetahuan pembaca, tanah yang ditanam kacang panjang ini adalah tanah liat yang dicampurkan dengan kompos dan pasir sungai. Dari pengamatan tanomkinotuan, kacang panjang boleh hidup subur pada jenis tanah liat yang dibaikpulih. Selalunya tanah di kawasan perumahan adalah tanah merah atau tanah liat (clay) dan sukar digunapakai untuk menanam jenis sayuran. Walau bagaimanapun, jangan bimbang tanah tersebut masih boleh digunakan untuk menanam sayuran kegemaran anda dengan membaikpulih tanah tersebut. caranya tambah kompos dengan banyak pada tanah liat tersebut dan pasir sungai. Boleh beli jenis tanah hitam di nusery-nusery berhampiran dan gaulkan dengan tanah liat tersebut. Tanah liat atau clay itu juga boleh ditambah dengan tinja binatang namun perlu dibiarkan seminggu atau dua minggu untuk tinja binatang sebati dengan tanah. Maka bolehlah ditanam dengan jenis sayuran yang disukai. Inilah cara tanomkinotuan untuk membaikpulih tanah di kebun belakang rumah. Semakin lama tanah itu digunakan semakin baik tanah tersebut. Ia tidak lagi kelihatan seperti tanah liat tetapi sudah berubah wajah kepada tanah hitam yang kaya dengan nutrient dan baik untuk tanaman kita. Jika pembaca meneliti gambar-gambar di atas hanya batas penanaman sayuran sahaja yang berwarna hitam. Lorong atau jarak antara batas masih kelihatan berwarna merah. Kawasan ini sebenarnya kawasan tanah timbus untuk membuat kolam ikan. 

Ada tiga variati kacang panjang yang di tanam oleh tanomkinotuan di kebun belakang rumah pada musim pertama iaitu kacang panjang hitam atau blacky yard long bean, kacang panjang galaxy dan green sweets yard long bean. kacang panjang hijau manis (green sweets yard long bean) mempunyai buah yang sangat panjang berbanding dengan kedua variati di atas tetapi buahnya sedikit kurus (thin). Ketiga-tiga variati ini sangat produktif dalam penghasilan buah tidak hairan ianya sering ditemui di pasar minggu atau pasaraya yang berhampiran.


Gambar di atas adalah kacang panjang jenis hijau (green sweets yard long bean). Ia tersangat panjang berbanding dengan jenis kacang panjang lain. Gambar pertama adalah ditanam musim pertama dan sudah tamat tempoh perkhidmatan manakala gambar kedua pula adalah benih dari gambar pertama, kira gambar kedua itu adalah anak kepada kacang panjang gambar pertama. hahahahahahaha..... apakah aku melalut ni???...

Antara sayuran buah yang diminati oleh tanomkinotuan ialah kacang panjang kerana anda boleh menanamnya dengan menutup mata sahaja. Bermaksud tidak perlu penjagaan yang rapi. Namun jika serangan penyakit melanda kacang panjang yang anda tanam ia sememangnya menyakitkan hati.

SAYUR MIBUNA HIJAU

Tags


Sekali sekala mencuba menanam jenis sayuran lain memberikan satu kepuasan yang tidak terhingga kepada tanomkinotuan. Selalunya orang akan memilih jenis sayur yang biasa dimakan atau dilihat di kawasan kita atau di pasaraya-pasaraya tempatan misalnya sayur kailan, sawi ongking @ kerinting, sawi bunga, sawi putih dan sawi pahit, kacang panjang, petola segi dan sebagainya. Tanomkinotuan pun sudah pernah menanam jenis sayur daun yang dinyatakan di atas. Walau bagaimanapun, pernahkah anda mencuba menanam sayuran yang belum pernah anda lihat dengan kepala anda sendiri atau anda belum pernah memakannya?

kali ini tanomkinotuan menceritakan satu jenis sayuran luar negara yang boleh beradaptasi dengan cuaca disini malah ianya boleh hidup subur walaupun cuaca yang panas. Sayur tersebut dikenali sebagai sayur mibuna hijau. Pelik namanya tetapi tidaklah pelik sekiranya anda melihat pokoknya. Ia sangat menawan dan menarik. Sayur mibuna hijau adalah sayuran jenis berdaun yang mempunyai batang yang kecil seperti pencil dan boleh mengeluarkan tunas baharu sebagai pokok baharu pada panggal batangnya menyebabkan ia kelihatan rimbun sekali. Sayur mibuna hijau juga dikenali sebagai mibu hijau jepun di mana struktur daunnya lembut, daun berbentuk sudu dengan batangnya yang panjang.

Kesanggupan tanomkinotuan untuk mencuba menanam sayur mibuna hijau ini berbaloi kerana ianya enak dibuat ulam atau dimasak tumis. Ia juga cepat matang dan boleh dituai seawal 21 hari pada pramatangnya dan matang kira-kira 41 hari. Tanom kinotuan menanamnya bersama-sama sawi kerinting, sawi komatsuna dan sawi putih taiwan dalam satu batas. Ia tidak menampakkan masalah ditanam bersama-sama jenis sayuran lain malah tampak galak pula pertumbuhannya.



Sayur mibuna hijau mempunyai ciri pertumbuhan sama dengan sayuran hijau lain. Lebih elok di semai pada kontena atau polibag terlebih dahulu. Selepas dua minggu bolehlah dipindahkan ke batas yang disediakan. cara menyemai benih sayur mibuna hijau ini ialah sediakan kontena yang bersesuaian, boleh juga menggunakan polibag, pasu bunga, kotak kayu kecil dan sebagainya mengikut kehendak pembaca. Medium semaian haruslah menggunakan campuran tanah loam/hitam/gambut dengan pasir sungai dan baja organik dalam nisbah 2:1:1. Gaul hingga sebati dan tabur benih mibuna hijau itu di atas tanah semaian, elakkan daripada benih mibuna rapat antara satu sama lain. Satu cara untuk mengelak benih terlalu rapat campurkan sedikit tanah pada benih dan tabur di atas tapak semaian. Benih yang digaul bersama tanah bertujuan untuk menjarakkan benih tersebut. Spray atau siram benih tersebut agar tanah semaian lebab. Ini bertujuan benih mibuna hijau boleh bercambah dengan baik. Kontena atau polibag yang digunakan diletakkan ditempat teduh sehingga benih tersebut bercambah dengan jayanya.




Pemindahan anak benih mibuna hijau boleh dilakukan apabila anak benih itu sudah mencapai 3 atau 4 helai daun. Penyediaan batas mestilah digembur terlebih dahulu serta dicampurkan dengan baja kompos atau tinja binatang yang telah reput. Sekirannya anda menggunakan pasu atau polibag untuk menanam guna bekas tanaman yang sederhana besar agar akar mibuna hijau bebas menjalar. Tanam anak benih mibuna itu dengan jarak 10 hingga 15 cm antara satu sama lain sekiranya ditanam di atas batas. Jika tanah yang digunakan itu jenis tanah liat maka campurkan dengan kompos pada jumlah yang banyak. Anak benih mibuna sesuai ditanam pada waktu petang dan jika anda menanamnya pada waktu pagi jangan lupa letakkan teduhan menggunakan jaring agar anak benih tidak layu lalu mati akibat cuaca panas lebih kurang 3 hingga seminggu. Jangan lupa menyiramnya dua kali sehari dan tidak perlu ketika musim hujan.

Sayur mibuna cepat membesar jika batas adalah lembab dan kandungan nutrient mencukupi. Setelah anak pokok mibuna hijau sudah berusia 2 minggu selepas dialihkan ke batas, anda boleh meletakkan mulsa (mulch) di atas batas agar batas senantiasa lembab dan tidak kering. Tanomkinotuan menggunakan mulsa daripada kayu yang telah reput. tanomkinotuan carik-carikkan secara menual sehingga hancur, kayu reput itu tanomkinotuan ambil dari kebun. Cabut rumput sekiranya ada pada batas bagi mengelak daripada persaingan antara satu sama lain. 

Setakat ini, tidak ada penyakit yang menyerang pada pokok sayur mibuna, cuba semasa pokok mibuna masih kecil siput selalu mendaki untuk memakan daun muda, juga belalang yang boleh merosakkan daunnya. Mungkin jika selalu menanam sayur jenis ini tanomkinotuan boleh mengetahui lebih lanjut apa penyakit yang menyerang mibuna hijau. 






Sayur mibuna hijau yang di zoom lebih dekat, tampak galak pertumbuhannya. Gambar kedua memperlihatkan daunnya yang berlubang-lubang, ini disebabkan oleh belalang yang memakan daun mibuna pada waktu malam. 





Gambar di atas adalah cubaan menanam sayur mibuna hijau bersama-sama jenis sayur daun lain seperti sayur komatsuna mustard, sayur komatsuna ungu, sawi putih taiwan, sawi ongking @ kerinting  dan sayur Asian green Tat tsoi atau juga dikenali sebagai spinach mustard.  Dan gambar akhir pula adalah hasil tuaian yang sangat memberansangkan. Emak tanomkinotuan telah memasaknya dengan masak tumis ikan sardin. wow.... enak hingga menjilat jari. Cumanya sayur mibuna mempunyai rasa pahit sedikit namun masih sedap dimakan. Rasa pahit tersebut sama seperti pahit pada sayur tutan.





Selasa

SALAD DI KEBUN BELAKANG RUMAH

Tags
Entry kali ini adalah berkait dengan sayuran salad yang pernah singgah di kebun belakang rumah. Tanomkinotuan merupakan salah seorang peminat salad kerana ia boleh dimakan begitu sahaja. Terdapat beberapa salad yang pernah tanomkinotuan tanam semata-mata mahu melihat sama ada ia hidup subur atau sebaliknya. Dengan percubaan menanam salad di sini (iklim khatulistiwa) bermakna salad juga masih boleh tumbuh dengan baik di negara kita yang penting kawasan penanaman harus diberi perhatian sewajarnya. Berikut adalah variati salad yang pernah tanomkinotuan tanam di kebun belakang rumah....


Salad siomak yang sudah boleh dituai

Gambar di atas dikenali sebagai salad siomak atau salad cina. Ciri-cirinya adalah tahan panas dan mampu hidup pada tanah jenis tanah liat (clay) yang digaul dengan tanah hitam dan pasir sungai bersama baja organik. Melalui pengamatan tanomkinotuan, tidak ada serangga perosak yang singgah pada tanaman ini.




Gambar ini pula dikenali sebagai salad little gem, Namun agak ketot sedikit dari pertumbuhannya yang biasa. ia jenis membulat tetapi bukan heading seperti salad iceberg. Pertumbuhannya ketot sedikit mungkin tanah atau cuaca yang tidak sesuai. Namun tanomkinotuan merasa juga daun salad little gem ini di mana kurang pahitnya.


Ni pula salad buttercrunch leaf. Daunnya sangat mulus dan tidak pahit. Selalunya salad mempunyai rasa pahit mungkin disebabkan oleh getahnya yang berwarna putih. Namun pokok salad ini sudah mula meninggi dan menghasilkan bunga.



Gambar di atas ialah salad chicory. Ia sangat rangup jika dimakan mentah. Mempunyai banyak getah pada batangnya. Tetapi kurang pahit berbanding salad yang lain.


Salad ini dipanggil salad cimmaron, Ia berwarna ungu gelap sekiranya ditanam di kawasan yang mempunyai suhu sejuk. daun ranggup dan tidak mempunyai rasa pahit. Sedap dimakan begitu sahaja atau dicampur di dalam sup ikan atau ayam.



Gambar terakhir ini dipanggil salad lolorossa. Daun mengeriting belah tepinya. Warna yang memikat, ranggup dan sedikit pahit. Rasanya majoriti variati salad mempunyai rasa pahit. Mungkin cuaca panas menyebabkan salad menjadi pahit. 


Percubaan menanam salad di kebun belakang rumah menyebabkan tanomkinotuan ketagih untuk menanam beberapa jenis salad. Keunikan rasa dan struktur daunnya yang memikat membolehkan variati salad ditanam di kebun belakang rumah. Kesemua salad di atas sudah pun mengeluarkan benihnya yang pertama dan dikumpulkan untuk tanaman musim akan datang manakala benih salad lolorossa dan salad chicory yang jatuh ke tanah pula dah bercambah dengan banyak. Macam rumput lah pula. Ini memudahkan tanomkinotuan, tidak perlu disemai benih yang ada dalam simpanan. Cuma mengalihkan benih yang tumbuh tersebut ke tempat baharu untuk bekalan salad di masa akan datang.

Salad mempunyai sifat penyesuaian kepada cuaca setempat. Benih yang terhasil di sesuatu tempat baharu akan beradaptasi pada suhu dan cuaca itu menyebabkan benih cepat bercambah dari kelazimannya. Ini kerana daripada pemerhatian tanomkinotuan, benih salad yang dibeli secara online mempunyai masa yang agak lama untuk bercambah lebih kurang 7 hingga 14 hari. Namun, apabila pokok-pokok salad tanomkinotuan ini mengeluarkan bunga dan benih baharu mudah pula ianya bercambah. Tidak sampai 5 hari sudah nampak percambahannya.

Jadi kepada pembaca di luar sana sekiranya ingin mendapatkan benih salad yang beradaptasi suhu dan cuaca di tempat para pembaca biarkan salad anda mengeluarkan bunga dan buah, kutip benih daripadanya. Sekiranya pembaca tidak mahu menanam benih itu pasa masa terdekat simpan elok-elok dan tanam pada masa yang diinginkan. Ia sangat cepat bercambah berbanding induknya yang dahulu.

LOBAK PUTIH

Tags
Aktiviti berkebun adalah satu aktiviti yang dilakukan sebagai hobi atau juga sebagai sumber pendapatan. Bagi mereka yang berkebun di halaman rumah boleh mencuba menanam tanaman akar yang boleh dimakan seperti lobak putih. Kepada pembaca yang belum membaca entry cara menanam lobak merah dalam polibag boleh klik DISINI. Lobak putih atau radish dan kadang-kadang disebut daikon merupakan sayuran akar yang boleh dimakan. Ia terbentuk daripada akarnya yang membesar. 

Lobak putih atau nama saintifiknya Raphanus sativus longipinnatus  mudah tumbuh di kawasan kita, malah hidup subur sekiranya menggunakan medium tanaman yang sesuai dan baja serta air yang mencukupi. Yang paling penting penjagaannya harus tip top untuk mendapatkan hasil yang baik. Lobak putih memerlukan tanah gembur yang lembab untuk tumbuh dengan galak. Batas penanaman harus digembur sedalam 1 kaki setengah untuk membolehkan akarnya mudah masuk ke dalam tanah dan membesar menjadi lobak. 

Lobak putih disemai rapat
Pada mulanya tanomkinotuan menanam lobak dengan menyemainya terus pada batas seperti menyemai benih sayuran hijau lain. Benih lobak putih itu telah bercambah selepas tiga hari disemai. Ia sangat rapat antara satu sama lain. Setelah 2 bulan lobak putih yang disemai ianya tidak berisi langsung. Sepatutnya 2 bulan sudah menghasilkan lobak dan sudah boleh dituai. Namun lobak putih tanomkinotuan daun sahaja yang merimbun tetapi isinya zero sehinggalah batas penanaman lobak putih itu diserang ulat seribu hingga mati. Terfikir tanomkinotuan bahawa cara menanam lobak putih itu mungkin salah dan pengamatan dan pengalaman tersebut membuatkan tanomkinotuan mencari alternatif lain cara-cara menanam lobak putih. Gambar lobak putih sebelah kanan yang disemai dahulu tidak mengeluarkan lobak tetapi disemai oleh ulat seribu. Tanomkinotuan redha lagi pun ia mati oleh makhluk tuhan juga, ulat seribu.

Melalui pengalaman ini, tanomkinotuan kembali menambah ilmu di dada dengan membaca banyak buku bacaan berkaitan dengan cara menanam lobak putih, selain buku tanomkinotuan juga mencari info di internet terutamanya pakar pertanian luar negara. Banyak info yang kita boleh dapat. Terima kasih kepada perkhidmatan internet yang banyak membantu tanomkinotuan untuk mendapatkan sesuatu info berhubung pertanian. Lobak putih boleh disemai terus pada batas tetapi pastikan ia dijarakkan pada 15 cm hingga 20 cm. Ini membolehkan lobaknya boleh membesar dengan baik. Akar yang membesar itu perlu cahaya matahari untuk membesar dan pengudaraan yang baik. Jika terlalu rapat seperti mana cara tanomkinotuan tempoh hari hanya kaya dengan daun merimbun tetapi miskin pada lobaknya.  Guna tanah gembur yang ditambah pasir sungai dan baja organik atau kompos. 

Berikut  adalah tanaman lobak di kebun belakang rumah. Tumbuh galak tanpa gangguan makhluk perosak.



Berusia seminggu


Selepas dibubuh mulsa (mulch)





Gambar pertama benih lobak putih berusia 1 minggu dan belum diletakkan mulsa (mulch). Gambar kedua pula setelah diletakkan mulsa (mulch) bagi melembabkan tanah dan gambar ketiga pula anak pokok lobak putih berusia 2 minggu. Gambar di bawah ini adalah lobak putih yang ditanam musim lepas. Cuma cuci mata sahaja.






Lobak putih di atas adalah ditanam musim lepas pada batas yang sama dengan gambar yang menunjukkan anak lobak di atas. Lobak ni dah tiada dalam kebun belakang rumah tanomkinotuan. Menanam lobak putih sangat mudah kerana percambahan benih lobak sangat cepat berbanding dengan lobak merah, hanya mengambil masa kira-kira 3 hari paling sahaja untuk bercambah. 





Bagaimanakah cara menanam lobak putih di atas batas?

Benih lobak boleh disemai terus pada batas yang disediakan. Namun sebelum menyemai hendaklah digembur terlebih dahulu dengan menggunakan cangkul atau alat pengembur lain. Segala batu, akar kayu dan benda asing yang tidak diperlukan harus dibuang. Ini kerana ia akan mengganggu penghasilan lobak nanti. Batas tersebut juga digaul bersama pasir sungai dan kompos/baja organik dan dibiarkan seminggu atau dua minggu. Biar kompos dan tanah menjadi sebati.

Benih lobak putih ditanam 1/4 ke dalam tanah dengan jarak kira-kira 15 cm hingga 25 cm jauhnya. Jika terlalu rapat isi lobak tidak akan membesar kerana isi lobak perlukan pencahayaan dan pengudaraan yang baik. Siram batas tersebut dua kali sehari dan tidak perlu ketika hujan. Selepas 2 minggu bubuh baja organik di sekeliling anak pokok lobak. Selepas sebulan lobak sudah pun matang dan boleh dituai. Menikmati lobak putih tanam sendiri sangat istimewa kerana tumbuh dengan hasil tangan sendiri. 

Penjagaan lobak putih tidaklah rumit, perlu disiram tetapi jangan terlalu banyak air kerana air yang banyak dalam batas boleh membunuh akar lobak lalu mati. Cabut rumput yang tumbuh di atas batas. Serangan lobak selalunya adalah virus reput akar dan mematikan lobak tanpa belas kasihan. Serangan daun melecur berwarna putih oleh bakteria dan kadang-kadang siput dan lintah bulan akan menyerang daun anak pokok lobak ketika masih kecil. Pencegahan perlu dilakukan dengan memusnahkan pokok lobak yang dijangkiti agar tidak menular ke pokok lobak yang lain.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Khamis

CARA MENANAM LOBAK DALAM POLIBAG

Tags

Lobak dengan polibag beras
Lobak ialah sejenis tumbuhan yang berubi dan dijadikan sebagai makanan. Ia berasal dari wilayah Afganistan hingga ke sempadan Iran. Hingga kini masih terdapat lobak merah ini tumbuh meliar di pedalaman Afganistan. Kini lobak merah atau dalam bahasa englishnya dikenali sebagai nama carrot telah tersebar luas ke seluruh dunia. Tanomkinotuan ada menanam lobak dalam pasu atau polibag buatan sendiri. Tidak ada kos yang dikeluarkan untuk bekas penanaman, jimat dan murah. Tanomkinotuan menggunakan plastik beras 10kg kerana ia kuat dan tahan lama. 

Terdapat beberapa jenis warna lobak merah seperti Lobak merah kuning, lobak merah berwarna putih, lobak merah ungu, lobak merah crimson dan lobak merah bulat. Sila baca entry di bawah untuk mengetahui cara menanam lobak dalam polibag beras.


Bahan-bahan yang diperlukan:

1. Satu beg bekas plastik beras saiz 10kg
2. Dua bahagian tanah loam, atau gambut atau tanah hitam
3. Satu bahagian baja kompos, organan, tinja binatang yang dah reput.
4. Satu bahagian pasir sungai
5. Benih lobak merah (anggaran 10 - 15 biji)
6. Pisau untuk menebuk
7. Spray atau air untuk menyiram

Langkah-langkah menanam:

1. Terbalikkan plastik beras 10kg tersebut dan tebuk plastik beras 10kg itu dengan pisau jangan terlalu besar dan jangan pula terlalu kecil supaya air mudah mengalir keluar. Hujung plastik beras 10kg tersebut dilipat 2 hingga 3 kali, jangan lipat lebih nanti polibag beras anda terlalu pendek. Lihat gambar di sebelah.

2. Campurkan 2 bahagian tanah loam, satu bahagian kompos dan 1 bahagian pasir sungai ke dalam satu bekas dan gaul merata. 

3. Setelah itu masukkan campuran medium tanaman itu ke dalam palstik beras yang telah ditebuk tadi. Pastikan tinggi tanah harus melebihi satu kaki. Ini kerana lobak memerlukan tanah yang dalam untuk berisi. Takut nanti isi lobak terbantut/ketot sekiranya tanah tidak dalam.

4. Gaulkan benih lobak dengan tanah dan tabur di atas tanah polibag beras tadi, sebab mengapa benih lobak digaul bersama dengan tanah adalah untuk menjarakkan benih lobak di antara satu sama lain. Taburkan sedikit tanah di atas benih tersebut, jangan terlalu tebal. Ini bertujuan agar benih lobak tidak diganggu oleh semut dan siput.

5. Spary atau siram dengan air secukupnya dan letakkan ditempat terkena pancaran matahari tetapi tidak melebihi 3 jam. Lobak merah memerlukan haba atau sinaran matahari sederhana untuk bercambah namun terik matahari yang melampau akan mematikan cambahan benih lobak.

Benih lobak akan bercambah selepas 1 minggu hingga 3 minggu mengikut suhu di tempat anda. Namun lobak tanomkinotuan yang di tanam dalam polibag beras ini hanya mengambil masa 4 hari sahaja untuk bercambah dan ia diletakkan di tempat teduh.




Terdapat beberapa tips yang harus diambil kira semasa menanam benih lobak hingga penjagaan dan penuaian;

1. Jangan letakkan fertilizer atau baja subur terlalu banyak ke dalam polibag beras kerana ia akan hanya merimbunkan pokoknya tetapi tidak akan berisi, Isinya ketot dan bercabang.

2. Jangan letakkan polibag beras yang disemai benih lobak pada sinaran matahari terik yang melampau kerana ia akan mengeringkan tanah pada polibag beras dan benih tidak akan bercambah.

3. Spray polibag beras itu dengan air agar lembab dan tidak kering.

4.  Sekiranya meletakkan di tempat terkena matahari pastikan polibag beras tidak terkena hujan lebat kerana hujan lebat akan mengeluarkan benih lobak dari polibag dan juga mampu memusnahkan percambahan benih.

5. Cabut anak pokok lobak sekiranya terlalu rapat dan benih pokok lobak yang dicabut bolehlah di tanam di tempat lain.

Gambar-gambar lobak dalam polibag di kebun belakang rumah:








Sudut informasi:

Bahasa Malayu: Lobak merah
Bahasa Kadazandusun: karot
Bahasa English: carrot
Nama saintifik: Daucus carota

Rabu

APAKAH ITU PEAT-MOSS

Tags
Pernahkah pembaca di luar sana terdengar akan istilah peat-moss?  dan pernahkah pembaca menggunakannya?

Lumut sphagum
Peat-moss adalah bahan reput atau bahan mati daripada gabungan beberapa komponen di dalamnya seperti lumut, pokok renek, rumput dan lain-lain. Namun komponen utamanya ialah lumut sphagum.  Peat-moss adalah nama tipikal bagi tumbuhan lumut sphagum yang telah reput atau diproses menjadi kompos iaitu tumbuhan asli yang tumbuh di seluruh bahagian dunia. Dalam bahasa mudah peat-moss adalah sejenis lumut yang dipangil lumut sphagum diproses menjadi kompos untuk kegunaan dalam bidang pertanian. Petani modern sangat suka menggunakan peat-moss untuk tujuan semaian kerana ia boleh menyimpan air selain kaya dengan nutrien yang boleh mempercepatkan pertumbuhan anak benih. Namun begitu, tumbuhan ini mengambil masa untuk dikompos atau lambat mati. Biasanya tumbuhan lumut sphagum ini tumbuh di kawasan lumpur yang dalam yakni kawasan paya basah. Sesetengah kawasan paya basah di dunia dipenuhi oleh lumut ini dan mempunyai lapisan sphagum yang sangat padat dan dalam. Struktur selnya peat-moss ini boleh menampung air seperti span.

Biasanya lumut ini sangat sesuai tumbuh di kawasan beriklim sejuk dan tanah bergambut. Inilah sebabnya kompos itu dipanggil peat-moss (lumut-gambut). Negara Canada merupakan pengeluar peat-moss terbesar di dunia yang diproses menjadi kompos dan di eksport ke luar negara termasuk negara kita. Di Canada sahaja lumut sphagum (peat-moss) berkeluasan 270 juta ekar yang boleh menampung keperluan kepada pengguna seluruh dunia.

Sphagum yang diproses
Terdapat beberapa jenis peat-moss di pasaran iaitu pertama, Lumut gambut fibric (peat-moss fibric) iaitu peat-moss yang reput / kompos dengan kandungan fibre yang sangat utuh. Kedua,  lumut gambut hemic (peat-moss hemic) iaitu ia lebih reput berbanding dengan jenis fibric tetapi kurang jika dibandingkan dengan jenis Sapric. Ketiga, Lumut-gambut Sapric (peat-moss Sapric) iaitu jenis peat-moss paling reput berbanding jenis hemic dan fibric. Maknanya peat-moss Sapric lebih baik jika dinilai dari segi kereputan dan pengomposannya.

Peat- moss amat sesuai untuk semaian, menanam pokok, medium tanaman rumput baru dan rumput yang ditanam semula serta sesuai dijadikan mulsa (mulch). Peat-moss juga dikenali sebagai organik kerana bukan diproses daripada bahan kimia tetapi diproses dari tumbuhan semula jadi.
 

Faedah peat-moss dalam bidang pertanian.

1. Peat-moss mampu menyimpan air dan tidak mudah kering. Oleh itu ia mampu melembabkan tanah untuk kebaikan kepada tanaman.

2. Peat-moss juga kaya dengan zat makanan kepada anak benih jika menyemai menggunakan peat-moss.

3. Boleh digunakan sebagai fertilizing bagi ladang-ladang besar atau kebun sendiri.

4. Peat-moss boleh digunakan sebagai mulsa (mulch) pada batas tanaman, ia bukan sahaja membekalkan kelembaban kerana mampu menyimpan air tetapi juga membekalkan nutrient pada tanaman.

5. Peat-moss boleh melindungi tanah daripada kekerasan disamping menambah zat makanan.

6. Mengurangkan kepadatan pada tanah liat dan mengikat pada tanah jenis berpasir. Tambah peat-moss pada batas yang mempunyai kandungan tanah liat yang tinggi. Ini akan mengurangkan ikatan tanah liat menjadi tidak padat manakala tanah pasir yang terlalu berderai dapat dikurangkan.

7.  Mempercepatkan pertumbuhan akar dengan cemerlang pada tanaman.

8. Dalam bidang perikanan ia sesuai dijadikan sebagai filter dalam aquarium, caranya masukkan peat-moss ke dalam uncang atau seumpamanya agar tidak mengotorkan aquarium tersebut. Ia mampu membersihkan air dengan menyerap bahan kimia dan merendahkan nilai PH pada air dalam aquarium.


Cara penyediaan peat-moss

1. Di bubuh dalam kontena tanaman

Campurkan 1/3 peat-moss dan 2/3 tanah loam ke dalam kontena tanaman, pastikan kontena tersebut ditebuk agar ia tidak menakung air. Taburkan benih tanaman di atasnya dan tutup benih dengan peat-moss senipis mungkin, jangan terlalu tebal. Spary atau siram dengan air secukupnya.

2. Menanam pokok di atas tanah

Buat lubang dua kali saiz akar pokok, keluarkan sisa-sisa tanah di dalamnya. Campurkan satu bahagian peat-moss dan dua bahagian tanah loam ke dalam lubang, tanam anak pokok tersebut dan gaulkan campuran tadi hingga sebati, berhati-hati agar akar pokok tidak rosak. Akhir sekali jadikan mulsa campuran lebihan peat-moss dan tanah loam setinggi 2 inci di sekeliling pokok. Jangan lupa menyiramnya.

3. Menanam rumput hiasan baru

Campurkan 2 inci lapisan peat-moss kepada 6 inci lapisan tanah loam. Tambah baja subur dan taburkan benih dipermukaannya. Tutup dengan peat-moss sedikit dan siram dengan air secukupnya.






Untuk mendapatkan peat-moss berkunjunglah nusery-nusery berhampiran. Oleh kerana ia diimport ke negara kita sudah tentu harganya tinggi. Walau bagaimanapun ia berbaloi untuk digunakan kerana sangat bagus untuk tanaman kita. Pembaca harus meneliti peat-moss di pasaran dan jangan ghairah akan peat-moss yang murah kerana terdapat pengeluar atau syarikat mencampurkan peat-moss tersebut dengan fungicides. Sila baca pada label pembungkus itu dan pastikan ia tidak ditambah dengan additives. 

Harapan besar kepada pembaca yang datang ke sini dan membaca entry berhubung peat-moss ini, semoga mendapat pengetahuan sedikit apakah itu peat-moss dan kebaikannya dalam bidang pertanian. Dua gambar di atas adalah hasil daripada menggunakan campuran loam dan peat-moss. Kelihatan pokok tomato sangat subur dan gemuk manakala dua pokok lada habanero dalam cup juga mempunyai pertumbuhan yang sangat cantik. Ini terbukti bahawa peat-moss sangat bagus untuk tanaman lebih-lebih lagi untuk medium semaian benih. Walau bagaimanapun, beberapa pakar tanaman ada mengatakan bahawa tidak boleh menggunakan 100% peat-moss sebagai semaian benih. Namun ia tidak begitu jelas mengapa sedemikian. Yang pastinya kebaikan peat-moss mengatasi segala-galanya.

Secara teorinya adakah tumbuhan di Sabah khususnya atau Malaysia amnya yang boleh diproses seperti lumut sphagum? Mintalah pakar-pakar dalam bidang pertanian untuk melebihkan kajian dan penyelidikan bagi tumbuhan di negara kita dengan tujuan yang sama seperti peat-moss ini?. 


Sudut informasi:

Kompos : Ialah bahan reput atau diproses daripada sisa dapur, rumput, kayu, dan tinja binatang. Kaya dengan kandungan nutrient.

peat-moss : ialah lumut sphagum yang telah reput atau telah lama mati di tempat asalnya dan dikorek/dipungut untuk dijadikan bahan asas dalam pertanian. Cara modern mereka menanam lumut ini dan diproses menjadi peat-moss. Struktur sel lumut sphagum mampu menyimpan air. 

Note: Some of the pictures above are not mine.

CARA MENYEMAI BENIH SALAD

Tags
Solokou id ngaran do Allah kumaa ngaawi dikoyu..
[Kesejahteraan atas nama Allah kepada kalian]

Hari ini tanomkinotuan cuba untuk menjelaskan bagaimana untuk menyemai benih salad. Kaedah yang ditunjukkan dalam entry ini sesuai untuk semua jenis benih salad. Mungkin para pembaca pernah mengalami pengalaman di mana benih salad yang disemai tidak muncul-muncul, adapun hanya dua tiga pokok yang tumbuh. Oleh itu, diharap kaedah semaian yang ditunjukkan ini akan memberikan idea bagaimana untuk memulakan semaian. Kepada pengemar-pengemar salad di luar sana apa kata tanam salad di halaman rumah untuk bekalan daun salad yang segar. Petik dan makan. Fahami langkah-langkah di bawah bagi mendapatkan hasil semaian yang baik.

1. Pilih biji benih yang hendak ditanam.

 Langkah pertama yang perlu dilakukan ialah mendapatkan benih salad yang diingini. Pembaca boleh datang ke nusery atau kedai hardware yang ada menjual benih salad. Sila dapatkan maklumat seberapa banyak info mengenai tiap-tiap benih salad tersebut. Boleh juga mendapatkan info benih salad menerusi internet. Sekiranya membeli benih salad selalunya bekas pembalut ada menerangkan tempoh penanaman sesuai dan suhu. Teliti info tersebut untuk tindakan seterusnya.

Sekiranya pembaca tinggal di kawasan tanah rendah seperti Kuala Lumpur, Shah Alam, Kota Bahru, Kuching, Kota Kinabalu atau di kawasan tanah rendah yang lain, maka pilihan paling tepat ialah benih salad dari jenis daun terbuka (non-heading) yakni dari kumpulan Loose leaf cultivars kerana jenis salad ini mudah disemai dan boleh tumbuh di kawasan tanah rendah. Contoh Salad loose leaf cultivars ialah salad siomak, salad lolorosa, salad lolorosa hijau dan sebagainya. Juga boleh mencuba benih salad dari kumpulan salad romaine yakni salad yang daunnya bergumpal memanjang seperti salad little gem. 

2. Penyediaan tapak semaian

jalur lurus
Disarankan menyemai benih salad pada polibag atau kontena kecil terlebih dahulu. Pastikan medium tanah tersebut digaulkan dengan baja kompos aka organik dan pasir sungai dengan nisbah 2:1:1. Pastikan juga agar medium tanah itu haruslah lembab dan tidak menakung air. Jika tanah terlalu kering benih salad tidak akan bercambah manakala jika tanah terlalu basah (menakung air) benih salad akan mati dan tidak akan tumbuh. Tebuk lubang pada bekas yang digunakan agar lebihan air boleh keluar melalui lubang-lubang itu. Buat satu garisan lurus sedalam 1/2 inci (setengah inci) pada medium semaian tersebut dan taburkan benih salad ke dalam lubang garisan yang telah dibuat. Timbus sedikit tanah di atasnya. Sekiranya pembaca seorang yang suka akan kelainan maka bolehlah menyemai benih salad itu dengan cara ditabur secara rawak ke atas medium tanah  dan kambus sedikit tanah di atasnya. Ini bertujuan menghalang daripada gangguan serangan dari serangga perosak seperti semut dan siput. Perlu diketahui bahawa tanah bakar atau abu daripada kompos dan sebagainya tidak sesuai untuk semaian benih, ini kerana medium tersebut tersangat lembab yang boleh mereputkan benih salad.



Selepas ditimbus tanah di atasnya, siram medium semaian tersebut dengan air yang cukup. Letakkan semaian benih salad di tempat yang teduh sehingga benih salad bercambah. Untuk tidak supaya anak benih salad itu terlalu memanjang pada batangnya (leggy) maka perlu dedahkan anak benih itu pada cahaya matahari selama 1 jam pada waktu petang kira-kira matahari sudah tidak terlalu panas dan kembalikan ke tempat asalnya, ulang semula aktiviti tersebut sehingga anak benih itu benar-benar kuat dan boleh dipindahkan ke batas penanaman. Ini bertujuan supaya anak benih dapat cahaya matahari yang cukup dan mengurangkan batangnya meninggi dan juga dapat menguatkan anak benih salad. Mendedahkan benih salad yang baharu bercambah pada sinaran matahari yang terik akan mematikan anak benih salad kecuali benih salad di semai pada batas atau tanah yang senantiasa terkena sinaran matahari.

Salah satu medium semaian yang bagus untuk benih salad ialah medium peat-moss, medium ini boleh dibeli di nusery dan kedai pertanian yang berhampiran dengan rumah pembaca. Selalunya peat-moss hanya digunakan dalam semaian dalam polibag atau dalam styrofoam. Caranya, masukkan peat-moss yang dibeli itu ke dalam styrofoam atau polibag dan taburkan benih salad, timbus sedikit (jangan timbus terlalu tebal kerana peat-moss agak berat dan akan merosakkan percambahan benih salad) dengan lebihan peat-moss di atas benih salad itu lalu spray atau siram dengan air secukupnya.

Berkaki panjang
Anak benih yang mempunyai kaki terlalu panjang (leggy) akan mudah patah dan mudah mati apabila dipindahkan ke batas. Oleh itu, walaupun diletakkan di tempat teduh. Perlu juga anak benih itu didedahkan dengan sinaran matahari bagi mengurangkannya berkaki panjang. Untuk makluman juga, benih salad tidak akan bercambah dalam tanah sekiranya suhu berada pada 80 degrees F.

3. Pemindahan ke batas.

Baja kompos:
Batas untuk menanam anak pokok salad harus digembur dengan alatan pengembur. Batas tersebut perlu digaul dengan baja kompos dan pasir sungai. Salad sangat sesuai tumbuh pada tanah jenis gembur berpasir. Biarkan seminggu batas itu supaya kompos sebati dengan tanah. Kompos boleh diperolehi dari nusery yang berhampiran kediamaan pembaca. Minta nasihat dan bertanya soalan kepada penjual mana kompos yang sesuai untuk menanam salad. Baja kompos sangat penting untuk nutrient kepada salad kerana ia diperbuat daripada tinja binatang, hasil buangan dari dapur atau daripada rumput kering.

Siap digembur
Buang segala akar, daun kering dan kayu pada batas yang hendak digembur agar tanah tersebut bersih daripada sisa-sisa yang tidak diperlukan. Sekiranya tanah yang digunakan itu terlalu berasid maka taburkan serbuk kapur (lime tone) secukupnya. Untuk mengetahui asid atau tidak tanah tersebut boleh menggunakan pengukat PH tanah yang banyak dijual di pasaran.  Gambar di sebelah adalah contoh batas yang disyorkan di mana batas tersebut telah digaul dengan tinja binatang (tahi kambing), warna putih pada batas tersebut adalah lime stone. Gaul hingga sebati dan biarkan selama seminggu.

Tanam anak benih salad di atas batas dengan jarak 10 hingga 15 inci setiap baris dan kedalaman lubang pula ialah 2 hingga 3 inci. Ini adalah supaya anak benih salad tumbuh dengan baik tanpa persaingan untuk mendapatkan makanan dan cahaya matahari. Waktu paling sesuai untuk menanam salad ialah pada waktu petang kira-kira jam 4 hingga 6 petang (waktu di negeri Sabah dan Sarawak) dan jam 5 hingga jam 7 (waktu di semenanjung Malaysia). Selepas anak benih salad di tanam jangan lupa siram anak benih salad tersebut dua kali sehari atau tidak perlu ketika musim hujan. 

Bagi benih yang disemai di dalam styrofoam berlubang yang memuatkan dua benih anak salad, anak benih salad dicabut bersama-sama dengan medium semaian (tanah) dan tanam ke dalam batas yang disediakan. Perlu dilakukan berhati-hati agar akarnya tidak rosak. Bagi anak benih yang ditanam di dalam polibag, kotak kecil dan sebagainya yakni disemai secara rawak. Anak benih salad itu hendaklah di cabut perlahan-lahan dan tanam di atas batas yang disediakan, siram anak benih tersebut dan tutup menggunakan teduhan jaring hitam selama 4 hingga seminggu agar anak benih itu boleh menyesuaikan diri pada tanah pada batas dan juga mengelak anak benih salad mati. 

4. Pembajaan dan penjagaan

Bubuh baja pada anak pokok salad selepas 3 minggu ditanam. Sama ada menggunakan baja organik atau baja urea. Terpulang pada pembaca. Namun sekiranya menggunakan baja urea harus diingat bahawa bubuh baja tersebut jauh daripada batang pokok salad kerana baja ini agak panas dan boleh mematikan anak pokok salad. Buang segala rumput pada batas bagi mengurangkan persaingan mendapatkan makanan aka nutrient. Salad kurang diserang penyakit namun selalunya apid suka akan salad, ia menyerang di bawah daun menyebabkan pertumbuhan pokok salad terbantut seterusnya mati. Oleh itu buang daun salad yang terkena serangan dan musnahkan pokok salad sekiranya serangan agak teruk kerana takut ia akan menjangkiti pokok yang lain.

5. Menuai pokok salad

Setelah sebulan setengah hingga dua bulan dari tempoh ditanam, salad sudah pun boleh dituai. Cara paling ekonomi ialah hanya petik daun dari bawah untuk bekalan daun salad berterusan. Jangan risau kerana pokok salad itu akan berdaun dan boleh dipetik semula apabila daunnya sudah matang. Jika dicabut ia hanya dapat membekalkan sumber sayuran sekali sahaja. Daun salad boleh disimpan di peti sejuk dengan memasukkannya ke dalam plastik zip dan ia boleh bertahan sehingga 2 minggu ke 3 minggu.

Semoga langkah di atas dapat memberikan sedikit info yang berguna kepada pembaca diluar sana bagi memulakan menanam salad. 


Sudut informasi;

Bahasa melayu: Salad, sayur mentah, sayur minyak
Bahasa Kadazandusun: litus
Bahasa English: lettuce
Nama saintifik: Lactuca sativa

Selasa

TOMATILO

Tags
Sambil melayari internet untuk melihat-lihat jenis sayuran di blog sahabat. Terpandang pula sejenis tanaman yang tidak asing dengan tanomkinotuan pada zaman kanak-kanak. Rupanya di negara Barat tumbuhan ini sangat bernilai dalam diat pemakanan mereka. Tumbuhan tersebut adalah tomatilo. Tetiba rasa hendak membeli benihnya secara online tetapi terfikir juga nak masak dengan cara apa bila dah boleh tuai? hehe

Tumbuhan yang dikenali sebagai tomatilo atau juga dikenali sebagai Husk Tomato atau Mexican husk tomato ini adalah satu kumpulan atau keluarga dengan sayur tutan atau black nightshade. Sesetengah pengkaji mengatakan bahawa tomatilo berasal dari negara Mexico dan sering dijumpai di kawasan  Western Hemisphere. Walau bagaimanapun, pokok tomatilo ini banyak juga dijumpai di Sabah khususnya kawasan pedalaman Keningau, Tenom, Tambunan dan Ranau mungkin juga terdapat di kawasan-kawasan lain di Sabah serta negeri-negeri di Malaysia.

Pada masa dulu, semasa tanomkinotuan masih kecil pokok ini banyak tumbuh di tepi badang di kampung. Sebelum memulakan aktiviti atau permainan di padang pada waktu petang. Tanomkinotuan dan kawan-kawan akan mencari buah tomatilo yang masak ranum. Rasa manis dan banyak biji. Buahnya diselaputi oleh lapisan nipis yang mudah untuk dikoyakkan. Pucuknya juga boleh dimakan sebagai sayur tetapi agak pahit berbanding dengan sayur tutan.

Dipendekkan cerita, semasa tanomkinotuan ke kebun belakang rumah sambil membersihkan sayuran yang dipenuhi rumput, Tanom kinotuan terpandang satu anak pokok seakan-akan sayur tutan. Oleh kerana, tutan yang tumbuh dengan sendirinya di kebun belakang rumah tanomkinotuan telahpun sampai ke penghujungnya, sudah tua sebenarnya yakni tidak lagi productive seperti dahulu. Maka tanomkinotuan terfikir bahawa perlulah dibiarkan anak benih ini membesar sebagai sumber sayuran. Namun tanomkinotuan agak terkejut pada pokok tersebut setelah besar di mana bukan sayur tutan yang menjelma tetapi tutan loput-loput aka tomatilo. Tidak sangka sama sekali tanomkinotuan akan berjumpa semula dengan pokok ini setelah lama tidak bersua muka. Hehe... bersua muka eikkk.

Tidak ada yang dapat menggambarkan kegembiraan tanomkinotuan akan anugerah tersebut. Selepas keajaiban sayur tutan tumbuh secara semula jadi kebun belakang rumah kini pokok tomatilo pula menyusul. Alhamdulillah dan syukur kepada Tuhan terhadap pemberian dua tumbuhan tersebut. 

Tanomkinotuan tidak dapat memberikan tips penanaman bagi tumbuhan ini kerana pokok tomatilo yang tumbuh dengan galak di kebun belakang rumah bukanlah disenggaja ditanam melainkan ia tumbuh sendiri. Oleh yang demikian tanomkinotuan tidak boleh memberikan ulasan panjang lebar. Cuma dari pemerhatian tanomkinotuan medium tanaman yang digunakan untuk menanam pokok tomatilo sama seperti sayuran lain yakni campuran nisbah 2:1:1 di mana 2 bahagian untuk tanah loam/tanah kebun, 1 bahagian organik/kompos dan 1 bahagian lagi untuk pasir sungai. Lebih suka pada batas yang lembab tetapi tidak menakung air. Berdasarkan gambar di atas, nampak buahnya sangat lebat. Jangan tertipu, buah sebenarnya ada di dalam, yang pembaca lihat itu adalah selaput nipis yang menutupi buahnya. Kulit buahnya licin dan akan menguning bila matang. Gambar di atas menunjukkan buahnya masih muda. Tanomkinotuan akan updatekan entry mengenai pokok tomatilo di kebun belakang rumah.

Tentu kawan-kawan yang memang tahu akan pokok ini akan mengetawakan tanomkinotuan kerana mengepos tumbuhan yang tidak terkenal di negara kita, mungkin ada yang tersenggih bila membaca entry ini. Percaya atau tidak pokok ini menjadi diat pemakanan bagi sesetengah negara. Contohnya di Mexico sendiri mereka membuat salsa daripada buah tutan loput-loput ini. Dan jangan terkejut resipi Ayam Masak sos tomatilo adalah resipi yang biasa di masak di Amerika. Malah buah tomatilo ini banyak dijual di pasaraya-pasaraya di USA.

Maka dengan itu, sesiapa yang mempunyai minat mendalam dalam bidang masakan cubalah mencipta resipi tutan loput-loput ini mengikut gaya masakan Asian, jika kena pada tekak kita mungkin suatu hari pokok ini bukan lagi tumbuh di pinggiran padang atau di kawasan semak tetapi tumbuh subur di ladang-ladang besar di negeri Sabah. Pengasas masakan itu juga akan dikenali sebagai pengasas makanan yang bersumberkan lalapakon. Tidak mustahil makanan tersebut dihidangkan direstoran, gerai dan perayaan untuk dijamu kepada para tetamu.
Mungkin buah tomatilo sesuai dicampurkan dalam bosou aka pekasam Sabah bagi mengimbangi rasa dan warnanya atau dibuat jeruk yang dicampurkan dalam hinava aka kerabu ikan. Ada berani?


Adakah anda tahu?

Bahasa Melayu: buah letup-letup, cimplu'an 
Bahasa Kadazandusun: lalapakon, tutan loput-loput
Bahasa English: tomatilo
Nama Saintifik: Physalis philadelphica


BUNGA SAYURAN DI KEBUN BELAKANG RUMAH

Tags
Kali ini tanomkinotuan ingin berkongsi bunga-bunga sayuran yang pernah mekar di kebun belakang rumah. Bunga-bunga inilah yang menyerikan ruang kebun tanomkinotuan hingga menarik beberapa serangga kecil, lebah dan kelulut untuk mendapatkan sedikit madu daripadanya, elok juga sekiranya bunga-bunga ini di pos ke sini untuk tatapan para pembaca.


Bunga rossele


Bunga halia


Bunga kacang botor


Bunga tomato


Bunga Salad Siomak



Bunga sawi kerinting @ Ong king


Bunga sayur tutan @ Meranti


Bunga kacang buncis tendergreen


Bunga kacang buncis ungu




Bunga kacang panjang putih (hibrid)


Bunga patola ular


Bunga timun (bunga jantan)

Sebenarnya alam ini saling bergantung antara satu sama lain. Begitu indah dan agung ciptaan Allah SWT. Hargailah ia selagi ia boleh di nikmati.