Selasa

LOBAK PUTIH

Tags

Aktiviti berkebun adalah satu aktiviti yang dilakukan sebagai hobi atau juga sebagai sumber pendapatan. Bagi mereka yang berkebun di halaman rumah boleh mencuba menanam tanaman akar yang boleh dimakan seperti lobak putih. Kepada pembaca yang belum membaca entry cara menanam lobak merah dalam polibag boleh klik DISINI. Lobak putih atau radish dan kadang-kadang disebut daikon merupakan sayuran akar yang boleh dimakan. Ia terbentuk daripada akarnya yang membesar. 

Lobak putih atau nama saintifiknya Raphanus sativus longipinnatus  mudah tumbuh di kawasan kita, malah hidup subur sekiranya menggunakan medium tanaman yang sesuai dan baja serta air yang mencukupi. Yang paling penting penjagaannya harus tip top untuk mendapatkan hasil yang baik. Lobak putih memerlukan tanah gembur yang lembab untuk tumbuh dengan galak. Batas penanaman harus digembur sedalam 1 kaki setengah untuk membolehkan akarnya mudah masuk ke dalam tanah dan membesar menjadi lobak. 

Lobak putih disemai rapat
Pada mulanya tanomkinotuan menanam lobak dengan menyemainya terus pada batas seperti menyemai benih sayuran hijau lain. Benih lobak putih itu telah bercambah selepas tiga hari disemai. Ia sangat rapat antara satu sama lain. Setelah 2 bulan lobak putih yang disemai ianya tidak berisi langsung. Sepatutnya 2 bulan sudah menghasilkan lobak dan sudah boleh dituai. Namun lobak putih tanomkinotuan daun sahaja yang merimbun tetapi isinya zero sehinggalah batas penanaman lobak putih itu diserang ulat seribu hingga mati. Terfikir tanomkinotuan bahawa cara menanam lobak putih itu mungkin salah dan pengamatan dan pengalaman tersebut membuatkan tanomkinotuan mencari alternatif lain cara-cara menanam lobak putih. Gambar lobak putih sebelah kanan yang disemai dahulu tidak mengeluarkan lobak tetapi disemai oleh ulat seribu. Tanomkinotuan redha lagi pun ia mati oleh makhluk tuhan juga, ulat seribu.

Melalui pengalaman ini, tanomkinotuan kembali menambah ilmu di dada dengan membaca banyak buku bacaan berkaitan dengan cara menanam lobak putih, selain buku tanomkinotuan juga mencari info di internet terutamanya pakar pertanian luar negara. Banyak info yang kita boleh dapat. Terima kasih kepada perkhidmatan internet yang banyak membantu tanomkinotuan untuk mendapatkan sesuatu info berhubung pertanian. Lobak putih boleh disemai terus pada batas tetapi pastikan ia dijarakkan pada 15 cm hingga 20 cm. Ini membolehkan lobaknya boleh membesar dengan baik. Akar yang membesar itu perlu cahaya matahari untuk membesar dan pengudaraan yang baik. Jika terlalu rapat seperti mana cara tanomkinotuan tempoh hari hanya kaya dengan daun merimbun tetapi miskin pada lobaknya.  Guna tanah gembur yang ditambah pasir sungai dan baja organik atau kompos. 

Berikut  adalah tanaman lobak di kebun belakang rumah. Tumbuh galak tanpa gangguan makhluk perosak.



Berusia seminggu


Selepas dibubuh mulsa (mulch)





Gambar pertama benih lobak putih berusia 1 minggu dan belum diletakkan mulsa (mulch). Gambar kedua pula setelah diletakkan mulsa (mulch) bagi melembabkan tanah dan gambar ketiga pula anak pokok lobak putih berusia 2 minggu. Gambar di bawah ini adalah lobak putih yang ditanam musim lepas. Cuma cuci mata sahaja.






Lobak putih di atas adalah ditanam musim lepas pada batas yang sama dengan gambar yang menunjukkan anak lobak di atas. Lobak ni dah tiada dalam kebun belakang rumah tanomkinotuan. Menanam lobak putih sangat mudah kerana percambahan benih lobak sangat cepat berbanding dengan lobak merah, hanya mengambil masa kira-kira 3 hari paling sahaja untuk bercambah. 





Bagaimanakah cara menanam lobak putih di atas batas?

Benih lobak boleh disemai terus pada batas yang disediakan. Namun sebelum menyemai hendaklah digembur terlebih dahulu dengan menggunakan cangkul atau alat pengembur lain. Segala batu, akar kayu dan benda asing yang tidak diperlukan harus dibuang. Ini kerana ia akan mengganggu penghasilan lobak nanti. Batas tersebut juga digaul bersama pasir sungai dan kompos/baja organik dan dibiarkan seminggu atau dua minggu. Biar kompos dan tanah menjadi sebati.

Benih lobak putih ditanam 1/4 ke dalam tanah dengan jarak kira-kira 15 cm hingga 25 cm jauhnya. Jika terlalu rapat isi lobak tidak akan membesar kerana isi lobak perlukan pencahayaan dan pengudaraan yang baik. Siram batas tersebut dua kali sehari dan tidak perlu ketika hujan. Selepas 2 minggu bubuh baja organik di sekeliling anak pokok lobak. Selepas sebulan lobak sudah pun matang dan boleh dituai. Menikmati lobak putih tanam sendiri sangat istimewa kerana tumbuh dengan hasil tangan sendiri. 

Penjagaan lobak putih tidaklah rumit, perlu disiram tetapi jangan terlalu banyak air kerana air yang banyak dalam batas boleh membunuh akar lobak lalu mati. Cabut rumput yang tumbuh di atas batas. Serangan lobak selalunya adalah virus reput akar dan mematikan lobak tanpa belas kasihan. Serangan daun melecur berwarna putih oleh bakteria dan kadang-kadang siput dan lintah bulan akan menyerang daun anak pokok lobak ketika masih kecil. Pencegahan perlu dilakukan dengan memusnahkan pokok lobak yang dijangkiti agar tidak menular ke pokok lobak yang lain.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.


EmoticonEmoticon