Sabtu

Maklumat Kompos Patut Petani Tahu


APAKAH ITU KOMPOS?

Apakah yang dimaksudkan dengan kompos? Pernahkah anda menggunakan bahan kompos pada tanaman anda?


Kompos matang



Kompos (compost) ialah bahan-bahan organik yang telah reput melalui pengomposan semula jadi atau pengomposan secara manual yang diguna semula sebagai baja dan sebagai pembaikpulih tanah. Kompos adalah asas kepada bahan-bahan di dalam pengamalan pertanian organik secara kecil-kecilan atau pun komersil. Kompos akan menukarkan tanah di kebun kita kepada warna hitam, memperbaiki struktur tanah. Kompos kadang kala digelar sebagai emas hitam oleh para petani atau peladang yang biasa menggunakannya nilainya dalam pertanian sangat tinggi.


KOMPOS DIPERBUAT DARIPADA BAHAN APA?

Kompos terhasil melalui pereputan semulajadi bahan-bahan seperti rumput kering, daun-daun kering, ranting mudah reput, sisa buangan dapur, sisa sayuran, buah-buahan dan sebagainya. Secara umum, di kawasan hutan tebal daun-daun kering yang gugur dan pokok kayu yang mati akan terkompos secara semulajadi oleh mikroorganisma pengurai. Ia akan menjadi humus dan sebagai makanan kepada tumbuhan yang masih hidup. Bagi cara manual ia dikumpulkan dalam satu bekas dan dibiarkan mereput sehinggalah ia bertukar menjadi kompos yang tidak berbau, berwarna hitam dan kaya dengan zat makanan.


BERAPA LAMA BAHAN-BAHAN TERSEBUT MENJADI KOMPOS?

Ia bergantung kepada bahan-bahan yang digunakan, kandungan mikroorganisma serta suhu. Namun secara umum, pereputan dan pengomposan berlaku selama 3 bulan hingga setahun. Sekiranya anda menggunakan sisa buangan dapur seperti kulit timun, kentang dan daun sawi yang dicampurkan dengan rumput kering dari halaman rumah anda, ia hanya mengambil masa 3 bulan untuk menjadi kompos sepenuhnya. Namun jika anda mencampurkan kulit rambutan atau kulit durian ia mengambil masa yang lama untuk bertukar menjadi kompos kerana kulit rambutan dan durian agak lama untuk mereput. Untuk mendapatkan kompos yang berkualiti perlu dicampurkan dengan tinja binatang dan juga tanah biasa.


BAGAIMANAKAH UNTUK MENDAPATKAN KOMPOS?

Anda boleh mendapatkan kompos di kedai-kedai pertanian atau nusery yang ada menjualnya di tempat anda. Tetapi sumber kompos yang terbaik adalah hasilkan sendiri di rumah. Kompos berbeza-beza bergantung kepada bahan-bahan yang anda gunakan. Secara umum tidak ada satu pun tatacara yang akurat untuk menghasilkan kompos yang bagus. Secara tipikalnya, bahan-bahan membuat kompos selalunya diambil dari sisa dapur seperti kulit timun, kentang, ubi manis dan daun sayur yang dicampurkan dengan daun-daun dan rumput dari halaman rumah anda.


APAKAH KEBAIKAN ATAU FAEDAH KOMPOS?

Kebaikan atau faedah kompos ialah:

1. Menyuburkan tanah secara alami, zat pada kompos yang terhasil digunakan oleh tanaman sebagai sumber makanan selain daripada baja kimia yang digaul bersama.

2. Memperbaiki struktur tanah. Kompos berperanan mengurangkan keleketan pada tanah khususnya tanah jenis liat (clay) agar ruang udara dapat meresap masuk ke dalamnya. Mengeratkan kepadatan pada tanah berpasir supaya nutrient tidak cepat hilang disebabkan oleh hujan lebat.

3. Meningkatkan kapasiti penyerapan air oleh tanah. Kompos memperlambatkan kehilangan kandungan air dalam tanah, berkeupayaan menyerap air serta melembabkan tanah pada tahap maksima.

4. Meningkatkan kandungan nurisi dalam tanah. Bakteria pengurai dalam kompos menjalankan tugasnya secara alami, semasa proses penguraian nutrisi terhasil untuk tanaman.

5. Mengekalkan kelembapan pada tanah. Kompos dapat mengekalkan kelembapan jika dijadikan sebagai mulsa.

6. Memperbaiki struktur pengudaraan pada tanah. Udara dalam tanah bebas bergerak dengan rongga-rongga pada tanah yang digaul bersama kompos. Udara penting untuk tanaman.

7. Mikroorganisma dalam tanah membantu menghuraikan segala bahan organik ini seterusnya membekalkan nutrisi pada tanaman.

8. Menyihatkan dan meransang pertumbuhan tanaman dengan jayanya.


APAKAH JENIS-JENIS KOMPOS?

Secara amnya, kita boleh kategorikan beberapa jenis kompos bergantung kepada bahan atau sumber ia dihasilkan. Antara jenis kompos yang ada ialah:

1. Kompos tinja binatang.

Kompos ini terhasil dari kira-kira 90-95 % tinja binatang sepenuhnya. Ia dikumpulkan dan direputkan atau dikomposkan hingga bertukar menjadi kompos sepenuhnya. Tinja yang sering digunakan ialah tahi ayam, tahi lembu, dan tahi kuda.

2. Vermikompos

Kompos yang terhasil dari penggunaan pelbagai jenis cacing yang membantu menguraikan sayur-sayuran, makanan terbuang, bahan-bahan asas dan vermicast. vermicast juga dikenali sebagai tinja cacing. Antara cacing yang digunakan ialah red wigglers, white worms dan cacing harimau, African Nightcrowler.


3. Bokhashi

Teknik berasal dari Jepun ini amat baik utk tanaman. Kompos yang terhasil melalui kaedah yang menggunakan campuran mikroorganisma sebagai membantu pengomposan terhadap bahan-bahan yang digunakan. Contoh campuran mikroorganisma ialah EM, MOL dan baja cecair ikan.


4. Kompos teh

Kompos teh adalah kompos cecair yang dihasilkan melalui menambahan air dan gula perang di dalam satu bekas dengan pengudaraan oksigen untuk membantu mikroorganisma membiak dengan cepat. Ia harus digunakan serta merta.


5. Kompos Topsoil

Terhasil daripada campuran organik reput dan tanah.


6. Kompos cendawan

Terhasil melalui pereputan cendawan terpilih.


HURAI SECARA RINGKAS BAGAIMANAKAH KOMPOS BERFUNGSI DI DALAM TANAH?

Lazimnya kompos dipenuhi dengan miroorganisma pengurai yang menguraikan bahan organik di dalamnya. Semasa proses penguraian inilah zat dan nutrisi makanan yang diperlukan oleh tanaman terhasil. Kehadiran kompos pada tanah jenis tanah liat di kebun kita membolehkan kompos memperbaiki struktur tanah di mana ia mengurangkan kelekitan pada tanah tersebut, pengudaraannya bertambah baik dan mampu menyerap air berbanding sebelum dicampurkan dengan kompos. Ringkasnya kompos menyuburkan tanaman kita dan memperbaiki tanah kepada yang lebih baik.


APAKAH PERBEZAAN KOMPOS DENGAN HUMUS?

Kompos adalah bahan organik yang kaya dengan nitrogen dan terhasil dari pereputan semula jadi dari bahan-bahan organik, sesuai dijadikan baja pada tanaman. Humus pula ialah bahan organik bukan-selular yang reput ratusan tahun dahulu dan terletak di lapisan atas pada setiap tanah. Sumber nutrisi kepada tumbuhan. Sekiranya kompos dibiarkan hinga ratusan lamanya ia akan dipanggil humus.


APAKAH PERBEZAAN KOMPOS DENGAN FERTILIZER?

Ringkasnya untuk memahami perbezaan kedua bahan material ini ialah Kompos digunakan untuk memperbaiki struktur tanah manakala fertilizer pula adalah makanan untuk tumbuhan atau tanaman kita. Kompos dan fertilizer organik boleh bekerjasama bersama. Bahan organik dalam kompos menyerap nutrient pada fertilizer sehinggalah digunakan oleh tumbuhan / tanaman.


BAGAIMANAKAH LANGKAH-LANGKAH MEMBUAT KOMPOS?




Kompos matang dan boleh digunakan

Anda boleh mengikuti cara di bawah tetapi cara ini bukanlah yang terbaik. Banyak cara dan langkah untuk membuat kompos dari rumah. Ini mengikut kreativiti anda saja. Bahan-bahan membuat mini kompos di rumah:

1. satu baldi kecil sisa buangan dapur (kulit timun, kulit bawang, kulit kentang, nasi basi, daun sayuran yang dibuang, uncang teh, serbuk kopi terpakai dan lain-lain)

2. satu baldi kecil daun-daun kering dari halaman rumah anda atau dari kebun anda.

3. satu baldi rumput kering atau rumput hijau dari halaman rumah atau kebun anda.

4. satu baldi kecil tinja binatang (ayam, arnab, lembu, kuda dan lain-lain)

5. satu baldi tanah (apa-apa jenis tanah)

6. 1/2 baldi abu (dari kayu atau daun kering)

7. satu baldi sisa kelapa sawit hancur yang dibuang dari kilang. Bukan tandan kelapa sawit.

8. air secukupnya.

9. bahan-bahan yang difikirkan sesuai untuk dikompos.

Peringatan: Jangan guna bahan yang berasaskan binatang sama ada lebihan daging di dapur atau binatang yang mati, jangan guna bahan seperti tulang dan gigi. Dan jangan guna bahan-bahan logam seperti paku, besi buruk dan sebagainya. Jangan guna bahan-bahan yang berasaskan bahan kimia.


Cara praktikal membuat kompos ialah membuat layer demi layer seperti membuat kek. Caranya:

1. Cari tempat atau kawasan yang sesuai, bersihkan tempat itu.

2. Letakkan daun kering dan rumput kering atau rumput hijau ditempat yang dibersihkan tadi. Jangan habiskannya. Siram dengan air pada kadar sederhana, cukup untuk melembabkannya sahaja.

3. Kemudian lapiskan ia dengan sisa buangan dapur sedikit kira-kira menutupi lapisan pertama tadi. Siram dengan air pada kadar sederhana.

4. Seterusnya lapisan ketiga letakkan tinja binatang kira-kira menutupi lapisan kedua dan sedikit air.

5. Dan kemudian letakkan abu, tanah dan sisa kelapa sawit hancur tadi dan jangan lupa untuk siram.

6. Kemudian ulang semula proses dari no.1 hingga no.5 hingga selesai.

7. Keadaan bahan-bahan itu mestilah seperti busut atau seperti bukit. Tutup dengan canves atau seumpamanya agar tidak diganggu oleh binatang seperti anjing atau ayam.

8. Setelah genap 3 minggu, balik-balikkan ia agar pereputan berlaku secara seragam. Masa ini kompos mula mereput dengan bantuan bakteria, semut dan ulat. Ia mempunyai bau yang teramat kuat. Dan selang dua minggu kemudian ulang aktiviti membalik-balikkan kompos itu sehinggalah genap 3 bulan. Bahan-bahan yang dipilih di atas oleh tanomkinotuan adalah bahan yang cepat reput.


Tips yang perlu diberi perhatian semasa membuat kompos dari rumah:

1. Jangan siram terlalu banyak, cukup sekadar melembabkannya sahaja. Ini bertujuan agar kelembapan pada bahan-bahan kompos itu membolehkan bakteria pengurai akan bertindakbalas bagi memulakan perebutan atau penguraian.

2. Pilih kawasan atau tempat yang tidak menakung air untuk pengomposan.

3. Pilih tempat yang sesuai jauh dari kejiranan (jika anda mendiami kawasan taman perumahan kerana bau kompos akan mengganggu ketenteraman sekeliling.)

4. Berhati-hati dan pakailah sarung tangan dan kasut bertutup semasa membalik-balikkan bahan-bahan kompos itu kerana banyak binatang berbisa mendiami tempat itu seperti lipan, kala jengking dan mungkin ular. Tanomkinotuan pernah berjumpa sarang tikus semasa membalik-balikkan kompos yang diproses. Jadi tidak mustahil.

5. Kompos sudah boleh digunakan sekiranya ia tidak berbau telur busuk. Kompos yang baik adalah kompos yang mempunyai bau tanah.

6. Untuk memperolehi kompos yang berkualiti campurkan daun kering, pokok mati serta rumput hijau dan daun hijau. Daun kering dan pokok mati mempunyai kandungan carbon yang tinggi manakala daun atau rumput hijau pula kaya dengan kandungan nitrogen (N). Kedua-dua unsur ini penting untuk tanaman.


BAGAIMANAKAH KOMPOS DIGUNAKAN?

1. Sebagai campuran dalam media semaian

Campurkan satu bahagian kompos dengan 2 bahagian tanah loam (atau tanah biasa / hitam) bersama satu bahagian pasir sungai. Seterusnya tabur benih yang hendak di semai. Siram dengan air secukupnya.

2. Sebagai campuran dalam batas tanaman

Gaulkan kompos pada batas kira-kira 15 kg kompos pada batas bersaiz 50 cm x 16 cm (lebar x tinggi) dan gaul hingga sebati bersama serbuk kapur (lime stone) jika tanah pada batas tersebut terlalu berasid (masam). Bagi pasu pula guna nisbah 2:1:1 (tanah loam: kompos: pasir sungai)


3. Sebagai pembekal nurient

Selain baja urea, kompos juga boleh dikatakan sebagai baja kepada tumbuhan. Kandungan zat makanan yang ada dalam kompos juga mampu membekalkan kepada tanaman. Caranya tabur kompos seganggan atau dua ganggam di sekeliling pokok tanaman dan siram.


4. Sebagai mulsa (mulch)

Tabur merata pada batas tanaman secara menyeluruh agar batas senantiasa lembab dan tidak kering.


5. Sebagai media tanaman sayuran

Jika anda menanam benih lobak, anda boleh menggunakan kompos sepenuhnya untuk menanam benih lobak, caranya penuhkan kompos ke dalam pasu (pasu besar melebihi satu kaki tinggi) dan taburkan benih lobak ke atasnya dan siram.


Kesimpulannya, kompos adalah emas hitam yang amat berharga dan bernilai bagi merawat dan memberi pembaikan struktur tanah selain memberi nutrient secara lansung pada tanaman. Ia boleh dibuat sendiri di rumah atau membelinya di kedai-kedai pertanian berhampiran. Apa kata campurkan tanah anda di kebun atau belakang rumah dengan seganggam kompos dan lihatlah hasil sayuran anda yang sangat memukau mata memandang.

Selamat bertani dan menuai hasil...

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.

9 komen

Asalam alamak nolongan ku daa ika ..saya rombak balik tamplate lama..terus hilang semua bloglist..satu2 saya kasi masuk balik..terim akasih kio tu mongoi ko simbar hilo belog ku..

Au i monguro igu, biasalah tu. Mungkin salah saya juga sebab tidak guna nickname yg sebenar. Mokiampun nopo kio.

Terima kasih atas perkongsian bermanfaat ini.

Tkasih atas ilmu yg bermanfaat ini...

Terima kasih bos , amat bermanafaat .

sama2 encik Shino... moga memperoleh manfaat...

Osonong tomod tii tompinai. Ponsikou diti ilmu. Honggo kinoyonon nu tompinai? Osorou-sorou ku daa moi intong dino dika tanom2 om cara momonsoi baja kompos...


EmoticonEmoticon