Jumaat

BAYAM KUDA

Tags

Anda peminat sayur bayam?  Ini tindakan bijak di mana tanomkinotuan perkenalkan satu lagi jenis bayam liar yang sering tumbuh di kebun atau kawasan semak rumah anda. Bayam ini dikenali sebagai bayam kuda oleh penduduk tempatan dan kadang-kadang juga disebut bayam liar. Bayam ini berdaun hampir bulat, berbatang lembut dan boleh mencecah kira-kira 2 kaki tinggi. Bayam ini tidak perlu ditanam kerana selalunya ia tumbuh sendiri. Sayur bayam kuda enak dimakan sama seperti jenis bayam di pasaran yang lain. 

Tanomkinotuan membiarkan benih anak pokok bayam kuda di Kebun Belakang Rumah, bayam ini mudah tumbuh pada jenis tanah loam dan tanah clay yang cukup nutrisi. Ia cepat membesar jika tanah itu lembab tetapi tidak menakung air. Tanomkinotuan tidak tahu bagaimana bayam kuda ini berada di Kebun Belakang Rumah. Mungkin saja oleh faktor penyebaran atau pemindahan tanah sebab selalu tanomkinotuan mengangkut tanah kebun untuk ditambah pada batas di Kebun Belakang Rumah. Ini satu kemungkinan dan banyak kemungkinan boleh berlaku yang benih bayam kuda ini boleh berada di kebun tanomkinotuan.

Selepas sebulan, bayam kuda sudah boleh dituai. Tanomkinotuan memetiknya dan bukan dicabut. Ini kerana tunas baru akan muncul dan membesar sebagai pucuk baru bagi bekalan sayur bayam kuda akan datang. Selain sayuran yang ditanam, tanomkinotuan masih boleh memperolehi jenis sayuran yang tumbuh sendiri di kebun seperti bayam kuda, tomatilo dan sayur tutan (meranti). Sayur-sayur ini memang enak sebagai tambahan nutrisi untuk keluarga tanonkinotuan. Dan paling penting ia bebas dari racun serangga dan baja kimia.

Tanomkinotuan akan cuba membenihkannya dengan membiarkan ia berbunga dan menghasilkan benih yang boleh disemai pada masa akan datang sesudah matang. Kiranya bayam kuda tidak perlu dijaga dan kurang serangan penyakit berbanding dengan jenis bayam yang biasa. Jadi apa tunggu lagi, jom tanam jenis bayam ini di halaman rumah sebagai sayuran yang berkhasiat untuk keluarga anda.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.


EmoticonEmoticon