Jumaat

CARA DAN PANDUAN MENANAM BROKOLI HIJAU

Tags

Brokoli adalah salah satu sayuran yang popular di negara kita. Bunganya yang belum berkembang dimakan sebagai sayur yang sedap. Brokoli ialah tanaman yang sangat sesuai ditanam di kawasan tanah tinggi. Nama saintifik bagi brokoli ialah brassica oleracea var. Botrytis.

Namun jika kena dengan caranya brokoli boleh hidup subur di kawasan tanah rendah malah pertumbuhannya galak setanding brokoli yang ditanam di tanah tinggi. Walau bagaimanapun menanam brokoli mempunyai cabaran yang tinggi. Ia cukup menguji kesabaran penanam. Berikut adalah panduan dan cara untuk menanam brokoli. Untuk membaca entry mengenai tanaman brokoli ini KLIK SINI.

MEMILIH VARIATI BROKOLI

Brokoli mempunyai pelbagai variati dari warna hijau ke hijau tua, ungu dan sebagainya. Secara umumnya, terdapat empat jenis brokoli yang boleh dicuba untuk ditanam iaitu brokoli Big Head Todd. Brokoli jenis ini lazim dilihat di pasaraya-pasaraya dimana mempunyai satu kepala (head), brokoli jenis rabe iaitu bunga kecil dan semua tunas akan menghasilkan bunga brokoli atau kepala bunganya banyak, kadang-kadang ianya berwarna ungu. Brokoli Romanesco dan broccoli sprouting. Namun untuk para beginner beli saja benih brokoli di kedai pertanian dan semai.

Paling penting beri perhatian kepada tarikh luput benih sebelum membeli. Ini kerana tarikh luput yang telah tamat tempoh bermaksud benih tidak akan bercambah.

PENYEMAIAN BROKOLI


Brokoli: semai di atas tanah
Perkara penting yang harus dilakukan sebelum ke langkah seterusnya ialah menyemai benih brokoli. Pembaca perlu menyediakan media semaian dan bekas semaian sama ada pasu, kontena kecil, tapperware terbuang, polibag saiz sederhana atau apa-apa bekas yang sesuai. Paling bagus ialah dengan menggunakan tray semaian yang dijual di kedai pertanian yang dipanggil styrofoam cup. Boleh menyemai satu lubang untuk satu biji benih brokoli. Tabur benih brokoli pada bekas semaian dan timbus dengan sedikit tanah. Jangan lupa siram dengan air. Perlu diingat bahawa bekas tapperware, kontena, dan bekas semaian yang dibuat dari kotak susu, tin besar perlu ditebuk untuk memudahkan lebihan air keluar.

PENYEDIAAN MEDIA SEMAIAN

Terdapat beberapa cara menyediakan media semaian iaitu: 

Pertama: tanah yang digunakan haruslah campuran tiga bahan media dengan nisbah 2:1:1 (tanah loam, kompos, dan pasir sungai). Tanah loam boleh diganti dengan tanah hitam atau tanah kebun. Gaulkan tanah loam, kompos dan pasir hingga sebati dan masukkan ke dalam bekas semaian. Campuran media ini boleh digunakan jika menanam pokok brokoli dalam pasu atau pot.

Kedua: gunakan media kompos sebagai semaian sama ada yang dibeli atau kompos buatan sendiri. Masukkan jumlah tertentu kompos ke dalam pasu, kontena atau tray semaian. 

Ketiga: gunakan topsoil (jika ada) yang digaul bersama kompos sebagai media semaian dan gaul media-media tersebut hingga sebati dan masukkan ke dalam bekas semaian.

Keempat:anda boleh menggunakan peat-moss sebagai media semaian caranya masukkan sejumlah peat-moss ke dalam bekas semaian yang disediakan. 

Kelima: anda boleh mencampurkan media-media seperti kompos, pasir, peat-moss, dan topsoil dalam satu bekas dan gaul sebati. Campuran itu tadi bolehlah dimasukkan ke dalam pasu semaian anda. Guna nisbah 1:1:1:1. 

Keenam: cari tanah kebun yang tinggi nitrogen dan humus. Tanah kebun sesuai dijadikan media semaian kepada brokoli. Caranya, bersihkan terlebih dahulu tanah kebun dengan membuang bendasing didalamnya seperti akar, daun kering, batu dan lain-lain. Seterusnya masukkan sejumlah tanah kebun ke dalam pasu semaian.

Ketujuh: anda boleh menyemai benih brokoli terus pada tanah. Tanah atau batas tersebut harus terlebih dahulu digaul dengan kompos atau tinja binatang. Buat alur memanjang kira-kira 1/4 inci kedalamannya. Tabur benih tersebut ke dalam alur memanjang yang dibuat tadi, timbus dengan tanah dan siram air secukupnya.

Setelah memasukkan media ke dalam bekas semaian maka tabur benih brokoli di atasnya dan timbus sedikit dengan tanah, jangan terlalu banyak serta siram dengan air secukupnya. Terdapat satu lagi cara untuk menyemai benih brokoli, oleh kerana benih brokoli teramat kecil campurkan dengan sedikit tanah lalu tabur di atas media semaian. Anda dikehendaki menunggu dua minggu hingga tiga minggu untuk mengalihkan benih pokok brokoli di tempat penanaman yang disediakan.

Terdapat dua cara benih brokoli di semai dalam bekas semaian iaitu tabur secara rawak dan tabur benih brokoli pada alur lurus yang dibuat. Biasanya membuat dua atau tiga (ikut saiz bekas semaian) alur lurus memanjang sesuai dibuat pada bekas semaian yang bersaiz panjang manakala tabur secara rawak pula sesuai pada bekas semaian berbentuk bulat seperti pasu dan polibag. Buat alur memanjang kira-kira 1/4 kedalaman.

Semaian cara modern dengan menggunakan tray semaian khas (styrofoam cup) ialah dengan menyemai sebiji atau dua biji dalam satu lubang. Bekas semaian ini sangat praktikal kerana apabila hendak mengalihkan anak benih brokoli ke tempat baharu cabut bersama-sama media/tanah semaian dan tanam pada batas yang disediakan. Peratusan kematian benih pokok dapat dihadkan.

Cara kelima adalah yang paling disyorkan kerana sesuai untuk semaian benih brokoli kerana pakej yang lengkap untuk percambahan dan pertumbuhan benih brokoli. 

MEMBINA BATAS DAN PEMBAJAKAN TANAH

Menanam brokoli memerlukan tanah yang gembur dan peroi. Oleh itu kawasan yang hendak dipilih untuk menanam hendaklah dicangkul dan digembur tanahnya. Buat batas kira-kira 120 cm lebar dan 15 cm hingga 25 cm tinggi. Panjang batas ikut kehendak penanam. Pembaca boleh membuat batas mengikut kemahuan dan keadaan kawasan yang dipilih. Ukuran batas di atas adalah ukuran batas secara ladang. Setelah siap mengembur buang segala bendasing yang ada didalamnya seperti akar, ranting, daun kering, kayu kecil dan rumput rumpai. Batas yang sudah digembur dibiarkan terdedah dengan cahaya matahari. Tujuannya adalah untuk membasmi rumpai dan organisma merbahaya.

Tabur batas tersebut dengan kompos atau tinja binatang secukupnya mengikut saiz batas. Jika batas tersebut adalah tanah liat maka banyakkan campuran kompos dan pasir ke dalamnya. Gaul hingga sebati. (sekiranya menggunakan baja organik tinja ayam, rehatkan batas tersebut dalam tempoh seminggu atau dua minggu) barulah anak pokok brokoli ditanam. Lakukan pengapuran pada batas untuk mengurangkan sifat asam (asid) pada tanah. Lebih elok semai dahulu benih brokoli dan sambil menunggu benih brokoli itu membesar bolehlah membuat batas. 

PEMINDAHAN ANAK BENIH

Setelah anak benih brokoli genap dua minggu hingga tiga minggu maka ia sesuai dipindahkan ke tapak baru. Pada batas tersebut buat lubang dengan jarak antara lubang kira-kira 15 inci. Bagi anak pokok brokoli yang disemai secara rawak dan jalur memanjang siram dahulu anak benih tersebut untuk memudahkan mencabut anak benih. Berhati-hati mencabut agar akar anak pokok brokoli tidak rosak. Tanam anak brokoli tersebut pada lubang-lubang yang telah dibuat tadi kira-kira separuh daripada batang anak pokok brokoli. Jaga pucuk brokoli tertanam ke tanah kerana jika berlaku sedemikian anak benih tersebut tidak dapat tumbuh dengan baik. Setiap lubang hanya ditanam satu anak pokok brokoli. Bagi benih yang ditanam di dalam tray semaian, cabut anak pokok bersama-sama tanah tersebut dan tanam di dalam lubang yang disediakan. Jangan buka atau buang tanah pada akar anak brokoli.

Setelah selesai memindahkan anak benih brokoli ke tapak baru siram anak pokok tersebut dengan air yang banyak tapi jangan pula melemaskan anak benih tersebut dan tutup menggunakan jaring hitam, pelepah kelapa atau jerami padi dalam tempoh 4 hingga 7 hari. (bagi tanomkinotuan anak benih brokoli hanya ditutup menggunakan jaring hitam hingga empat hari sahaja). Genap seminggu anda boleh membuka penutup tersebut. Rutin menyiram adalah paling mustahak bagi permulaan anak pokok brokoli. Siram dua kali sehari pagi dan petang dan tidak perlu ketika hujan.

PEMBAJAAN ANAK POKOK BROKOLI

Setelah dua minggu anak pokok brokoli ditanam di atas batas, bubuh baja disekeliling batangnya. Terdapat dua pilihan dalam penggunaan baja iaitu baja organik dan baja urea. Bagi memilih baja organik perlu kerap membubuh baja pada batas pokok brokoli di mana selang dua minggu anak pokok brokoli dibubuh baja NPK organik yang boleh dibeli di kedai pertanian. Kemudian selang dua minggu yang seterusnya bubuh kompos atau tinja binatang seperti ayam, lembu atau guano pada batas.

Masa ini pokok brokoli memerlukan kandungan nitrogen yang banyak untuk tumbuhbesaran yang baik. Dua minggu seterusnya bubuh baja NPK organik disekeliling pokok. Begitulah seterusnya hingga pokok brokoli anda mengeluarkan tunas bunga brokoli. Masa ini juga pokok brokoli memerlukan baja yang banyak dengan membubuh NPK organik dan kompos yang diselang selikan dengan tinja binatang. Pembaca juga boleh menggunakan kompos teh sebagai alternatif pembajaan, siram pokok brokoli sekali dalam seminggu atau sekali dalam dua minggu. Ini bermaksud diselang selikan dengan waktu pembajaan NPK organik dan kompos atau tinja binatang.

Bagi memilih menggunakan baja urea aka kimia caranya ialah pada minggu kedua selepas pemindahan bubuh tinja binatang pada batas brokoli iaitu membuat lubang pada tanah di antara pokok dengan pokok dan masukkan dua genggam tinja binatang dan timbus semula. Empat minggu kemudian tabur baja subur (warna merah) berdekatan dengan pokok brokoli tetapi ingat jangan terkena pada kulit pokok kerana ia boleh melecur dan mematikan pokok brokoli. 

Tujuh minggu kemudian bubuh baja subur (warna merah) dengan campuran kompos atau tinja binatang pada batas. Pada 12 minggu seterusnya guna baja subur (warna merah) dan baja buah (warna putih) ke atas brokoli diselang selikan dengan kompos dan baja yang lain sehinggalah putik bunganya muncul. Dan pembajaan berterusan hingga bunganya sebesar bola ping pong.

PEMULSAAN PADA BATAS

Mulsa: cocopeat
Dalam usia pokok brokoli mencecah usia 5 hingga 6 minggu, anda boleh membubuh peat-moss di atas batas bagi melembabkan kawasan batas tersebut. Selain itu anda boleh menggunakan rumput kering, lalang kering, daun kering yang diletakkan pada batas dengan tujuan yang sama. Mulsa (mulch) juga boleh digunakan seperti kayu hancur atau cocopeat. Caranya letakkan sungkupan atau mulsa ke seluruh batas sehingga menutupi batas sepenuhnya agar batas berada dalam keadaan lembab. Kelembapan pada batas baik untuk tumbuhbesaran pokok brokoli. Mulsa dan sungkupan dapat mengurangkan rumput tumbuh pada batas.

PENJAGAAN DAN MERUMPUT

Pokok brokoli harus dijaga dari segi air dan makanan. Ketidakcukupan air dalam makanan akan membantutkan pertumbuhan pokok brokoli. Cukup makanan pada batas tetapi batas kering tiada guna kerana akar brokoli tidak mampu menyerap nutrient dengan baik. Batas yang terlalu basah juga memberi masalah kepada pokok brokoli di mana pokok brokoli layu dan mati. Ini kerana akar brokoli lemas akibat kandungan air yang banyak pada batas. Kandungan air dalam batas yang ideal ialah cukup sekadar batas berada dalam keadaan lembab dan tidak kering (cara menentukan batas berada dalam keadaan lembab ialah kepal tanah batas itu dengan tangan dan jika tanah itu tidak berderai maka batas tersebut berada dalam situasi lembab. Satu lagi cara ialah kehadiran lumut hijau pada batas).

Brokoli mudah diserang penyakit dari mula ditanam hinggalah bunga brokoli muncul di perdunya. Berikut contoh serangan makhluk perosak dan cara pencegahan:

1. Pada awal anak pokok dipindahkan ke batas. Siput dan lintah bulan suka memakan daun anak pokok brokoli. Pencegahan kutip lintah bulan dan siput dan musnahkan. Jika perlu bubuh racun pembunuh lintah bulan dan siput di sekeliling anak pokok brokoli. Cara ini tidak digalakkan jika mahukan brokoli organik.

2. Ulat seribu - ulat ini menetas dari telur yang bersarang disebalik daun. Ia boleh memusnahkan sehelai daun dalam tempoh satu malam. Ia sangat aktif pada malam hari dan berselindung di sebalik daun dan bebenang yang dibuatnya. Pencegahannya dengan mengutip ulat-ulat ini dengan tangan dan musnahkan. Jika perlu sembur racun pembunuh ulat seribu (kaedah ini tidak digalakkan bagi mereka yang mahukan sayur brokoli hidup secara organik)

3. Belalang - memakan daun brokoli pada malam hari bermula pada jam 9 ke atas. Serangan teruk dengan lubang pada daun sangat besar. Pencegahannya perlu datang ke tempat brokoli itu pada jam 9 malam dan kutip serta musnahkan.

Setakat ini serangan virus dan bakteria belum berlaku pada brokoli tanomkinotuan. Jadinya tanomkinotuan tidak dapat memberi komen di sini. Mungkin pembaca boleh mendapatkan info mengenai perkara ini dari sumber internet yang lain.

Merumput ialah aktiviti wajib pada setiap penanam. Cabut segala rumput rumpai pada batas brokoli dan sekelilingnya. Buang rumput tersebut jauh dari batas atau rumput itu boleh dikumpulkan disatu tempat untuk dijadikan kompos. Rumput dapat dikurangkan pada batas dengan meletakkan mulsa diseluruh inci batas.

PENUAIAN HASIL BROKOLI

Brokoli akan matang dan boleh dituai pada hari ke 75 hingga 95 hari mengikut variati brokoli. Potong batang brokoli dengan menggunakan pisau tajam. Brokoli yang dituai dimasukkan ke dalam plastik berzip dan simpan ke dalam peti sejuk. Ia mampu bertahan sehingga 3 minggu di dalam peti sejuk. 

Menanam brokoli di halaman rumah membuatkan kita teruja menunggu bunganya muncul. Ia mengambil masa kira-kira 3 minggu hingga sebulan setengah bunganya matang sepenuhnya. Anda boleh menikmati bunga brokoli tanam sendiri dengan resepi masakan mengikut pilihan anda. 

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.

8 komen

Terima kasih kerana singgah ke blog ini. Semoga bermanfaat dan selamat bertani

Pokok brokoli sya hidup subur tapi masa stat berbunga kenapa bunganya lunyai. Apa puncanya tu..

Lunyai? Jd lembut sebegitu ka? Mungkin masalah serangan akar kot? Adakah daun keseluruhannya npk layu?

Lunyai? Jd lembut sebegitu ka? Mungkin masalah serangan akar kot? Adakah daun keseluruhannya npk layu?

bulan berapa brokoli sesuia di tanam

bulan berapa brokoli sesuia di tanam

Tuan, di negara kira boleh menyemai/menanam brokoli sepanjang tahun. Tp tengok juga lah keadaan. Musim tengkujuh tu elakkan dulu menyemai benih.. Rugi


EmoticonEmoticon