Ahad

KOBIS UNGU

Tags

Tanomkinotuan tidak berniat langsung untuk menanam kobis apatah lagi kobis ungu. Ini kerana kobis yang ditanam di kawasan tanah rendah agak sukar untuk membulat (heading). Kobis memerlukan suhu yang sejuk untuk membulat. Atas alasan ini, tanomkinotuan tidak mahu membazir penggunaan batas di Kebun Belakang Rumah. Kebun Di Belakang Rumah sangat terhad untuk bercucuk tanam maka tanomkinotuan hanya menanam sayuran yang cepat mengeluarkan hasil.

Tetapi niat itu tidak berpanjangan setelah tanomkinotuan terlibat satu program di Kem Bina Negara di Kundasang yang lalu. Tanomkinotuan sangat terpesona melihat tanaman kobis ungu di perkerangan Kem Bena Negara, kobis ungu hidup subur tanpa gangguan makhluk perosak. Sudahlah suhu di sini sangat sejuk dan amat sesuai pertumbuhan kobis dan pembulatan kobis. Dengan keterujaan tanomkinotuan melihat tanaman di sini, secara tidak sengaja tanomkinotuan bercakap dengan tukang kebun (wanita berbangsa Dusun) untuk meminta anak benih pokok kobis yang tumbuh di sebelah kiri tanomkinotuan. Dengan muka yang tersenyum, wanita tersebut mengiakan. Huh! Tidak disangka betul, dapat greenlight.

Tanomkinotuan menanam benih kobis tersebut pada batas yang kosong. Batas tersebut adalah bekas menanam sayur bak choi dan ong king. Dari segi pemerhatian kobis boleh tumbuh dengan baik tanpa masalah. Tanomkinotuan menambah kompos disekeliling pokok dan tidak lupa untuk menyiramnya. Namun ketibaan musim hujan yang lepas menyebabkan kobis ungu tanomkinotuan terjejas teruk dari serangan ulat seribu. Habis dirata pokok-pokok kobis hingga tunas mudanya rosak.

Tanomkinotuan tidak mahu bersusah hati, bukan rezeki tanomkinotuan. Mungkin ada hikmah disebalik kejadian ini. Dengan lapan pokok kobis yang ditanam hanya dua pokok yang selamat dari serangan makhluk perosak. Dua pokok ini tumbuh dengan baik. Kelihatan ia mula membulat (heading). Bagi pokok yang diserang pula, tunas mula muncul di celah-celah panggal daun. Nasiblah tanomkinotuan tidak mencabutnya. Tunas tersebut terlalu banyaklah pula untuk satu pokok. Tanomkinotuan tidak pasti sama ada boleh dibuka tunas-tunas tersebut dan tinggalkan satu tunas atau membiarkan sahaja. Setakat ini hanya biarkan saja. Tanomkinotuan hanya berserah pada nasib.

Kobis juga boleh tumbuh di kawasan tanah rendah, yang penting tanah perlu ditambah kompos dan jangan lupa membubuh baja organik selang dua minggu sekali. Aktiviti menyiram juga tidak boleh ditinggalkan. Ketika entry ini ditulis kobis ungu tanomkinotuan masih dalam pertumbuhan. Akan diupdate entry kobis ungu pada masa akan datang sama ada berjaya menyai hasil atau sebaliknya.

Selamat berkebun.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.

4 komen

Hi, mana maw dpt bibit ni ah? Tq :)

Jika anda berada di Sabah try ke kundasang n cari kedai menjual benih sayuran. Jika anda di Semenanjung, lawati Cameron highland atau kedai pertanian menjual benih. Anda juga boleh dptkn benih dari belian online.

Selamat bertani.

Sy tanam kobis dia jdi kailan, adehh rugi aku lain yg di tanam lain yg jdi,,,,

Selamat datang ke blog tanomkinotuan...

Mungkin terbeli benih sayur kailon kot. Tapi tak mengapa sayur kailan pun mmg sedap dibuat sayur, lebih-lebih lagi di masak tumis sambal belacan. Beli semua benih kobis dan tanam.. selamat bertani


EmoticonEmoticon