Jumaat

SAYUR KAILAN

Tags

Agak terlewat untuk tanomkinotuan mencuba menanam sayur kailan di Kebun Belakang Rumah. Ini kerana benihnya baru dibeli beberapa minggu yang lalu dan sebenarnya tanomkinotuan ingin menghabiskan stok benih sayuran lain yang sedia ada seperti sawi bunga, sawi pahit, sawi ong king, bak choy dan sayuran jenis mustard. Oleh kerana tanomkinotuan teringin sangat memakan sayur ini maka disemailah benihnya pada batas.

Sayur kailan adalah sayur yang termasuk dalam kumpulan sayur brasica yang berkeluarga dengan kobis, brokoli, kobis bunga dan brassel sprout. Sayur ini berbatang, berdaun seakan bulat dan daun agak tebal dan kuat. Boleh membesar hingga dua kaki jika cukup zat makanan. Daun berwarna hijau terang dan mempunyai rasa yang kuat. Sayur kailan sesuai ditanam dikawasan tanah rendah dan menyukai pada sinaran matahari penuh. Ia boleh ditanam terus pada batas atau pun dalam pasu.

Tanomkinotuan hanya menyemai benih ini terus di atas batas dan ia bercambah. Penting bahawa tanah tersebut harus digembur terlebih dahulu dan dibubuh kompos atau tinja binatang. Tanomkinotuan tidak meletakkan serbuk kapur kerana batas tersebut adalah bekas tanaman sawi ong king dan sayur mibuna tempoh hari. Apa yang tanomkinotuan lakukan ialah mengembalikan kandungan nitrogen ke dalam tanah dengan membubuh kompos buatan sendiri.

Sayur kailan mula bercambah selepas 4 hingga 5 hari mengikut kelembapan pada batas semaian. Semasa awal percambahan, anak pokok kailan sama seperti anak pokok brokoli atau anak pokok kobis bunga. Tidak nampak perbezaan yang ketara tetapi selepas tiga minggu dan ianya sudahpun dialihkan ke batas yang lain barulah rupa kailan sebenar terserlah. Kita boleh membezakan antara ketiga sayuran ini dengan melihat batang dan daunnya. 

Namun paling baik adalah pembaca menyemai benih kailan pada bekas semaian terlebih dahulu dan baru dipindahkan ke batas. Ini kerana semaian pada bekas semaian adalah terjaga dan mudah dialihkan sekiranya hujan lebat berlaku. Hujan lebat boleh memusnahkan anak benih kailan yang berusia di bawah satu minggu. 

Oleh kerana batas yang digunakan oleh tanomkinotuan adalah batas yang selalu digunakan untuk menanam sayur maka rumput rumpai agak kurang. Tanomkinotuan hanya menjaganya dari segi pembajaan dan air yang cukup. Namun pokok kailan tidak sesuai apabila batas tersebut terlebih air atau terlalu basah. Cukup batas tersebut lembab sepanjang masa. Satu cara untuk mengekalkan kelembapan pada batas ialah meletakkan mulsa seperti cocopeat, rumput kering, kayu reput hancur atau daun lalang kering. Ia membantu melembabkan batas dan batas tidak cepat kering. 

Musim hujan adalah musim yang sangat mencabar untuk para penanam. Ini kerana musim hujan membolehkan pokok kailan mudah diserang ulat seribu. Ulat seribu ialah telur-telur yang dilekatkan oleh induknya pada daun kailan tersebut. Dalam tempoh 3 hingga 4 hari ulat ini mula menetas dan memakan daun-daun pokok kailan tidak henti-henti. Ulat seribu ini mampu menjahanamkan sehelai daun dalam satu malam sahaja dan beralih ke daun lain untuk meneruskan operasi mereka. Cara tanomkinotuan untuk menghalang pembiakan ulat seribu ini ialah mencari telur-telurnya di bawah setiap helai daun. Musnahkan telur itu sebelum menetas. Jika dah jadi ulat kutip dan musnahkan kesemuanya jangan ada yang tertinggal walaupun seekor. Jika seekor terselamat dari operasi anda itu, ulat ini akan membesar dalam tempoh dua hari dan boleh merosakkan daun-daun kailan dalam masa yang singkat.

Kailan matang selepas sebulan lebih ditanam. Ianya boleh dituai untuk santapan makan malam. Tanomkinotuan menuai pokok kailan pada usia 4 minggu. Ia tidak terlalu tua dan muda. Masa mada itu, rasa kailan sangat berperisa dan sedikit manis. Jika terlalu matang ianya tidak berapa sedap. Samalah dengan brokoli, tanomkinotuan menuai brokoli sebelum kudup-kudup bunganya membesar kerana ia lebih lembut dan manis. 

Inilah salah satu kebaikan jika menanam sayur sendiri. Kita boleh memilih untuk menuai dalam tempoh pra-matang atau pun sudah matang sepenuhnya. Kailan enak dimasak celur atau masak dengan sos tiram. Tambah-tambah lagi memakan bersama nasi bario yang lembut berperisa dan wangi. Tanomkinotuan boleh habiskan nasi dua pinggan.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.

1 komen so far

1. Ada tak picture ulat seribu tersebut?
2. Setelah dituai,, adakah ia akan tumbuh kemnali atau di semai semula biji benih?
Jawapan dan pic bolh di hantar ke whatsapp 019 5131770 Jasman


EmoticonEmoticon