Jumaat

UBI MANIS

Tags

Siapa yang tidak mengenali ubi manis atau dalam bahasa English disebut sweet potato atau nama saintifiknya ialah Ipomoea batatas. Ubi manis adalah pokok menjalar dan isinya manis berbanding dengan ubi kayu. Tumbuhan ini merupakan makanan ruji bagi penduduk di Asia Tenggara khususnya di kepulauan Borneo sebelum kedatangan pokok padi di kawasan itu. Ia adalah sumber karbohidrat sama seperti nasi, gandum, ubi kayu, kentang dan jagung. Namun kini ubi manis tidak lagi menjadi makanan ruji tetapi sebagai makanan tambahan dengan dijadikan makanan ringan seperti kerepek, kuih atau dicampurkan dalam pengat bubur kacang hijau.

Tanomkinotuan sangat menyukai memakan ubi manis sebagai karbohidrat tambahan. Oleh yang demikian, tanomkinotuan menanamnya di halaman rumah. Ada beberapa jenis ubi manis yang ditanam iaitu ubi manis jepun berwarna ungu dan ubi manis tempatan berwarna putih dan kuning. Ia boleh tumbuh bersama dalam satu batas.

Ubi manis tidak diganggu sangat oleh makhluk perosak. Cumanya kadang-kadang ubinya akan dikorek oleh ulat pengorek menyebabkan isinya cacat dan memburuk. Kambing juga menyukai memakan pucuk ubi manis sehinggakan ubi manis tanomkinotuan ranap tanpa berdaun dikerjakan oleh kambing yang tidak diketahui pemiliknya. Ini telah menyebabkan tanomkinotuan bekerja keras membaiki pagar yang telah dirosakkan oleh si kambing tadi.

Ubi manis sangat sesuai ditanam di negara kita, ia menyukai cuaca panas untuk pembentukan isi yang cantik dan besar. Setiap pokok ubi manis akan menghasilkan 1 hingga 5 isi mengikut kesuburan tanah dan kelembapan. Isi ubi manis membulat sekiranya tanah berkeadaan gembur manakala tanah yang keras pula menyebabkan isi ubi manis memanjang tetapi bagi tanomkinotuan bulat atau panjang tidak kesah yang penting isinya sihat dan tiada serangan makhluk perosak.

Selepas 3 bulan ditanam, ubi manis sudah boleh dituai bagi ubi manis jenis hibrid manakala ubi manis kampung (pokok asli) ia mengamil agak lama kira-kira 6 bulan hingga satu tahun untuk dituai. Anda boleh mencabut pokok ubi manis untuk mendapatkan isinya. Dan jangan lupa untuk menanam kembali pucuk atau batang ubi manis agar musim akan datang anda boleh tuai sekali lagi. Jadi apa kata anda mencuba menanam ubi manis sama ada terus pada tanah atau dalam pasu.

Bagi mereka yang sukar mendapatkan pucuk atau batang ubi manis untuk ditanam. Usah bimbang, beli ubi manis yang dikehendaki di pasar atau pasaraya. Simpan sebiji sebagai benih. Caranya simpan isi ubi manis tersebut ditempat yang gelap dan lembab. Selepas dua minggu isi tersebut akan mengeluarkan tunasnya. Anda boleh menanam sekali dengan isinya ke dalam tanah atau potong kira-kira 1 inci dari tunas tersebut dan bolehlah tunas tersebut ditanam ke tanah atau pasu.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.

2 komen

Salam kenal. Seronok tengok u punya kebun. Jealous pun ada sebab ada benih yg tak berjaya semai lagi.Jemput lah ke blog so that boleh Kita exchange knowledge http://fromfalraisitinygarden.blogspot.com/?m=1

Salam perkenalan juga saudara alfarisi, kebun kecik ja. Tu pun tak terjaga dek kesibukan memanjang. Ya akan ku jenguk blog awak. Terima kasih singgah di sini


EmoticonEmoticon