Rabu

CONTOH BEKAS SEMAIAN KITAR SEMULA YANG BOLEH DIGUNAKAN

Tags

Ramai merungut mengenai membeli bekas semaian di pasaran sangat mahal harganya. Sebagai pekebun yang baru berkecimpung dalam bidang perkebunan sudah tentu harga-harga barang perkebunan sangat membebankan khususnya bekas semaian. Maka dengan itu tanomkinotuan ingin berkongsi dengan pembaca semua antara bekas yang boleh digunakan untuk menyemai benih antaranya;

1. Polibag bekas menanam benih rambutan.

Benih sayuran

Bekas polibag ni adalah bekas menyemai benih rambutan oleh ayah tanomkinotuan tempoh hari di mana benih tersebut tidak bercambah atau mati. Jadi tanomkinotuan potong setengah dan semai benih sayur. Kos pengeluaran RM0.00.

2. Bekas cup plastik

Timun armenia

Anda juga boleh menggunakan buangan cup plastik puding atau sambal. Cup plastik di atas adalah bekas simpan sambal tuhau yang di beli di Kundasang tempoh hari. Tanomkinotuan cuci bersih dan keringkan. Dan tanomkinotuan semai dengan benih timun armenia. Cara mengalihkan anak pokok ke tanah ialah panaskan hujung pisau pada api gas dan toreh cup plastik tu secara menegak hingga ke bawah apabila pisau sudah terlalu panas. Buat sebelah menyebelah agar cup tersebut mudah ditanggalkan.

3. Tupperware

Benih kobis bunga

Tupperware atau kontena makanan sesuai untuk bekas semaian kerana bersaiz besar. Boleh memuatkan banyak benih ke dalamnya. Tupperware ni adalah bekas nasi kerabu yang dibeli di pasar ramadan yang lalu tanomkinotuan cuci dan keringkan lalu disimpan di tempat selamat. Bila ingin menyemai guna saja tupperware tersebut. 

4. Bekas aiskrim


Bekas aiskrim dibeli oleh adik tanomkinotuan 3 minggu lepas, oleh kerana bekas aiskrim tidak tahan lama tanomkinotuan bersihkan dan semai benih sawi putih taiwan atau bak choi. 


5. Pasu bunga bersaiz kecil


Pasu ini adalah bekas tanam bunga oleh adik tanomkinotuan. Oleh kerana ia terbiar di tepi pagar, tanomkinotuan kutip dan bersihkannya. Lalu masukkan media campuran dan semai benih tomato brandywine. Jangan terkejut warna putih di atas permukaan pasu adalah baja yang telah ditumbuhi kulat. Proses pereputan oleh fungi.


6. Cup aiskrim tahan lama


Cup aiskrim tahan lama boleh digunakan berkali-kali. Ayah tanomkinotuan membelinya tahun lepas dan hingga kini masih lagi digunakan. Kini tanomkinotuan semai benih sawi putih taiwan aka bak choi. Emak tanomkinotuan sangat suka memakan sawi jenis ini. Rebus sawi bak choi dan tuang sos tiram masak bawang putih hancur. Memang sedap


7. Bekas simpanan air skala besar


Bekas simpanan air di atas sudah lama rosak terperuk di dalam stor. Bekas air ini banyak berjasa setiap hari raya aidilfitri dan aidiladha menjelang tiba. Kini digunakan untuk semaian lobak merah. Klik SINI untuk mengetahui bagaimana mempercepatkan percambahan lobak merah.

8.


Anda juga boleh menyemai benih dalam plastik beras 10 kg. Sementara menunggu bawang sup membesar tanomkinotuan semai benih selasih thai bunga ungu di dalamnya dan alihkan ke batas yang telah disediakan. Mudah dan jimat ruang. Selain tu anda boleh menanam sayuran dalam polibag/plastik beras 10 kg.

Tip kepada pembaca bila mana ingin menggunakan bekas buangan sebagai bekas semaian:

1. Pastikan anda cuci bersih dengan sabun terlebih dahulu bekas buangan bagi menghindari benih anda dijangkiti mikrob jahat.

2. Bekas plastik seperti cup aiskrim adalah cup mudah reput, anda boleh semai benih di dalamnya dan tanam anak benih bersama cup tersebut ke dalam tanah apabila anak benih sudah berusia 2 hingga 3 minggu kecuali bagi benih sayuran hijau.

3. Bekas semaian tahan lama seperti tupperware, cup aiskrim getah dan sebagainya boleh digunakan berulang kali selagi ia tidak rosak. Selepas benih-benih dialihkan ke batas. Cuci bekas semaian tadi dan keringkan, simpan di tempat selamat. Guna kembali bekas tersebut sekiranya ingin menyemai. Anda boleh menjimatkan wang dan tenaga.

4. Bagi bekas semaian bersaiz kecil hendaklah selalu memerhatikan tanahnya kerana ia mudah kering. Sembur sedikit air untuk melembabkan tanah tersebut.


Tetapi bagi mereka yang mampu, beli saja bekas semaian yang banyak dijual dipasaran. Ia lebih selesa, tahan lama dan praktikal. Penggunaan bekas buangan seperti di atas telah membantu serba sedikit tentang penjagaan alam sekitar di sekeliling anda. Transformkan bekas-bekas buangan dari rumah anda untuk faedah sayur-sayuran di halaman rumah anda.

Selamat mencuba.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.


EmoticonEmoticon