Selasa

CARA MENANAM BAWANG MERAH (SHALLOT)

Tags

kali ini tanomkinotuan ingin berkongsi cara menanam bawang merah aka shallot. Bawang merah adalah salah satu bahan rempah yang banyak digunakan oleh rakyat Malaysia dalam masakan. Harganya pun melambung tinggi khususnya bawang merah gred A. Apa kata anda menanamnya sendiri di halaman rumah sama ada ditanam pada batas atau pada kontena bersaiz besar. Negara kita adalah pengeksport  bawang merah terbesar yang diimport dari benua India dan juga Indonesia. Jadi menanam bawang merah dalam skala besar di halaman rumah adalah pilihan tepat.

 
PEMILIHAN VARIATI BAWANG

Beli benih bawang merah di kedai atau pasaraya. Pilih benih bawang yang agak lama di mana kebanyakannya sudah mengeluarkan tunas. Ia cepat tumbuh apabila ditanam berbanding dengan isi bawang yang belum bertunas. Bawang merah mempunyai variati yang pelbagai yang wujud di dunia dan anda boleh memilih menanam apa-apa variati yang anda sukai. Contoh gambar yang digunakan oleh tanomkinotuan ialah variati bawang merah kampung

PEMILIHAN KAWASAN PENANAMAN

Sekiranya anda hendak menanamnya di kawasan rumah, pertama sekali harus memilih kawasan tanah yang disinari matahari selama 12 jam, tidak seperti jenis sayuran lain di mana bawang merah memerlukan sinaran matahari penuh dari jam 6.45 pagi hingga jam 6.00 petang. Sekiranya anda memilih kawasan kurang dari 12 jam isi bawang merah anda kecil. Walau bagaimanapun sekiranya anda hanya untuk mendapatkan daun bawang, tiada masalah jika ditanam di bawah sinaran matahari kurang dari 12 jam.

PEMBINAAN BATAS ATAU RAISED BED

Seelok-eloknya buatlah batas mengikut kemampuan anda. Tanomkinotuan syorkan saiz batas yang ideal ialah 2 kaki lebar dan 5 kaki panjang untuk menampung setengah kilo benih bawang merah. Menanam dalam skala besar lebih puas hati, bekalan bawang merah cukup sebulan. 

Gembur tanah batas anda dengan cangkul. Buang segala bendasing yang ada di dalamnya seperti batu besar, kayu ranting, daun kering dan segala benda yang tidak mereput. Biarkan terlebih dahulu batas terdedah dengan cahaya matahari terik selama seminggu. Ini bertujuan untuk mematikan mikrob jahat yang boleh mematikan benih bawang.

Sekiranya anda memilih menanam bawang merah di dalam pasu pilih bersaiz besar yang boleh memuatkan 6 hingga 7 biji bawang merah. Namun pasu kecil masih boleh digunakan dengan 1 pasu ditanam dengan sebiji bawang merah. Ini agar akar bebas bergerak dan mengelak persaingan. Pasu yang sesuai ialah saiz 18 inci ke atas.

PENAMBAHAN SERBUK KAPUR PERTANIAN ATAU LIME

Lazimnya tanah di halaman rumah agak masam aka berasid. Oleh itu tabur serbuk  kapur pertanian pada batas untuk mengurangkan keasidan pada tanah. Kapur juga membekalkan zat kalsium dan magnesium pada tanah. Anda juga boleh mengantikan kapur dengan abu dedauan atau kayu. Ia sama fungsi dengan serbuk kapur. Misalnya anda membakar daun-daun kering di halaman rumah anda dan kumpulkan abu tersebut dan tabur pada batas. 

PENAMBAHAN BAHAN ORGANIK

Tanah harus tinggi kualiti apabila menanam benih bawang merah. Oleh itu tambah atau tabur bahan organik pada tanah anda. Bahan organik seperti tinja ayam, kambing, lembu dan arnab boleh digunakan asalkan sudah mereput.  Jika menggunakan saiz batas 2x5 kaki anda memerlukan 15 gram baja organik pada batas anda. Beli baja organik di pasaran atau mendapatkan terus dari ladang ternakan. Selain itu anda juga perlu menaburkan kompos pada batas anda. Kompos mempunyai pelbagai zat untuk keperluan pokok bawang merah anda. Tabur 10 gram kompos jika batas anda bersaiz 2x5 kaki. Anda juga boleh menyemburnya dengan kompos teh buatan sendiri yang baik untuk tanaman khususnya menghindar dari serangan makhluk perosak.

Namun sekiranya hanya menggunakan baja organik tinja binatang. Anda perlukan 25 gram bagi batas 2x5 kaki dan jumlah yang sama untuk hanya kompos yang digunakan. Untuk menambah nutrisi, kadar penyerapan air dan pengudaraan anda boleh menambah peat-moss atau cocopeat pada batas dan boleh tabur 5 gram bone meal ke batas jika ada.

Bagi mereka yang ingin menanam dalam pasu pula, media harus campuran dengan nisbah 2:1:1 yakni 2 bahagian tanah loam atau tanah hitam (tanah liat juga boleh digunakan tetapi nisbah kompos harus digandakan ke 2.5 bahagian), 1 bahagian kompos dan 1 bahagian pasir sungai. Bubuh 1 sudu serbuk kapur dan gaul merata. Media campuran tersebut bolehlah dimasukkan ke dalam bekas tanaman.

MENANAM BENIH BAWANG MERAH


Tidak sukar menanam benih bawang merah. Sebelum menanam anda harus memotong sedikit hujung benih bawang merah itu. Ini untuk mempercepatkan percambahan tunas baru pada bawang tersebut. Tanam separuh benih bawang ke dalam tanah, jangan tanam keseluruhan benih bawang merah ke dalam tanah kerana benih bawang merah tidak akan bercambah malah akan membusuk dan mati. Jarak antara benih ialah 5 inci.

PENYIRAMAN DAN PENJAGAAN

Pada awal penanaman bawang merah memerlukan air yang banyak. Selepas ditanam harus di siram dengan air secukupnya. Siram 2 kali sehari ketika musim panas dan tidak perlu ketika hujan. Apabila pokok bawang merah mencecah usia 3 minggu kurangkan menyiraman kerana bawang merah tidak sesuai pada tanah yang terlalu basah atau air bertakung. Pokok bawang akan layu dan mati. Cukup sekadar batas lembab senantiasa.

Cabut rumput rumpai yang tumbuh pada batas. Ini bagi mengelak persaingan untuk mendapatkan nutrisi. Untuk mengurangkan jangkitan atau serangan makhluk perosak anda boleh menanamnya bersama kobis ungu, ubi bit, lobak merah, tomato dan strawberi. Teknik ini dikenali sebagai tanaman campuran atau companion plant.

PEMBAJAAN

Apabila pokok bawang berusia 3 minggu bubuh baja NPK organik pada batas. Tabur disekeliling pokok bawang. Bubuh baja sekali dalam seminggu. Bagi pasu pula, bubuh 3 hingga 5 sudu baja organik disekeliling pokok. Lakukan pembajaan 1 kali dalam dua minggu.

MENUAI HASIL

Bawang merah sudah boleh dituai setelah genap 2 bulan lebih hingga 3 bulan. Cara mengetahui pokok bawang anda sudah matang ialah daunya secara keseluruhan sudah bertukar menjadi kuning dan kering serta isinya tertonjol keluar. Cabut bawang merah tersebut dan biarkan ia mengering di kawasan teduh seperti di kaki lima rumah anda atau dalam stor. Anda sudah boleh menggunakan bawang merah tanam sendiri dalam masakan anda. Bawang merah segar lebih manis dan wangi berbanding bawang yang dibeli.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.

10 komen

Terima kasih atas perkongsian. Menarik juga untuk dipraktikkan di kawasan rumah.

semoga bermanfaat dan selamat bertani.

saya pernah cuba tanam..saya biarkan sampai adunnya layu bila saya gali tanah bawangnya pun dah xde huhu macamana tu ye

pokok bawang harus diletakkan di bawah sinaran matahari melebihi 12 atau 13 jam untuk pembentukan isi bawang yang canti. Pokok bawang tak berisi jika diletakkan di kawasan teduh dan hanya menerima sinaran matahari pada waktu pagi atau petang sahaja. Oleh yg demikian, sy jangkaan bahawa pokok bawang anda diletakkan kawasan yang teduh?

Tidak mengapa anda semai semula bawang dan tanam di kawasan terbuka.

Dlam 1 kg benih yg ditanam, brp kg jangkaan hasil yg dpt dituai.

Ikut variati bawang merah. Kadang2 boleh mencapai 6 hingga 8 kilo jika umbisi bawang majoriti bersaiz besar dan kadang2 kurang dari 6 kilo jika umbisi bawang majoritinya bersaiz kecil.

terima kasih.. ini memberi inspirasi utk org yang baru2 nak belajar menanam macam saya :)

Setelah dituai, apakah yg perlu dibuat utk memulihkan kesuburan batas? Bolehkah batas digunakan semula utk menanam bawang atau tukar ke jenis tanaman lain (i.e. rotational crop)?

Hai,

Selepas dituai tanah tersebut boleh ditanam dgn sayuran lain untuk rotational crop, ni untuk menghalang serangan serangga pada pkk bawang. Setelah sayuran tersebut dituai baikpulih tanah dengan menambah kompos, tinja ayam atau seumpamanya. Boleh tabur husk, jerami, rumput kering dalam batas untuk membaikpulih kesuburan tanah. dan bolehlah tanam semula umbisi bawang.


EmoticonEmoticon