Jumaat

Cara Menanam Timun di Atas Batas Kebun


Timun cina 



Timun adalah sayuran buah yang mudah di tanam di negara kita. Pokok timun atau nama saintifiknya ialah cucumis sativus linn merupakan tanaman yang menyukai kawasan panas seperti di negara kita maka tidak hairan timun banyak dijual di pasar mahupun pasaraya berhampiran anda. Kali ini tanomkinotuan ingin berkongsi bagaimana untuk menanam benih timun pada batas. Ini adalah sumber rujukan bagi mereka yang mempunyai kawasan yang luas atau sekurang-kurangnya boleh dibuat batas.

Pertama-tama sekali anda harus mengetahui variati timun yang ingin ditanam dalam batas anda. Pelbagai variati timun yang boleh anda cuba seperti timun cina, timun jepun, saber, green finger, suyo long, timun armenia,  timun salad bush dan juga anda boleh mencuba menanam timun kampung. Terpulang pada anda mana variati timun yang disukai. Namun sekiranya anda baru dalam bidang hobi berkebun, beli saja benih timun yang dijual di kedai seperti timun cina yang mudah tumbuh dan cepat berbuah.

Seterusnya cari kawasan yang terdedah dengan cahaya matahari melebihi 8 jam. Pokok timun memerlukan sinaran matahari penuh untuk pertumbuhan yang baik. Buat batas 2 x 10 kaki atau mengikut kesesuaian kawasan tanah anda. Gembur dan buang segala bendasing di dalamnya seperti akar, ranting, daun kering, batu dan kayu reput. Gembur mengunakan cangkul atau alat yang sesuai. Pengemburan tanah bertujuan untuk pengudaraan dalam tanah serta akar timun bebas bergerak tanpa masalah. Mengikut pakar pertanian, tanah yang baru digembur haruslah dibiarkan dan didedahkan dengan sinaran matahari selama seminggu. Ini bertujuan untuk mematikan mikrob jahat dalam tanah.

Batas yang telah siap dibuat haruslah digaul bersama serbuk kapur. Batas berukuran 2 x 10 kaki memerlukan 25 hingga 30 gram serbuk kapur mengikut tahap keasidan tanah kebun anda. Tabur serbuk kapur di atas batas dan gaul hingga sebati dengan tanah. Serbuk kapur kaya dengan kalsium dan magnesium yang baik untuk tanaman. Kapur juga berfungsi untuk memudahkan penyerapan zat makanan oleh akar tanaman anda serta serbuk kapur juga berfungsi untuk mengurangkan tahap keasidan tanah yang boleh menggangu kadar penyerapan nurisi oleh tanaman. Guna penyukat PH tanah untuk mengetahui nilai PH tanah anda yang boleh dibeli di kedai pertanian. Jika tanah anda dalam keadaan normal / neutral (6.0 - 7.0 ph) kapur tidak diperlukan buat masa ini.

Untuk menjadikan batas anda kaya dengan nutrisi, campurkan kompos setengah inci merata pada batas atau gaul bersama tanah tersebut. Anda boleh menggunakan apa-apa jenama kompos yang dijual di pasaran atau menggunakan kompos buatan sendiri di rumah. Anda juga boleh menambah dengan mencampurkan tinja binatang ke dalam batas. Tinja binatang seperti tinja ayam, lembu, kambing dan arnab boleh digunakan asalkan ianya sudah mereput. Namun jika anda menggunakan tinja binatang yang tidak cukup mereput, tanah tersebut harus direhatkan selama seminggu untuk tinja tersebut benar-benar sebati dengan tanah dan barulah boleh ditanam benih. Jika tidak ia boleh merosakkan benih anda kerana tinja binatang khususnya ayam bersifat panas. Gabungan kompos dan tinja binatang memberikan kualiti yang baik kepada tanah anda.

Untuk mereka yang mempunyai tanah jenis tanah liat, tanah tersebut harus digembur terlebih dahulu, bubuh serbuk kapur, kompos dalam kuantiti yang banyak atau tinja binatang. Anda boleh menambah jerami padi, dedaun kering atau pokok lalang yang sudah mati ke dalam tanah anda. Serbuk kayu juga boleh digunakan ke dalam tanah. Ini bertujuan untuk supaya penyerapan air dan pengudaraan baik dalam tanah. Jerami padi, daun kering dan lalang kering juga akan menjadi kompos setelah mereput perlahan-lahan. Jangan sesekali mengembur tanah liat ketika musim hujan atau tanah terlalu basah.

Selesai semuanya kerja-kerja di atas, anda bolehlah menanam benih timun pada batas tersebut dengan membuat lubang dalamnya kira-kira 2 inci setengah dan jarak antara lubang ialah 1 kaki setengah atau 2 kaki. Tanam 2 biji pada setiap lubang dan timbus lubang tersebut menggunakan tanah di tepi lubang. Jangan lupa menyiram dengan air yang cukup.

Lazimnya, benih timun akam bercambah selepas 5 hingga 14 hari selepas di tanam. Masa ini benih timun memerlukan air yang banyak untuk pertumbuhan yang baik. Oleh itu siram benih 2 kali sehari dan tidak perlu ketika musim hujan. Anda harus maklum bahawa batas jangan terlalu basah atau batas ditakungi air. Benih timun akan layu dan mati.

Apabila anak benih pokok timun berusia 2 minggu selepas ditanam, bubuh baja NPK organik dengan 1 genggam bagi satu lubang atau pokok timun 1 sudu bone meal dan tabur di sekeliling pokok timun tersebut. Jika mereka yang menggunakan baja urea pula, selepas 2 hingga 3 minggu bubuh 1 sudu baja urea (baja subur berwarna merah) di sekeliling pokok timun. Hati-hati bila membaja menggunakan baja urea. Jauhkan baja urea dari batang pokok timun untuk mengelak pokok timun melecur dan mati. Lebih elok tanam baja urea tersebut ke dalam tanah agar baja tersebut tidak bergerak ke arah pokok timun apabila menyiram. Berikut adalah 2 cara pembajaan mengikut jenis baja;

Pembajaan cara organik:

Minggu kedua - kompos dan baja cecair ikan atau kompos teh (spary dua minggu sekali)

Minggu keempat - NPK organik yang boleh dibeli di kedai, sedikit kompos dan bone meal.

Minggu keenam - pokok timun sudah mulai berbunga dan berbuah. Bubuh 1 sudu bone meal, NPK organik dan baja buah cecair serta kompos.

Pembajaan cara konvensional

Minggu kedua - bubuh baja subur (berwarna merah) dan kompos pada tanah.

Minggu keempat - baja subur (merah), baja buah (putih) dan baja pengalak bunga (biru). Boleh tambah baja NPK organik.

Minggu keenam - baja subur (merah) dan baja buah (putih) serta kompos.

Oleh kerana pokok timun adalah jenis pokok memanjat maka anda perlu sediakan kayu penyokong untuk memudahkan pokok timun mudah memanjat. Pokok timun boleh diajar memanjat dengan mengikat batangnya pada kayu tersebut. Sekiranya anda sukar untuk mendapatkan kayu, tanomkinotuan cadangkan kepafa anda untuk menggunakan batang penyapu yang sudah tidak digunakan. Ia lagi tahan lebih lama. Cucuk kayu itu berhampiran dengan pokok timun sedalam 1 kaki setengah agar kayu penyokong tidak mudah tumbang sekiranya angin kuat atau bebanan dari pokok timun apabila besar nanti. Jika masih tidak dapat kayu untuk tujuan penyokong pokok timun anda boleh membiarkan pokok timun menjalar ke tanah dengan syarat kawasan tanah anda tidak menakung air.

Penjagaan pokok timun adalah rutin yang harus dibuat. Cabut rumput yang tumbuh pada batas anda. Rumput rumpai boleh mencuri zat makanan dari pokok timun dan ini dipanggil sebagai persaingan dalam pemakanan. Dari segi pembajaan pula Ikut jadual pembajaan di atas atau jadual pembajaan dari sumber lain. Anda juga harus rajin menyiram pokok timun lebih-lebih lagi musim cuaca panas. Jangan menyiram pada tengahari terik, masa menyiram paling ideal ialah pada waktu pagi atau petang.

Pokok timun jarang diserang makhluk perosak sekiranya tanah, zat makanan, air dan haba dalam keadaan seimbang malah kadang-kadang virus atau bakteria juga tidak kelihatan. Walau bagaimanapun, biasanya penyakit timun seperti daun mereput, penyakit tepung pada daun, reputan akar dan batang adalah lazim berlaku. Buah kadang-kadang gugur disebabkan oleh ulat pengorek buah.

Cara-cara mengatasi masalah ini tanomkinotuan tidak pasti kerana jarang menggunakan racun serangga atau racun kulat pada tanaman di KBR. Jadi apa yang tanomkinotuan boleh sarankan ialah seimbangkan zat makanan, dan air pada batas dan amalkan tanam campuran (companian plant). Anda boleh menggunakan racun serangga atau kulat yang boleh di beli di kedai pertanian jika ingin menggunakannya.

1 bulan lebih anda sudah boleh tuai buah timun yang pertama, lebih elok tuai buah timun yang masih muda kerana ia ranggup dan agak sedikit manis berbanding yang ada di pasaran. Usaha anda selama sebulan lebih telah menampakkan hasilnya. Nikmati buah timun tanam sendiri.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.


EmoticonEmoticon