Isnin

PROJEK MENANAM KELADI CINA

Tags

Keladi: tumbuh dengan galak
Tanomkinotuan bercuti panjang, bolehlah tanomkinotuan ke kebun getah meracun rumput rumpai yang sudah panjang mengalahkan tinggi pokok getah. Sepanjang cuti ini bagi kawan-kawan tanomkinotuan telah merancang melancong ke Kota Kinabalu atau semenanjung sana. Tapi tanomkinotuan setiap hari ke kebun getah untuk membersihkan kebun dengan meracun rumput. Tanomkinotuan menggunakan racun Diwana. Memang agak kuat hingga segala jenis rumput boleh mati. 

Apa yang menariknya, emak tanomkinotuan berhajat menanam keladi cina, apalah salahnya kan di Kebun Belakang Rumah tanomkinotuan ada menanam pelbagai sayuran seperti sawi ong king, sawi bunga kampung, sawi pahit, sayur mibuna, sayur mustard hijau, borkoli, kailan, timun cina, timun armenia, bayam merah, bayam hijau dan sebagainya. Jika keladi ditanam di Kebun Belakang Rumah sudah tentu tidak cukup ruang. Cadangan menanam keladi di kebun getah sangat sesuai dan tepat. dengan selesai meracun kesemuanya elok ditanam keladi agar pokok getah yang masih kecil dapat dijaga dengan rumput yang akan tumbuh semula bolehlah dicabut bagi membenarkan pokok keladi cina dan getah membesar. Sebelum ini, kebun getah ini sebenarnya pernah ditanam dengan pokok keladi setelah diracun kali pertama, mencanak-canak anak keladi tumbuh setelah semua rumput telah mati dan inilah benih yang diambil semula untuk ditanam. Untuk pengetahuan, pokok keladi akan tumbuh semula dan tidak akan pupus walaupun diracun menggunakan racun yang cukup kuat. Ini kerana umbisinya berada di dalam tanah. Umbisi ini mempunyai anak dalam tanah dan anak inilah yang akan tumbuh dan membesar setelah rumput semuanya kering dan mati.

Oleh kerana emak tanomkinotuan hanya menanam secara kecil-kecilan maka kami tidak mengunakan jentera berat untuk mengembur atau membuat batas. Cukup membuat lubang dan mengemburkan menggunakan cangkul sahaja. Tanomkinotuan mengorek sedalam satu kaki biar segala akar, ranting dan rezom pokok pakis terkeluar bagi tidak menghalang  anak keladi cina membesar nanti. Jarak antara lubang pula ialah kira-kira 5 kaki. Ini kerana pokok keladi cina boleh membesar dan tingginya boleh mencecah 2 meter sekiranya tanah gembur dan cukup nutrisi. Agak penat sekirannya menggunakan kudrat sendiri namun tanomkinotuan puas hati bukan sahaja dapat membuat lubang dengan keluasan yang besar tetapi peluh pun banyak keluar. Kiranya 2 dalam 1. 

Setiap lubang tersebut tanomkinotuan menaburkannya dengan serbuk kapur dan kompos tinja binatang. Segenggam serbuk kapur dan dua genggam kompos tinja binatang untuk satu lubang. Tanomkinotuan meletakkan serbuk kapur pada lubang kerana tanah di kebun getah itu agak masam aka berasid. Tanaman tidak tumbuh dengan baik sekiranya ditanam di kawasan itu. Contohnya, emak tanonkinotuan telah menanam kacang panjang galaxy namun buahnya tidak banyak. Emak tanomkinotuan hanya menuai sekali sahaja dan pokok kacang panjang galaxy sudah tidak berbuah. 

Benih anak keladi
Emak tanomkinotuan telah mencabut anak pokok keladi cina yang tumbuh dengan banyak hasil tanaman musim lalu. Dia menanam pada lubang yang telah dibuat sebelum ini setelah dibiarkan selama seminggu (sepatutnya hingga 2 minggu). Tanomkinotuan bimbang benih anak keladi itu akan mati kerana difikirkan serbuk kapur dan kompos tinja binatang belum sebati pada tanah. Walau bagaimanapun, Alhamdulillah setakat ini kesemua benih anak pokok keladi cina mulai tumbuh dengan baik. Ini bermakna sesetengah tanaman seperti anak pokok keladi boleh terus ditanam walaupun serbuk kapur dan kompos masih belum sebati pada tanah. Tidak seperti sayuran berdaun kena tunggu dua minggu untuk dapatkan hasil yang baik.

Pagi tadi tanomkinotuan masih setia ke kebun getah. Hari ini tanomkinotuan dan emak tanonkinotuan telah membaja pokok-pokok keladi cina menggunakan baja NPK serta mencabut rumput yang tumbuh di kawasan sekeliling anak benih pokok keladi cina. Emak tanomkinotuan tidak menyediakan penyiraman. Kami hanya mengharapkan hujan turun untuk membekalkan sumber air kepada pokok-pokok keladi di kebun getah. 

Untuk makluman juga pokok keladi cina boleh dituai setelah genap 6 bulan atau lebih. Cara mengetahui sama ada pokok keladi sudah boleh dituai ialah melihat isi pada pokok keladi itu, biasanya isi keladi terkeluar dari tanah. Cabut dengan hati-hati pokok keladi cina dan potong batang dipangkal kira-kira 3 inci dari isinya. Kopek batang daun yang terbuka.

Isi keladi cina sangat mahal di pasaran. Harga peraih boleh mencecah RM3.80 sekilo mengikut pasaran. Keladi boleh bertahan lama dengan menyimpannya ditempat teduh dan tidak terkena cahaya matahari. Ia juga enak dijadikan kerepek dan kuih goreng keladi. Kadang-kadang ia juga sangat sedap dibuat bubur keladi. Pucuk daun atau batang keladi muda juga enak dibuat sayur. Untuk menghilangkan rasa gatalnya, rebus batang muda keladi itu terlebih dahulu hingga lembut dan masak mengikut resepi kegemaran anda. 

Tanomkinotuan menunggu dengan sabar untuk menuai pokok keladi yang ditanam oleh emak tersayang.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.

4 komen

Sangat berminat dan teruja dengan usaha cikgu. Ingin melawat kebun cikgu. Kalau tak keberatan ingin berhuhungan melalui cara lain. 016 22 000 22 sahrul.tahiri@gmail.com tq

Boleh tanya? Dmn boleh dapt bibit keladi cina ini?

Buat masa ini benih keladi tidak dapat dibekalkan. Maaf

Kepada sesiapa yg bminat utk mndptkn sulur pokok keladi cina blh whatsapp sya 01110169338.


EmoticonEmoticon