Isnin

SAYUR DUNGOR LIAR

Tags

Tajuk entry kali ini sangat exotik sikit, lebih kepada istilah-istilah Dusunic. Oleh kerana tanomkinotuan berketurunan Kadazandusun makanya nama-nama sayur yang dipamerkan dalam blog ini menggunakan nama kelaziman sebutan yang sudah melekat di bibir kecuali tanomkinotuan mengetahui nama di dalam Bahasa Melayu akan juga ditulis di sini. nama pokok sayur ini yang diperturunkan dari generasi ke generasi dan berbeza istilah mengikut daerah. Kebiasaan tanomkinotuan menyebut sayur ini ialah 'dungor' dari emak tanomkinotuan.

Sayur dungor adalah pokok yang tumbuh di tepi-tepi sungai, batang lembut dan berduri tetapi tidaklah mencederakan. Pucuk muda dipetik untuk dimakan. Daunnya mempunyai 4 lembar dalam sebatang dan batangnya seolah-olah seperti span di mana mempunyai rongga-rongga kecil seperti batang keladi.

Pagi tadi tanomkinotuan ke kebun getah (KG) untuk meracun kebun getah adik tanonkinotuan. Kebunnya sudah dipenuhi rumput lebih tinggi dari anak pokok getah. Tidak larat untuk menghabiskan segelen racun yang dibawah maka tanomkinotuan dan emak kembali ke KG untuk melakukan kerja-kerja yang patut. 

Sebelah petangnya pula tanomkinotuan senggaja ke tebing sungai kecil ditengah-tengah kebun. Terasa sejuk dan nyaman sambil duduk-duduk dihembusi angin yang sepoi-sepoi bahasa. Redup dan tenang ja dengan sungai mengalir tenang. Ternampak pula pokok-pokok dungor tumbuh meliar dengan pucuk muda begitu banyak. Terdetik tanomkinotuan untuk memetiknya, adalah sayur malam ni, sayur exotik hutan tumbuh meliar, paling penting ia sangat-sangat organik. Yelah tumbuh dengan sendiri di tepi sungai pula tu. Maka dengan ringan tangan tanomkinotuan mencapai daun-daun muda dan memetiknya. Terasa duri-durinya mencucuk tangan tanomkinotuan walaupun tidaklah mencederakan. Adalah segenggam batang muda yang dapat tanomkinotuan petik. Tidaklah tanomkinotuan memetik pucuk muda pada pokok yang memang tumbuh betul-betul dalam air. Silap sikit boleh jatuh ke dalam nya. Walaupun sungai ini kecil tetapi kedalamannya juga boleh tahan. 

Pokok dungor
Sayur dungor enak dimasak dengan pelbagai resepi. Ia boleh dimasak tumis dengan masak sardin, atau masak lemak. Memang sedap. Bagi tanomkinotuan rasa sayur ini sama seperti rasa pucuk keladi. Namun strukturnya, lagi lembut berbanding pucuk keladi. Cara masaknya ialah setiap batang muda perlu dikupas kulit luarnya dan jika rajin rebus setengah masak terlebuh dahulu. Seterusnya masak ikut resepi yang disukai. Emak tanomkinotuan selalu masak sayur dungor tumis sardin atau masak lemak cili api. 

Antara sayuran exotik yang sering dimakan oleh tanomkinotuan ialah sayur dungor, sayur gipun, sayur tunjuk langit, sayur paku pakis, sayur kemiding, terung pipit, sayur tutan, timun liar dan sayur pucuk keladi liar selain pucuk keladi air. Sayur-sayur ini mempunyai keunikannya tersendiri dan paling penting adalah semuanya organik. Kandungan zat makanan juga tidak kurang bagusnya berbanding jenis sayuran lazim ditanam secara komersil.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.


EmoticonEmoticon