Isnin

SAYUR SPINACH (BAYAM PAPAI)

Tags

Apabila anda terfikir untuk menanam sayuran jenis berdaun di halaman rumah, maka sayur spinach atau bayam papai adalah pilihan tepat. Ini kerana sayur ini cepat pertumbuhannya dan cepat dituai. Kandungan vitamin A sangat tinggi dan sumber terbaik untuk zat mineral yang lain. Nama saintifik bagi spinach ialah spinacia oleracea.

Ingat lagi masa kecil-kecil dulu, karton papai adalah rancangan kanak-kanak yang diminati. Segmen memakan spinach untuk menambah kekuatan bagi mengalahkan penjahat-penjahat itu merupakan part yang sering bermain-main dalam fikiran tanomkinotuan. Apakah sebenarnya spinach sehingga papai bertukar sedemikian rupa. Persoalan tersebut masih berlegar-legar di kepala sehinggalah tanomkinotuan membeli benihnya dan menanamnya. Dalam terjemahan biasa, spinach ialah bayam tetapi bagi tanomkinotuan spinach tidak sama dengan bayam tempatan malah dari segi rasa dan struktur pokok memang jauh berbeza. 

Sayur spinach adalah sayur yang lazim dimakan oleh masyarakat Barat. Dan untuk makluman juga spinach lebih dekat dengan sayur swiss chard dan ubi bit. Menanam spinach seperti di negara kita Malaysia yang mengalami hujan dan panas sepanjang waktu tidak ada masalah. Benih spinach boleh disemai pada bila-bila masa sepanjang tahun cuma pada musim panas(kemarau) petlu disiram sekerap mungkin yakni siram dua kali sehari.

Spinach sesuai ditanam pada batas yang gembur dan kandungan nitrogen yang tinggi. Gembur batas dan bubuh bersama kompos atau tinja binatang sebanyak mungkin kerana kekurangan nitrogen pada batas memungkinkan pokok spinach tumbuh terbantut. Sebaik-baiknya guna topsoil sebagai media tanaman kerana topsoil mempunyai struktur gembur dan peroi sifatnya.

Spinach berusia 5 hari
Semai terlebih dahulu spinach pada styorofoam atau pada pasu dengan menggunakan media seed-starting mixes atau campuran semaian-awal. Campuran semaian-awal lebih sesuai dan banyak kebaikkannya berbanding campuran tanah loam, kompos dan pasir sungai. Masukkan campuran semaian-awal ke styorofoam dan tabur benih spinach ke atas tanah semaian tadi lalu siram media dengan air secukupnya.

Selepas 3 minggu barulah anak benih spinach dipindahkan ke batas yang disediakan. Pembaca juga boleh menyemai terus pada batas dengan menanam benih spinach kira-kira 1/8 ke dalam tanah dengan jarak 15 inci hingga 20 inci antara pokok. Jangan lupa siram benih tersebut selepas menyemainya.

Spinach mempunyai rasa lembut dan sesuai dimakan sebagai salad atau goreng tumis. Tidak sangka spinach mempunyai rasa unik berbanding dengan sayuran dari jenis Asian Greens vegies. Kepada pembaca di luar sana yang ingin mencari idea tentang jenis sayur yang hendak ditanam, tanomkinotuan mencadangkan sayur spinach. Anda tidak rugi mencubanya malah usaha anda akan dibayar dengan kelazatan sayur ini.

Tak sempat mengambil gambar yang dah matang.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.


EmoticonEmoticon