Sabtu

CARA DAN PANDUAN MENANAM SAWI KERINTING

Tags

Sawi kerinting 
Sawi kerinting merupakan salah satu sayur berdaun yang banyak dikeluarkan oleh para petani secara ladang bagi memenuhi permintaan di pasaran yang tinggi. Sawi kerinting atau curly mustard ini mempunyai batang lembut berwarna putih manakala daun hijau cerah hampir kekuningan yang mengeriting. Ia juga dikenali sebagai kai choy oleh komuniti Cina di Malaysia. Sawi kerinting mudah tumbuh dan cepat membesar, 4 minggu sudah boleh dituai. Berikut adalah cara menanam sawi kerinting pada batas atau pasu/kontena.

Benih: Pertama yang harus dilakukan terutama kepada pekebun sampingan yang baru berjinak-jinak dengan perkebunanan di halaman rumah ialah mendapatkan benih sawi kerinting di kedai pertanian berhampiran. Anda juga boleh membeli sawi kerinting secara online di laman sesawang yang dipercayai. Terdapat 2 jenis sawi kerinting yakni sawi kerinting jenis kecil dan jenis besar. Kadang-kadang sawi kerinting jenis besar mampu melakukan pembulatan separa (half heading). Terpulang pada anda untuk memilih benih yang hendak ditanam.

Lokasi: jika tanam di tanah pilih lokasi yang menerima cahaya matahari melebihi 6 jam kerana sawi kerinting menyukai sinaran matahari penuh. Jika tidak pertumbuhan lambat dan saiz tidak sebesar pokok sawi kerinting yang menerima sinaran penuh. Jika menanam dalam pasu pula, pilih kawasan yang lapang dan menerima pancaran matahari melebihi 6 jam untuk meletakkan pasu-pasu anda. Contohnya balkoni, tepi pagar rumah atau kawasan belakang rumah yang lapang. Sinaran matahari penting untuk pertumbuhan sawi kerinting dengan baik.

Percambahan: benih yang dipilih harus disemai terlebih dahulu dalam bekas semaian. Guna bekas semaian seperti pasu, atau kontena yang sesuai. Jika ada mampu boleh membeli styorofoam benih semaian yang lebih praktikal. Anda boleh menggunakan bekas semaian yang tidak memerlukan kos seperti tupperware plastik terbuang, cup aiskrim, kotak minuman dan sebagainya.

Media semaian untuk benih dengan kompos sangat sesuai. Guna kompos yang disteril/dibakar dengan memasukkannya ke dalam bekas semaian. Juga boleh menggunakan tanah campuran. Tabur benih di atasnya dan siram dengan air yang cukup. Jaga benih dan pasu tersebut dari serangan semut yang suka membuat rumah dalam tanah pasu. Jika berlaku sedemikian, tabur sebuk kunyit pada tanah yang dijadikan sarangnya. Semut akan meninggalkan tempat tersebut.

Batas/pasu: mereka yang memilih untuk menanam sawi kerinting di tanah seeloknya buat batas mengikut saiz kehendak sendiri atau mengikut keluasan rumah anda. Tidak pun anda boleh gemburkan saja kawasan tanah yang anda gunakan jika ia tidak ditakungi air. Gembur batas tersebut hingga menjadi ketulan-ketulan kecil. Buang bendasing di dalamnya seperti kaca, serpihan tile, besi, batu, rumput kering atau akar. Bubuh kompos atau tinja binatang dan gaul merata. Tabur serbuk kapur jika berkaitan.

Pada pasu pula, perlu menggunakan tanah peroi dan gambur. Untuk mendapatkan tanah sebegitu campurkan 2 bahagian tanah hitam, 1 bahagian kompos dan 1 bahagian pasir sungai. Gaul hingga sebati dan masukkan ke dalam pasu atau kontena sesuai. Anda boleh gantikan pasir sungai dengan perlite (abu volkano) jika ada, anda boleh beli perlite ini di kedai pertanian yang ada menjualnya. Juga boleh menambah 1 bahagian cocopeat atau peat moss ke dalam campuran tadi. Cocopeat atau peat moss berfungsi sebagai mengekalkan kelembapan pada media.

Penanaman: benih sawi kerinting yang disemai dalam pasu semaian atau styorofoam bolehlah alihkan ke batas atau pasu/kontena selepas anak pokok sawi kerinting berusia 2 hingga 3 minggu. Buat lubang sedalam 2 inci hingga 3 inci mengikut saiz anak benih pokok sawi kerinting anda. Jarak antara lubang /pokok adalah kira-kira 4 hingga 6 inci atau terpulang pada cara anda untuk menjarakkan pokok benih yang penting jangan tanam anak pokok terlalu rapat.

Bagi anak benih yang ditabur secara rawak dalam bekas semaian, hendaklah dicabut secara perlahan-lahan. Takut merosakkan akar anak pokok sawi kerinting. Guna kayu aiskrim untuk mengorek tanah atau alat yang difikirkan sesuai. Bagi anak pokok sawi kerinting yang ditanam di styorofoam semaian pula tanam anak pokok sawi kerinting bersama tanah semaian. Caranya apabila pokok sudah berusia 3 minggu atau sekurang-kurangnya pokok mempunyai 4 helai daun. Korek tanah dengan batang aiskrim sedalam mungkin dan cungkil keluar tanah dan tanam di batas atau pasu yang dikehendaki. Berhati-hati apabila melakukannya agar akar anak pokok tidak mengalami kecederaan teruk.

Selepas kerja penanaman anak pokok sawi kerinting selesai. Siram menggunakan air secukupnya. Cara betul untuk menyiram ialah jangan halakan air yang banyak terus kepada pokok kerana pokok sawi kerinting boleh rebah atau senget. Ini kerana bebanan air pada daun dan batang tetapi siram seakan-akan hujan yang turun dan siram tanah secara menyeluruh hingga basah. Siraman pada pasu pula adalah mudah. Siram secara menggunakan curahan air yang sederhana keseluruhan tanah pasu.

Buat teduhan pada batas menggunakan jaring hitam, pelapah daun kelapa, jerami dan bahan yang difikirkan sesuai selama seminggu supaya anak benih pokok tidak mati oleh sinaran matahari terik. Bagi padu pula, letak pasu atau kontena tersebut ditempat teduh terlebih dahulu selama seminggu sebelum dialihkan di kawasan menerima cahaya matahari bagi pertumbuhan yang cepat.

Pertumbuhan anak pokok sawi kerinting mula galak setelah seminggu dan untuk zat makanan bubuh baja organik pada batas apabila pokok sawi kerinting sudah berusia 2 minggu diselang selikan dengan kompos dan NPK organik dua minggu sekali. Untuk hasil yang memuaskan siram pokok sawi kerinting dengan cecair kompos teh atau baja cecair ikan selang 2 minggu. Kompos teh berfungsi bukan sahaja membekalkan nutrisi yang cukup tetapi juga menghindari pokok sawi kerinting dari serangan makhluk perosak.

Penjagaan dan Penyiraman: penjagaan di sini termasuklah membuang rumput rumpai pada batas dan pasu tanaman. Untuk mengurangkan rumput pada batas adalah letak mulsa atau sungkupan pada batas/pasu tanaman. Anda boleh menggunakan bahan seperti kayu reput, jerami, rumput kering, daun kering, tinja binatang, cocopeat, peat moss dan habuk kayu sebagai sungkupan. Sungkupan bukan sahaja berperanan untuk kelembapan tanah tetapi juga menyekat pertumbuhan rumput rumpai pada batas dan pasu. Siram pokok 2 kali sehari dan tidak perlu ketika hujan.

Penyakit: pokok sawi kerinting sangat disukai oleh serangga. Di awal penanaman anak benih, pokok sawi akan berhadapan musuhnya seperti lintah bulan, siput dan belalang hijau. Kutip lintah bulan dan siput serta musnahkan. Anda boleh menaburkan racun organik penghalau siput dan lintah bulan disekeliling pokok. Serangan belalang berlanjutan hingga pokok membesar. Berwaspada pada ulat seribu yang menyerang, ia mampu menghabiskan sepokok sawi kerinting dengan 1 malam. Selalu membelek-belekkan daun belakang pada sawi kerinting anda jika terdapat telur ulat seribu berwarna kuning pucat yang diselaputi benang halus, kopek dan musnahkan. Cara mengetahui serangan ulat seribu ialah terdapat benang-benang halus di sekitar daun dan pokok sawi kerinting serta daun banyak rosak akibat dimakan dan banyak ketulan-ketulan kecil bertaburan pada daun dan pokok. Tanda tersebut adalah ulat seribu telah bermaharajalela merosakkan pokok sawi kerinting anda. Cari ulat-ulat ini hingga habis dan musnahkan. Anda juga boleh menggunakan racun organik pembunuh ulat untuk mengawalnya.

Menuai hasil: pokok sawi kerinting boleh dituai apabila sudah berusia 4 minggu atau lebih. Cabut pokok atau hanya tuai daun matangnya sahaja. Jika anda menuai sekali gus, tuai pada waktu petang. Masukkan sayur sawi kerinting anda dalam plastik berjip yang bersih dan kering, simpan ke dalam peti sejuk. Sawi kerinting anda boleh bertahan hingga 2 hingga 3 minggu. Teknik supaya sawi anda tidak rosak. Jangan cuci sawi anda selepas dicabut. Memadai dengan membersihkan tanah dan buang daun-daun mati. Akhir sekali nikmati sawi kerinting tanam sendiri anda itu dengan resepi kegemaran keluarga anda.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.


EmoticonEmoticon