Khamis

CARA DAN PANDUAN MENANAM SAWI PAHIT

Tags

Sawi pahit panjang
Terdapat pembaca di luar sana yang berminat mengetahui cara menanam sawi di rumah secara kecil-kecilan bagi bekalan dapur atau sebagai hobi sampingan sekeluarga. Aktiviti menanam sayuran di halaman rumah bukan sahaja bermanfaat kepada kesihatan tubuh badan malah dengan sayur-sayuran ini dapat menghijaukan halaman rumah disamping pokok bunga yang sedia ada. sambil menunggu suami dan anak-anak kembali ke rumah pada waktu petang bolehlah melakukan rutin seperti mengembur, membaja dan menyiram di halaman rumah sebelum meneruskan kerja-kerja di dalam rumah. Tanomkinotuan ingin berkongsi cara dan panduan menanam sawi pahit atau mustard heading mengikut pengalaman tanomkinotuan sendiri.

Mula-mula dapatkan terlebih dahulu benih sawi pahit di kedai pertanian atau nusery berhampiran kediaman anda. Terdapat kedai menjual benih sawi pahit dengan kadar murah iaitu RM1 atau RM2 satu pek. Namun sesetengah brand yang mempunyai pembalut sendiri beserta cara menanam dan bulan yang sesuai untuk menyemai mempunyai harga mahal tetapi sangat bagus untuk para beginner memulakan menanam sawi pahit, kerana benihnya 95% bercambah dengan baik. Terdapat 3 variati sawi pahit yang boleh anda cuba menanam iaitu sawi pahit panjang jenis non-heading. Sawi pahit jenis panjang adalah mempunyai batang panjang dan tidak membulat, struktur rasa sangat lembut dan tidak pahit. Variati kedua pula ialah sawi pahit bulat (heading), sawi pahit jenis ini mempunyai bentuk pendek dengan batang melebar dari pangkal dan sedikit berombak-ombak, struktur rasa lembut dan mempunyai sedikit pahit. Biasanya jenis sawi pahit ini dijadikan oleh kaum Cina sebagai jeruk sayur masin yang banyak dijual di supermarket. Jenis yang ketiga pula ialah sawi pahit kampung jenis kecil pendek dan tidak membulat. Terdapat jenis sawi pahit liar yang tumbuh meliar di kebun-kebun tanah tinggi di kawasan pedalaman Sabah yang dikenali sebagai 'sabih' oleh penduduk tempatan tetapi pahitnya masyallah. Ciri daun dan batangnya sama seperti sawi pahit hibrid yang ada di pasaran cuma saiz kecil. struktur rasa lembut tetapi sangat pahit. Mungkin sawi pahit sabih ini boleh di komersilkan sebagai sayur jenis sawi pahit asal negeri Sabah atau boleh dihibridkan untuk mencipta sawi pahit sabih yang baharu. Akan tanomkinotuan buat entry mengenai sawi pahit sabih di lain masa.

Setelah sudah mendapat benih, kerja seterusnya ialah menyemai benih tersebut terlebih dahulu. Terdapat dua cara menyemai benih sawi pahit pertama semai dalam bekas semaian terlebih dahulu seperti styorofoam, polibag, pasu, tupperware terbuang, bekas aiskrim dan sebagainya. Kedua anda boleh menyemai secara langsung ke atas tanah yang digembur dan dibubuh kompos atau tinja binatang. Anda boleh menggunakan beberapa kaedah campuran media seperti berikut:

1. Campuran media 2:1:1 iaitu 2 bahagian tanah hitam/lom, 1 bahagian kompos dan 1 bahagian pasir sungai. Gaul bersama dan masukkan ke dalam bekas semaian.

2. Anda boleh menggunakan media campuran kompos, perlite dan vermiperlite dengan nisbah 2:1:1 iaitu 2 bahagian kompos, 1 bahagian perlite (abu vulkano), dan 1 bahagian vermiperlite. Gaul bersama dan masukkan ke dalam bekas semaian. Kesemua bahan / media ini boleh dibeli di kedai yang ada menjualnya.

3. Menggunakan topsoil yang dicampurkan 1 bahagian kompos.

4. Menggunakan tanah hitam atau tanah kebun.

5. Menggunakan cocopeat yang dicampurkan dengan tanah hitam.

Anda boleh memilih mana-mana cara di atas atau  menggunakan kaedah atau cara yang difikirkan sesuai. Masukkan media semaian ke dalam bekas semaian dan tabur biji benih sawi pahit di atas permukaannya. siram dengan air secukupnya. Jika langsung pada tanah pula, gembur tanah hingga menjadi ketulan kecil dan tambah kompos atau tinja binatang. Tabur benih sawi pahit di atasnya dan timbus sedikit tanah cukup untuk menutupi benih tersebut dengan tujuan agar benih tidak diganggu oleh makhluk perosak.

Sementara menunggu benih yang disemai bercambah, anda boleh menyediakan batas tanaman bagi mereka yang memilih untuk menanam di atas batas manakala bekas tanaman dan media bagi mereka yang memilih menanam di dalam pasu/kontena atau apa-apa bekas yang difikirkan sesuai. Gembur tanah dengan menggunakan alat seperti cangkul untuk memecahkan tanah dan gembur menjadi ketulan/serpihan-serpihan kecil. Buang segala bendasing dalam tanah seperti akar kayu, ranting mati, daun kering, batu, semen, besi, kayu mati, paku dan serpihan tile (kadang-kadang di halaman rumah khususnya kawasan perumahan benda seperti di atas banyak terbenam dalam tanah), setelah selesai mengembur bentukkan batas yang diinginkan mengikut keluasan tanah anda. Tambah kompos sebanyak 4 genggam bagi 3 kaki persegi dan tinja binatang 2 genggam untuk 3 kaki persegi. gaul hingga sebati. Tabur serbuk kapur jika perlu (untuk kes tanah yang berasid sahaja), penambahan kompos dan tinja binatang sudah mampu untuk mengurangkan keasidan tanah anda. Batas yang dibuat haruslah mendapat cahaya matahari penuh untuk tumbuhbesaran sawi pahit yang baik.

Bagi menanam dalam pasu pula sediakan pasu/kontena/bekas yang sesuai serta media tanaman seperti ditunjukkan di atas. Tanah liat juga boleh digunakan jika tiada pilihan lain kecuali tanah tersebut dirawat dan dibaikpulih. Caranya tanah liat dicampurkan dengan sama ada tanah hitam, cocopeat, peat-moss atau kompos sebanyak mungkin. Masukkan media ke dalam bekas tanaman yang dipilih dan simpan di kawasan yang menerima cahaya matahari penuh atau boleh disimpan di kawasan teduh sesudah ditanam anak pokok sawi pahit.

Selepas 2 minggu atau 3 minggu benih sawi pahit yang disemai sudah boleh dialihkan ke batas atau kontena. Bagi menanam dalam batas anda dikehendaki membuat lubang sedalam 2 inci dengan jarak antara lubang pula ialah 5 hingga 10 inci. Cabut anak benih sawi secara perlahan-lahan dan tanam 1 pokok untuk 1 lubang. Tanam anak pokok sawi pahit setengah dari tingginya. Jangan tanam melebihi paras daun kerana ia akan mati disebabkan tidak boleh menjalankan proses fotosintesis. Siram pokok-pokok sawi pahit dengan air yang cukup. Letak teduhan jaring hitam atau seumpamanya selama 1 minggu agar anak pokok sawi tidak layu dan mati. 

Bagi menanam dalam pasu pula buat lubang ditengah sedalam 2 inci pada pasu atau bekas tanaman anda. Tanam anak pokok sawi pahit setengah dari tingginya. Jangan lupa siram. Simpan pasu anda di kawasan teduh terlebih dahulu sehingga anak pokok sawi pahit benar-benar kuat barulah dialihkan ke tempat terkena sinaran matahari penuh.

Setelah 2 minggu dialihkan ke batas. Bubuh baja NPK organik disekeliling pokok dengan kadar berpatutan. Ambil sejemput baja tersebut dan tabur disekeliling pokok sawi pahit. Buat pembajaan hingga selesai dan seelok-eloknya siram selepas membaja. Bagi dalam pasu pula cukup 1 sudu untuk ditaburkan di sekeliling pokok sawi pahit. Buat pembajaan selang dua minggu sekali untuk hasil tumbuhbesaran yang baik. Buat pengemburan batas dan tanah dalam pasu jika tanah kelihatan keras. Berhati-hati jika mengembur akar tidak merosakkan akar anak pokok sawi pahit.

Membuang rumput adalah rutin yang harus dibuat oleh pekebun. Cabut rumput di atas batas agar persaingan mendapatkan makanan dapat dikurangkan antara sawi pahit dan rumput rumpai. Letak mulsa atau sungkupan pada batas atau permukaan pasu untuk mengelak rumput rumpai tumbuh. Anda boleh menggunakan mulsa seperti cocopeat, peat-moss, daun kering, rumput kering, jerami dan sebagainya. Lakukan penyiraman 2 kali sehari jika musim panas dan tidak perlu ketika hujan.

Selepas 4 hingga 5 minggu anda sudah boleh menuai sawi pahit anda di halaman rumah. Lakukan penuaian pada sebelah petang jika anda ingin menuai dalam jumlah yang banyak. Ini kerana sayur anda berada, dalam keadaan kering dan masukkan ke dalam plastik berzip dan simpan di dalam peti sejuk. Sawi pahit anda boleh bertahan hingga 2 minggu lebih. Jika menuai untuk sekali makan anda tuai pada bila-bila masa dan tiada masalah. Nikmati sawi pahit tanam sendiri bersama keluarga tersayang mengikut resepi pilihan anda sendiri. Apa tunggu lagi tanam sawi pahit di halaman rumah hari ini.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.


EmoticonEmoticon