Isnin

CARA DAN PANDUAN MENANAM SAWI PUTIH TAIWAN

Tags

Sawi putih taiwan atau siew bak choy merupakan sayuran jenis berdaun yang banyak ditanam di negara kita secara ladang atau komersil, sawi ini ditanam bersama sawi jenis lain seperti sawi putih, sawi bunga, sawi pahit dan sawi kerinting. Tempoh matangnya sangat singkat.Mempunyai batang lebar dipangkal dan berwarna hijau muda. Daun berbentuk sudu lonjong dan berwarna hijau, rasa dan struktur lembut. Sawi putih ini berasal dari negara China dan menyebar ke Asia Tenggara khususnya di negara kita. Menanam sawi putih taiwan teramat mudah dan dijaga. Berikut adalah cara dan panduan menanam sawi putih taiwan mengikut pengalaman tanomkinotuan.

Mula-mula dapatkan benih sawi putih taiwan di kedai pertanian atau nusery berhampiran. Membeli benih sawi putih taiwan di kedai pertanian berbaloi kerana benih berkualiti serta mudah bercambah. Namun pastikan terlebih dahulu tarikh luput benih tersebut agar benih masih dalam tempoh percambahan. Benih sawi putih tamat tempoh bermakna ia sudah tidak aktif untuk bercambah. Anda juga boleh mendapatkan atau membeli benih sawi putih taiwan jenis hibrid yang besar dan padat. Anda boleh mendapatkan benih sawi putih taiwan dengan harga RM1 atau RM2 di pasaran. Terdapat juga benih sawi putih yang dijual dalam plastik dengan brand sendiri tetapi harganya sedikit mahal.

Penentuan lokasi menanam adalah aspek yang harus diambil berat. Makluman kepada pembaca semua bahawa seperti sawi bunga dan sawi kerinting, sawi putih taiwan juga memerlukan sinaran matahari penuh. Oleh itu balkoni, tepi pagar menghadap matahari dan belakang rumah adalah yang sesuai untuk menanam. Jika anda memilih menanam sawi putih taiwan dalam pasu sila pilih lokasi yang sesuai seperti tempat-tempat di atas. Anda boleh meletakkan pasu-pasu sawi putih di kawasan strategik dengan sinaran penuh matahari seperti balkoni, tepi pagar, belakang rumah, jendela dan sebagainya. 

Sekiranya anda tersalah pilih kawasan menanam atau peletakan padu-pasu anda, sudah tentu sawi putih taiwan anda tidak tumbuh seperti sepatutnya. Ketot dan batang panjang dan kurus dengan daun lonjong kecil. Tempoh matang agak lama dan terbantut. Ini bermakna hasil kutipan kurang memuaskan.

Sebelum memulakan kerja-kerja menanam, elok rasanya anda menyemai benih sawi putih terlebih dahulu pada bekas semaian seperti cup styorofoam, pasu, kontena, tupperware buangan, tin susu atau besen terbuang. Anda juga boleh menyemai terus di atas tanah yang lapang. Sediakan media tanaman seperti kompos bakar yang boleh dibeli di kedai pertanian. Masukkan media tersebut kedalam bekas semaian dan tabur benih di atasnya. Jangan tabur benih secara rapat bagi mengelak persaingan dalam pertumbuhan. Siram benih dengan air secukupnya. Cup styorofoam harus ditanam 1 hingga 2 biji benih sawi putih taiwan. Anda juga menggunakan media campuran atau tanah hitam sebagai semaian

Bagi mereka yang ingin menyemai benih di atas batas pula harus mengemburkan terlebih dahulu tanah tersebut, tambah sedikit kompos atau tinja binatang. Tabur benih sawi putih taiwan dan kambus sedikit tanah di atasnya. Selepas itu, jangan lupa siram dengan air secukupnya. Selepas 2 hingga 3 minggu benih sawi putih taiwan sudah boleh dialihkan ke tempat yang disediakan.

Penyediaan batas adalah asas penanaman. Korek tanah sedalam setengah kaki dan gembur hingga menjadi ketulan-ketulan kecil. Terpulang pada anda berapa saiz batas yang perlu di buat. Namun jika halaman rumah anda luas dan besar memadai dengan batas 2x5 kaki. Bersihkan tanah dengan membuang bendasing yang tidak diperlukan seperti akar, ranting, batu, sepihan tile, semen, kayu, paku atau besi. 

Tambah kompos pada batas dengan menaburkan 3 genggam bagi 3 kaki persegi, gaul hingga sebati. Jika jumlah kompos dirasakan kurang tambah segenggam atau 2 genggam. Anda juga boleh menambah tinja binatang jika ada. Antara tinja binatang yang boleh digunakan ialah tinja ayam, kerbau, lembu, kuda, arnab dan tinja kelawar (guano). Tabur serbuk pertanian jika perlu. Rehatkan batas selama seminggu dengan mendedahkan dengan sinaran matahari terik. Ini bertujuan untuk menghapuskan mikrob jahat dalam tanah.

Penanaman atau pengalihan anak pokok sawi putih taiwan boleh dilakukan setelah anak pokok sawi putih taiwan berusia 2 hingga 3 minggu atau sudah mempunyai 4 helai daun. Pada batas yang disediakan, buat lubang sedalam 2 inci atau mengikut ketinggian anak pokok sawi putih taiwan anda dengan jarak antara lubang kira-kira 6 hingga 10 inci. Tanam sebatang anak pokok sawi putih taiwan pada 1 lubang yang disediakan. Berhati-hati ketika melakukan aktiviti mencabut anak pokok agar tidak mencederakan akar pokok. 

Bagi mereka yang menyemai dalam cup styorofoam pula, tanam pokok sawi putih taiwan bersama media/tanah tersebut dengan mencungkil perlahan-lahan dan berhati-hati. Sesudah selesai kerja-kerja menanam siram anak benih dengan air yang cukup. Buat teduhan pada batas dengan jarung hitam selama seminggu agar anak pokok sawi tidak layu dam mati terkena pancaran matahari terik. 

Bagi pasu pula, buat lubang ditengahnya dan tanam sepokok anak benih sawi putih taiwan dan timbus dengan tanah lubang tersebut. Siram dengan air secukupnya. Letak pasu-pasu anda ditempat terlindung selama seminggu barulah dialihkan ke lokasi yang disediakan.

Dalam tempoh 2 hingga 3 minggu selepas dipindahkan ia sangat memerlukan air untuk pertumbuhan dan makanan. Siram pokok sawi putih taiwan 2 kali sehari atau tidak perlu ketika hujan. Cabut rumput pada batas atau pasu untuk elak masalah persaingan. Bubuh baja NPK organik selang 2 minggu. Setelah genap 1 bulan setengah. Sawi putih anda sudah boleh dituai. Cara tuaian sama ada mencabutnta atau hanya petik daun matang sahaja. Nikmati sawi putih taiwan tanam sendiri dengan resepi sendiri.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.


EmoticonEmoticon