Isnin

KACANG PANJANG HITAM

Tags

Kacang panjang hitam
Kacang panjang hitam atau Black Long Yard Bean adalah variati kacang panjang yang banyak ditanam oleh petani secara kecil-kecilan bagi dijual di pasar siang atau dijual secara pukal kepada peraih yang datang dari Kota Kinabalu. Ia juga popular dikalangan pengemar kacang panjang sama seperti jenis kacang panjang galaxy dan kacang panjang hijau.

Ciri-ciri bagi kacang panjang hitam adalah batang dan daun berwarna hijau, daun berbentuk oval. Bunga berwarna putih dan sedikit ungu ditengahnya. Jenis pokok memanjat dan cepat mengeluarkan hasil. Buah kacang panjang pula adalah sedikit panjang dengan warna kehitam-hitaman bercampur hijau. Dari jauh ia kelihatan hitam pada pandangan kasar. Mempunyai corak hitam pada pangkalnya. 

Tanomkinotuan menanam kacang panjang hitam ini pada bulan Disember tahun lepas di bawah celah-celah pokok mulberri yang telah dicantas dan dibuka daunnya. Dengan ruang tersebut memang sesuai untuk menanam benih kacang panjang hitam ini. Oleh kerana tanah tersebut jenis clay (lampung) maka tanomkinotuan bersusah payah untuk mengembur dan membaikpulih. Pokok mulberri sesuai ditanam di tanah jenis tanah liat yang dibaikpulih. Tanah itu tanomkinotuan bentuk sebagai batas dan pokok pegaga yang tumbuh betul-betul dibawah pokok mulberri terpaksa dicabut. Pokok pegaga pun sudah terlalu menjalar hingga serabut kebun tanomkinotuan. Tanah sudah terlalu padat dan keras. Tambahan kompos dalam jumlah yang banyak amat disyorkan bagi membaikpulih tanah tersebut. 

Tanomkinotuan tidak perlu menyediakan junjung atau kayu sebagai pemanjat untuk pokok kacang panjang hitam ini. Tujuan tanomkinotuan menanam pokok kacang panjang berhampiran pokok mulberri adalah supaya ia boleh memanjat pada pokok mulberri tersebut. Ini dikenali sebagai tanaman campuran atau companion plant yang amat disyorkan oleh pakar pertanian. Kedua pokok ini saling bantu-membantu dan bekerjasama. Pokok mulberri menyediakan perlindungan dan sebagai junjung pokok kacang panjang hitam manakala pokok mulberri mendapat faedah besar dengan menyerap nitrogen yang dihasilkan oleh akar pokok kacang panjang. Sangat-sangat mengurangkan kerja tanomkinotuan khususnya menyediakan junjung untuk kacang panjang tersebut. Cara ini dikenali sebagai tanaman campuran atau companion plant.

Kini selepas 1 bulan setengah pokok kacang panjang menghasilkan buah yang pertama. Cantik dan sihat saja. Tanomkinotuan telah menuai beberapa batang kacang panjang yang sudah boleh dituai walaupun hanya sedikit ia sangat bermakna. Ia boleh dimasak dengan dicampurkan dengan sayur lain. Kali ini apid tidak kelihatan pada batang dan daun kacang panjang. Selalunya kacang panjang tanomkinotuan akan diserang apid hitam yang menyebabkan kerosakan yang teruk hinggakan buah yang terhasil tidak sihat dan terbantut. Mungkin saja apid takut akan kerangga yang dominan berlegar-legar di pokok kacang panjang. Setiap pokok yang tumbuh di KBR sudah dikuasai oleh kerangga ini dan nampak buah tidak teruk sangat diserang makhluk perosak. Ini salah satu kebaikan jika kerangga bertandang ke kebun anda cuma saja anda kena tahan sekiranya anda digigit oleh mereka, amat memeritkan.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.


EmoticonEmoticon