Selasa

CARA DAN PANDUAN MENANAM SAWI BUNGA

Tags

Sawi bunga manis
Sawi bunga adalah salah satu jenis sayuran berdaun yang banyak ditanam secara komersil di negara kita. Sawi bunga termasuk dalam kelompok mustard dan termasuk dalam ketegori Asian green. Batang tidak berkayu dan berwarna hijau, daun bulat lonjong dan tunggal, bunga majmuk dan berwarna kuning. Rakyat Malaysia sangat mengemari sawi bunga. Campuran sawi bunga ke dalam mee goreng mengamit selera kepada pemakannya. 

Menanam pokok sawi bunga boleh dibuat sama ada di halaman rumah, kebun atau di kawasan lapang. Sawi bunga juga boleh ditanam dalam pasu, kontena atau bekas tanaman yang sesuai. Terdapat penanam yang sangat kreatif di mana menanam sawi bunga pada batang bambu panjang yang dibelah dua atau menanam sawi bunga di polibag yang sesuai. Berikut adalah cara dan panduan menanam sawi bunga pada batas atau pasu.

Pertama sekali anda harus membeli benih sawi bunga di kedai pertanian atau kedai hardware yang berhampiran. Anda boleh memilih variati sawi bunga di pasaran. Antara jenis sawi bunga yang boleh ditanam ialah sawi bunga kampung, sawi bunga manis, sawi bunga gergasi dan sawi bunga jepun atau komatsuna rafido F1. Sawi bunga manis ranggup dan rasa manis. Sawi jepun atau komatsuna ranggup, manis dan struktur lembut, antara sawi bunga yang terbaik. Sawi gergasi mempunyai bentuk dan saiz yang besar tetapi rasa tawar manakala sawi bunga kampung ada sedikit keras ranggup dan sedikit tawar. Terpulang pada anda yang mana satu benih sawi yang hendak ditanam.

Apabila benih sawi sudah berada di tangan semai benih tersebut. Ada beberapa teknik menyemai benih sawi iaitu;

1. Semai terus pada tanah yang digembur dan dibubuh kompos, tabur benih sawi secara seragam dan jangan lupa tabur sedikit tanah di atasnya, siram dengan air secukupnya.

2. Semai benih sawi bunga dalam bekas semaian seperti polibag, pasu atau styrofoam. 

3. Semai benih sawi bunga pada kontena atau pasu. Selepas 2 minggu alihkan ke polibag saiz kecil yang diisi media campuran. Setelah pokok sawi sudah mempunyai 4 helai daun pindahkan terus ke batas bersama tanah setelah plastik polibag telah dileraikan atau dibuka.

Simpan media semaian tersebut ditempat selamat dan pastikan media senantiasa lembab dengan menyembur atau spray tanah pada pasu, kontena, styorofoam jika kering. Kelembapan tanah mempercepatkan benih bercambah dengan baik. Pastikan juga benih pokok yang disemai dalam pasu, kontena, polibag atau seumpamanya yang disimpan ditempat teduh agar benih sawi bunga tidak berkaki panjang (leggy). Cara mengelak benih sawi tidak berkaki panjang walaupun di tempat teduh adalah setelah benih mula bercambah cahayakan pasu anak benih sawi selama sejam pada waktu pagi dan sejam waktu petang. Lakukan rutin ini sekurang-kurangnya sehingga anak pokok sawi benar-benar kuat menerima sinaran matahari dan bolehlah meletakkan pasu atau kontena tersebut dikawasan terbuka (terkena sinaran matahari). Sawi bunga tidak mengalami kaki panjang (leggy) jika diletakkan di tempat terkena sinaran matahari pada awal percambahan.

Seterusnya pilih lokasi yang sesuai. Jika memilih lokasi di kawasan halaman rumah pilih tempat yang disinari sinaran matahari melebihi 6 jam. Sawi bunga memerlukan sinaran matahari penuh untuk pertumbuhan yang baik. Begitu juga jika menanam di kawasan lapang atau di kebun harus menerima cahaya matahari melebihi 6 jam. 

Seelok-eloknya buat batas untuk menanam sawi bunga. Korek tanah sedalam 1 kaki dalam dan gembur hingga tanah lerai dan menjadi peroi. Batas yang sesuai ialah 2 x 5 kaki atau mengikut keluasan halaman rumah anda. Bendasing seperti batu, akar, ranting, daun kering, kayu reput atau bahan buangan lain harus dialihkan ke tempat lain. Tambah atau tabur serbuk kapur jika tanah batas berasid, untuk mengetahui tanah anda berasid, guna penyukat meter PH yang boleh dibeli di kedai pertanian. 

Untuk membaiki struktur tanah anda tabur kompos sebanyak 3 genggam untuk 2 kaki persegi, gaul sehingga sebati. Anda juga boleh menambah tinja binatang pada batas dengan menaburkan 1 genggam untuk 1 kaki persegi. Tambah cocopeat atau peat moss untuk memperbaiki struktur pengudaraan tanah. Sebelum ditambah sungkupan atau mulsa dedahkan terlebih dahulu batas tersebut kepada sinaran matahari terik agar mikrob jahat dapat dihapuskan. Letakkan mulsa setinggi 5 cm pada keseluruhan batas. Mulsa berperanan untuk melembabkan batas dan memperbaiki struktur tanah pada batas. Selepas itu, siram dengan air secukupnya.

Kompos bakar
Bagi menanam sawi bunga pada pasu sediakan media campuran dengan nisbah 2:1:1 yakni 2 bahagian tanah hitam/loam, 1 bahagian kompos dan 1 bahagian pasir sungai. Anda juga boleh menggunakan kompos bakar yang boleh dibeli di kedai pertanian. Masukkan kompos bakar ke dalam bekas tanaman hingga penuh dan tanam anak pokok sawi serta jangan lupa siram. Sekiranya menggunakan kompos bakar, anda tidak perlu menambah apa-apa jenis tanah pada kompos bakar tersebut. Selain itu, anda boleh menambah perlite pada media semaian anda jika ada. 

Selepas 2 hingga 3 minggu, anak pokok sawi bunga sudah boleh dialihkan ke batas. Jika anda menggunakan teknik semaian nombor 3 di atas, tunggu daun sawi berjumlah 4 helai. Buat lubang sedalam 2 hingga 2 setengah inci dengan jarak antara lubang/pokok ialah 1 kaki. Cara atau teknik semaian bagi nombor 1 dan 2 adalah cabut anak pokok sawi dengan berhati-hati agar tidak merosakkan akarnya, tanam sepokok untuk 1 lubang. Padat-padatkan tanah agar udara di dalam lubang dapat dikurangkan. Tanam anak pokok sawi hingga selesai. Selepas anak pokok sawi ditanam, siram dengan air secukupnya. Batas sawi bunga harus dibuat teduhan dengan menggunakan jaring net hitam. Ini bertujuan untuk mengelak dari anak pokok layu dan mati terkena pancaran matahari terik. Teduhan harus dipasang selama 7 hari (1 minggu). 

Buat lubang sedalam 2 inci pada pasu dan tanam anak sawi bunga pada lubang tersebut serta siram dengan air secukupnya.  Letak pasu atau kontena tersebut di tempat teduh sehingga seminggu dan bolehlah diletakkan di kawasan terkena sinaran matahari untuk tumbuhbesaran yang baik.

Apabila anak sawi bunga mencecah usia 2 minggu selepas dipindahkan ke batas, anda sudah boleh membubuh baja NPK organik disekeliling pokok anak sawi bunga dan selang 2 minggu bubuh kompos dan bone meal (jika ada). Lakukan pembajaan selang dua minggu dengan menyembur atau menyiram kompos teh atau baja ikan cecair organik (fish emulsion organic fertilizer). Gembur-gemburkan tanah agar baja sebati dengan tanah, siram batas selepas membubuh baja NPK atau kompos agar ia cepat bertindak pada akar anak pokok sawi bunga.

Bubuh baja organik dengan dua sudu pada sekeliling pasu selepas pokok sawi berusia 2 minggu. Selang selikan dengan kompos sebenar selang 2 minggu. Anda juga boleh menyempur atau menyiram anak pokok sawi dalam pasu dengan kompos teh atau baja ikan cecair. 

Jika anda meletakkan mulsa pada batas kerja anda untuk merumput kurang kerana mulsa/sungkupan boleh mengurangkan rumput rumpai tumbuh pada batas namun sebaliknya cabut rumput rumpai pada batas agar persaingan untuk mendapatkan makanan dapat dikurangkan. Cabut dan musnahkan pokok-pokok sawi yang diserang penyakit. Jika pokok sawi diserang oleh apid, anda boleh menyembur racun serangga organik pada serangan apid. Lakukan penyiraman berkala agar batas sentiasa lembab.  

Biasanya pokok sawi sangat disukai oleh belalang, siput dan lintah bulan. Terdapat juga serangan ulat seribu yang memakan daun pokok sawi dalam tempoh yang singkat. Pungut lintah bulan dan siput pada batas dan musnahkan. Anda juga boleh membeli racun organik untuk menghapuskan kedua makhluk perosak ini. Sembur sawi bunga dengan racun organik sekiranya ada serangan kulat atau bakteria pada daun. Namun racun serangga organik hanya berkesan pada serangan kulat dan bakteria pada awal serangan. Serangan pada pokok sawi yang teruk harus dicabut dan dimusnahkan.

Pokok sawi bunga yang ditanam boleh dituai selepas usia 4 minggu atau 1 bulan setengah. Cabut pokok sawi atau potong menggunakan pisau yang tajam. Anda boleh mengambil pokok sawi hanya cukup untuk memasak atau menuai kesemuanya. Selepas dituai jangan dicuci sawi tersebut tetapi masukkan ke dalam beg plastik berjip dan simpan ke dalam peti sejuk. Ia boleh bertahan selama 2 hingga 3 minggu di dalamnya. Cuci sawi sebersih-bersihnya sekiranya hendak memasak. Pada waktu menuai dalam jumlah yang banyak (untuk di simpan dalam peti sejuk) pastikan pokok sawi bunga tidak basah. Sebaiknya tuai sawi pada sebelah petang. 


Tips menyemai benih sawi bunga;

1. Anda boleh tabur benih dalam pasu atau batas tanpa menimbusnya dengan syarat tanah/media harus lembab.

2. Untuk hasil pokok sawi yang hijau dan cantik tabur gypsum pertanian (calcium sulfate) pada batas sebelum menanam sawi bunga. Ia bertujuan untuk mengurangkan kepadatan tanah (compact soil) khususnya tanah liat. Satu sudu untuk 5 kaki persegi.

3. Tanam bersama pokok allium, basil atau marigold untuk mengurangkan serangan serangga perosak pada pokok sawi.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.

16 komen

Info yang sungguh berguna. thanks for sharing!

You are welcome, semoga bermanfaat

Salam tuan. Nak tanye. Sawi perlu proses penjarangan ke? Dan hari ke berapa seleps tanam yg sesuai utk jarangkan? Tq

Salam tuan. Nak tanye. Sawi perlu proses penjarangan ke? Dan hari ke berapa seleps tanam yg sesuai utk jarangkan? Tq

Sawi perlu dijarang sekiranya terlalu padan. Lakukan penjarangan setelah pokok sawi berusia 2 minggu.

Tp teknik ini dpt membantu anda agar benih yg ditabur tidak tumbuh rapat2. Campurkan benih dan media gaul rata barulah disemai dlm media. Slmt mencuba

Oh ok. Brapa jarak yg sesuai utk penjarangan ye? Jarak antara pokok.
Bole sy dptkan contact number tuan? Tq

Oh ok. Brapa jarak yg sesuai utk penjarangan ye? Jarak antara pokok.
Bole sy dptkan contact number tuan? Tq

Salam saudara Salahudin A. Tnm sawi untuk tujuan jual ke atau mkn? Dan tnm dlm batas atau pasu/kontena?

Klo tnm sawi pada batas utk jual, mudah kerja saudara. Tabur saja benih sawi tu di batas dgn mencampurkan sedikit tanah agar percambahan benih tidak terlalu rapat.

Klo tnm dlm pasu n utk mkn sendiri. Oleh kerana jumlah pokok hanya sedikit perlu lah dijarakkan dgn cabut anak pokok sawi dn alihkn ke bekas lain.

Memadai jarak menanam antara pokok ialah 4 inci ke 6 inci.

019-5320756 (jus)

Terima kasih atas info yg sgt padat ni..
InsyaALLAH sy akan cuba...

Selamat mengunjungi blog ini dan semoga bermanfaat ya saudara.

Macam mana nak tanam sawi hijau. Mohon pencerahan

Anggaran kutipan sebatas sawi berapa kg?

Pokok sawi bunga saya didapati daunnya telah patah,,,apakah Cara yang berkesan untuk tumbuhkan semula daun sawi itu

Klo hanya daun yg patah no problem. Kerana pucuk nya akan hasilkn daun baru. Tp klo pucuk atau batang yg patah mmg x dpt diselanatkn dah.


EmoticonEmoticon