Ahad

UMBUT TOMBORUA: KHASIAT BAIK UNTUK DARAH

Tags

Pokok tomborua atau dalam bahasa saintifiknya dikenali sebagai Plectocomiopsis geminiflora dalam keluarga Arecaceae ialah sejenis rotan yang tumbuh dengan baik di kawasan tropika seperti di negara kita. Dalam bahasa Melayu ia dipanggil sebagai umbut lalis atau pokok lalis. Ia sesuai tumbuh di semua kawasan di Asia Tenggara khususnya di Sabah. Batangnya kecil dan berwarna hijau, gugusan pokok yang padat, berduri sepanjang batangnya, dan pokok jenis memanjat dengan internod yang panjang. Batang dari pucuknya dikopek untuk mendapatkan umbut mudanya yang berwarna putih. Struktur rasa sangat kuat dan pahit. Di Sabah umbut tomborua dijadikan sayuran oleh komuniti yang meminati makanan ini. Ia banyak dijual di tamu/pasar siang dengan harga mencecah RM2 satu plastik bagi yang dikopek kulit kerasnya, manakala jika yang belum dikopek berharga RM2 untuk 2 hingga 3 batang. Bagi yang biasa membeli umbut tomborua ini, mereka lebih suka membeli yang belum dikopek kerana ia tahan lama dan berbaloi.

Tanomkinotuan sering membeli umbut tomborua jika singgah di tamu/pasar siang di sekitar Ranau, Keningau atau Tambunan. Pada tahun lepas, tanomkinotuan ke pasar basah untuk membeli beberapa kilo ikan untuk bekalan seminggu dua. Mengikut penjual ikan tersebut, ia baru sampai semalam. Bermaksud ikan tersebut bolehlah dikatakan masih segar dan cantik. Tanomkinotuan membeli ikan tenggiri, ikan basung bulat (jenis ikan kembung), ikan lumahan (jenis ikan kembung) dan ikan kurisi. Tanomkinotuan juga membeli beberapa kilo ketam laut, solisip (jenis kerang) dan sekilo udang yang mencecah RM48. Tanomkinotuan hanya mampu beli sekilo, harganya boleh cekik darah. Tapi untuk keluarga tanomkinotuan, tutup mata sahaja beli, lagi pula ibu tanomkinotuan sangat meminati udang ini. Selepas selesai semuanya, tanomkinotuan ke bahagian menjual sayur-sayuran. Maka ternampaklah tanomkinotuan umbut tomborua yang baru dikopek dan dimasukkan ke dalam plastik lutsinar. Tanomkinotuan beli dua plastik dengan harga RM4.

Seorang pangkaji dari Universiti Putra Malaysia iaitu Muhajir Hamid telah membuat kajian tentang nutrisi terkandung dalam pokok tomborua di mana hasil kajiannya mendapati ia kaya dengan serat, sumber mineral penting seperti photosium, magnesium, kalsium, zink dan phosporus. Sementara itu tomborua mempunyai bahan anti-oksidan seperti flavonoid myricetin dan phenolic iaitu asid protocatechuik dan asid chlorogenik. Ia berkesan menyekat aktiviti alpha-amylase yakni enzim yang melibatkan pencernaan kaborhidrat. Juga berkesan merendahkan tahap glucose dalam darah kepada pengidap diabetis. Maka dengan itu, tomborua berkesan dalam aktiviti anti-diabetik (antidiabetic).

  Bagi tanomkinotuan, perlu seimbangkan rasa makanan yang kita makan iaitu manis, pahit, dan masin. Kita tidak boleh hanya memakan yang manis sahaja. Keseimbangan itu perlu bagi mengekalkan keasidan dan kealkalian dalam tubuh badan kita agar ia dapat mengekalkan kesihatan sepanjang masa. sesuatu yang pahit itu adalah penawar, memang betul bidalan tersebut. Ubatan dari hospital rata-ratanya pahit. Tidak memakan umbut tomborua disebabkan rasa pahit adalah alasan yang tidak munasabah. pahit itu diperlukan dalam badan untuk menyeimbangkan manis dan masin dalam badan kita. Kaum Cina sudah lama mengamalkan konsep sebegini dalam cara untuk mengekalkan kesihatan dan kecantikan. Tak sanggup makan umbut tomborua, cuba memasak sayuran buah seperti peria dan salad lolorrosa yang mengandungi rasa sedikit pahit. 

Sebenarnya orang Sabah sudah lama beradaptasi dengan alam di sekelilingnya. Banyak makanan yang boleh diperolehi dari hutan berdekatan. Umbut tomborua berkesan untuk merendahkan tekanan darah anda. Kepada sesiapa yang mempunyai darah tinggi, elok memakan umbut tomborua dengan memakannya sebagai sayur. Ramai di luar sana menggunakan umbut tomborua sebagai bahan tambahan untuk menurunkan darah tinggi, tetapi perlu diingatkan bahawa dilarang sama sekali memakan umbut tomborua kepada mereka yang mempunyai tekanan darah rendah dan kepada ibu mengandung. 

Tanomkinotuan pernah melakukan pelbagai kerja sebelum mendapat pekerjaan sekarang ini seperti menoreh getah, tanomkinotuan menoreh getah dikebun tinggalan datuk tanomkinotuan untuk mencari wang sampingan. Dijadikan cerita, makcik tanomkinotuan akan mengambil tomborua dengan mencantas batangnya lalu ditarik sekuat tenaga untuk menurunkan batangnya yang menjalar hingga ke puncak pokok getah. Lalu makcik tanomkinotuan mencantas perdu (pucuk pokok tomborua) tersebut dan membuang duri-duri sepanjang 2 inci. Kalau tercucuk di mana-mana bahagian tubuh badan kita sememangnya menyakitkan. barulah makcik tanomkinotuan membuang kulit luarannya dan mengopek hingga kelihatan umbut tomborua yang masih muda. Makcik tanomkinotuan suka memakan umbut tomborua dengan memanggangnya sahaja. Panggang di atas bara api hingga layu dan lembut. Makan dengan dicicah cili berkicap yang diperah limau. Fuhhh! pahit bukan main.

Bagi tanomkinotuan umbut tomborua yang dihiris harus direbus terlebih dahulu kira-kira 5 hingga 20 minit. Tanomkinotuan kurangkan terlebih dahulu rasa pahitnya. Barulah dimasak ikut resepi sendiri. Tanomkinotuan masak umbut tomborua dengan sardin dalam tin dan dicampur sedikit daun sup/seleri untuk aroma lebih segar dan sedikit limau nipis untuk menyeimbangkan rasa pahit pada umbut tersebut. Boleh dimakan bersama nasi putih bukit dan ikan goreng. Sedap...

Selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.


EmoticonEmoticon