Ahad

TUAIAN KACANG TANAH DI (KBR)

Tags

Minggu ini adalah minggu santai tanomkinotuan di rumah. Selepas melawat Kebun Belakang Rumah (KBR) pada pagi ini (jam 6 pagi, jam 6 pagi di Sabah sudah cerah. Beza 1 jam lebih awal berbanding di Semenanjung sana.) Tanomkinotuan belum ada entry baharu yang hendak di post/diceritakan disini kerana tanaman di KBR dalam proses menyemai dan menanam. Mungkin tanomkinotuan boleh menceritakan tentang tanaman yang baru membesar secara bergambar jika ada kelapangan. In Sha Allah.

Berbalik kepada tajuk di atas mengenai tuaian kacang tanah. Penghujung tahun lepas tanomkinotuan ada menanam benih kacang tanah dari 3 variati yang dibeli di tamu tempoh hari. Boleh rujuk DISINI entry mengenai post tersebut. Tanomkinotuan, emak tanomkinotuan dan adik perempuan tanomkinotuan telah pergi ke KG (Kebun Getah jam 7 pagi lebih kurang). Tujuan ke sana tidak lain dan tidak bukan hanya melawat kebun di sana. Bulan ini langsung tidak turun hujan. Pokok-pokok keladi daunnya menyembah bumi bak hamba sahaya tunduk dihadapan seorang raja yang bengis (nakangalahanggang dalam istilah bahasa Kadazandusun). Begitulah perihal keladi-keladi tanomkinotuan yang dahagakan air pada tanah. Namun apakan daya, tanomkinotuan berserah pada hujan semata-mata dan bukan tidak boleh membina air penyiram yang biasa kita lihat di kebun atau ladang-ladang berskala besar tetapi tujuan untuk menanam pokok keladi cina pun hanya sebagai kerja sampingan sementara menunggu pokok getah membesar jika ada rezeki Alhamdulillah.

Pokok kacang tanah tanomkinotuan juga sedemikian. Tidak mendapat air secukupnya. Walaupun kacang tanah merupakan tumbuhan yang boleh mengeluarkan nitrogen sendiri tetapi jika tanah kering dan tidak ada hujan atau sumber air tidak berguna juga. Sama seperti kereta yang tidak mempunyai bahan bakar/minyak kenderaan. Hanya tersadai tanpa boleh berbuat apa-apa kecuali anda membeli minyak petrolnya.

Emak tanomkinotuan memberitahu agar kacang tanah tersebut dicabut kerana tanaman di KG tidak selamat ekoran gangguan dari sekumpulan monyet yang suka mencabut apa saja yang mereka nampak. Pokok sengkuang dan ubi keledek habis dicabutnya. Keledek yang sudah berumbisi dan hanya tunggu ubinya membesar sudah di tuai lebih dulu manakala pokok sengkuang juga mengalami hal sama. Buah pisang rebus (pisang Sabah) walaupun belum masak sudah habis dimakan tinggal batang pokoknya saja. Pokok nanas pula pucuk mudanya dicabut hingga gondol dibuatnya, kemaruk sangat hendak makan buah nanas. Timun india (batad kampung) dan timun cina habis dipetik hasilnya. Jadi sebelum melarat perbuatan tidak bermoral sang monyet itu...hahahaha, elok tanomkinotuan cabut dulu kacang tanah itu. Jika dibiarkan dikhuatiri putih mata ('kampis barait' dalam peribahasa Kadazandusun, atau boleh disebut juga keadaan ini sebagai 'noiman-iman').

Kacang 3 variati
Panas membahang sudah terasa walaupun masih terlalu awal. Tanomkinotuan perlu berusaha mencabut dan memetik biji kacang tanah hingga selesai. Nasiblah tanahnya jenis peroi di mana hanya cabut menggunakan tangan. Ini kerana penanaman kacang tanah tersebut telah dibuat batas seadanya. Setelah tanomkinotuan berjaya mencabut 3 batas yang pertama, langsung tanomkinotuan petik bijinya dengan cepat. Bekerja di bawah sinaran matahari membahang sangat perit dan tidak selesa. Nasib baik tanomkinotuan memakai baju ala-ala baju askar yang tebal itu, jika tidak sudah tembus bahang membakar kulit. Sesudah usai, tanomkinotuan sambung semula mencabut pokok-pokok kacang tanah yang hanya tinggal sedikit dan cepat-cepat menyiapkannya.

Dari 1 kilo kacang tanah (berserta kulit) yang dibeli di tamu tempoh hari, tanomkinotuan memperolehi 8 kilo kesemuanya. Separuh biji-biji kacang tanah yang matang akan dikeringkan sebagai next crop akan datang dan separuh lagi akan dimakan atau direbus terlebih dahulu. Terdapat 3 variati kacang tanah yang ditanam iaitu kacang tanah hitam, kacang tanah pulut dan kacang tanah merah. Oleh kerana kemarau melanda, kacang tanah tanomkinotuan kurang isi yang cantik, isi bermasalah dengan isinya tidak cukup matang hanya kulit yang cantik strukturnya tapi bila dibuka dan lihat isinya, cenonet ja. Beri pada ayam pun tak ingin. Walau bagaimanapun, ia masih boleh direbus dan pilih biji kacang yang berisi untuk disuap ke dalam mulut. Pokok kacang tanah mampu bertahan pada cuaca panas sehingga 3 bulan lamanya tanpa air, pokok kacang tanah tidak akan mati dan masih mampu berisi cuma pokoknya sedikit ketot, daun kekuningan dan yang sadisnya biji kacang tanah kurang berkualiti.

Dirumah, tanomkinotuan mencucinya dan merebus dengan menambah sedikit garam. Keluarga tanomkinotuan memakannya sambil menonton televisyen. Dapatlah tanomkinotuan merasa kacang tanah organik tanam sendiri walaupun tidak sebaik kacang tanah orang lain. Tetapi tidak mengapa kerana benih untuk ditanam masa akan datang sudah ada tidak perlu untuk membelinya semula, diharap tanaman kacang panjang pada masa akan datang memperolehi hasil yang baik berbanding hari ini.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.


EmoticonEmoticon