Sabtu

CARA MENYEMAI MULBERI DARI KERATAN BATANG

Tags

Pokok mulberi popular ditanam di negara ini. Buahnya yang berwarna hitam ketika matang rasa manis apabila memakannya. Pokok ini sesuai ditanam di halaman rumah sebagai penghias laman selain pokoknya menghasilkan buah yang boleh dituai juga pucuk mudahnya boleh dimasak sebagai sayur. Ia boleh dijadikan snek yang enak dan berkhasiat terutamanya tinggi kandungan vitamin C. Jika tidak cukup ruang pada halaman rumah anda, anda boleh menanamnya di dalam pasu besar. Berikut cara menyemai pokok mulberi dari keratan batang.

Bahan-bahan yang diperlukan:

1. 5 keratan batang pokok mulberi

2. 5 polibag saiz sederhana

3. 2 mangkuk besar tanah hitam/lom

4. 1 mangkuk besar kompos/tinja ayam

5. 1 mangkuk besar pasir sungai

Cara menyediakannya:

1. Campurkan media seperti tanah hitam, kompos dan pasir ke dalam besen besar dan gaul hingga sebati.

2. Masukkan media campuran tersebut ke dalam polibag yang telah disediakan. Padat-padatkan sedikit.

3. Buat lubang ditengah polibag menghunakan kayu sama saiz dengan keratan mulberi kira-kira 2 inci setengah hingga 3 inci.

4. Cucukkan keratan batang mulberi satu persatu pada setiap lubang dalam polibag. Padat-padatkan tanah disekeliling keratan batang pokok mulberi tadi. 

5. Siram semaian keratan batang dengan air mencukupi. Simpan polibag anda di tempat teduh sehingga keratan pokok mulberi mengeluarkan tunas.

Lazimnya selepas 2 minggu tunas baru akan muncul. Pastikan tempoh ini jangan goyangkan keratan batang dikhuatiri keratan batang akan mati. Siram media semaian jika didapati agak kering supaya akar dapat terbentuk dengan cepat. Selepas 4 minggu anda sudah boleh alihkan ke batas atau pasu atau sehingga pokok mulberi sudah kuat dan pucuknya melebihi 4 inci. 

Anda juga boleh menggunakan media aka tanah di halaman rumah anda. Pokok mulberi tidak cerewet mengenai tanah. Ia boleh tumbuh pada apa-apa jenis tanah dengan syarat ia mesti lembab dan kaya organik.

Jika anda menggunakan tinja ayam pastikan media tersebut direhatkan selama 2 minggu barulah menanam keratan pokok mulberi, dikhuatiri pangkal keratan pokok mulberi membusuk dan mati. Tinja ayam bersifat panas dan menjejaskan tanaman jika tinja ayam tersebut belum reput sepenuhnya.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.


EmoticonEmoticon