Jumaat

MENUAI LOBAK MERAH VARIATI DANVERS DI KBR

Tags

Pada 8 Januari 2015 yang lepas tanomkinotuan menyemai benih lobak merah variati Danvers pada bekas simpanan air terbuang berskala besar yang tidak lagi digunakan. Tanomkinotuan cambahkan benih lobak merah di dalam peti sejuk selama 1 minggu hingga 2 minggu dan menyemai terus pada bekas simpanan air yang diisi media semaian campuran.



Pada 12 Januari 2015, lobak merah yang disemai dalam bekas simpanan air kini bercambah. Lebih 95% cambahan lobak merah berjaya ke permukaan. Masa ini keperluan air sangat diperlukan untuk kelembapan media. Siram 2 kali sehari pagi dan petang.




Gambar di atas pula diambil pada 18 Januari 2015 yang lalu. Selepas itu, tanomkinotuan jarakkan anak-anak pokok lobak merah dengan mencabutnya pada jarak 5 inci antara pokok. Ini supaya pokok-pokok lobak merah boleh membesar dengan baik tanpa persaingan.





Gambar di atas bertarikh 26 Januari 2015, masa ini tanomkinotuan membubuh sedikit kompos di sekeliling pokok lobak merah. Jangan terlalu banyak meletakkan kompos takut daun merimbun dengan isi lobaknya kecil serta bercabang. Keperluan air harus cukup untuk kelembapan tanahnya. 




Pada 7 Mac 2015, lobak merah tanomkinotuan dah besar dengan baik. Masa ini pokok lobak merah sudah menghasilkan isi lobak. Kelembapan media haruslah senantiasa dengan menyiramnya. Masa ini kemarau sudah bermula. Tips agar pokok lobak merah anda bertahan di musim panas ialah penyiraman 2 kali sehari dan meletakkan mulsa atau sungkupan di permukaan tanah agar sentiasa lembab.



Gambar lobak merah bertarikh 27 Mac 2015. Tanomkinotuan ada korek sedikit tanah dekat pangkal pokok lobak tersebut dan ukur lilit isi lobaknya sudah besar. Kira boleh dituai dah. Masa ini penghujung musim panas yang melanda tempat tanomkinotuan. 



Kini tanggal 3 April 2015, semalam hujan lebat di kampung tanomkinotuan. Syukur Alhamdullilah, rahmat dari Allah SWT. Paginya tanomkinotuan ke KBR melihat apa suasana hari pertama dihujani oleh air hujan semalam. Sayuran yang ditanam semakin ceria. Tetapi musim hujan juga adalah tempoh malapetaka bagi sayuran daun di mana ulat banyak membiak. Niat untuk menuai lobak hari ini mesti dikotakan. Tanomkinotuan angkat bekas tanaman lobak dan letak di tempat yang selesa. Gambar ni adalah gambar akhir sebelum dituai.



Lobaknya kelihatan bila tanomkinotuan kuis sedikit tanah di pangkal pokok. Kira sudah pra-matang kot. 



6 biji lobak merah dapat dituai hari ini. Walaupun belum matang sepenuhnya tetapi menuai lobak merah dalam keadaan pra-matang dapat merasakan struktur, rasa dan kesedapannya dinikmati sepenuhnya berbanding lobak merah import. Ini variati lobak merah Curado F1 bukannya Chantenay yang lazim ada di pasaran. Curado  carrot ni adalah variati Danvers pangkalnya besar dan menirus ke bawah. Macam ketot saja kan? Lobak yang panjang tu sebenarnya lobak merah variati imperator di mana lobak merah yang panjang isi lobaknya.



Tadaaaaa!!!!! lobak merah Danvers dan sebiji lobak merah imperator dalam keadaan bersih. Tanomkinotuan bersihkannya dengan air kolam di sebelahnya dan akan dibilas semula dengan air paip apabila kembali ke rumah. Lobak-lobak ini berjaya dimasak oleh abang ipar tanomkinotuan (suami kepada kakak tanomkinotuan yang baru sampai ke rumah), dicampurkan dengan sup ikan. Keluarga tanomkinotuan sangat mengemari sup ikan. Fuh! Selama menunggu beberapa bulan hasilnya lobak merah yang cantik dan ketot dapat dihasilkan di KBR. Apakah anda sudah menyemai lobak merah hari ini? Jika tidak, mulakan semaian untuk hasil lobak 3 bulan kemudian.

Lepas ini tanomkinotuan menunggu tuaian lobak merah mini (lobak merah bulat) dan lobak merah berwarna putih di KBR pula. Pokoknya masih belum sesuai dituai buat masa sekarang. Tanomkinotuan kena menunggu sebulan lebih lagi untuk dituai.

Tips menanam lobak:

1. Kurangkan penggunaan baja bernitrogen tinggi pada lobak anda. Ini kerana terlalu banyak baja akan menyebabkan daun merimbun cantik tetapi isi lobak ketot, kecil dan bercabang.

2. Cambahkan benih lobak ke dalam peti sejuk selama 1 atau 2 minggu barulah di semai.

3. Anda boleh menanam lobak pada batas atau pasu yang sesuai.

4. Gunakan media peroi dan media berpasir untuk menanam lobak. 

Selamat bertani dan menuai hasil. 

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.


EmoticonEmoticon