Jumaat

PANDUAN MENANAM POKOK JAGUNG PULUT

Tags


Jagung pulut (Bahasa Kadazandusun: tawaran; luong; handum) adalah variati jagung heirloom yang banyak ditanam di Asia Tenggara khususnya Malaysia, Indonesia serta Brunei Darul Salam. Mungkin jagung jenis ini juga banyak ditanam di Thailand, Kambodia dan lain-lain. Pokoknya tidak jauh berbeza dengan variati lain seperti jagung Hibrid atau jagung GMO (tidak digalakkan menanamnya) di pasaran cuma yang berbeza ialah jagung pulut mempunyai pokok yang agak tinggi melebihi 1 meter, daun lebih panjang berwarna hijau muda. Satu pokok menghasilkan 2 hingga 4 buah jagung dengan rerambut halus berwarna putih krim atau merah muda. Kelopak daun dari buahnya berwarna hijau atau merah gelap keunguan serta isinya berwarna putih terang. Namun jagung pulut variasi pokok, daun dan kelopak buah berwarna merah keunguan kini jarang ditemui hari ini berkemungkinan mengalami kepupusan akibat kehadiran variati jagung yang baharu. Jagung pulut sangat digemari oleh pencinta jagung kerana bukan sahaja lemak-lemak berkrim serta manis (tidaklah sama manisnya dengan jagung manis) tetapi juga rasanya sedikit meleket seperti pulut sebab itulah variati ini dipanggil jagung pulut. Jagung pulut juga dikenali sebagai jagung kampung oleh penduduk setempat.

Tidak sukar untuk menanam jagung pulut disebabkan iklim di negara kita yang sesuai untuk menanam semua variati jagung termasuklah jagung pulut ini. Tidak seperti di negara yang mengalami 4 musim, jagung pulut boleh ditanam di negara kita sepanjang tahun. tidak perlu menghafal Kalendar penanaman seperti mana yang dipraktikkan oleh para pekebun di negara tersebut. Berikut adalah cara dan panduan untuk menanam jagung pulut di halaman rumah sama ada ditanam pada batas atau menggunakan polibag saiz besar atau pasu besar.

Pertama sekali, anda harus mendapatkan benih jagung pulut daripada orang yang ada menjualnya. Makluman untuk semua, nusery atau kedai pertanian tidak menjual benih jagung pulut ini. Di Sabah anda hanya boleh mendapatkan benih jagung pulut yang dijual di tamu (pasar minggu). Malah jika pandai tawar menawar anda boleh dapat harga yang berpatutan. Anda juga boleh mendapatkan benih jagung yang dijual secara online, pilih kedai online yang ada menjualnya dan boleh dipercayai.

Pilih lokasi menanam, lokasi atau tempat menanam jagung anda harus sesuai dari segi pencahayaan. Pokok jagung memerlukan sinaran matahari melebihi 6 jam sehari. Anda boleh menanam pokok jagung anda di halaman rumah seperti belakang rumah yang lapang, tepi pagar yang cukup sinaran matahari atau depan rumah anda. Jangan menanam benih jagung berhampiran dengan pokok besar, pokok bunga yang telah besar pokoknya. Ini kerana pokok akan mencuri zat makanan melalui akarnya yang telah panjang menjalar dalam tanah. Pada pasu, sama kes dengan menanam di atas batas, cahaya sangat penting untuk pertumbuhan jagung yang baik. letakkan polibag atau pasu anda pada kawasan yang disinari sekurang-kurangnya 6 jam atau lebih. 


Bagi anda yang menanam pokok jagung dalam tanah, elok rasanya membuat batas sekadar termampu. Korek tanah sedalam 1 kaki menggunakan cangkul dan tinggikan tanah menjadi batas kira-kira 9 inci hingga 10 inci tinggi. Buat batas bersaiz 1x6 atau mengikut jumlah benih jagung pulut yang hendak ditanam. Banyak jumlah benih yang ditanam maka batas anda juga perlu dipanjangkan. Batas tersebut harus digembur hingga menjadi serpihan-serpihan kecil, peroi dan lerai. Buang semua bendasing yang wujud di dalam tanah seperti batu, kayu reput, ranting, akar kayu, tile, serpihan semen, paku dan sebagainya. Tambah kompos pada tanah untuk memperbaiki kualiti tanah, jika anda menggunakan 1x6 saiz batas maka anda perlukan 3 kilo kompos yang perlu ditabur merata pada batas anda. Tambah kapur pertanian jika tanah didapati berasid (guna pengukat PH tanah yang mudah dibeli di kedai pertanian berhampiran). Anda juga boleh menambah tinja binatang terproses yang boleh dibeli di pasaran dengan harga berpatutan. Baja murah atau kos zero juga boleh kita perolehi di mana anda boleh meminta tinja binatang kepada sesiapa yang ada memelihara/menternak kambing, lembu, arnab atau kuda di tempat berkenaan. Tabur tinja binatang tersebut pada batas anda sebanyak 3 kilo dan sebatikannya dengan tanah. Jika anda tinggal berhampiran dengan kilang kelapa sawit, ada sisa hitam yang mereka akan buang. Selalunya dilonggokkan tidak jauh dari kilang. Anda boleh juga mngambilnya dan tabur pada batas tetapi jangn terlalu banyak. Cukup beberapa genggam saja. Tapi jika anda menanam sayur berdaun pula amat sesuai jika anda tabur dengan kuantiti yang banyak pada batas kerana kompos kelapa sawit akan melebarkan dan merimbunkan daun sayuran anda. 

Bagi mereka yang memilih menanam pokok jagung di dalam polibag atau pasu besar. Hanya sediakan media campuran dengan nisbah 2:1:1 (tanah lom/hitam:pasir sungai:kompos/baja organik). Boleh ditambah kompos kelapas sawit juga. Campurkan media tersebut dan isikan ke dalam polibag atau pasu anda.

Apabila batas dan pasu/polibag telah disediakan, anda sudah boleh menanam benih jagung ke dalamnya. Sebelum itu, rendam terlebih dahulu benih jagung selama 1 hingga 2 jam, kemudian buat lubang pada batas sedalam 2 inci hingga 2 1/2 inci dengan jarak antara lubang ialah 2 kaki setengah. Tanam 2 biji benih jagung pulut untuk setiap lubang, timbus semula dengan tanah. Lakukan kerja-kerja menanam sehingga selesai. Pancangkan kayu atau seumpamanya pada bekas lubang agar kita tahu di mana kedudukan benih-benih jagung tersebut. Ia sebagai tanda kedudukan/lokasi benih jagung yang ditanam di dalam batas. Bagi dalam pasu pula, buat lubang di tengahnya dan tanam 2 biji benih jagung serta timbus semula dengan tanah. Siram media tanaman anda dengan air yang cukup. 

Benih jagung mengambil masa untuk bercambah kira-kira 5 hari hingga 14 hari. Jika benih jagung tersebut tumbuh melebihi 2 pokok, pilih pokok yang kurang subur dan cabut untuk memberi ruang kepada pokok yang satu lagi untuk tumbuh dengan baik.

Genap usia 2 minggu anak pokok jagung pulut anda, lakukan pembajaan menggunakan baja NPK organik dengan menaburkan disekeliling pokok anak jagung. Sebelum menaburkan baja tersebut. Gembur-gemburkan terlebih dahulu tanah di sekeliling anak pokok supaya serapan lebih cepat oleh akarnya. Lakukan pembajaan selang 2 minggu sekali. Anda boleh selang selikan dengan menyiram kompos teh dan baja cecair ikan kepada anak pokok jagung anda. Ikut panduan membajaan di bawah untuk jagung anda:

Minggu kedua selepas disemai (14 hari)


  • Baja NPK organik - setengah genggam untuk satu pokok pada batas dan 2 sudu untuk anak pokok jagung dalam pasu
Minggu ketiga selepas disemai (21 hari)

  • Baja cecair kompos teh - setengah gelas kompos teh dengan 2 liter air. 
  • Baja cecair ikan (Fish emulsion fertilizer) - 1 gelas baja cecair ikan dengan 3 liter air. 
  • Anda juga boleh menggunakan penyembur/spary ke atas daun, batang dan sekeliling tanah pada pokok jagung. Siram pada tanah atau siram bersama-sama tanaman. lakukan pada petang. 

Minggu keempat selepas disemai (28 hari)

  • Baja NPK organik - setengah genggam untuk setiap pokok jagung dan 2 sudu bagi pokok jagung dalam pasu/polibag
  • Baja bone meal - 2 sudu besar untuk setiap pokok jagung pada batas dan 1 sudu kecil bagi pokok jagung dalam pasu

Minggu keenam selepas disemai (42 hari)

  • Baja tinja ayam/lembu - segenggam untuk sepokok jagung, 2 sudu bagi pokok jagung dalam pasu.
  • Baja bone meal - 2 sudu besar bagi sepokok jagung pada batas dan 1 sudu besar bagi pokok jagung dalam pasu.

Minggu kelapan selepas disemai (56 hari)

Tempoh ini pokok jagung anda sudah berbuah dan tunggu menjadi matang. Tambah baja untuk buah yang cantik, besar dan padat.

  • Baja bone meal - tabur di atas batas dengan anggaran setengah genggam atau 1 genggam bagi setiap pokok. Manakala 2 hingga 3 sudu kecil bagi pokok jagung di dalam pasu.
  • Anda juga boleh menambah baja NPK organik jika sesuai.

Penjagaan pokok jagung tidaklah cerewet, ia mudah untuk dijaga dengan melakukan siraman 2 kali sehari pagi dan petang ketika musim panas dan tidak perlu ketika hujan. Buang segala rumput rumpai yang tumbuh di atas batas atau pasu. Untuk mengurangkan pertumbuhan rumput pada batas dan pasu, letakkan mulsa (mulch) atau sungkupan pada batas seperti jerami padi, rumput kering, habuk kayu, cocopeat dan sebagainya. Ia bukan sahaja mengurangkan pertumbuhan rumput rumpai tetapi juga mengekalkan kelembapan media pada tahap yang lama.

Pokok jagung mudah diserang penyakit. reput akar oleh serangan bakteria, serangan apid dan hena, penyakit serbuk putih pada daun jika suhu tersangat rendah dan serangan ulat pengorek buah jagung. Guna racun organik yang boleh dibeli di pasaran dan sembur pada terkena jangkitan. Cabut dan hapuskan pokok jagung yang teruk agar tidak menjangkiti pokok-pokok yang lain. Kawal kelembapan tanah dan nutrisi pada tanah untuk mengurangkan masalah serangan dan penyakit pada pokok jagung anda.

Pokok jagung pulut sudah boleh dituai genap 60 hari di semai. Untuk mengetahui buah jagung pulut tersebut sudah boleh dituai ialah dengan mencarikkan sedikit kelopak buahnya untuk melihat isinya. Tuai buah jagung pulut dalam keadaan isinya masih berjus/berair dan jika buahnya sudah kering atau menjadi keras ia tidak sesuai untuk direbus kerana keras dan tawar. Petik buah-buah jagung tersebut dengan mematahkannya ke bawah atau dengan menggunakan alatan tajam. Jagung pulut boleh bertahan sehingga 2 minggu apabila disimpan di dalam peti sejuk dengan memasukkannya ke dalam plastik berzip. Oleh kerana jagung pulut ialah jenis heirloom maka tinggalkan sepokok jagung untuk tujuan pematangan buahnya supaya kita dapat benih untuk tanaman musim akan datang. Tak perlu dah membeli benih jagung.


Tips menanam jagung pulut:

  • Tanam pokok jagung pulut anda di batas bersama dengan kentang, kacang pea, kacang tanah, timun dan labu. Jangan ditanam pokok jagung bersama kekacang memanjat (pole bean) dan pokok berri. Ini dikenali sebagai tanaman campuran atau companion plant bagi mengurangkan kerosakkan tanaman anda dari serangan makhluk perosak.
  • Jika baja bone meal (baja serbuk tulang ikan) sukar diperolehi, ganti dengan baja cecair ikan buatan sendiri pun boleh. Klik di SINI cara-cara membuat baja cecair ikan.
  • Jika kapur pertanian tidak ada dalam simpanan, bakar kertas buangan, kayu, ranting, dedaun kering dan rumput kering yang ada di halaman rumah anda dan ambil abunya tabur pada batas tersebut. Abu tersebut boleh mengantikan fungsi kapur pertanian. 

Selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.

8 komen

detail sungguh post jagung ni. terima kasih. ada beberapa soalan la carl. harap boleh bantu.

bab buat benih ni, boleh terang kan lagi tak? jagung tu biarkan tua atas pokok.. berapa lama ya. sampai pokok kering?

lepas buah dah menjadi, bunga jantan elok potong atau biarkan ja?

Untuk pematangan buah jagung bagi dijadikan benih, biarkan pokok itu hingga kering barulah buah nya dikutip. Buka kelopaknya dan keringkan semula di bawah sinaran matahari sehingga benih2 menjadi keras (3 - 10 hari) bergantung pada kuatnya sinaran matahari. Bila dah benar2 kering yakni biji2 jagung telah keras (15-20% kelembapan) maka leraikan benihnya dan simpan dalam bekas kedap udara bagi menjamin kualiti dan elak di makan bubuk/serangga perosak

Atau kutip buahnya dan sangkutkan buah jagung beserta kulitnya ditempat selamat seperti di dapur atau stor yg masih terkena haba, secara perlahan2 biji jagung akan kering sendiri. Ala, mcm dlm filem2 China atau filem org putih zaman dulu-dulu, nmpk buah jagung kering disangkut kat dinding. Jangan simpan benih jagung dlm bekas kedap udara jika biji jagung tidak terlalu kering nanti berkulat dan rosak. Kadang2 walaupun kelopak buah jagung sudah kering tetapi bijinya masih belum mengeras.

bunga jantan tu biarkan saja, x de masalah.

Tumpang tanye... slps kita dah kutip hasil buah jagung tu... pokoknya perlu dibuang/ditebang tak..?

Selamat datang ke blog ini.

Selepas buah jagungnya dikutip habis pokok jagung dah boleh ditebang kerana pokoknya tidak berguna dah hanya tunggu kering ja.

Betul ke tanaman jagung pulut sesuai untuk elak serangan penyakit pada tanaman cili/ tomato?

Tak pasti pula... Yg sy tahu pokok bunga marigold dan pkk kucai boleh ditnm bersama sayur lain utk elak beberapa jenis serangga yg menyerang tanaman.


EmoticonEmoticon