Isnin

PANDUAN MENANAM POKOK PUDINA DALAM POLIBAG ATAU PASU

Tags

Entry lepas tanomkinotuan berkongsi tentang cara-cara menanam pokok pudina langsung pada batas, kali ini tanomkinotuan ingin berkongsi pula bagaimana menanam pokok pudina di dalam pasu atau kontena yang sesuai. Semua orang sangat berminat menanam herba khususnya pudina, ia bukan saja beraroma unik tetapi juga manfaatnya yang banyak terutamanya dalam bidang perubatan tradisi dan masakan. Bagi mereka yang belum mengetahui aroma pudina ini, aromanya seperti aroma dalam ubat gigi jenama colgate hingga iklan colgate di kaca televisyen menayangkan betapa segarnya apabila menggunakan ubat gigi berperisa pudina. Berikut adalah cara dan panduan menanam pokok pudina dalam pasu/kontena:

Bahan-bahan yang diperlukan:

1. Satu pasu/polibag bersaiz besar.

2. Dua atau tiga

keratan pokok pudina.

3. Dua mangkuk besar tanah hitam/lom.

4. Satu mangkuk besar pasir sungai.

5. Satu mangkuk besar kompos.

6. air secukupnya untuk menyiram.


Cara penyediaanya:

1. Pastikan pasu atau bekas yang digunakan harus bersaiz sederhana atau besar agar akar pudina bebas bergerak di dalamnya dan boleh tumbuh membesar dan lama. Anda juga boleh menggunakan apa-apa bekas yang bersesuaian.

2. Rendam terlebih dahulu kira-kira 1 inci keratan batang pokok pudina di dalam air selama 30 minit hingga 1 jam.

3. Sediakan media tanaman dengan mencampurkan tanah hitam, pasir sungai dan kompos ke dalam besen besar dan gaul hingga sebati. Jika anda menggunakan tinja binatang seperti reputan tinja ayam maka anda harus membiarkan terlebih dahulu tanah anda selama 2 minggu untuk sebatikan tinja dengan tanah barulah ditanam.

4. Masukkan media tanaman ke dalam pasu hingga penuh, padat-padatkan tanah tersebut dengan menekan secara perlahan atau menghentak-hentakkan pasu tersebut agar ruang-ruang tanah menjadi mampat. Tambah media sekali lagi jika media kurang.

5. Buat 3 lubang sedalam 3 inci dengan jarak 3 inci antara lubang. Masukkan keratan batang ke dalam lubang dan timbus lubang tersebut. 

6. Akhir sekali siram menggunakan air secukupnya dan simpan pasu anda di tempat terlindung dari sinaran matahari terik bagi selama 1 minggu atau sehingga keratan batang pudina itu mengeluarkan tunas baharu bagi membenarkan pudina anda bercambah dengan baik. Cahaya terik akan menyebabkan keratan pokok pudina anda akan layu dan mati. 

7. Apabila pokok pudina anda sudah tumbuh dengan baik kira-kira seminggu atau 2 minggu, bolehlah dialihkan ditempat terkena cahaya matahari selama 1 jam setiap hari untuk menguatkan struktur batang dan daun. Ini bertujuan untuk membiasakan pokok tersebut kepada sinaran matahari. Apabila pokok pudina anda benar-benar kukuh simpan pokok pudina anda di luar bagi mempercepatkan tumbuhbesaran. Lakukan pembajaan selang 2 minggu untuk hasil yang baik dan siram mengikut keadaan, Pokok pudina akan mati jika terlebih air di dalam pasu.


Tips menanam pokok pudina:

1. Jika anda membeli pokok pudina di nusery dan ingin mengubahnya ke dalam pasu bersaiz besar lebih mudah sebenarnya. Ikut langkah di atas sahaja, pokok pudina anda terus saja hidup dengan syarat berhati-hati membuka bekas lama/plastik asal bagi tidak meleraikan/pecah tanah tersebut.

2. Seelok-eloknya menggunakan baja organik pada pokok pudina anda.

3. Jangan menggunakan tanah liat untuk menanam pokok pudina. Ia masih boleh tumbuh tetapi tidaklah secantik dan berkualiti apabila anda menggunakan media campuran yang disyorkan.

4. Pasir sungai boleh digantikan dengan perlite (abu vulcano) jika ada. Boleh juga menambah peat-moss ke dalam media campuran sedia ada untuk hasil yang baik.

Khasiat pudina untuk kesihatan tidak boleh dipertikaikan lagi oleh sesiapa. Oleh itu setiap rumah harus ada sepokok dua pokok pudina di halaman rumah. Ia bukan saja boleh dijadikan dekorasi penghias laman tetapi anda tidak perlu terhegeh-hegeh ke pasar semata-mata mencari daun pudina dalam masakan, buang tenaga, petrol dan duit. bandingkan dengan mereka yang ada pokok pudina yang ditanam, hanya beberapa langkah saja petik dan proses untuk masakan kegemaran. Mudah bukan? Apa tunggu lagi tambah koleksi herba dirumah anda dengan sepasu pokok pudina.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.

11 komen

Pokok Pudina saya habis makan lagi cepat dari yang baru tumbuh. Suka sangat daun ni. :)

Mmg sedap buat ulam or kerabu Pudina. Lagi pula khasiatnya cukup bagus utk badan.

Semangat nak tanam demi khasiatnya. Saya belajar menerima rasanya dengan buat ulam.

Rasanya unik sikit puan, tapi bila dah biasa aromanya menyebabkan kita ketagih lagi. Hehe

Kenapa batang pudina saya jadi kecut hitam lepas beberapa hari ditanam? Kalau guna baja kopi boleh ke?

Pokok pudina tu asal dari mn, dialihkan ke pokoknya atau tanam keratan batang? Jika ditanam dr keratan btg, batangnya tak kecut tp daunnya yg layu dn kering. Selepas seminggu dua ia akan bertunas semula. Cek dgn teliti sama ada jangkitan kulat ke apa.

Terima kasih atas huraian terperinci. Pokok pudina mudah dibiak.
http://www.tipskey.com/article/growing_mint/

Kawasan rumah saya terlindung cahaya mata hari.. bole ke saya tanam pokok pudinah...camne cara nya.

Kawasan rumah saya terlindung cahaya mata hari.. bole ke saya tanam pokok pudinah...camne cara nya.

Saya beli pokok pudina di kedai, x sampai seminggu dia jadi hitam kering .. mcm mana cara nak mengatasi masaalah itu ye..

jgn siram bnyk air dan simpan ditempat separa teduh


EmoticonEmoticon