Ahad

Cara Buat Takung Hidroponik Mini Tanam Sayur Texsel

Pernahkah pembaca terfikir melakukan penanaman secara hidroponik? Tentu pembaca bilamana disebut hidroponik akan mengatakan mahal atau kos tinggi. Tahukah anda terdapat cara menanam secara hidroponik dengan kos murah. Namun tanomkinotuan beri tahu awal-awal bahawa baja hidroponik ini bukanlah baja organik, saja tanomkinotuan mencuba untuk eksperiman bagi mereka di luar sana yang berminat membuat hidroponik mini bolehlah mencuba teknik ini. Ia murah dan mudah disediakan.




Bahan-bahan yang diperlukan ialah:

1. Botol mineral 1.5 liter

2. Span dipotong empat segi, kapas atau tisu.

3. Dua helai benang mop lantai.

4. Air bersih secukupnya.

5. Baja hidroponik.




Cara penyediaannya:

1. Potong botol mineral seperti dalam gambar.

2. Buka penutupnya, masukkan dua helai benang mop melalui mulut botol.

3. Seterusnya masukkan span atau kapas pada potongan kepala botol mineral. Tekan agar benang mop tidak terlepas.

4. Bancuh 1 tutup botol mineral baja hidroponik dengan 1 liter air bersih.

5. Potongan kepala botol mineral, masukkan ia secara terbalik pada botol yang mengandungi air, maksudnya mulut botol harus di bawah bersama benang mop.

6. Agar span tersebut tidak kering, siram dengan air yang mengandungi baja.

7. Ambil anak pokok sayuran daun yang baru disemai dan tanam anak pokok dengan mengoyakkan sedikit span tersebut agar akarnya dapat dimasukkan ke dalamnya. Tanomkinotuan menanamnya dengan anak benih sayur texsel hijau (Brassica carinata) yang disemai minggu lalu.

8. Letakkan botol anda dikawasan terkena cahaya matahari tetapi terlindung dari hujan. Tunggu sayuran anda membesar dan tambah baja jika perlu. 


Berusia 1 minggu

Botol hidroponik ini tanomkinotuan letak ditempat teduh tetapi masih terkena haba. Sepatutnya diletakkan ditempat terkena sinaran matahari di bawah teduhan plastik lutsinar agar anak pokok cepat membesar. Apa kata pembaca yang berminat dalam pertanian hidroponik mini mencuba teknik ini yang murah dan praktikal. Anda boleh menggunakan seberapa banyak botol mineral dan susun ditempat yang sesuai di laman anda. 

Pertanian hidroponik tidak perlu disiram, dibaja dan kerja-kerja merumput. Anda hanya menambah campuran baja dalam botol jika perlu. Cahaya dan air baja sudah cukup untuk sayuran tumbuh dengan baik. Sayur texsel hijau akan diupdate dari masa ke semasa.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Sabtu

CARA MENYEMAI BENIH EDAMAME DALAM CUP

Tags



Selain menyemai benih edamami langsung pada tanah kita juga boleh menyemai terlebih dahulu dalam cup dan alihkan anak benih edamami apabila sudah berusia 1 hingga 2 minggu. Benih edamami sukar bercambah pada tanah yang terlalu basah apatah lagi musim hujan. Jadi kaedah ini dapat menyelesaikan masalah tersebut. Berikut adalah cara dan panduan menyemai benih edamami dalam cup;

Bahan-bahan yang diperlukan ialah:

1. Benih edamami (jumlah benih ikut suka)

2. 1 cup kompos

3. 1 cup cocopeat / sabut kelapa hancur

4. setengah cup tanah hitam

5. cup plastik

6. air untuk menyiram


Cara penyediannya ialah:

1. Campurkan kompos, cocopeat dan tanah hitam dalam satu bekas. gaul hingga sebati.

2. Masukkan campuran media ke dalam cup plastik tersebut, padan-padatkan sedikit.

3. Semai benih edamami dengan menanamnya kira-kira 1/2 inci ke dalam tanah dan timbus dengan tanah kemudiannya.

4. Sekiranya media yang anda gunakan itu kering siram sedikit air sahaja, kira-kira melembabkan keseluruhan media dalam cup. Dan simpan di tempat selamat yang masih terkena sinaran matahari sebelah pagi atau petang. Namun jika media tersebut memang lembab maka anda tidak perlu lagi menyiramnya. 

5. Tunggu benih edamami anda bercambah dan alihkan ke batas atau polibag/pasu jika sudah berusia 1 minggu (belum mengeluarkan daun sebenar)

Selamat bertani dan menuai hasil.

MENUAI BENIH BUNCIS UNGU DARI BUAH MATANG

Tags

Seperti tanaman lain, kacang buncis juga mempunyai variati pelbagai yang wujud di seluruh dunia. daripada spesis heirloom/warisan mahupun buncis yang dihibridkan di mana jenis buncis yang tahan panas dan sejuk. Kita mempunyai banyak pilihan mana benih yang kita inginkan untuk ditanam. Kali ini tanomkinotuan berkongsi pula satu lagi variati tanaman buncis heirloom yang boleh kita dapatkan benih dari pokok yang ditanam sendiri. Jenis buncis yang dimaksudkan ialah buncis ungu, maka dengan itu anda sudah tidak perlu lagi membeli variati buncis ini kecuali variati baharu.

Pertama sekali, jika anda belum pernah menanam buncis sebelum ini, anda perlu dapatkan benih buncis tersebut melalui pembelian di kedai pertanian atau nusery berdekatan. Anda juga boleh dapatkan benih buncis ungu ini melalui pembelian secara online di laman web yang berkelayaan dan dipercayai. Tanam pokok buncis mengikut langkah-langkah yang disyorkan untuk membolehkan pokok buncis anda tumbuh dengan baik.

Untuk proses mendapatkan benih buncis ungu pada pokoknya bagi proses pematangan ialah caranya, bilamana pokok buncis ungu anda mula berbuah, tinggalkan beberapa buahnya untuk dimatangkan. Seeloknya buah buncis pertama yang keluar kerana masa ini buah buncis kurang diserang oleh lalat pengorek buah dan ulat seribu. Keberangkalian mendapatkan benih yang cantik dan berkualiti sangat tinggi. Untuk membolehkan buah buncis yang dihasilkan dari pokok buncis tersebut mencukupi bekalan dapur anda, tanam 5 hingga 8 pokok buncis di halaman rumah anda agar ia juga dapat membekalkan benih untuk pematangan.



Buah pokok buncis ungu berwarna ungu ketika muda dan berubah kepada ungu pucat ketika pra-matang (isinya semakan terjojol membesar) dan sekali lagi berubah warna kepada warna kuning muda kecoklatan menandakan pod/kulitnya sudah separa kering. Petik buah yang telah bertukar warna tersebut kesemuanya dan letakkan pada nyiru atau seumpamanya, pinggan, bekas besen kecil pun boleh. letakkan bekas yang diisi buah buncis ungu yang kering itu di tempat terkena sinaran cahaya matahari terik sehingga benar-benar kering, lebih kurang 3 hingga 4 hari mengikut kuat atau tidak sinaran matahari.

Sesudah buah buncis ungu itu kering maka anda sudah boleh mengopeknya untuk mengumpulkan benih-benihnya di bekas yang lain. Periksa benih-benih tersebut sama ada ianya cukup keras dan kering. Jika tidak, sekali lagi letakkan benih-benih itu pada bekas leper dan keringkan di bawah sinaran matarai terik selama 2 hingga 4 jam. 


Benih buncis ungu

Kerja seterusnya ialah memilih benih yang sihat, bersaiz besar, kualiti baik, warnanya normal dan asingkan/buang benih buncis ungu yang kecil, mengerekot, berpenyakit, serta tak cukup sifat. Masukkan benih yang baik/sihat itu ke dalam botol kedap udara. Pastikan juga botol yang digunakan bersih dan kering. Tutup botol dan simpan di tempat selamat. Labelkan benih buncis anda tarikh simpan dan tarik luput. Biasanya benih buncis ungu boleh bertahan sehingga setahun. Oleh itu jika anda menyimpan benih tersebut pada 30 Mei 2015 makanya tarikh luputnya ialah 30 Mei 2016. 



Apabila anda sudah bersedia untuk menanam benih buncis pada musim tersebut maka anda hanya mengeluarkan beberapa biji benih buncis ungu dan semai pada batas atau polibag yang anda sediakan dan anda jimat wang untuk membeli semula benih buncis yang sama jenis. Inilah cara datuk nenek kita mengekalkan simpanan benih sayuran tahun demi tahun. Makanya kita tidak terputus benih selagi anda masih bergiat bertani di laman. Jika anda sudah mahu bersara melakukan aktiviti-aktiviti bertani dengan benih-benih yang anda kumpul masih elok dan banyak, anda boleh jual kepada sesiapa yang menginginkan atau hadiahkan sahaja kepada kawan-kawan yang meminati aktiviti bertani. Cara ini mengekalkan spesis benih tanaman tersebut tidak pupus atau hilang begitu sahaja apatah lagi benih tersebut jarang dijumpai di negara kita. Jika sesuatu benih itu sudah tidak ada di tempat anda tetapi benih tersebut membiak dengan elok di tempat lain. 

Selamat bertani dan menuai hasil.   

Jumaat

MENUAI BENIH BUNCIS BULAT DARI BUAH MATANG

Tags
Benih buncis matang/tua

Kali ini tanomkinotuan ingin berkongsi pula bagaimana mendapatkan benih buncis bulat dari pokoknya. Jika sebelum ini anda membeli benih buncis dari kedai atau online dan menanamnya di laman rumah anda, jarang sekali kita terfikir untuk mematangkan beberapa batang buah buncis untuk dijadikan benih. Bila tima masa hendak menanam semula kita akan membeli kali kedua pula dan begitulah seterusnya. Satu cara jimat yang boleh kita lakukan ialah mendapatkan benih dari pokok bagi tanaman pertama. Tinggalkan beberapa batang buncis untuk pematangan benih bagi tanaman musim akan datang. Selepas itu anda tidak perlu lagi membeli benih buncis berkali-kali kecuali benih buncis variati baharu. Paling penting pastikan benih tersebut adalah variati heirloom/warisan atau non-hibrid.
Bagi mengetahui bahawa buah kacang buncis tersebut sudah boleh dipetik untuk pengeringan seterusnya ialah melihat pada pod/kulit buah buncis tersebut, ia akan bertukar menjadi hijau muda, hijau pudar dan bertukar sekali lagi kepada kuning putih atau hijau kuning. Masa ini buah buncis sudah boleh dipetik untuk pengeringan secara manual. Petik/ambil sebuah buah buncis yang telah bertukar menjadi kuning putih atau kuning hijau. Kumpulkan dalam satu tempat seperti di atas nyiru misalnya dan keringkan ia di bawah sinaran matahari terik selama 3 hari atau sehingga buah buncis benar-benar kering.

Benih buncis sedia untuk dikeringkan

Apabila pod buah buncis benar-benar kering. Kopek bijinya dan asingkan biji dan kulitnya. Jika masih ada benih buncis yang belum keras. Sekali lagi letak benih buncis tersebut di atas pinggan atau bekas leper dan jemur sehingga ia keras sepenuhnya. Asingkan benih yang sihat, besar dan tidak berpenyakit manakala buang benih yang kecil, berpenyakit dan mengerekot serta tidak cukup sifat. 






Apabila ianya sudah keras dan kering, anda bolehlah menyimpannya di dalam botol kedap udara dan simpan di tempat selamat dengan syarat rehatkan benih tersebut kembali pada suhu bilik. Untuk benih anda diketahui tempoh luputnya, labelkan botol tersebut tarikh disimpan dan tarikh luput. Contoh, jika anda menyimpan benih buncis ke dalam botol pada 29 Mei 2015 maka tarikh luputnya pula ditulis 29 Mei 2016. Ambil benih buncis dalam botol tersebut jika anda mahu menanamnya. 

Dengan cara ini, anda mempunyai bekalan benih buncis bulat secara berterusan dan tidak perlu lagi membeli benih di tempat lain. Anda jimat beberapa ringgit untuk benih. Save your money untuk pembelian benda yang lain. 

Selamat bertani dan menuai hasil.

MENUAI BUAH JAGUNG PULUT MUSIM PERTAMA DI KBR

Tags
Di kesempatan ini tanomkinotuan ingin mengucapkan Kotobian Tadau Tagayo do Kaamatan kepada komuniti Kadazandusun yang meraihkan pesta Kaamatan minggu ini. Tidak lama lagi tu...Selepas menanam dan menunggu beberapa bulan kini tiba masanya tanomkinotuan menuai hasil buah jagung pulut yang ditanam di KBR. Pokok jagung pulut ditanam pada 14 Mac 2015 dan telah dituai pada 29 Mei 2015. Antara gambar-gambar mengenai pokok jagung pulut di KBR.



Anak pokok jagung pulut pada batas yang ditanam pokok mulberi, sebelum benih jagung disemai. pokok mulberi dicantas sehingga botak. Kebaikan mencantas dahan dan ranting pokok mulberi ialah ia mudah berbuah untuk hasil seterusnya.



Anak pokok jagung pulut disemai bersama benih kacang panjang dalam satu batas. Namun hasilnya pokok jagung dan pokok kacang panjang tidak memuaskan disebabkan batas yang telah dipenuhi akar kayu entah datang dari mana. Akhirnya segala baja diserap sepenuhnya oleh akar tersebut mengakibatkan jagung dan kacang panjang terbantut. Namun keduanya masih dapat dituai hasilnya walaupun kurang berkualiti.



Pada batas yang lain, ditanam bersama jagung pulut dan kacang panjang. Hasil sangatlah memuaskan.



Semakin membesar hidup bersama-sama dalam satu batas.






Pokok jagung pulut bersaing bersama pokok mulberi yang kini mula merimbunkan daunnya.










Kacang panjang sudah mula menjalar manakala pokok jagung sudah mula mengeluarkan buahnya yang masih kecil.




Hasil buahnya yang cantik dan rerambut yang cukup memikat.



Lagi buah jagung pulut sebagai santapan mata para pembaca. Ditanam 3 biji dalam satu lubang dan dibiarkan sehingga membesar dan berbuah.




Pokok kacang panjang yang menjalar pada pokok jagung menyebabkan pokok jagung terlentok ke bawah akibat kuasa si kacang panjang. Walaupun begitu buahnya masih elok membesar dan hasil dapat dituai dengan selamat.




Inilah pokok jagung yang ditanam bersama pokok mulberi dalam satu batas. Sudahpun berbuah dengan cantik. Pokok mulberi dicantas sehingga ke akarnya untuk memberi laluan menanam sayuran jenis lain pula lepas ni. Selamat tinggal pokok mulberi. Jasa mu dikenang.













Melihat buahnya, kita tahu bahawa buah jagung pulut ini sudah boleh dituai kerana rerambutnya sudah mula mengering. Itulah cara terbaik kita mengetahui bahawa buah jagung sudah boleh dituai atau tidak. Jangan pula menunggu rerambut jagung terlalu kering. Itu menandakan isi buahnya sudah keras dan tidak lama lagi dah boleh jadi benih. Tuai buah semasa isinya masih dipenuhi 50% cecair di dalamnya untuk menikmati jagung pulut yang enak. Satu cara lagi ialah mengoyakkan sedikit kulit diatasnya untuk melihat kalau-kalau isinya dah penuh.




Pokok jagung ini pun sudah boleh dituai. Masih terdapat rerambut dipangkal (tip) buahnya yang masih belum kering sepenuhnya. Masa paling baik mengutip buah jagung. 



Lagi buah jagung yang menanti untuk dikutip. Kelopak buahnya sudah menunjukkan kering disebabkan oleh sinaran matahari terik, namun isinya masih lembut dan muda.



Tadaaaa!.... isi jagung pulut yang sangat cantik. Bermaksud ia cukup didebunga oleh serangga. terdapat humor oleh pekebun zaman dulu di mana jika menanam jagung jangan ketawa kerana dikhuatiri jagung tidak berisi sepenuhnya aka jongang. hehe.... namun ia sekadar humor oleh para pekebun khususnya nenek datuk kita. Apa pun pendebunga di KBR telah memainkan peranan yang baik ketika ini.




Dan hasil tuaian buah jagung pulut di KBR tadi pagi. Tanomkinotuan sempat menuai buah jagung pulut jam 6 pagi tadi sebelum bergegas ke pekan untuk menghadiri kursus pada jam 2 petang hari ini. Maksudnya, tanomkinotuan belum merasa buah jagung pulut tanam sendiri tersebut. Sekembali ke rumah petang nanti bolehlah direbus dan dimakan bersama-sama keluarga jika mereka tak rebus terlebih dahulu. Namun masih ada buah jagung tuaian kedua akan datang kerana buah jagung di KBR tidak matang serentak.

Kepada mereka di luar sana yang ingin merasa keenakan jagung kampung aka jagung pulut ini bolehlah menempah/order benih jagung pulut dari tanomkinotuan. 


1 pek benih jagung pulut RM2.99, anggaran benih ialah 10 biji atau email ke borosmomogun@gmail.com untuk info selanjutnya.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Selasa

JENIS BAJA ORGANIK DAN PENGGUNAANNYA

Tags
Baja boleh dikelompokkan kepada dua jenis iaitu baja kimia dan baja organik. Baja organik diperbuat daripada satu jenis bahan sahaja atau beberapa bahan lain. Baja organik diperbuat daripada bahan material dari binatang, tumbuhan atau mineral semulajadi. Untuk mendapatkan sumber organik yang berkualiti dan berkesan pilih baja organik yang cukup pengomposan secara semuala jadi. Baja organik juga boleh dikategorikan kepada baja fellet, serbuk, dan juga cecair. Terpulang kepada pekebun mini yang mana diperlukan untuk kebun mereka.

Baja organik tidak seperti baja kimia di mana kesannya cepat bertindak terhadap akar. Baja organik yang ditabur di batas atau di sekeliling pokok sesuatu tanaman memerlukan beberapa jenis mikroorganisma untuk mengurainya terlebih dahulu sebelum diserap oleh akar tanaman dan semestinya tanah/media harus berkeadaan lembab untuk membolehkan mikroorganisma tersebut melakukan aktiviti penguraian. Semasa proses penguraian inilah zat nutrisi dibebaskan. Secara umumnya, sesetengah baja organik terguna pada awal tahun setelah ditabur pada batas dan secara perlahan-lahan ia membebaskan nutrisi setelah diurai oleh mikroorganisma yang boleh digunakan pada tahun-tahun akan datang. Pemecahan atau penguraian baja organik tidak berlaku serentak di mana secara am pula memberikan tugas membaikpulih kepada tanah atau batas anda.

Terdapat pula jenis baja organik yang hanya mampu bertahan pada tempoh-tempoh tertentu dan kerap kali meletakkannya pada batas sekurang-kurangnya 2 minggu sekali agar bekalan nutrisi pada tanaman senantiasa cukup dan seimbang bagi membolehkan pokok tanaman tumbuh sihat. 

Jenis-jenis baja organik

Berikut adalah baja yang diperbuat daripada tumbuhan yang ada dijual di pasaran. Baja berasaskan tumbuhan adalah antara baja yang cepat terurai di dalam tanah berbanding baja-baja organik yang lain.

1. Baja Organik Kompos

Kompos ialah baja yang diperbuat daripada tumbuhan seperti daun kering, rumput rumpai, sisa makanan dapur dan sebagainya yang dikumpulkan dan dikomposkan mengikut tempoh-tempoh tertentu. Kompos yang ditabur pada batas berfungsi sebagai pembekal nutrisi,media menjadi subur, saliran udara dan air dalam media baik. Lazimnya, kompos dicampurkan dengan beberapa bahan lain bagi mendapatkan hasil media yang berkualiti, cukup zat nutrisi dan bersaliran baik. 

Contohnya, semaian benih tanaman boleh menggunakan kompos sebagai media semaian, masukkan kompos ke dalam bekas semaian dan semai benih sayuran anda. Bagi mereka yang menanam sayuran di atas batas, kompos adalah asas utama yang perlu ditabur di atas batas tersebut. Caranya ialah tabur kompos kira-kira 5 inci secara keseluruhan di permukaan batas barulah digaul sebati. Ia akan membaikpulih serta memberikan pengudaraan dan saliran baik kepada tanah. 

Bagi mereka yang ingin menanam bunga-bungaan di lama rumah, menambah kompos pada media tanaman sangat digalakkan iaitu tambah 1 bahagian kompos yang dicampurkan dengan 2 bahagian tanah hitam/peat-moss, 1 bahagian perlite (abu volcano) dan setengah bahagian cocopeat, gaul sebati dan masukkan ke dalam pasu dan bolehlah ditanam jenis bunga yang anda inginkan. Terdapat beberapa kaedah penghasilan kompos secara umum yang masih menggunakan bahan tumbuhan sebagai bahan asas iaitu:

a. Pengomposan secara semula jadi

Kaedah ini adalah kaedah tradisional di mana membiarkan longgokan bahan asas tumbuhan tersebut diurai oleh mikroorganisma-mikroorganisma secara semula jadi di sekitarnya. Hanya menutup bahan kompos tersebut dengan disiram sedikit air. Cara kek kompos adalah lazim dibuat oleh pekebun untuk mendapatkan hasil kompos yang berkualiti, baik dan bermanfaat.

b. Pengomposan bokashi

Kaedah ini adalah cara yang di amalkan di Jepun dahulu di mana tumbuhan yang ingin dikomposkan dilonggokkan di satu tempat dengan disembur serum EM1 (EM1 Microbial Organism). Semburan serum EM1 yang mengandungi bakteria baik tersebut akan bertindak menguraikan bahan asas tumbuhan tersebut secara cepat dan pantas.

c. Pengomposan vermikompos

Kaedah pengomposan bahan tumbuhan dengan menggunakan cacing tanah sebagai bahan bantu penguraian. Caranya tumbuhan dimasukkan ke dalam satu bekas yang selamat yang telah diisi sedikit pasir atau tanah lalu dimasukkan sejumlah cacing tanah untuk proses penguraian atau pengomposan bahan tumbuhan tersebut. Kompos lebih berkualiti dan kandungan nutrisi yang banyak.


2. Baja Organik Alfalfa (Alfalfa meal)

baja organik alfalfa adalah diperbuat dari tumbuhan alfalfa yang tumbuh meliar di negara-negara tertentu. Pengomposan bijinya inilah yang digunakan sebagai baja pada tanaman. Baik untuk saliran udara dan air dalam tanah selain dari membekalkan nutrisi kepada tanaman anda. Ia sangat berkesan untuk memperbanyakkan bunga dan buah pada sayuran dan bunga-bungaan. Namun baja organik alfalfa adalah bersifat alkali dan tidak sesuai ditambah ke tanah untuk pokok yang tumbuh sesuai pada tanah berasid. Cara penggunaan, tabur 1 sudu besar dipermukaan pasu sayuran atau bunga rose anda. 

Manakala bagi batas pula tambah 2 hingga 3 cup baja organik alfalfa di permukaan batas pada tanaman sayuran buah anda secara menyeluruh dan siram menggunakan air agar ia larut ke dalam tanah. Antara sayuran buah yang sesuai ditaburkan baja organik alfalfa ialah kacang buncis, kacang panjang, bendi, jagung, lobak merah, lobak putih dan sebagainya.

3. Molasses / gula molussa

Gula molussa diperbuat daripada gula tebu, ubi beet atau anggur. Molussa sangat baik untuk tanah anda di mana ia berfungsi untuk makanan kepada mikrobial dalam tanah untuk membebasan nutrisi yang diperlukan oleh tumbuhan. Molussa kaya dengan kalsium, magnesium-besi dan potosium. Ia juga mengandungi sulfur. Campurkan molussa 2 tutup botol ke dalam 1 gallon baja cecair organik untuk disembur kepada tanaman anda.

4. Kelp Meal

Sejenis baja organik yang diperbuat daripada alga marin lautan. Ia campuran bahan ikan dan alga marin untuk kebaikan tanaman dari segi pembungaan dan pembuahan yang baik dan berkualiti. Kaya dengan nitrogen, posforus dan potosium. Boleh diperolehi dari beberapa jenis iaitu kelp meal serbuk dan kelp meal cecair. Ia sangat berkesan untuk menjadikan tanaman dan bunga menjadi subur, daun sihat dan buah dan bunga yang banyak.

Tabur 1 sudu besar ke dalam pasu bunga atau sayuran anda dan siram, pastikan media harus digembur terlebih dahulu sebelum di tabur dengan baja organik kelp meal. Pada batas sayuran pula tabur 2 cup baja kelp meal secara menyeluruh dan siram.

5. Cottonseed meal / cotton meal

Baja organik yang diperbuat daripada benih kapas. Kaya dengan nitrogen, potash dan posforus. Berfungsi untuk membekalkan nutrisi, membaikpulih tanah dan saliran udara dan air yang baik dalam tanah. 

6. Teh kompos

Teh kompos adalah baja organik cecair daripada kompos yang dicairkan mengikut sukatan tertentu dan dioksigenkan bagi membiakkan mikroorganisma di dalamnya. Ia disembur atau disiram pada tanaman berfungsi bagi mempercepatkan penguraian bahan dalam tanah untuk nutrisi tanaman. Cara penggunaan, tambah 1 tutup botol kompos teh ke dalam 1 liter air dan sembur atau siram pada sayuran anda. Lakukan pada awal pagi atau lewat petang untuk hasil yang baik.


Baja organik berasaskan haiwan.

Terhasil menerusi bahan haiwan sama ada tulang, tinja atau isinya. Antara baja organik haiwan yang popular termasuklah: 

1. Baja organik kompos tinja haiwan (manure)

Baja organik tinja haiwan merupakan baja yang terkenal dalam bidang pertanian. Tinja ini akan direputkan dalam tempoh tertentu sebelum diguna. Ia kaya dengan nitrogen yang diperlukan oleh tumbuhan. Antara baja organik tinja haiwan ialah tinja lembu, tinja ayam, tinja kambing, tinja arnab dan tinja kelawar. Mempunyai aroma yang kurang menyenangkan dan kadang-kadang menganggu keamanan sekeliling. Selain kompos (manure green) anda boleh menaburkan kompos tinja haiwan pada batas sebelum menyemai atau menanam benih. Tabur setinggi 5 inci secara menyeluruh pada batas. Bagi tanaman yang memerlukan bilangan nutrisi yang tinggi (high feed plant) kompos tumbuhan dan kompos tinja binatang perlu ditabur lebih sedikit untuk menjamin pokok tanaman tersebut tumbuh dengan baik.

2. Baja organik bone meal

Diperbuat daripada tulang binatang seperti tulang ikan, lembu dan sebagainya. Ia telah mengalami penghancuran atau serbuk yang sesuai ditabur pada batas untuk kualiti bunga dan buah yang banyak. Tabur 2 genggam pada batas untuk mendapatkan hasil buah yang banyak.

3. Baja organik blood meal / baja darah haiwan

Salah satu jenis baja organik yang diperbuat daripada darah haiwan yang dikeringkan dijadikan serbuk. Umumnya baja blood meal ini diambil dari darah lembu yang disembelih tetapi ia juga boleh mengunakan apa-apa darah binatang yang disembelih. 

Baja darah binatang sangat tinggi kandungan zat nitrogen yang diperlukan oleh tumbuhan untuk tumbuh dengan baik. Tambah 1 sudu kecil baja darah ini ke dalam pasu bunga atau sayuran atau tabur 2 cup baja ini di atas permukaan batas untuk hasil yang baik.

4. Baja cecair ikan / fish emulsion

Baja cecair ikan diperbuat dari penjerukan ikan dalam tempoh tertentu. Baik untuk membaikpulih tanah dan membekalkan nutrisi cukup kepada tanaman. Baja cecair ikan boleh dibuat sendiri di rumah. 

Cara penggunaannya ialah tambah 2 sudu besar ke dalam 1 liter air dan gaul sebati. Sembur atau siram pada sayuran anda. Lakukan di awal pagi atau lewat petang untuk hasil yang baik.


Baja organik berasaskan mineral

1. Kapur pertanian

Kaya dengan zat kalsium dan magnesium. Berfungsi menurunkan nilai ph tanah yang berasid. Kapur pertanian ditabur bersama kompos tumbuhan dan haiwan sebelum menanam.

2. Garam epsom

Berfungsi agar tanah tidak cepat menjadi padat. Namun garam epsom kurang digunakan di negara kita. Ada pun yang menggunakannya hanya sebilangan sahaja. Namun bahan mineral ini sangat disukai oleh pekebun mini di negara luar. Anda boleh menggunakan epsom untuk mengurangkan kepadatan tanah anda. 

Secara kesimpulannya, baja organik merupakan satu alternatif yang baik digunakan di dalam kebun mini anda. Baja organik lebih sihat, bebas racun untuk tanaman tanam sendiri anda di rumah. Walaupun ramai tidak mengemari baja organik kerana aromanya yang tidak menyenangkan tetapi anda boleh membuat pilihan di mana memilih baja organik yang sudah diproses (nyahbau) bagi mengurangkan risiko rumah anda menghasilkan bau yang kurang enak.

Ahad

PANDUAN MEMINDAHKAN ANAK POKOK EDAMAME KE BATAS.

Tags
Selepas merasa keenakan edamame hijau yang direbus sendiri. Tanomkinotuan telah menyemai lebihan benih edamame tempoh hari. Namun kali ini tanomkinotuan semai dalam cup plastik terlebih dahulu dan pindahkannya ke batas.


Edamami dalam cup


Panduan mengalihkan anak pokok edamami ke batas:

1. Apabila benih edamame sudah bercambah elok dipindahkan ke batas. Paling sesuai anak benihnya belum mengeluarkan daun sebenar agar pokoknya tidak mudah mati.

2. Sebelum mencabutnya, siram sedikit air agar kerja mencabut menjadi mudah.

Dialihkan ke batas

3. Sediakan batas, gembur dan tambah kompos secukupnya. Buat lubang sedalam 3 inci atau mengikut saiz panjang anak pokok edamame.

4. Cabut anak benih edamami berhati-hati dan tanam pada lubang di atas batas yang telah disediakan.

5. Timbus lubang dengan tanah dan siram dengan air secukupnya. Anak pokok edamami yang belum mengeluarkan daun sebenar tahan panas dan tidak perlu diletakkan teduhan. 


Edamami berusia 1 minggu


Anak pokok edamami berusia seminggu kini hidup galak di atas batas. Tanomkinotuan meletakkannya dengan kompos kelapa sawit di permukaan untuk nutrisi tambahan. Musim hujan menyukarkan benih edamami bercambah dengan baik jadi alternatif ini sesuai bagi benih yang kurang gemar menerima jumlah air yang banyak. Selepas bercambah barulah pokok edamami disiram seperti biasa.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Jumaat

TUAIAN SAYURAN DI KBR DAN KG MINGGU LALU

Tags
Memetik sayuran tanam sendiri memberikan kepuasan yang tidak terhingga. Tanomkinotuan sangat teruja dengan hasil sayuran di KBR yang mampu membekalkan sayuran kepada dapur sendiri. Sehingga kini jarang membeli sayur di tamu atau pasar kecuali terdesak. Kini sayuran di KBR di ambang pengakhiran tuaian. Sayuran daun, lobak merah, zucchini, bayam hijau bulat dan bayam hijau daun tirus sudah berakhir manakala buncis bulat, buncis ungu, edamame, timun kampung pula akan berakhir tidak lama lagi. Berikut adalah hasil tuaian terbaru:


Buncis ungu dan buncis pokok tidak memanjat (Franch bean stanley) 


Bunga kobis, ditanam hujung tahun lepas daripada tunasnya. Pokok pertama pokok bunga kobis selepas dituai menghasilkan tunas baharu. Tanomkinotuan petik dan tanam semula. Hasilnya dapat dituai.


Kacang panjang dan buah edamame.


Buah timun kampung yang menjalar dicelah-celah pokok buncis ungu. 


Bawang losun dan kucai, dituai untuk keperluan dapur.


Keladi Cina dituai untuk dijual kepada pemborong. Di Sabah harga keladi Cina mencecah RM4 hingga RM5 sekilo bagi gred A pada masa ini.


Dan akhir sekali tuaian buah rossale di KG. Bekalan sirap dengan vitamin C yang tinggi.

Inilah tuaian yang terbaru di KBR dan KG. Ada yang hanya dimakan juga ada yang dijual kepada pemborong. Hasil wang tersebut boleh digunakan untuk membeli baja organik dan sebagainya. Apakah tuaian anda pada hari ini.

Isnin

CARA DAN PANDUAN MENYEMAI BENIH KACANG PEA

Tags

Mencuba menyemai benih sayuran pelbagai di laman rumah adalah satu aktiviti yang mengujakan. Kini tanomkinotuan berkongsi bagaimana menyemai benih kacang pea pada batas dan dalam pasu/polibag. Kacang pea adalah tanaman yang sesuai ditanam di kawasan tanah tinggi dan bersuhu sejuk. Tetapi kita masih boleh menanam di halaman rumah kita dengan menjaga kualiti dan kelembapan media.

Pertama sekali buat batas 1 X 4 kaki (lebar X panjang), tinggi batas pula ialah 1 kaki. Gembur batas hingga menjadi sepihan kecil. Pada batas anda tambah 5 kilo peat-moss atau cocopeat dan gaul hingga sebati. Seterusnya tambah kompos (tumbuhan hijau) sebanyak 5 kilo yang ditabur di atas batas dan gaul hingga sebati. Pastikan PH tanah di antara 6.5 hingga 7.5 untuk pertumbuhan yang baik. Sukat menggunakan ph meter yang boleh dibeli di kedai pertanian. Sekiranya PH media anda di bawah ph 6.5, tabur kapur pertanian atau dolomite dan gaul hingga sebati. 

Untuk makluman semua pokok kacang pea tidak memerlukan baja terlalu banyak, elak menggunakan baja urea/kimia pada kacang pea anda. Jika anda menggunakan baja NPK organik letak hanya 2 sudu untuk 1 pokok sudah memadai.

Buat lubang sedalam 1 inci dengan jarak 6 hingga 10 inci antara lubang. Semai sebiji kacang pea pada setiap lubang yang dibuat. Timbus semula lubang tersebut dan siram air secukupnya.

Benih kacang pea telah bercambah

Selepas 5 hari benih kacang pea mula bercambah. Kejayaan percambahan benih kacang pea ialah faktor media dan suhu. Kacang pea bercambah dengan baik pada suhu 70 F atau 21 C bagi di negara kita. Media/batas harus lembab senantiasa dan bukannya basah. Cara menentukan media tersebut dalam keadaan lembab ialah kepal tanah tersebut dengan tangan dan ianya membulat tanpa lelehan atau basah. Anda juga mengelak dari batas anda terlalu kering. Spray atau siram sedikit air untuk melembabkannya. Dalam tempoh percambahan siram hanya 2 kali dalam seminggu kecuali musim panas. Jika musim panas buat teduhan menggunakan jaring hitam atau plastik lutsinar agar batas berada dalam keadaan lembab.

Berhati-hati dengan serangan semut pada batas. Ia boleh merosakkan benih anda. Apabila benih kacang pea sudah tumbuh selepas 2 minggu tabur kompos kelapa sawit di sekeliling anak pokok kacang pea anda, ia bukan saja melembabkan tanah tetapi juga membekalkan nutrisi kepada tanaman tersebut. 

Kira-kira pokok kacang pea anda sudah bersedia untuk memanjat, buat panjang kayu saiz kecil kira-kira 5 kaki panjang untuk memudahkannya memanjat ke atas.

Bagi mereka yang ingin menanam kacang pea dalam pasu atau polibag. Sediakan pasu bersaiz besar kira-kira 18 inci ke atas. Sediakan media campuran dengan nisbah 2:1:1 yakni 2 bahagian tanah lom, 1 bahagian pasir sungai dan 1 bahagian kompos. Anda boleh menambah setengah bahagian cocopeat atau peat-moss dan setengah bahagian habuk kayu. Gaul media tersebut dan masukkan ke dalam pasu atau polibag. Anda juga boleh menggunakan media potting soil yang dijual di kedai pertanian.

Buat lubang sedalam 1 inci sebanyak 2 atau 3 lubang pada pasu tersebut. Jarak antara lubang ialah 4 inci atau lebih antara lubang. Semai sebiji benih kacang pea pada setiap lubang dan timbus dengan tanah di tepinya. Siram dengan air secukupnya dan simpan di tempat teduh tetapi masih terkena haba matahari. Haba atau sinaran matahari membantu benih-benih tersebut untuk bercambah secara baik dan semulajadi. 

Senantiasa melihat kalau-kalau media kering. Spray media untuk melembabkannya. Selepas 5 hari kacang pea anda mula bercambah dengan baik. Apabila benih kacang pea anda bercambah (keluar dari permukaan) letak pasu/polibag anda di kawasan yang terkena sinaran matahari untuk tumbuhbesaran yang sempurna. Apa lagi semai benih kacang pea hari ini untuk tambahan nutrisi dalam diet sekeluarga dan paling penting tuaian segar dan bebas kimia.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Ahad

TIMUN KAMPUNG DICELAH POKOK BUNCIS UNGU

Tags
Tidak sangka benih timun yang hanya bercambah dan tumbuh di batas tanaman kacang buncis ungu hidup sihat dan lebih gagah menyaingi pokok buncis sehingga pokok buncis dirimbuni oleh batang menjalar dari pokok timun. Pada waktu penyediaan batas, tanomkinotuan taburkan kompos buatan sendiri hasil daripada sisa-sisa dapur yang dibuang. Tanomkinotuan rasa bahawa benih timun tersebut adalah dari kompos tersebut tumbuh dengan banyak. Namun tanomkinotuan hanya biarkan 2 pokok dan yang lain dicabut. 


Pokok timun dalam batas pokok buncis ungu. Pokok timun tersebut bukan ditanam tetapi tumbuh sendiri. 


Pokok timun tersebut mula memanjat bersama-sama dengan pokok buncis. 


Dan semakin memanjat mengalakan buncis ungu. Hidup subur tanpa gangguan makhluk perosak atau kulapuk putih (mildew). Tidak lama lagi ia akan berbunga. 


Kini pokok timun kampung mula mengeluarkan bunga jantan dan disusuli oleh bunga betina. Namun timun jenis ini agak lama untuk berbuah kena sabar.




Tidak lama kemudian terselit sebiji buah timun kampung terlindung di bawah dedauan kacang buncis ungu. Terdapat 4 biji buah timun yang boleh dikira besar dan beberapa lagi yang masih kecil.


Lagi buah timun yang membesar sebelah kiri menghala rimbunan pokok buncis ungu. Ia lebih kecil berbanding pic di atas. Batangnya (vine) menjalar ke arah pokok buncis dan menetaskan buahnya di situ. Nasib tidak ditemui oleh musuhnya sang lalat penebuk buah.


Lagi buah timun sebesar dua biji telur ayam. Namun seperti disengat di bawahnya. Harap boleh membesar.





Hasil tuaian timun kampung pertama. Nampak sihat dan kulitnya putih. Ianya masih remaja dan boleh membesar lagi tetapi jika mahukan buah timun yang manis, segar dan ranggup tuai buahnya ketika pra-matang. Tengahari tadi dibuat rojak timun campur hirisan nenas dan kacang goreng tumbuk. Enak dan sedap dimakan bersama nasi putih bario dan ikan bawal goreng. Apakah jenis timun yang ditanam di laman rumah anda pada hari ini? 

Selamat bertani dan menuai hasil.