Khamis

CARA DAN PANDUAN MENANAM EDAMAME (SOY BEAN GREEN)

Tags

Ramai tertanya-tanya cara menanam benih edamame atau kacang soya hijau. Sebenarnya pokok kacang soya masih boleh tumbuh dengan galak di negara kita mengikut jenis pilihan variati. Ada edamame yang tahan panas, sejuk dan hujan. Jika anda ke restoran-restoran Jepun di sekitar ibukota Kuala Lumpur, terdapatnya resepi edamame rebus yang dihidangkan. Apa kata kita cuba menanam benih edamame pada batas atau polibag dan nikmati edamame rebus tanam sendiri.


Benih edamame 

Pertama sekali dapatkan benih edamame ini dari kedai pertanian berhampiran atau beli secara online. Terdapat beberapa variati edamame pilih jenis tahan panas dan mampu hadapi hujan lebat.

Bagi mereka yang ingin menanam edamame pada batas hendaklah pilih lokasi yang menerima cahaya matahari melebihi 6 jam dalam 1 hari. Kawasan di hadapan rumah, tepi pagar kiri dan kanan halaman rumah, balkoni atau belakang rumah adalah lokasi yang dicadangkan. Juga pastikan kawasan halaman rumah yang dipilih untuk menanam edamame tidak ditakungi air ketika hujan. Jangan tanam pokok edamame di kawasan kurang menerima cahaya matahari kerana pertumbuhan pokok akan terbantut dan penghasilan buah kurang.

Sama kes bagi mereka yang menanam edamame dalam polibag, pilih kawasan atau tempat yang cukup sinaran matahari melebihi 6 jam.

Seterusnya lokasi/batas yang dikenalpasti untuk ditanam edamame haruslah digembur terlebih dahulu, guna cangkul untuk korek sedalam 1 kaki. Gembur hingga tanah menjadi serpihan-serpihan kecil. Buang segala batu, kayu sepihan tile dan sebagainya. Tambah lebih kurang 4 inci kompos jenis manure green (tumbuhan) untuk membaikpulih tanah batas tersebut secara menyeluruh. Seterusnya bubuh 4 inci cocopeat atau sabut kelapa hancur dan gaul hingga sebati. Untuk memperbaiki saliran dalam tanah batas, tambah pasir sungai secukupnya. Tanonkinotuan tidak memberikan berapa kilo kompos, pasir dan sabut kelapa hancuryang digunakan. Ini kerana ia bergantung kepada batas yang dibuat. Besar saiz batas maka banyaklah kompos, sabut kelapa hancur dan pasir yang diperlukan.


Edamame berbunga

Jika anda mempunyai tanah jenis potting soil yang di beli dari kedai pertanian lagi praktikal dan sesuai. Campurkan sahaja pada batas dan gaul hingga sebati. Pokok edamame sesuai tumbuh pada tanah yang gembur, peroi dan subur. Tanah bersaliran baik, pengudaraan yang baik dan kelembapan memberikan kualiti pokok edamame tumbuh subur.

Bagi dalam pasu pula, guna potting soil yang boleh didapati di kedai. Anda juga boleh mencampurkan media seperti tanah hitam, kompos dan pasir sungai dengan nisbah 2:1:1. Gaul media hingga sebati dan masukkan ke dalam pasu atau polibag.

Selesai membuat batas, anda bolehlah menanam benih edamame langsung pada batas. Bagi tanomkinotuan tidak perlu merendam benih edamame. Buat lubang sedalam setengah inci dengan jarak 1 kaki antara lubang. Masukkan sebiji benih edamame pada setiap lubang dan timbus sedikit tanah. Siram batas dengan air secukupnya. Benih kacang soya tidak memerlukan batas terlalu basah cukup hanya lembab sahaja. Ini kerana jika batas terlalu basah benih kacang soya akan memburuk dan tidak akan bercambah. Namun apabila benih edamame sudah bercambah maka ia perlu air yang cukup untuk membesar.


Edamame dalam
polibag

Bagi mereka yang menanam dalam polibag pula buat lubang ditengahnya sedalam setengah inci dan tanam benih edamame lalu timbus. Boleh menanam 3 biji dalam satu polibag. Tidak ada masalah, yang penting bubuh kerap dengan baja agar pokok edamame tidak bersaing dapatkan makanan.

Hari ke-7 hingga hari ke-14 hari adalah tempoh percambahan benih edamame. Selepas 3 minggu tambah baja NPK organik untuk pertumbuhan pokok dengan baik. Tabur baja selang 2 minggu hingga pokok edamame menghasilkan buah. Anda boleh menambah bone meal untuk penghasilan buah yang banyak. Selangselikan juga menyiram pokok edamame anda dengan kompos teh, baja cecair ikan dan serum EM1 (EM1 inoculant microbial).

Rutin membuang rumput harus dilakukan untuk mengurangkan persaingan. Cabut rumput di keseluruhan batas. Letak mulsa atau sungkupan pada batas bagi mengurangkan pertumbuhan rumput rumpai. Ia juga boleh mengawal kelembapan batas pada tempoh tertentu.

Siram pokok edamame jika perlu. 2 kali seminggu sudah memadai tetapi jika cuaca panas berpanjangan siram lebih kerap untuk pokok edamame hidup dengan baik dalam tempoh percambahan. Namun apabila benih sudah bercambah siram air secukupnya untuk tumbuhbesaran yang baik tetapi jangan terlebih menyiram pula.


Edamame ditanam atas tanah/batas

2 bulan lebih pokok edamame sudah boleh dituai. Buah edamame tidak matang serentak. Jadi anda harus memilih pod yang keras serta bengkak buahnya besar menandakan biji edamame sudah matang. Petik sehingga selesai dan anda boleh sejukbekukan dalam peti sejuk jika tidak memasaknya dalam masa terdekat. Simpan dalam plastik berzip dan ia boleh tahan selama 3 minggu atau lebih. Cara memakan edamame ialah rebus edamame dengan dibubuh sedikit garam. Reneh selama 3 hingga 5 minit. Anda sudah boleh menikmati edamame tanam sendiri di rumah. Jangan lupa matangkan beberapa pod edamame anda untuk tanaman musim akan datang makanya anda tidak perlu membeli benih edamame kali kedua.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.


EmoticonEmoticon