Isnin

CARA DAN PANDUAN MENYEMAI BENIH KACANG PEA

Tags


Mencuba menyemai benih sayuran pelbagai di laman rumah adalah satu aktiviti yang mengujakan. Kini tanomkinotuan berkongsi bagaimana menyemai benih kacang pea pada batas dan dalam pasu/polibag. Kacang pea adalah tanaman yang sesuai ditanam di kawasan tanah tinggi dan bersuhu sejuk. Tetapi kita masih boleh menanam di halaman rumah kita dengan menjaga kualiti dan kelembapan media.

Pertama sekali buat batas 1 X 4 kaki (lebar X panjang), tinggi batas pula ialah 1 kaki. Gembur batas hingga menjadi sepihan kecil. Pada batas anda tambah 5 kilo peat-moss atau cocopeat dan gaul hingga sebati. Seterusnya tambah kompos (tumbuhan hijau) sebanyak 5 kilo yang ditabur di atas batas dan gaul hingga sebati. Pastikan PH tanah di antara 6.5 hingga 7.5 untuk pertumbuhan yang baik. Sukat menggunakan ph meter yang boleh dibeli di kedai pertanian. Sekiranya PH media anda di bawah ph 6.5, tabur kapur pertanian atau dolomite dan gaul hingga sebati. 

Untuk makluman semua pokok kacang pea tidak memerlukan baja terlalu banyak, elak menggunakan baja urea/kimia pada kacang pea anda. Jika anda menggunakan baja NPK organik letak hanya 2 sudu untuk 1 pokok sudah memadai.

Buat lubang sedalam 1 inci dengan jarak 6 hingga 10 inci antara lubang. Semai sebiji kacang pea pada setiap lubang yang dibuat. Timbus semula lubang tersebut dan siram air secukupnya.

Benih kacang pea telah bercambah

Selepas 5 hari benih kacang pea mula bercambah. Kejayaan percambahan benih kacang pea ialah faktor media dan suhu. Kacang pea bercambah dengan baik pada suhu 70 F atau 21 C bagi di negara kita. Media/batas harus lembab senantiasa dan bukannya basah. Cara menentukan media tersebut dalam keadaan lembab ialah kepal tanah tersebut dengan tangan dan ianya membulat tanpa lelehan atau basah. Anda juga mengelak dari batas anda terlalu kering. Spray atau siram sedikit air untuk melembabkannya. Dalam tempoh percambahan siram hanya 2 kali dalam seminggu kecuali musim panas. Jika musim panas buat teduhan menggunakan jaring hitam atau plastik lutsinar agar batas berada dalam keadaan lembab.

Berhati-hati dengan serangan semut pada batas. Ia boleh merosakkan benih anda. Apabila benih kacang pea sudah tumbuh selepas 2 minggu tabur kompos kelapa sawit di sekeliling anak pokok kacang pea anda, ia bukan saja melembabkan tanah tetapi juga membekalkan nutrisi kepada tanaman tersebut. 

Kira-kira pokok kacang pea anda sudah bersedia untuk memanjat, buat panjang kayu saiz kecil kira-kira 5 kaki panjang untuk memudahkannya memanjat ke atas.

Bagi mereka yang ingin menanam kacang pea dalam pasu atau polibag. Sediakan pasu bersaiz besar kira-kira 18 inci ke atas. Sediakan media campuran dengan nisbah 2:1:1 yakni 2 bahagian tanah lom, 1 bahagian pasir sungai dan 1 bahagian kompos. Anda boleh menambah setengah bahagian cocopeat atau peat-moss dan setengah bahagian habuk kayu. Gaul media tersebut dan masukkan ke dalam pasu atau polibag. Anda juga boleh menggunakan media potting soil yang dijual di kedai pertanian.

Buat lubang sedalam 1 inci sebanyak 2 atau 3 lubang pada pasu tersebut. Jarak antara lubang ialah 4 inci atau lebih antara lubang. Semai sebiji benih kacang pea pada setiap lubang dan timbus dengan tanah di tepinya. Siram dengan air secukupnya dan simpan di tempat teduh tetapi masih terkena haba matahari. Haba atau sinaran matahari membantu benih-benih tersebut untuk bercambah secara baik dan semulajadi. 

Senantiasa melihat kalau-kalau media kering. Spray media untuk melembabkannya. Selepas 5 hari kacang pea anda mula bercambah dengan baik. Apabila benih kacang pea anda bercambah (keluar dari permukaan) letak pasu/polibag anda di kawasan yang terkena sinaran matahari untuk tumbuhbesaran yang sempurna. Apa lagi semai benih kacang pea hari ini untuk tambahan nutrisi dalam diet sekeluarga dan paling penting tuaian segar dan bebas kimia.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.

4 komen

Nampak elok cantik tumbesaran dia Carlz. Nanti share gambar bila dah berbuah yea.

In Sha Allah jika ada rezeki, akan dibuat entry nanti. Thanks

Bang. Mana dapat benih kacang pea ye?

Hai,

tanomkinotuan ada bekalkan benih kcg pea ungu dan kacang pea hijau. emailkan ke borosmomogun@gmail.com atau whasapp ke 019-5320756 utk info selanjutnya.


EmoticonEmoticon