Rabu

BENIH SWISS CHARD BERCAMBAH DI DALAM PETI SEJUK

Tags

Tanomkinotuan ada membeli benih swiss chard melalui kedai online. Tanomkinotuan ingin mencuba pula benih-benih yang jarang ditanam di negara kita. Semaian pertama yang langsung disemai pada batas tidak bercambah walaupun tanomkinotuan meletakkan teduhan jaring hitam untuk melembabkan batas tersebut. Setelah 2 minggu setengah menunggu sah benih swiss chard tidak bercambah. Semaian kali kedua pula tanomkinotuan tukar teknik yakni menyemai benih swiss chard pada pasu mengunakan cocopeat bersama sedikit kompos dan diletakkan di tempat selamat. Tunggu 2 minggu benih ini juga tidak bercambah. Membusuk dan rosak.

Benih swiss chard tinggal sedikit. Jadi sayang kiranya benih-benih ini tidak bercambah sepokok dua. Jika bercambah dan hidup subur bolehlah merasa sayur ini. Jadi tanomkinotuan mencuba untuk dicambahkan dalam peti sejuk dengan memasukkannya ke dalam plastik berzip bersaiz kecil dengan menggunakan media habuk kayu (sebenarnya bukan habuk kayu pun, serpihan kayu yang diambil apabila dikorek oleh semut untuk membuat sarang), anda boleh menggunakan tanah, peatmoss atau cocopeat yang disteril terlebih dahulu.

Tanomkinotuan masukkan plastik berzip berisi benih swiss chard ke dalam kontena dan simpan di dalam peti sejuk. Tiap hari tanomkinotuan melihat kalau-kalau benih tersebut bercambah. Terlalu teruja ya amat... Hahaha.

Terdapat sedikit ditinggalkan dalam simpanan. Jika kaedah percambahan benih dalam peti sejuk tidak berjaya masih ada lagi benih untuk dicambah menggunakan teknik lain. Oleh itu tanomkinotuan cambahkan lebihan benih swiss chard tersebut dengan mengambil sehelai tisu dan menaburkan lebihan benih tersebut ke atas tisu seterusnya tisu dilipat sekali. Maksudnya benih tersebut berada di dalam tisu tersebut lalu tanomkinotuan spray tisu dengan serum EM1 hingga lembab, jangan terlalu basah. Tanomkinotuan masukkan tisu lembab tersebut ke dalam plastik lutsinar. Oleh kerana plastik ini tidak berzip maka tanomkinotuan lekatkannya dengan api lalu diletakkan ditempat terlindung yang masih terkena haba matahari. Tanomkinotuan sidai plastik tersebut seperti menyidai kain. Antara benih yang dicambahkan melalui kaedah ini ialah benih timun mini, benih swiss chard, benih asparagus, benih fennel dan benih taragon. 

Menakjubkan benih timun mini bercambah hanya dua hari saja manakala benih swiss chard bercambah setelah 5 hari. Sebenarnya tidak perasan hingga benih swiss chard sudah mengeluarkan daun. Teruja tanomkinotuan, dengan cepat dialihkan benih-benih swiss chard pada cup plastik dan kini ianya tumbuh dengan baik.




Dengan percambahan benih swiss chard yang disidai pada haba matahari, tanomkinotuan melihat pula benih swiss chard yang dicambahkan dalam peti sejuk. Masih belum ada perkembangan. Namun pada hari ke-7 benih swiss chard tersebut mula bercambah dalam plastik seterusnya tanomkinotuan tanam dalam botol mineral yang dipotong dua.



Gambar benih swiss chard yang dicambahkan melalui haba matahari tidak dapat diposkan di sini kerana teruja punya pasal sehingga lupa mengambil gambar. Akan datang tanomkinotuan tunjukkan cara bagaimana cambahkan benih melalui haba matahari (penghabaan benih).

Benih dicambah
dalam peti sejuk

Benih yang dicambahkan
menerusi penghabaan
matahari

Perkembangan bagi KBR hari ini masih dalam usaha pembersihan dan pembinaan batas. Belum ada yang boleh diceritakan dalam blog masa kini. Tanomkinotuan baru saja siap mengemas beberapa batas dan masih ada lagi beberapa batas yang perlu disiapkan. Tanomkinotuan baru hendak menyemai beberapa benih untuk ditanam di KBR. Antara benih yang sudah disemai ialah sawi bunga jepun, sawi putih kailan (bak choi), swiss chard, zucchini hijau dan sayur texsel hijau.  Jika ada rezeki akan dipos dalam blog untuk tatapan para pembaca.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.

2 komen

Kadangkala sebutir biji benih swiss chard akan menghasilkan beberapa pokok yang boleh diasingkan kemudian.

Betul, terkejut sejenak apabila terlihat sebiji tu terdapat 3 akar yg seterusnya terpisah dgn sendiri.


EmoticonEmoticon