Sabtu

PANDUAN MENGALIHKAN ANAK POKOK SAYUR FENNEL KE BATAS

Tags

Tempoh hari tanomkinotuan ada menyemai benih sayur fennel atau florence fennel dalam plastik berzip dan dimasukkan ke dalam peti sejuk selama 7 hingga 14 hari. Selepas bercambah tanomkinotuan pindahkan ke cup plastik untuk percambahan dan pertumbuhan secara normal. Kini anak pokok sayur fennel sudah pun berusia 2 minggu lebih dan sesuai di pindahkan ke batas. Setiap bahagian sayur fennel boleh dimanfaatkan sebagai sayuran. Benjolan di atas akar (bulb) boleh ditumis atau dicampurkan ke dalam sup, batang dan daunnya boleh mengantikan daun sederi sebagai perisa dan aroma pada sup atau masakan. Benihnya yang aromatik sesuai sebagai herba campuran dalam resepi daging panggang. Maksudnya, tidak ada yang dibuang.

Mencambahkan benih fennel dalam peti sejuk lebih berkesan berbanding menyemai benih tersebut langsung pada batas kecuali anda tinggal di negara 4 musim. Cuaca dan suhu yang sesuai memainkan peranan besar dalam percambahan benih ini. Dalam tempoh dua minggu dalam cup plastik, ia tidak mempunyai masalah untuk tumbuh dengan baik di mana ia sesuai dengan cahaya matahari terik dengan syarat rajin-rajinlah menyiram pagi dan petang pada setiap hari. 

Jika pembaca di luar sana ingin mencuba menanam sayur fennel, ikuti panduan di bawah cara mengalihkan anak benih fennel dari bekas semaian ke batas yang disediakan.  Klik di SINI bagi info dan cara menyemai benih florence fennel.



Setelah 2 minggu menunggu tumbubesaran anak benih fennel, tiba masanya untuk anak benih tersebut dipindahkan ke atas batas yang disediakan. Jika laman rumah agak terhad boleh juga menanamnya dalam pasu sederhana besar.

Untuk makluman pembaca, pokok fennel merupakan tanaman yang memerlukan banyak kandungan nitrogen. Oleh itu, tanomkinotuan membuat batas terlebih dahulu dengan mengorek tanah sedalam 1 kaki seterusnya mengembur tanah hingga menjadi serpihan kecil. Tanomkinotuan tabur kompos kelapa sawit dan kompos manure (tinja ayam) dan mengaulnya sehingga sebati. Tanonkinotuan tidak rehatkan tanah seperti mana biasa kerana tinja ayam tersebut sudah siap terproses.


Langkah seterusnya ialah leraikan anak benih fennel agar terpisah satu persatu. Jika anda menyemai dalam syoroform cup tidak perlu ikut langkah di atas memadailah anda tanam anak benih fennel bersama tanahnya. Bagi langkah yang dibuat oleh tanomkinotuan, jangan khuatir kerana anak benih fennel boleh hidup setelah ditanam dengan syarat buat teduhan menggunakan jaring hitam.


Setelah anak benih dileraikan, langkah berikutnya ialah membuat lubang sedalam 3 inci dengan jarak antara lubang ialah kira-kira 10 inci. Jangan kesah pada pokok ditengah-tengah batas dalam gambar di atas. Ia adalah anak pokok jambu batu.



Tanam sepokok anak benih fennel ke dalam setiap lubang dan timbus semula tanah. Padat-padatkan tanah di sekeliling batang anak pokok secara perlahan-lahan. Setelah selesai menanam, siram dengan air secukupnya. Pokok jambu batu telah disungkup dengan cup plastik.




Inilah hasil anak pokok fennel yang ditanam di atas batas. Peringkat akhir, letakkan teduhan seperti jaring hitam bagi mengelak daripada layu dan mati daripada sinaran matahari. Biarkan batas tersebut di bawah jaring hitam selama 4 hingga 7 hari biar pokok fennel benar-benar kuat barulah teduhan jaring hitam dibuka.

Pada peringkat awal, anak benih pokok fennel memerlukan siraman air yang mencukupi. Siram dua kali sehari dan tidak perlu ketika hujan. Setelah 2 minggu berikutnya tabur semula baja NPK organik untukbpertumbuhan yang baik. Tunggu 3 bulan barulah pokok fennel boleh dituai. Apa kata anda mencuba menanam sayur herba beraroma ini dalam diet keluarga anda. Ia cukup mengkagumkan.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.


EmoticonEmoticon