Jumaat

TUAIAN KELEDEK PERTENGAHAN TAHUN 2015

Tags

Kebun Belakang Rumah (KBR) setakat ini masih dalam penyemaian benih dan tumbuhbesaran sayuran yang baru ditanam minggu-minggu lepas. Walau bagaimanapun, keledek yang ditanam awal bulan Mac yang lepas kini sudah membesar dan sudah boleh dituai. Tanomkinotuan hanya mencuba menanam pucuk muda yang direhatkan beberapa hari ditepi kolam. 

Ini kerana menanam keledek di Kebun Getah (KG) tidak selamat disebabkan serangan monyet liar yang sekali sekala menuai lebih dulu dari tanomkinotuan. Peristiwa tahun lepas pokok keledek yang baru ditanam berusia 1 bulan habis dicabutnya. Namun begitu pokok keledek di KBR hidup subur sehinggalah dituai. Berikut adalah proses tuaian keledek berserta gambar:



Anak pokok keledek pada gambar di atas baru berusia dua minggu. Ditanam menggunakan pucuk muda kira-kira 8 inci panjang. Sebelum keratan batang keledek ditanam tanomkinotuan gembur tanah terlebih dahulu barulah ditanam.



Pokok keledek berusia 1 bulan di mana ia mula hidup subur dan mula menjalar. 


Pokok keledek berusia 2 bulan. Pokoknya sudah menjalar dengan jauhnya. Tanomkinotuan biarkan saja, tidak ditaburkan dengan baja pun. 


Pokok keledek pada gambar di atas sudah berusia 3 bulan. Tanah di tempat-tempat tertentu sudah membengkak menandakan isinya sudah membesar. Masa untuk menuai isinya.


Antara isinya yang dijumpai dalam tanah. Berat isi keledek tersebut ialah 700 g. Teruja tanomkinotuan, Isi keledek tidak sebegini saiznya di KG.



Lagi isi keledek yang dijumpai dalam tanah. Tanomkinotuan hanya berpandukan tanah yang merekah dan mengoreknya. 



Hasil tuaian keledek. Inilah umbisi keledek yang dapat dikorek dalam tanah tadi petang kira-kira 2 kilo beratnya. Dengan ubi keledek ini, tanomkinotuan membuat bubur keledek yang dicampurkan dengan hirisan pisang, sedikit kacang hijau dan gula perang tanpa santan. Tanomkinotuan elakkan menambah santan dalam membuat apa-apa jenis bubur. Agar dapat merasa keaslian dan struktur bubur yang enak dan sedap. Tanomkinotuan dan ahli keluarga berbuka puasa dengan bubur keledek petang ini. 

Selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.


EmoticonEmoticon