Sabtu

TUAIAN RADISH CHERRY BEL UNTUK RESEPI SALAD HERBA

Tags

Hari ini genap 11 hari umat Islam berpuasa. Selamat menyambut bulan ramadan kepada pembaca muslim di luar sana.

Memikirkan juadah berbuka petang tadi tanomkinotuan ingin sekali merasa salad buatan sendiri. Pada petangnya kira-kira jam 4 petang, tanomkinotuan ke KBR untuk mencari kalau-kalau ada sayuran yang boleh dituai yang boleh dijadikan santapan salad bila berbuka nanti. Di tempat tanomkinotuan awal 90-an selalunya istilah berbuka puasa disebut 'bersungkai'. Perkataan ini berasal dari kaum Melayu Brunei dan sekitarnya yang diguna pakai untuk maksud berbuka puasa. Namun hari ini istilah ini sudah jarang digunakan di mana perkataan 'berbuka puasa' sudah menjadi kelaziman generasi zaman kini.



Berbalik pada cerita di KBR, tanomkinotuan melihat radish cherry bel yang ditanam dalam besen terbuang sudah mengeluarkan bulb lebih kecil daro saiz bola ping pong. Terdetik tanomkinotuan menuainya untuk salah satu bahan yang akan dicampurkan ke dalam salad nanti. Percaya atau tidak, radish cherry bel ini baru berusia 2 minggu. Kata orang menuai bulb radish yang masih kecil lebih sesuai kerana kurang pedasnya. Tetapi jika anda mahukan radish yang pedas tuailah pokoknya ketika berusia 3 minggu atau lebih.


Dengan itu tanomkinotuan mencabutnya satu persatu. Dapatlah tanomkinotuan menuai 6 biji radish cherry bel. Untuk ramuan bahan salad yang ingin disediakan tanomkinotuan memetik pucuk daun basil itali, pucuk ginseng jawa dan daun pudina.

Berbuka puasa dengan salad herba ini sesuai untuk kekalkan kesihatan dan menyegarkan semula tubuh badan kita. Berikut adalah resepi salad herba versi tanomkinotuan:

Bahan-bahan yang diperlukan:

1. 6 biji radish cherry bel dihiris nipis

2. Secekak daun pudina

3. Secekak daun basil itali

4. Secekak daun/pucuk muda ginseng jawa/akar som

5. 1 biji mangga mas madu separa masak dihiris nipis

6. 3 ulas bawang merah dihiris

7. 2 ulas bawang putih dihiris

8. 1 inci halia ditumbuk halus

9. 2 sudu makan sos ikan

10. 4 biji limau kasturi/limau nipis

11. Garam dan gula secukup rasa.

12. 1 biji cili merah dihiris nipis

13. 4 biji cili padi dipotong kecil


Cara penyediaannya:


1. Campurkan kesemua bahan tersebut ke dalam satu bekas kecuali garam, gula dan limau kasturi.

2. Gaul hingga sebati, tambah garam dan gula secukup rasa. Gaul lagi hingga sebati.

3. Akhir sekali, masukkan perahan limau kasturi dan gaul hingga limau tersebut sebati dengan kesemua bahan.

4. Simpan dalam peti sejuk sebelum dihidangkan.

Salad herba ini sesuai dimakan bersama kambing panggang mahupun ayam. Aromanya dapat mengekalkan kesegaran rasa dan struktur daging kambing tersebut. Radish cherry bel sudah tidak terlalu pedas apabila perahan limau nipis mengurangkan rasa lidas tersebut. Apa kata semai radish cherry bel di laman rumah anda hari ini.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.


EmoticonEmoticon