Sabtu

TUAIAN TERBARU DI KBR HUJUNG BULAN OGOS

Tags


Hujung minggu tanomkinotuan berada di rumah, bersantai sambil menonton TV. Pagi sabtu yang cerah tanomkinotuan ke KBR melihat kalau-kalau ada yang boleh dituai. Masa ini KBR tidak ditanam dengan sayur daun, tanomkinotuan rehatkan dulu menanam sayuran berdaun kerana serangan bertalu-talu dari kumbang pemakan daun yang datang ke kebun tersebut. Hanya ditanam sayuran buah seperti buncis, kacang panjang, zucchini dan sebagainya.

Tanomkinotuan tuai buah pokok buncis yang sudah boleh dipetik. Tanaman pojok buncis bulan lalu hanya 3 pokok yang berhasil membesar. Buncis bulat adalah jenis pokok buncis cepat membesar dan mempunyai buah yang banyak. Tidak kiralah hanya 3 pokok ia sudah cukup untuk dapur tanomkinotuan.

Pertama kali dituai setelah pokok asparagus berusia 9 bulan setengah. Dapatlah beberapa tunas muda yang tumbuh dicelah-celah pokok tua berhampiran. Ia memang masih bersaiz kecil tetapi sudah alang-alang untuk menuai maka dituainya tunas asparagus bersaiz lidi. Lagipun tidak keluar ongkos pun untuk dapatkan tunas muda asparagus, tidak kiralah saiz kecil kah saiz besar kah. Kata-kata sebegini sebenarnya sifat tidak sabar menuai hasil asparagus. Haha.

Pokok tomato mini juga ada yang sudah bertukar menjadi warna merah. Tanomkinotuan terpaksa mencari dari lindungan pandangan pokok tutan dan timun. Bolehlah dicampur dalam sup ayam malam ni. Pokok tomato mini tersebut bukan ditanam tetapi tumbuh sendiri di atas batas dan tanomkinotuan biarkan sahaja tanpa mencabutnya.

Musim hujan masa ini membolehkan tunas-tunas baharu pokok tutan begitu subur dan gemuk-gemuk belaka. Teruja dengan bunyi yang dihasilkan sewaktu memetik batang tutan yang berbunyi 'pit' 'pit' menandakan batangnya cukup gemuk. Tanomkinotuan juga tuai pucuk muda mulberi yang bertunas semula selepas dihapuskan. Tempoh hari tanomkinotuan membuka semua pokok mulberi dalam satu batas untuk memberi ruang kepada sayuran lain untuk ditanam. Namun tunas yang muncul begitu subur hingga tanomkinotuan petik pucuknya hingga habis. Pucuk mulberri mengeluarkan getah berwarna putih cair.

Hingga kini pokok zucchini crockneck kuning masih membekalkan buahnya yang banyak tetapi sayang serangga sudah banyak merosakkan buahnya terutama kumbang pengorek buah. Habis hitam buah-buah diserang menyebabkan tanomkinotuan terpaksa menuai buah yang masih kecil. Lagi pula zucchini tidak ada masalah dituai terlalu mudah malah lebih enak dan ranggup dibuat salad. Zucchini bulat atau scallop squash kuning juga dituai hanya sebiji pagi tadi termasuklah sebiji zucchini hijau saiz kecil. Boleh dicampurkan zucchini crockneck kuning apabila dimasak nanti. 

Masa yang dinanti-nantikan oleh tanomkinotuan, tuaian bunga kobis yang cantik dan besar. Tiga bulan lebih menunggu untuk hasil bunganya kini gembira tanomkinotuan memotong dipangkalnya. Ia selamat di masak dan dimakan waktu makan tengahari tadi. Untuk pengetahuan pembaca pokok bunga kobis tersebut ditanam menggunakan tunas yang tumbuh pada batang induknya tempoh hari. Tanomkinotuan ambil dan tanam dalam polibag. Tak sangka ia boleh membesar dan berbunga. Tidak ada serangan dari pihak serangga yang serius setakan daunnya diratah oleh belalang sahaja.

Pokok rossale juga sudah berbuah. Tanomkinotuan tuai untuk membuat sirap rossale kaya vitamin C. Boleh disimpan dalam peti sejuk dan minum apabila ingin merasanya. Pokok buncis manis juga buahnya sudah ada yang matang. Tanomkinotuan ambil dan keringkan untuk benih menanam musim mendatang. 

Tanomkinotuan ingin membuat sambal tuhau malam nanti jadi kenalah tuai buah cili yang masak ranum atas pokok. Pokok cili masih mengeluarkan bekalan dapur hingga kini. Panjang sangat umurnya. Salah satu pokok yang wajib di setiap rumah jika anda menyukai makanan pedas. Sediakan bekas tidak kira apa jenis, masukkan tanah/media dan semai benih cili yang anda beli kat kedai. Bila pokok cili anda bercambah dan tumbuh dengan galak, anda tidak perlu membeli cili padi lagi di pasar. Petik sahaja cili padi yang ditanam di laman rumah. Jimat sikit.

Akhir sekali tuaian benih matang strawberry corn atau jagung popcorn. Tanomkinotuan beli benih menerusi online tempoh hari hanya sepokok je hidup. Jadi tanomkinotuan biar sampai berbuah dan kini dah matang pun. Cantik buahnya dan bertongkol besar kira ketot gemuk dilihat. Tanomkinotuan keringkan sehari dua dan simpan dalam botol bertutup. Akan datang ditanam untuk dijadikan homemade popcorn



Petang tadi tanomkinotuan sempat membuat kompos dari sisa dapur. Sisa dapur yang dikumpulkan selama sebulan. Kompos terdahulu masih cukup untuk baja organik di KBR dan kini pengomposan seterusnya tetap dilakukan agar bekalan kompos buatan sendiri akan tetap berterusan. Dapatlah tanomkinotuan berjimat untuk membeli baja organik di pasaran.

Inilah tuaian tanomkinotuan hari ini. Hanya sayuran buah dan sayur tutan. Tanomkinotuan baru saja membuat batas dan menyemai benih sayur daun untuk ditanam 2 minggu kemudian. Apakah tuaian sayuran anda pada hari ini?

Selamat bertani dan menuai hasil.

PANDUAN MENDEBUNGA POKOK TEMBIKAI SECARA MANUAL

Tags
Bertemu lagi pada entry kali ini di mana tanomkinotuan berkongsi cara manual mendebunga bunga betina bagi pokok tembikai di KBR. Jika anda mengalami masalah pokok tembikai tidak berbuah atau buah tembikai tidak menjadi. Ia disebabkan oleh kurangnya pendebunga serangga yang melawat pokok tembikai anda. Contoh serangga pendebunga yang aktif ialah kelulut, lebah, semut hitam dan sebagainya.

Bunga jantan

Bunga betina

Namun masalah ini dapat diatasi dengan membuat pendebungaan pokok tembikai anda secara manual, tetapi sebelum itu anda harus mengetahui bahawa pokok tembikai mempunyai dwi jentina dalam satu pokok tidak seperti pokok kiwi di mana ia terpisah antara pokok betina dan pokok jantan. Bunga jantan bagi pokok tembikai ialah tidak mempunyai bebola kecil dipangkal bunganya manakala bunga betina pula mempunyai bebola kecil dipangkal bunga.

Ikuti langkah-langkah di bawah seperti berikut:

1. Tentukan bunga betina yang ingin anda debungakan secara manual.

2. Pilih bunga jantan yang elok untuk pendebungaan.


3. Seterusnya petik bunga jantan tersebut dan tanggalkan bilah bunganya satu persatu secara berhati-hati. Tinggalkan filamen bunga ditengah yang mengandungi benih jantan.


4. Satukan bunga betina dan bunga jantan dengan mengerakkan bunga jantan menyentuh bunga betina secara keseluruhan.

Hasil pendebungaan
Secara manual.

Pendebungaan secara manual selesai. Jika anda ada rezeki dua tiga hari hasilnya dapat dilihat setelah bunga yang berkembang tersebut secara perlahan-lahan akan gugur dan bebola tersebut akan membesar menjadi buah tembikai.

Secara umumnya kaedah pendebungaan secara manual ini juga boleh dipraktikkan pada tanaman lain seperti pokok timun, petola dan pokok zucchini.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Selasa

POKOK HERBA DAUN PANDAN

Tags


Pokok pandan wangi atau nama botaninya ialah Pandanus amaryllifolius Roxb syn Pandanus odorus merupakan tumbuhan herba berasal dari Asia Tenggara dan Asia Selatan. Sebutan pokok pandan dalam bahasa English ialah Screw Pine Leaves atau pandan leaves. Ia tumbuh meliar di beberapa negara seperti Malaysia, Indonesia, Brunei, Thailand dan sebagainya (hanya menyebut beberapa nama). 

Pandan merupakan istilah yang digunakan di 3 buah negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Brunei. Melayu Singapura juga menyebutnya sebagai pokok pandan. Bagi negara Thailand, pokok pandan disebut sebagai Bai Toey Hom, Pandanasu di Korea, Hala di Hawaii, Nioi Tako No Ki di jepun dan Kenr pula sebutan bagi pokok pandan dalam bahasa Hindi. Setiap bangsa di Asia tahu menggunakan atau mengola daun pandan dalam masakan sama ada diperturunkan dari generasi ke generasi atau bersifat universal peminjaman dari budaya lain. Selain itu ia banyak manfaat dari segi penggunaan kesihatan dan juga dalam ekstrak pati minyak.

Di Malaysia khususnya di kampung-kampung tidak sah sekiranya setiap rumah menanam sepokok pandan untuk kegunaan seharian. Tidak dinafikan juga mereka yang tinggal di kawasan perumahan, apartment, dan sebagainya mereka akan menanam pokok pandan ini dalam pasu. Ia sangat penting dalam sosio-budaya kaum Melayu di negara ini dan di Indonesia.

Pokok pandan adalah pokok jenis monokot dan ciri-ciri pokoknya ialah mempunyai daun panjang, lurus loncong, tirus dihujungnya dan berwarna hijau. Tidak bercambang dan bukan jenis kayu keras. Tumbuh sederhana tinggi hingga mencecah 2 meter atau lebih. Daunnya beraroma unik dan lembut. Boleh mengeluarkan sulur atau anak pokok di pangkalnya bagi tujuan kemenderian hidup. Mampu mengeluarkan akar pada anak pokok yang membesar dan menjunam ke tanah untuk mendapatkan zat makanan. Pokok pandan mempunyai 600 variati dan hanya pokok pandan wangi sahaja yang boleh diolah sebagai rempah tambahan dalam masakan. Variati pandan lain sesuai dijadikan kraftangan seperti anyaman tikar, bakul dan perhiasan lain.

Pokok pandan mempunyai beberapa kandungan bahan kimia antaranya 2-acetyl-1-pyrolline yang menjadi asas kepada pati ekstrak minyak pandan yang dihasilkan menerusi daunnya. Ia juga mengandungi kandungan styrene, linalool dan B-cayophyllene serta beberapa jenis piperidine seperti alkaloid (epandamarin dan pandamarilactones) yang merujuk kepada latex atau seakan-akan susu putih.

Cara menanam pokok pandan ialah menggunakan keratan batang. Tanomkinotuan mendapatkan keratan batangnya dari kawan di Ranau tahun lepas semasa melawatnya ketika itu. Sempat meminta ehsan dan buat-buat muka sedih untuk mendapatkannya, hehehehe. Setiba di rumah tanomkinotuan menanamnya di dalam pasu sahaja sebab masa itu kebun KBR belum wujud lagi. Baru kiranya tanomkinotuan berjinak-jinak dengan tanah. Apabila kebun KBR sudah disiapkan maka tanomkinotuan alihkan pokok pandan tersebut ke dalam tanah hinggalah sekarang.

Jika pandan anda mengeluarkan anak pokok, tunggu sulur-sulur atau anak pokok pandan tersebut kira-kira 12 hingga 15 inci panjang. Potong anak pokok pandang yang telah mengeluarkan akarnya dan tanam di dalam tanah. Jika anda menanam di dalam pasu. Guna media campuran atau guna sahaja tanah pasu (potting soil) yang boleh dibeli di pasaran.

Sekiranya pokok pandan dalam pasu anda sudah tidak cantik dipandang dengan batang meninggi dalam pasu. Anda boleh potong pokok pandan tersebut dan menanam semula di pasu yang lain. Ia akan tumbuh selepas itu dengan galak pula.

Khasiat daun pandan adalah seperti berikut:

1. 

Banyak manfaat pokok pandan terutamanya pada daunnya dari segi masakan (pewangi, perasa, hiasan atau pewarna), kesihatan dan tujuan lain. Antara kegunaan dan manfaat daun pandan ialah:

a. Daun pandan menjadi bahan pewangi bagi nasi tanak, ikan, daging atau agam panggang yang dibalut dengan beberapa daun pandan. Aroma daun pandan sangat serasi dengan aroma yang keluar dari bahan-bahan di atas dan bila aroma-aroma ini bergabung maka terhasil lah aroma yang cukup unik. Daun pandan dicampurkan ke dalam bubur atau masakan jenis pengat seperti pengat pisang, bubur kacang hijau atau bubur jagung. Beberapa helai daun pandang yang direnyuk-renyuk dimasukkan ke dalam belanga untuk menaikkan aroma masakan tersebut.

b. Daun pandan dijadikan sebagai pewarna asli yang cukup berkhasiat. Daun pandan dengan ekstrak daunnya boleh menjadi pewarna asli berwarna hijau kepada pelbagai jenis kuih, warna hijaunya mampu menyerikan warna kuih muih yang dihasilkan menggunakan warna daun pandan. Caranya ambil 6 helai daun pandan, potong kecil-kecil dan masukkan ke dalam blender. Tambah sedikit air dan blender hingga hancur. Tapis airnya dan gunakanlah air pandan tersebut pada tepung anda atau seumpamanya.

c. Daun pandan sebagai pembalut kuih dan isi ayam. Selain daun pisang sebagai pembalut, daun pandan juga sangat popular di negara ini dan di negara jiran menggunakan daun pandan sebagai pembalut bahan yang dimasak. Kuih taro salah satunya menggunakan daun pandan yang dianyam menjadi acuan 4 segi sama bagi meletakkan tepung taro sebelum di kukus dalam pengukus. Selain itu ayam, daging kambing atau ikan boleh dibungkus menggunakan daun pandan dan dibakar di atas pemanggang. Ia bukan sahaja dapat menjaga isi tersebut dari terbakar atau hangus tetapi dapat menambah aroma sedap dan unik kepada masakan.

d. Disimpulkan dua tiga helai daun pandan dan letak dalam almari yang mengandungi banyak lipas. Lipas akan melarikan diri dari terhidu bau daun pandan tersebut.

e. Dijadikan pewangi bunga rampai untuk majlis perkahwinan. Ia boleh menambah aroma unik pada bunga rampai tersebut. Caranya hiris nipis-nipis dan tambah 7 jenis bunga-bungaan. Sembur dengan apa-apa jenis forfume yang disukai.

f. Boleh dijadikan cecair gula pandan untuk meningkatkan rasa dan struktur yang enak pada tauhu minuman atau kuih telur katak.


Daun pandan yang beraroma unik ini sesuai bercampur dengan rempah atau bahan masakan seperti santan, kari dan sebagainya. Contohnya boleh dilihat pada resepi bubur kacang hijau atau jagung. Ia menaikkan aroma yang cukup elegan dan unik bagi menaikkan selera pengguna.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Ahad

CARA MENANAM BUNGA KOBIS DALAM POLIBAG

Tags


Bertemu lagi kita pada entry kali ini di mana tanomkinotuan ingin berkongsi cara menanam sayur kobis bunga dalam polibag. Tempoh hari ada entry mengenai cara menanam kobis bunga (Cauliflower) pada batas. Kini kita ubah pula dengan menggunakan polibag. Cara ini cukup sesuai bagi mereka yang kurang ruang dan laman sempit terutamanya kawasan perumahan. Walaupun anda tinggal di kawasan perumahan anda masih boleh bertani dengan menggunakan polibag, pasu atau bekas-bekas yang sesuai. Dan pastinya tanomkinotuan tinggal di kawasan tanah rendah bukan kawasan tanah tinggi seperti di Kundasang, Ranau atau Cameron Highland di Semenanjung sana.

Pertama sekali dapatkan benih kobis bunga di kedai pertanian. Pastikan anda membeli benih kobis bunga yang belum sampai tarikh luput, baharu dan pastikan juga pembungkusnya elok dan tidak bocor atau berlubang.

Tanomkinotuan cadangkan kepada anda semai terlebih dahulu benih bunga kobis dalam cup plastik terlebih dahulu. Gunakan tanah pasu (potting soil) untuk tujuan penyemaian. Ambil cup plastik yang bersih, masukkan tanah pasu ke dalamnya. Semai benih kobis bunga dengan menabur di atas permukaan dan siram dengan air. Simpan cup plastik anda di tempat kawasan teduh tetapi masih terkena haba matahari. 

Sambil menunggu benih kobis bunga bercambah dapatkan polibag bersaiz besar. Polibag ini boleh dibeli di kedai pertanian. Lupa pula tanomkinotuan saiz polibag yang digunakan. Tapi tidak mengapa tanya pekerja kedai tersebut dan minta cadangkan saiz polibag sesuai menanam kobis bunga.

Jika anda cukup rezeki beli tanah pasu (potting soil) yang banyak dijual di kedai pertanian atau nusery berhampiran. Tanah pasu tersebut sudah tidak perlu ditambah atau dikurangi apa-apa jenis media. Ambil polibag dan masukkan tanah pasu hingga penuh, selesai. 

Anda boleh membuat tanah pasu sendiri di rumah jika anda cukup bahan iaitu tambah 2 bahagian peat moss atau cocopeat, 1 bahagian vermiculite atau pasir kasar/halus, dan 1 bahagian kompos. Gaul hingga sebati dan selesai.

Anda juga boleh menggunakan media campuran dengan nisbah 2:1:1 iaitu 2 bahagian tanah lom, 1 bahagian kompos dan 1 bahagian pasir sungai. Gaul media tersebut dan selesai. 

Apabila anda sudah menyediakan polibag dan media, langkah seterusnya ialah masukkan media tersebut ke dalam polibag. Hentak-hentakkan secara perlahan-lahan bagi mendapatkan media sedikit mampat. Ini bertujuan agar media tidak susut secara cepat apabila disiram nanti. 

Apabila benih anda bercambah dan berusia kira-kira 2 minggu. Anda sudah boleh mengalihkan anak pokok kobis bunga tersebut pada polibag anda. Siram anak benih kobis bunga anda terlebih dahulu. Buat lubang ditengah polibag anda kira-kira 2 inci atau 3 inci. Cabut anak pokok kobis bunga anda dan tanam di dalam lubang tersebut dan timbus semula dengan tanah. Jangan lupa siram air secukupnya dan simpan polibag anda ditempat teduh selama 1 minggu.

Dalam tempoh peralihan anak pokok kobis bunga anda jangan terkena sinaran matahari terik dan pastikan media sentiasa lembab agar akar baharu cepat keluar. 

Selepas 1 minggu anda bolehlah alihkan polibag anda ke tempat terkena cahaya matahari selama 6 jam tetapi sebelum itu, untuk membiasakan anak pokok kobis anda tidak terkejut dengan sinaran matahari terik. Letak polibag anda di tempat tersebut kira-kira 1 jam sehari untuk tujuan tersebut selama dua tiga hari.

Selepas 3 minggu anak pokok kobis bunga anda dialihkan ke polibag, bubuh baja NPK organik dengan 1 sudu makan di sekeliling pokok kobis bunga. Anda juga boleh menaburkan serbuk telur ayam yang diblender dan kulit pisang yang dipotong kecil-kecil. Anda juga boleh menyiramnya dengan serum EM1, baja cecair ikan dan kompos teh secara berselang seli.

Pokok kobis bunga sudah boleh dituai selepas 3 bulan setengah atau lebih. Cara mengetahui bunga kobis anda sudah boleh dituai ialah saiz bunga kobis anda lebih besar dengan penumbuk lengan orang dewasa atau apabila bulu-bulu halus pada bunga tersebut sudah hilang. Gunakan pisau tajam untuk memotong di pangkalnya.

Anda bolehlah memasak bunga kobis tersebut mengikut resepi kegemaran anda. Nikmati kobis bunga organik tanam sendiri di laman rumah. 

Tip tanomkinotuan:

1. Selain polibag, anda boleh menggunakan pasu dan kontena bersaiz besar atau buangan besen dari dapur anda untuk menanam kobis bunga.

2. Anda juga boleh menggunakan tanah biasa di laman anda dengan syarat tambah kompos dengan kuantiti yang banyak. Dan sedikit pasir sungai.

3. Jika anda malas menyemai, anda boleh secara langsung tabur benih kobis bunga dalam polibag yang anda gunakan. Tabur 2 hingga 5 benih kobis bunga pada 1 polibag. Cabut dan tinggalkan sepokok anak pokok kobis bunga untuk tumbuhbesaran sempurna.

4. Guna sarung tangan apabila melakukan kerja bertani dan menanam kobis bunga. Media khususnya tanah biasa yang tidak disteril mengandungi kuman dan bakteria yang mungkin merbahaya.

5. Untuk hasil cepat bubuh baja alfalfa atau baja cecair untuk buah-buahan agar pokok kobis bunga cepat berbunga. 

Selamat bertani dan menuai hasil.

Khamis

Cara Buat Tanah Pasu (Potting Soil) Sendiri


Tanah pasu dengan kulit padi

Apakah yang dimaksudkan dengan tanah pasu? tanah pasu adalah terjemahan daripada frasa English bagi perkataan potting soil atau potting mix iaitu campuran mana-mana media tertentu khas digunakan di dalam pasu atau kontena bagi penanaman sayuran, bunga-bungaan dan herba. Kadang-kadang tanah pasu tidak sesekali menggunakan tanah kebun atau tanah biasa dan terdapat juga tanah pasu yang mengandungi tanah kebun. Untuk mendapatkan istilah benar dalam persuratan Bahasa Melayu, tanomkinotuan telah bersusah payah mendaftarkan diri di Khidmat Nasihat DBP online untuk bertanya terjemahan yang tepat. Tidak lama kemudian email dari DBP online sampai dengan mengetengahkan jawapan seperti berikut 'tanah pasu'. Jadi dalam entry ini tanomkinotuan menggunakan istilah tanah pasu untuk perbincangan yang merujuk kepada potting soil.  

lazim diketahui bahawa menanam menggunakan tanah kebun atau tanah di laman rumah mempunyai masalah besar yang ketara bilamana digunakan dalam penanaman sayuran. Ia cecara perlahan-lahan menjadi padat apabila selalu disiram dengan air atau menerima curahan air hujan ketika musim hujan. Mampatan tanah tersebut mengurangkan pengudaraan dalam tanah, saliran air menjadi teruk, pertumbuhan mikrob baik yang kurang dan sudah tentu nutrient makanan kurang yang seterusnya boleh merencatkan pertumbuhan pokok tanaman. Tanah kebun juga boleh menularkan beberapa penyakit yang boleh membunuh tanaman anda. Sebab itulah disarankan menggunakan tanah pasu berkualiti bagi mendapatkan hasil yang maksima.   

Pengalaman tanomkinotuan bertani sayuran di belakang rumah. Batas yang dibuat nampak tinggi namun tidak sampai 3 minggu ia susut 90%. Apabila tanomkinotuan menanam semula kali kedua pada batas yang sama, perlu digembur semula kerana tanahnya sudah mampat atau padat. Ini mengakibatkan tanaman sayuran berdaun seperti sawi kerinting akan layu pada tengahari kerana akar tidak dapat menyerap air secukupnya untuk disalurkan ke seluruhan pokok dan daun. Lagi pula tanah mampat/padat ini air tidak mudah memasuki ke dalamnya kerana kekurangan liang-liang dalam tanah.

Campuran tanah pasu berkualiti haruslah tidak cepat mampat, pengudaran dan saliran air yang baik, kelembapan dan tidak cepat kering, kaya nutrient, bebas benih rumput rumpai dan paling penting ialah bebas penyakit. Pengenalan kepada beberapa bahan media yang sering digunakan di dalam tanah pasu adalah seperti berikut.

1. Tanah

Tanah merupakan bahan semulajadi yang wujud di mana-mana. Ia kaya nutrient dan mikrob baik untuk membantu penguraian bahan terampai di dalam tanah. Kadang-kadang pekebun menggunakan tanah dalam campuran tanah pasu sebagai media campuran sebagai media penanaman contohnya tanah atas (topsoil). Topsoil adalah tanah 30 cm dari permukaan tanah yang kaya humus dan nutrient. Untuk menghapuskan mikrob jahat dalam tanah terlebih dahulu bakar tanah tersebut di dalam oven selama 20 minit dengan darja kepanasan (suhu) kira-kira 200 darjah celsius. Gaul tanah tersebut selang 5 minit untuk menghapuskan mikrob jahat secara menyeluruh.

2. Pasir sungai

Pasir sungai adalah sumber terbaik untuk campuran tanah pasu di mana ia berfungsi dengan menambah liang-liang pada media dengan pengudaraan yang baik di dalamnya. Selain itu pasir sungai juga sangat menyerap air dengan banyak dan cepat kering. Pasir jika ditambah dalam skala banyak dapat menjadikan pasu lebih berat sedikit untuk mengelak daripada tumbang atau jatuh apabila ditiup angin. Lebih-lebih lagi pasu tersebut diletakkan di balkoni atau beranda.

3. Kompos

Kompos adalah bahan yang murah, kaya nutrient dan sesuai ditambah ke dalam campuran tanah pasu. Ia juga kaya dengan mikrob baik. Kompos terhasil daripada 2 sumber yang utama iaitu sumber binatang dan tumbuhan. Ia mampu meningkatkan tahap pertumbuhan tanaman ke tahap maksimum. Namun begitu sumber nutrient dalam kompos bergantung kepada bahan yang digunakan.

Kulit kayu hancur

Lazimnya dalam campuran tanah pasu yang boleh diperolehi di pasaran kadang-kadang dicampur dengan kulit kayu hancur seperti kulit kayu pine hancur (pine bark). Ia bertujuan memberikan ruang-ruang udara dalam media juga mengudaraan dan saliran baik dalam media itu sendiri. Untuk kes di negara kita anda boleh membeli kulit kayu pine hancur ini di pasaran atau boleh mendapatkan habuk kayu mana-mana kilang berdekatan. Pokok kayu acacia juga sesuai mengantikan kulit kayu pine hancur ini. 

4. Peat moss

Tanomkinotuan maklum semua pembaca mengetahui dan selalu dengar istilah peat moss, lebih-lebih lagi kepada mereka yang suka menanam bunga khususnya pokok bunga rose dan orkid. Sebab media ini digunakan untuk menanam kedua pokok bunga tersebut.

Peat moss ialah sejenis lumut yang dikenali sebagai lumut sphagum yang dikeringkan diproses menjadi setengah serbuk. Ia berfungsi sebagai menyerap air bagi mengelak daripada kekeringan yang cepat. Memperbaiki pengudaraan media dan saliran air dalam media. Peat moss adalah bahan utama dalam campuran tanah pasu. tetapi ianya bersifat alkali yang boleh menjejaskan pertumbuhan sesetengah tanaman. Walaupun begitu untuk mengurangkan kadar alkalinya hanya tambah sedikit kapur pertanian.

5. Serat kelapa hancur

Serat kelapa hancur atau juga disebut cocopeat dan coir di dalam bahasa Englishnya. Fungsinya sama dengan peat moss ini di mana ia dapat mengekalkan kelembapan dalam tempoh lama, memperbaiki pengudaran dalam media dan meningkatkan aliran air dalam media. Mempunyai sedikit nutrient seperti potosium dan membekalkan nutrient apabila terurai di kemudian hari. Namun cocopeat tidak bersifat alkali seperti peat moss. Jika anda sukar mendapatkan peat moss anda boleh mengantikan serat kelapa hancur ini dalam campuran tanah pasu.

6. Perlite

Perlite ialah abu vulkano yang dijadikan asas dalam campuran tanah pasu. Ia mampu meningkatkan kadar pengudaraan dalam media, memperbaiki saliran air malah mampu menyerap air dalam tempoh yang lama. Namun peringatan untuk membaca bahawa perlite mengandungi mikroskopik silika dalam abunya dan boleh merosakkan paru-paru bila terhidu. Gunakan penutup mulut dan hidung apabila menggunakan perlite dalam campuran tanah pasu.

7. Vermiculite

Vermiculite adalah bahan yang juga sering digunakan dalam campuran tanah pasu. Ia padat dan mampu memberikan pengudaraan yang baik dalam media.

8. Humus tanah cacing

Humus tanah cacing atau vermicast adalah bahan kumuh yang dikeluarkan oleh cacing dalam tanah yang dipelihara atau diternak oleh pekebun. Ia kaya dengan zat galian dan nutrient untuk tumbuhan anda. Ia adalah bahan tambahan yang dicampurkan ke dalam tanah pasu.

Anda boleh mendapatkan tanah pasu atau potting soil di pasaran. Setiap kedai menjual alat kelengkapan pertanian dan baja adan menjual tanah pasu. Tetapi perlu diingat bahawa setiap jenama mempunyai bahan berbeza di dalamnya. Maka di sini hak pengguna harus digunakan untuk mendapatkan tanah pasu yang sesuai dan berkualiti tinggi. Sila baca dengan teliti bahan-bahan yang digunakan sebelum membeli. terdapat juga tanah pasu yang dibubuh baja organik dan baja urea untuk tindakbalas pada tanaman secara cepat. 

Tanah pasu yang baik dan berkualiti harus menggunakan bahan-bahan asli dan organik tanpa digabungkan dengan bahan sampingan yang tidak berkualiti. Campuran tanah pasu asas adalah seperti mengandungi peat moss, perlite, vermiculite, kulit kayu hancur atau habuk kayu dan sedikit humus dan kompos. 

Kualiti tanah pasu juga diukur dengan cara pengudaraan yang baik, saliran air yang baik, tinggi nilai nutrient, tidak memerangkap jumlah air dalam tempoh lama (menyebabkan akar pokok lemas dan mati), tidak mudah mampat, ringan dan bebas penyakit.

Cara menghasilkan tanah pasu sendiri di rumah adalah seperti berikut:

Bahan-bahannya:

1. 2 bahagian peatmoss (boleh diganti dengan cocopeat)

2. 2 bahagian kompos

3. 1 bahagian kulit kayu pine hancur (boleh diganti dengan habuk kayu atau apa-apa jenis kulit kayu hancur)

4. 1 bahagian vermiculite (boleh diganti dengan pasir kasar atau pasir sungai)

5. 1 bahagian humus tanah cacing (vermicast) 

6. 1/2 bahagian kapur pertanian.

7. 1 bahagian tanah atas (topsoil) -optional-

'bahagian' dalam senarai bahan di atas merujuk kepada bekas kuantiti yang anda gunakan seperti gelas, tin milo, pasu atau pun baldi.


Cara penyediaan:

1. Masukkan 2 bahagian peat moss ke dalam satu bekas yang bersaiz besar seperti besen, anda boleh menggunakan apa-apa bekas yang sesuai. Jika anda menggunakan blok cocopeat. Terlebih dahulu direndam dengan air sehingga kembang 2 kali ganda. Anda tidak perlu menambah kapur pertanian jika menggunakan cocopeat.

2. Seterusnya masukkan vermiculite atau pasir kasar/pasir sungai ke dalam besen. gaul hingga sebati. 

3. Kemudian tambah kompos, kapur pertanian dan humus tanah cacing ke dalam besan serta digaul hingga sebati kesemuanya.

4. Sukat nilai PH media tanah pasu anda, gunakan penyukat nilai PH yang boleh dibeli di kedai nusery. PH tanah pasu yang sesuai ialah 6.0 hingga 7.0. Sekiranya nilai PH rendah daripada 6.0 tambah dolomite atau kapur pertanian untuk meningkatkan nilai PH. Jika nilai PH melebihi 7.0 pula tambah sulfur untuk menutralkan PH tanah pasu anda.

5. Tanah pasu anda siap untuk proses penanaman. Masukkan tanah pasu ke dalam kontena atau polibag atau pun pasu dan sedia untuk menanam anak pokok sayuran anda. 

Anda boleh menambah sumber atau bahan sampingan apabila sayuran anda sudah mula membesar seperti batu mineral, baja organik NPK dan juga serbuk rumpai laut yang boleh dibeli di pasaran. Tabur bahan-bahan tersebut secara selang seli. Anda juga boleh meningkatkan kualiti tanah pasu anda dengan menyiram baja cecair seperti baja cecair ikan, kompos teh atau serum EM1 secara selang seli. 

Tips tanomkinotuan:

1. Gunakan bekas yang besar untuk keselesaan sewaktu melakukan kerja-kerja tersebut.

2. Gunakan sarung tangan dan penutup hidung bagi mengurus bahan organik ini bagi mengelak masalah pemindahan penyakit dan sebagainya.

3. Gunakan pasir sungai jika anda mahu pasu tersebut berat dan tidak mudah jatuh atau tumbang sekiranya ditiup angin.

4. Jangan biarkan tanah pasu anda mengalami kekeringan, sering kali melihat jika berlaku sedemikian dan siram untuk mengekalkan kelembapan.

5. Tambah kompos sekali sekala pada tanah pasu anda kerana nutrient dalam kompos cepat habis.

6. Jika anda ingin membeli tanah pasu di pasaran, tanomkinotuan sarankan pilih tanah pasu yang tidak menggunakan perlite.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Kulit Telur Sebagai Baja di Kebun Belakang Rumah


Tahukah anda bahawa setiap ciptaan Tuhan mempunyai kepentingan terhadap jaringan alam dan isinya. Ciptaan tersebut tidak sia-sia wujud di muka bumi ini tanpa ada manfaat kepada makhluknya yang dikenali sebagai manusia yang penting kita tahu bagaimana untuk mengola, mempelajari dan mengakses kepentingan-kepentingan tersebut untuk kebaikan sejagat. Apa yang tanomkinotuan ingin katakan ialah kepentingan kulit telur terbuang untuk batas kita. Tanomkinotuan percaya terdapat pembaca di luar sana tidak tahu untuk mengola semula kulit telur ayam selepas menggunakan isinya. Kita akan berbincang secara santai mengenai kulit telur hari ini. 

Mengubah tanah adalah perlu bagi setiap kebun mini mahupun ladang berskala besar. Ini bermaksud bahawa tanah tersebut harus di baikpulih menjadi tanah yang berkualiti dan subur. Lebih-lebih lagi tanah yang sering digunakan dalam penanaman sayuran. Ini kerana tanah tersebut mengalami pengurangan nutrient makro dan mikro secara cepat mengakibatkan masalah timbul seperti buah mengecut pada bucunya, klorosis pada tanaman serta pengeluaran hasil buah tanaman yang rendah. Maka dengan itu berbalik kepada sumber alam semula jadi, kulit telur ayam adalah salah satu sumber yang baik untuk meningkatkan kualiti tanah anda. tetapi perlu diingat bahawa kulit telur tidak menyediakan nutrient kepada tanaman.

Kulit telur ayam terhasil dari kalsium karbonat di mana ia sama kandungan yang terdapat dalam kapur pertanian dan kaya dengan sumber kalsium serta sedikit kandungan posforus, megnesium dan sodium. Kulit telur ayam adalah salah satu yang boleh digunakan untuk membekalkan sumber kalsium kepada tanah atau batas anda. Kalsium adalah sumber penting kepada tanaman khususnya sayur-sayuran dan buah-buahan. Membubuh kulit telur ke dalam tanah anda akan memudahkan akar tanaman anda untuk menyerap nutrient lain dalam tanah dan akan membantu tumbuhbesaran tanaman dengan lebih baik. Namun perlu diteliti bahawa nilai ph tanah anda dalam keadaan neutral juga kawal jumlah nitrogen di dalam tanah bagi keseimbangan zat-zat di dalamnya. 

Satu masalah yang kurang enak bila mana menggunakan kulit telur ialah baunya. Ia boleh mengganggu ketenteraman dalam rumah anda atau jiran anda jika anda tinggal di kawasan perumahan. Ini kerana telur mengeluarkan bau busuk semasa proses pengomposan berjalan. Kes ini dapat dielakkan jika anda mengeringkan terlebih dahulu kulit telur tersebut barulah digunakan.

Ambil perhatian bahawa kulit telur yang ditabur ke dalam tanah atau pasu akan mengambil masa untuk bertindak terhadap tanaman kerana kulit telur tersebut akan mengambil masa untuk penguraian dan pengomposan. 

Cara menggunakan kulit telur ini ialah sebaik-baiknya anda hancurkan hingga menjadi serbuk terlebih dahulu. Anda boleh menggunakan lesung batu atau blender untuk tujuan di atas. Dan tabur sesudu kecil serbuk kulit telur pada pasu anda atau tabur secara rawak pada batas anda dan gaul hingga sebati dengan tanah.

Terdapat cara lain menggunakan kulit telur iaitu anda didihkan kulit telur tersebut dan anda boleh menggunakan rebusan air tersebut untuk disiram pada tanah anda. Cara ini dibuktikan oleh Universiti Minessota di mana mendapati air didihan daripada telur rebus mengandungi kandungan kalsium dan potossium yang tinggi dengan syarat anda perlu sejukkan air rebusan tersebut selama 24 jam atau sehingga sejuk. Jangan pula anda menyiram tanaman anda pada suhu panas, ia bukan menyelesaikan masalah kualiti tanah anda tetapi akan mematikan pokok-pokok sayuran anda sekali. Kedua-dua sumber tersebut sangat berfaedah kepada penghasilan buah yang baik dan banyak.

Anda juga boleh menggunakan cara semburan (foliar spray) dengan menyemburkan air rebusan kulit telur pada tanaman anda secara keseluruhannya. Dengan itu dedaun tanaman dengan mudah menyerap elemen-elemen tersebut dengan mudah.

Kulit telur perlu dikumpulkan di satu bekas yang dikhaskan. Apabila anda menggunakan telur dalam masakan anda, kulit telur tersebut jangan dibuang tetapi dicuci bersih dan keringkan, simpan hingga banyak dan barulah diproses kemudian. Selain kapur pertanian anda boleh menggunakan kulit telur untuk tujuan membekalkan kalsium pada tanah atau batas.


Cara Membuatnya:

Cara membuat baja cecair dari kulit telur ialah sediakan 10 hingga 15 biji kulit telur yang telah dibersihkan dan dikeringkan, masukkan ke dalam periuk atau belanga. Didihkannya dengan menambah 1 galen air bersih. Apabila sudah mendidih, mastikan api dan sejukkan semalaman. Tapis airnya dan simpan pada botol plastik yang bersih. Dengan itu anda sudah boleh menggunakannya untuk spray atau menyiram sayuran anda. Lakukan seminggu sekali secara berkala untuk hasil yang maksima. 

Bagi cara membuat serbuk dari kulit telur ialah ambil 10 hingga 15 kulit telur ayam, cuci hingga bersih dan keringkan. Tumbuk kulit telur tersebut hingga hancur dan simpan di dalam botol atau bekas yang sesuai dan tertutup. Anda juga boleh menggunakan blender dengan tujuan di atas.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Kulit Pisang Sebagai Baja di Kebun Belakang Rumah


Kita sering memakan buah pisang yang dibeli dari kedai atau di mana-mana sahaja. Tidak kiralah apa-apa jenis dan variati pisang tetapi sayang selepas memakannya kulit pisang tersebut dibuang begitu sahaja ke dalam tong sampah. Mari kenali manfaat dan kebaikan yang ada pada kulit pisang untuk tanah dan tanaman kita.

Kulit pisang sangat kaya dengan kalsium, megnesium, sulfur,potossium, fosphat dan sodium.Semua bahan ini sangat pentingkepada tanaman anda dari segi pengeluaran akar yang banyak, pertumbuhan galak dan penghasilan bunga dan buah yang tinggi. Kulit pisang menjadi salah satu alternatif bahan baja organik yang murah dan mudah diperolehi. Bermaksud bukan sahaja boleh menikmati buahnya yang berkhasiat tetapi juga kulitnya boleh diolah semula menjadi zat makanan kepada tanaman.

Terdapat 3 cara penggunaan kulit pisang sebagai baja organik. Pertama, dibubuh langsung ke batas atau pasu setelah dipotong kecil, dijadikan kompos dan foliar kulit pisang.

Cara menggunakan kulit pisang langsung pada tanah ialah anda perlu dapatkan kulit-kulit pisang tersebut dan potong-potongkannya menjadi ketulan-ketulan kecil kira-kira 0.3 cm. Seterusnya simpan hirisan kulit pisang tersebut pada bekas yang sesuai. Simpan di tempat selamat. Jika anda ingin menggunakannya, gembur terlebih dahulu tanah batas atau media di dalam pasu secara berhati-hati agar tidak mencederakan akar pokok. Kemudian buat lubang sedalam 3 inci lalu masukkan potongan-potongan kulit pisang kedalamnya dan timbus semula dengan tanah. Cara ini praktikal untuk mengurangkan bau yang kurang menyenangkan apabila proses pengomposan kulit pisang bermula.

Cara kedua iaitu membuat kompos kulit pisang. Kumpul kulit pisang seberapa banyak yang boleh. Ketika anda dan keluarga anda memakan buah pisang atau emak anda membuat kuih pisang maka jangan buang kulitnya tetapi kumpul dan simpan pada bekas tertentu dengan cara tebuk bekas penyimpanan tersebut di bawahnya. Masukkan kulit pisang sehingga menutupi ruang bawah bekas. Seterusnya tambah tanah selapis sehingga menutupi kulit pisang tersebut. Letakkan semula kulit pisang di atas tanah sehingga menutupi keseluruhan tanah dalam bekas tersebut dan disusuli dengan membubuh semula tanah sehingga menutupi kulit pisang tersebut. Lakukan kerja tersebut seperti di atas sehingga kulit pisang selesai di simpan. Simpan kulit pisang tersebut ditempat jauh dari orang ramai dan selamat. Ia mengambil 1 bulan hingga 1 bulan setengah untuk menjadi kompos. Bila sudah benar-benar terkompos ia sudah tidak berbau tengik tetapi beraroma tanah (earthy). Bila sudah siap proses mengompos bolehlah ditabur pada batas atau dalam pasu.

Satu cara lagi yang anda boleh lakukan ialah membuat proses foliar kulit pisang. Cara ini lebih kepada baja cecair dengan menggunakan kulit pisang sahaja. Caranya ialah 15 hingga 25 kulit pisang dan masukkan ke dalam satu bekas yang bersih. Tambah 150 ml air bersih tanpa klorin ke dalamnya serta bubuh 200 gram gula perang. Kacau hingga sebati dan tutup bekas dengan rapat dan simpan di tempat selamat. Pemeraman mengambil masa 2 hingga 3 minggu untuk hasil maksima. Setelah selesai proses penapaian tapis cecair dan simpan pada bekas yang lain. Cara menggunakannya pula ialah tambah 20 ml foliar kulit pisang pada 300 ml air bersih tanpa klorin dan sembur pada keseluruhan pokok sayuran atau tanaman anda. 

Satu masalah timbul apabila menggunakan kulit pisang sebagai baja pada tanaman atau bunga dalam pasu lebih-lebih anda tinggal di taman perumahan. Ia juga dapat menarik perhatian binatang untuk memakannya. Jadi untuk mengelak isu ini anda haruslah menanam kulit pisang tersebut ke dalam tanah dan timbus semula.

Selain tanaman sayuran anda juga boleh membaja menggunakan kulit pisang ini terhadap pokok bunga rose anda. Pokok bunga rose anda akan nampak subur dan menghasilkan bunga yang cantik.

Jadi apa kata kepada pembaca sekalian, gunakan apa yang ada untuk memperbaiki kualiti tanah dengan menambah potongan kulit pisang pada tanah atau pasu anda untuk kesihatan pokok tanaman anda di laman rumah. Jika kita rajin membaikpulih tanah tersebut nescaya dan tanomkinotuan percaya anda akan memperolehi hasil yang cukup lumayan tidak kiralah ia dari kumpulan sayuran, herba atau bunga-bungaan. Jadi andakah anda sudah bersedia menggunakan kulit pisang sebagai baja yang elok kepada tanaman anda?

Selamat bertani dan menuai hasil.

Ahad

Cara Buat Baja Cecair Organik Untuk Pokok Buah-Buahan

Kali ini tanomkinotuan membuat entry lari sedikit dari kebiasaan. Selalunya tanomkinotuan berkongsi membuat baja untuk sayur-sayuran tetapi kali ini tanomkinotuan ingin pembaca mengetahui satu lagi jenis cecair baja yang sesuai untuk buah-buahan seperti pokok jambu batu, rambutan, ciku, manggis, mangga dan lain-lain. baja cecair organik ini sangat sesuai untuk melebatkan dan mempercepatkan pokok buah-buahan anda berbuah secara semula jadi tanpa suntikan dari baja buah kimia yang boleh dibeli di pasaran hari ini.

Terpulanglah dengan pembaca yang mana pilihan terbaik untuk kebaikan pada pokok buah-buahan sama ada menggunakan baja cecair organik atau baja kimia. Baja cecair organik yang dimaksudkan ialah campuran bahan asas yang mudah diperolehi di rumah anda dan mudah dibuat. Aktiviti ini juga sesuai dilakukan bersama keluarga termasuklah anak-anak, suami tercinta sambil melakukan kerja sambil memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada anak-anak kebaikan asas organik pada tumbuhan dan kesihatan manusia. Dan yang menariknya baja ini juga boleh digunakan untuk sayur-sayuran anda juga. Anda boleh menyemburkan baja organik ini untuk melebatkan dan mempercepatkan pembuahan kepada pokok-pokok seperti cili padi, lada besar, buncis, kacang panjang, lobak, dan sebagainya. Kira berfungsi 2 dalam 1 lah kiranya.

Tetapi harus diingati dan diambil perhatian bahawa dos penggunaan untuk semburan kepada sayur-sayuran mestilah mengikut sukatan yang betul agar tidak ada masalah atau akibat yang berlaku kepada sayuran anda. Berikut adalah bahan-bahan dan cara membuat cecair organik untuk buah-buahan:

bahan-bahan yang diperlukan ialah:

  • 1 kilo gula perang atau molussa 
  • 1 kilo batang pisang atau kulit buah pisang 
  • 100 gram kulit udang belum dimasak 
  • 100 gram kulit telur belum dimasak 
  • 100 gram kulit kentang 

Cara penyediannya:

1. Sediakan satu besen sederhana besar untuk mencairkan gula perang atau molussa dengan menambah 300 liter air bersih tanpa klorin ke dalamnya. kacau sehingga gula tersebut cair dan sebati dengan air.

2. Kulit pisang, kulit udang, kulit telur dan kulit kentang harus diblender hingga hancur. Sama ada diblender secara berasingan atau diblender sekali gus. Atau anda juga boleh memotong kulit pisang, kulit kentang dan kulit udang pada saiz kecil dan menumbuk kasar kulit telur tersebut. Pilihan ada di tangan anda.

3. Seterusnya masukkan cecair bahan-bahan diblender tadi ke dalam botol plastik besar dan tuang cecair gula ke dalamnya. Goncang botol plastik tersebut supaya semua bahan sebati. Tutup botol dengan ketat menggunakan kain agar proses pengudaraan mempercepatkan pemeraman bahan tersebut.

4. Simpan dan peram botol plastik tersebut di tempat selamat selama 3 minggu tanpa membuka kain penutupnya.

5. Selepas 3 minggu anda tapis cecair baja tersebut dan masukkan ke dalam botol yang lain. Kini anda sudah boleh menggunakan baja cecair buah buatan sendiri ke atas pokok buah-buahan atau sayuran anda.


Cara penggunaannya ialah:

Ambil 2 penutup botol baja cecair buah dan tambah dengan 1 liter air. Sembur pada keseluruhan pokok termasuk daun, batang dan pangkal pokok.

Sekiranya selepas 2 minggu tidak menampakkan kesan kurangkan jumlah air dari 1 liter kepada 500 liter dengan jumlah baja cecair organik buah adalah 2 penutup botol. Dan jika terdapat kesan melecur atau layu pada daun kurangkan dos baja cecair organik tersebut.

Lakukan penyemburan pada sebelah pagi atau petang. Untuk keselamatan pokok buah-buahan anda, sembur bahagian sedikit pada pokok tersebut untuk melihat kesan sampingan terhadap campuran cecair baja. Jika tidak ada masalah anda boleh teruskan sukatan dos tersebut.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Cara dan Panduan Menanam Benih Jagung


Menanam jagung pulut di halaman rumah satu cabaran buat mereka yang ingin mencabar diri menanam pokok ini. Bukanlah bermaksud menanam jagung pulut sangat cerewet tetapi mendapatkan pokok jagung yang subur, sihat dan bersaiz besar adalah cabaran utamanya. Bagaimanakah cara untuk menanam pokok jagung pulut ini di lama rumah?

Pertama sekali dapatkan benih jagung pulut dengan kawan atau beli sahaja benihnya di nusery atau pasar minggu yang ada menjualnya. Pastikan benih tersebut masih segar dan baru. Anda akan mengalami kerugian jika terbeli benih jagung pulut yang sudah melebihi tarikh luput.

Terdapat dua cara yang anda boleh pilih menanam jagung pulut iaitu melalui batas atau polibag bersaiz besar. And juga boleh menggunakan pasu atau kontena yang sesuai.

Bagi anda yang memilih menanam jagung pulut pada batas. Anda hendaklah membuat batas sekurang-kurangnya 1 setengah lebar dan panjangnya pula terpulang pada keluasan rumah anda. Jika anda memilih lokasi tepi pagar yang kosong dengan tanaman lain anda boleh membuat batas sepanjang tepi pagar tersebut. 

Bagi mereka yang memilih menanam dalam pasu pula letakkan ditempat kawasan yang terkena sinaran matahari melebihi 6 jam sehari. Anda boleh meletakkan polibag-polibag tersebut di tepi pagar kiri dan kanan atau depan rumah yang selamat. Sediakan media campuran dengan mencampurkan 2 bahagian tanah lom, 1 bahagian pasir sungai dan 1 bahagian kompos. Untuk meningkatkan lagi kualiti tanah anda, maka anda bolehlah menambah lagi 1 bahagian cocopeat atau peatmoss dan 1 bahagian tinja ayam.

Bagi batas tersebut korek sedalam 1 kaki dalam dan gembur hingga menjadi serpihan kecil. Buang segala bendasing seperti kayu, tile, semen, paku dan lain-lain agar tidak batas anda dalam keadaan selamat. Jika tanah di laman rumah anda jenis tanah merah atau tanah liat, tambah kompos sebanyak mungkin pada batas tersebut serta tambah pasir sungai supaya media tersebut tidak cepat mampat. Anda juga boleh menambah cocopeat atau peat moss jika ada. Bubuh segenggam kapur pertanian bagi 2 kaki persegi pada batas anda. Anda disarankan untuk merehatkan batas selama 2 minggu untuk membunuh atau mengurangkan mikrob-mikrob jahat pada batas dengan cahaya matahari terik.

Sediakan media campuran tersebut dan masukkan ke dalam polibag saiz besar. Padat-padatkan media tersebut dengan menghentak-hentakkan polibag secara perlahan-lahan agar tanah sedikit mampat.

Selepas dua minggu, anda bolehlah menanam benih jagung pulut dengan membuat lubang sedalam 1 hingga 2 inci setengah dengan jarak 20 inci hingga 30 inci. Tanam di 2 biji bagi setiap lubang. Apabila benih sudah tumbuh pilih pasangan jagung yang tidak sihat, berpenyakit dan terbantut dan biarkan sepokok anak benih jagung yang sihat. Tujuan menanam 2 biji benih jagung pulut ke dalam satu lubang ialah agar anda tidak perlu lagi menyemai semula sekiranya benih tersebut tidak bercambah. Ini mengurangkan kerja anda. Menanam sebiji untuk 1 lubang membolehkan pokok jagung itu hidup subur dan menghasilkan buah yang bersaiz besar dan sihat. Timbus lubang tersebut dengan tanah ditepinya dan siram batas tersebut dengan air yang banyak.

Tanam benih jagung dengan membuat lubang sedalam 1 hingga 2 inci dan masukkan 2 biji benih jagung ke dalam media polibag itu. Timbus dengan tanah dan jangan lupa menyiram dengan air secukupnya.

Benih jagung akan mula bercambah pada hari ke5 hingga hari ke7. Ia bercambah pada suhu sesuai kira-kira 60F. Pastikan media anda sentiasa lembab dan siram sedikit air untuk melebabkannya jika terdapat berlaku kekeringan pada tanah. Tetapi jangan terlebih air pula, ia menyebabkan benih jagung pulut anda akan membusuk dan mati.

Selepas 2 minggu percambahan benih jagung pulut anda maka bolehlah dibubuh baja NPK organik yang boleh dibeli di nusery atau kedai pertanian berhampiran. Tabur baja organik (Subur) setengah genggam di sekeliling pangkal pokok jagung pulut dan siram dengan air agar ia cepat bertindak pada akar pokok tersebut. Tujuan menaburkan baja organik (subur) ialah agar pokok jagung pulut anda cepat membesar. Bagi polibag pula bubuh 2 sudu baja organik disekeliling pangkal pokok. Lebih elok gembur-gemburkan dahulu media di dalam polibag tersebut barulah ditabur baja subur.

Anda juga boleh selang selikan dengan menyiram baja cecair ikan buatan sendiri atau kompos teh pada batas pokok jagung pulut anda. Selain itu anda juga boleh menyiramnya menggunakan baja serum EM1 jika ada. 

Pada minggu ke4 atau ke5, anda boleh menaburkan baja buah dengan membubuh baja alfalfa untuk tujuan tersebut. Baja alfalfa akan mempercepatkan pembuahan pokok jagung malah pokok buahnya cukup cantik dan bersaiz besar. Namun jika sukar mendapatkan baja alfalfa anda bolehlah menggunakan baja buah lain yang mudah diperolehi di kawasan anda. Keterangan di atas teraplikasi juga kepada pokok jagung yang ditanam di dalam polibag.

Merumput adalah kerja rutin yang perlu dilakukan pada batas jagung pulut anda. Buang atau cabut segala rumput rumpai yang tumbuh pada batas. Rumput rumpai ini jika tidak dicabut akan menyerap segala nutrient dalam tanah menyebabkan berlaku persaingan mendapatkan makanan di antara pokok jagung pulut anda dengan rumput rumpai. 

Untuk mengurangkan pertumbuhan rumput rumpai, anda bolehlah meletkkan mulsa atau sungkupan pada batas. Antara mulsa yang anda boleh gunakan ialah cocopeat, peatmoss, rumput kering, jerami, daun-daun kering dan habuk kayu. Cocopeat dan peat moss agak mahal sedikit. Tabur mulsa keseluruhan pada batas. Ia bukan sahaja boleh mengurangkan rumput rumpai yang tumbuh pada batas anda tetapi juga melembabkan batas untuk kebaikan akar pokok jagung, bukan itu sahaja mulsa tersebut juga akan menjadi makanan berkhasiat kepada pokok jagung apabila ia mula mereput di kemudian hari.

Pokok jagung pulut sudah boleh dituai kira-kira 100 hari mengikut variati jagung pulut tersebut. Jika jagung pulut hibrid ia hanya mengambil masa 60 hari sahaja sementara jagung pulut kampung (hearloom) pula agak lama untuk menuai buahnya. Untuk melihat buah jagung pulut tersebut sudah boleh dituai ialah dengan melihat rerambutnya yang sudah kering sepenuhnya. Selain itu anda juga boleh mengopek sedikit kelopak kulit buahnya untuk melihat isinya. Jika isinya sudah matang itu tandanya masa menuai buah jagung pulut anda sudah tiba.

Dalam companian plant (tanaman campuran) anda boleh menanam pokok jagung pulut bersama kentang, timun, kacang pea, kacang buncis renek, labu dan squash.

Menuai buah jagung pulut tidaklah susah, anda hanya tarik buah jagung tersebut ke bawah dan ia akan tertanggal dari pokoknya. Anda boleh tuai kesemua buah tersebut dan simpan di dalam peti sejuk. Anda boleh memasaknya dengan membersihkan kelopak kulitnya apabila tiba masanya nanti. Ia mampu bertahan sehingga 3 minggu atau lebih jika disimpan didalam plastik tertutup terlebih dahulu.

Variati jagung: Jagung Kampung Perang


Variati jagung: Jagung Pulut Pandan


Dengan hasil buah jagung pulut tanam sendiri, anda boleh merasa keenakan dan kesedapan buah jagung pulut yang ditanam secara organik tanpa semburan racun serangga disamping anda merebus begitu sahaja dan dimakan seisi keluarga. Anda juga boleh mencipta resepi lempeng jagung pulut yang mudah dilakukan di dapur anda. Buah jagung yang dileraikan dari tongkolnya juga amat sedap dicampurkan di dalam resepi sayur yang anda masak. Ia membekalkan keperluan nutrient tambahan kepada anak-anak anda malah jagung membekalkan kaborhidrat yang tinggi bagi mereka yang ingin menguruskan badan. Marilah mencabar diri untuk menanam pokok jagung di laman rumah. Ia bukan sahaja menghasilkan buah yang boleh dinikmati tetapi juga cara bersosial yang mudah bersama anak-anak dan suami tercinta. Silatuharim dapat ditautkan kesihatan juga bertambah baik.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Rabu

POKOK HERBA THYME PERANCIS

Tags
Pokok thyme ialah tumbuhan hijau yang berguna dalam rempah masakan, perubatan tradisional dan juga digunakan sebagai perhiasan umum. Pokok thyme atau nama saintifiknya ialah thymus vulgaris ini berasal dari wilayah Selatan Eropah dan Mediterranean. Secara botaninya pokok thyme perancis termasuk dalam keluarga Limiaceae dalam genus thymus. Terdapat pelbagai jenis thyme yang wujud antaranya thyme citrus (Thymus x. Citriodora), thyme Caraway (Thymus herba Barona) dan thyme liar (Thymus septyllum). Pokok thyme asalnya adalah pokok yang tumbuh meliar di kawasan semak atau belukar kecil yang telah menjadi bahan rempah utama yang sangat memberikan aroma yang unik dan sedap. 

Pokok thyme perancis adalah jenis tumbuhan berjangka hayat lama, tumbuh membesar kira-kira 12 hinggi 18 inci tinggi. Mempunyai daun berbentuk mata anak panah, berbatang kurus dan berbentuk bulat, dan mudah mengeluarkan tunas dengan banyak. Cara pembiakannya ialah menggunakan biji benih, keratan batang atau pun melalui akarnya batangnya. Pokok tyhme adalah jenis pokok berjangka hayat panjang

Pokok Thyme lebih sesuai tumbuh di kawasan yang menerima hujan kurang sepanjang tahun. Pokok ini tidak memerlukan air banyak untuk hidup malah lebihan air dalam tanah menyebabkan pokok ini mudah mati. Pokok ini tumbuh dengan cepat bilamana menerima cahaya matahari dengan banyak.

Untuk menanamnya di negara kita pastikan anda menggunakan media yang peroi dan mudah mengalirkan air dengan cepat. Anda boleh menggunakan media potting soil atau media campuran buatan sendiri seperti 2 bahagian tanah lom, 1 bahagian pasir sungai dan 1 bahagian kompos. Gaul sebati dan masukkan ke dalam pasu atau kontena yang sesuai. Tanam keratan batang yang sudah direndam di dalam air sehingga mengeluarkan akar. Ia boleh ditanam di dalam pasu dan juga batas di laman rumah anda jika sesuai.

Herba thyme boleh diperolehi secara segar mahupun kering atau sudah diproses dalam bekas. Bagi keputusan yang maksima disarankan anda menggunakan pokok thyme yang segar untuk kesempurnaan aroma dan zat di dalamnya. Walau bagaimanapun, di negara kita herba thyme selalunya dalam bentuk kering, namun pokok thyme segar juga boleh diperolehi di pasaraya-pasaraya terkenal di ibukota Kuala lumpur yang ada menjualnya. Ini kerana hotel-hotel bertaraf 5 bintang menyediakan juadah makanan ala Barat untuk permintaan pelancong luar negara yang menggunakan thyme sebagai asas rempah. Jika anda menanam pokok thyme di rumah, anda boleh menuai pucuknya dan mengeringkannya untuk kegunaan masa akan datang. Pokok thyme segar pula boleh disimpan di dalam peti sejuk dan bertahan untuk beberapa minggu.

Faedah pokok herba tyhme

  • Pokok herba thyme mengandungi bahan aktif yang diketahui berkesan meredakan penyakit dan meningkatkan tahap kesihatan seseorang.
  • Pokok herba thyme mempunyai thymol iaitu sejenis minyak yang sangat penting. Thymol secara saintifiknya dijumpai sebagai ciri-ciri antiseptik dan anti-fungal. Selain itu thyme juga mengandungi carvacolo, borneol dan geraniol.
  • Thyme mengandungi banyak antioksidan flavonoid phenolik seperti zea-xanthin, lutein, pigenin, naringenin, luteolin dan thymonin. Pokok thyme yang segar mempunyai level antioksidan yang tinggi di antara pokok-pokok herba yang lain. Jumlah atau nilai ORAC (Oxygen Radical Absorbance Capacity) ialah 27,426 umol T/E100g.
  • Thyme juga tinggi kandungan mineral dan vitamin, magnesium dan selenium. Potassium ialah komponen sel dan cecair dalam badan yang membantu mengawal jantung dan tekanan darah.
  • Antara vitamin yang terdapat dalam thyme ialah B-complex, beta karotin, Vitamin-A, Vitamin-K, Vitamin-C, Vitamin-E, dan folic asid.
Sudah maklum bahawa pokok herba thyme adalah bukannya tumbuhan asal di Negara kita (Asia Tenggara) tetapi dengan cara penanaman yang betul kita boleh mendapati pokok thyme boleh saja tumbuh dengan baik di negara kita. Pokok thyme tanomkinotuan dibiarkan sahaja di kebun dengan hujan mencurah-curah setiap petang pada musim hujan lepas tetapi ia tetap segak bergaya tumbuh dengan galak malah pertumbuhannya cukup sempurna. 

Jadi apa tunggu lagi jomlah menambah pokok herba untuk ditanam di laman rumah bagi koleksi herba peribadi. lagi-lagi mereka yang menyukai resepi ala Barat seperti Daging panggang yang menggunakan bahan perap daun pokok thyme.

Selamat bertani dan menuai hasil.