Sabtu

GENSING JAWA @ JEWELS OF OPAR

Tags

Ginseng jawa merupakan tumbuhan herba yang tumbuh meluas di negara-negara tropika seperti Indonesia, Malaysia, Brunei, Filipina dan sebagainya. Ia juga ditanam sebagai tumbuhan hiasan di laman rumah di negara-negara lain di Eropah dan Amerika. Lazimnya mereka menanamnya di dalam pasu atau kontena.

Ginseng jawa atau nama saintifiknya dikenali sebagai Talinum Paniculatum atau nama di dalam bahasa English ialah Jewels of Opar. Tumbuhan ini juga digelar sebagai flameflower atau fame flower. Jangan keliru dengan ginseng jawa yang satu lagi (talinum triangulare), bahasa Englishnya ialah waterleaf. Keduanya adalah dari genus yang sama iaitu tergolong dalam kumpulan talinum. Namun perbezaan ketara adalah dari segi bentuk bunga dan buah. 

Jewels of Opar berbatang lembut dan berwarna kemerahan ketika masih kecil, bertukar ke warna hijau setelah dewasa. Daun hijau sedikit loncong. Bunganya kecil berwarna merah jambu dengan buahnya berwarna merah gelap manakala bijinya berwarna hitam. Jewels of opar mempunyai akar rerambut dan akar tunjang yang membesar seperti lobak. 

Tumbuhan herba ini mudah tumbuh dan sesuai membesar di negara kita. Terdapat dua cara untuk menanamnya. Pertama menggunakan biji benih yang telah matang (berwarna hitam) dan kedua tanam melalui keratan batang. Menanam melalui keratan batang tidak perlu menunggu lama untuk bercambah, hanya mengambil kira-kira 7 hari untuk memulakan percambahan. Lagi pula jika keratan batang hanya diletakkan ke tanah dan tanah tersebut menerima kelembapan dalam tempoh lama, keratan batang ini mampu bercambah dan tumbuh dengan baik. Bagi benih pula percambahan mengambil masa kira-kira 2 minggu. Tetapi jika anda menuai akar lobaknya maka anda harus tanam menggunakan benihnya.

Pokok herba jewels of opar ini diperolehi dari seorang kawan di laman rumahnya ketika melawatnya awal tahun ini. Pokok tersebut sangat banyak tumbuh di halaman rumahnya sehingga menjadi rumput rumpai yang sangat rimbun dan banyak. Sebahagian laman rumahnya ditumbuhi dengan pokok herba tersebut. Mengikut kawan tanomkinotuan, ayahnya sering merungut mengenai pokok herba jewels of opar kerana susah untuk dihapuskan. Walaupun ditebas dengan parang, keratan batangnya akan tumbuh galak apatah lagi pada musim hujan. Dengan sedikit pengetahuan tanomkinotuan, tanomkinotuan jelaskan kepadanya bahawa pokok ini berkhasiat sama dengan ginseng panax. Ini kerana akarnya yang membesar boleh dituai dan dijadikan ginseng sebagai tonic untuk kesihatan. Dengan penerangan tersebut diharap mereka mengubah persepsi tentang pokok herba ini lebih-lebih lagi ayahnya.  



Tanomkinotuan meminta izin untuk mendapatkan benih pokok jewels of opar dengan kawan itu serta sedikit anak pokok yang tumbuh galak di hadapan mata. Tanomkinotuan kumpulkan benih-benih yang sudah matang dengan melihat buah yang berwarna gelap. Tanomkinotuan kumpul dalam satu bekas. Banyak jugalah benih yang berjaya tanomkinotuan  kumpul serta beberapa anak pokok. Tiba di rumah tanomkinotuan semai dalam cup plastik bersaiz sederhana. Dalam 2 minggu lebih kurang benih-benih tersebut tumbuh dengan galaknya. Satu masalah pula timbul, di manakah pula tempat menanam anak pokok jewels of opar ini?  KBR sudah sarat dengan sayuran pada batas-batas. Penyelesaiannya tanomkinotuan mengambil keputusan menanamnya dalam besen besar. Bagi anak pokok jewels of opar yang dicabut dilaman rumah kawan tanomkinotuan tanam dalam polibag saja. 

Penyediaan media adalah sangat penting. Tanomkinotuan menggunakan campuran media dengan nisbah 2:1:1 (tanah lom, pasir sungai dan kompos) digaul bersama dan dimasukkan ke dalam besen hingga penuh. Tanomkinotuan menanam anak pokok jewels of opar ini di dalamnya. Kini anak pokok jewels of opar mula berbunga dan tidak lama lagi pokoknya mungkin memenuhi ruang di KBR. 

Mengikut pembacaan tanomkinotuan. Jewels of opar ini dijadikan seperti ginseng di Vietnam. Mereka menanamnya dan menunggu sehingga 3 tahun barulah dituai iaitu menuai akarnya. Di vietnam pokok ini digelar white ginseng kerana akarnya berwarna putih dan sesetengah tempat pokok ini digelar red korean ginseng. Ini yang diperolehi tanomkinotuan melalui pencarian di internet.

Bukan itu sahaja, daunnya juga boleh dimakan sebagai sayur. Masak bersama telur dadar atau tambah dalam sup ayam mahupun daging ia sesuai untuk khasiat tubuh badan anda. Selalunya tanomkinotuan memasak daun mudahnya bersama telur dadar atau masak tumis. Harus dimasak dalam tempoh sekejap lebih kurang 3 hingga 5 minit agar ia tidak menjadi berlendir. Anda boleh mendapatkan info selanjutnya di blog seorang warga vietnam yang sudah lama tinggal di USA. Klik SINI.

Perlu diambil perhatian bahawa sila dapatkan nasihat doktor atau mereka yang pakar menggunakan tumbuhan herba ini. Tanomkinotuan tidak bertanggungjawab atas segala perkara yang tidak diingini dengan menggunakan informasi di atas.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.


EmoticonEmoticon