Selasa

POKOK HERBA DAUN PANDAN

Tags



Pokok pandan wangi atau nama botaninya ialah Pandanus amaryllifolius Roxb syn Pandanus odorus merupakan tumbuhan herba berasal dari Asia Tenggara dan Asia Selatan. Sebutan pokok pandan dalam bahasa English ialah Screw Pine Leaves atau pandan leaves. Ia tumbuh meliar di beberapa negara seperti Malaysia, Indonesia, Brunei, Thailand dan sebagainya (hanya menyebut beberapa nama). 

Pandan merupakan istilah yang digunakan di 3 buah negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Brunei. Melayu Singapura juga menyebutnya sebagai pokok pandan. Bagi negara Thailand, pokok pandan disebut sebagai Bai Toey Hom, Pandanasu di Korea, Hala di Hawaii, Nioi Tako No Ki di jepun dan Kenr pula sebutan bagi pokok pandan dalam bahasa Hindi. Setiap bangsa di Asia tahu menggunakan atau mengola daun pandan dalam masakan sama ada diperturunkan dari generasi ke generasi atau bersifat universal peminjaman dari budaya lain. Selain itu ia banyak manfaat dari segi penggunaan kesihatan dan juga dalam ekstrak pati minyak.

Di Malaysia khususnya di kampung-kampung tidak sah sekiranya setiap rumah menanam sepokok pandan untuk kegunaan seharian. Tidak dinafikan juga mereka yang tinggal di kawasan perumahan, apartment, dan sebagainya mereka akan menanam pokok pandan ini dalam pasu. Ia sangat penting dalam sosio-budaya kaum Melayu di negara ini dan di Indonesia.

Pokok pandan adalah pokok jenis monokot dan ciri-ciri pokoknya ialah mempunyai daun panjang, lurus loncong, tirus dihujungnya dan berwarna hijau. Tidak bercambang dan bukan jenis kayu keras. Tumbuh sederhana tinggi hingga mencecah 2 meter atau lebih. Daunnya beraroma unik dan lembut. Boleh mengeluarkan sulur atau anak pokok di pangkalnya bagi tujuan kemenderian hidup. Mampu mengeluarkan akar pada anak pokok yang membesar dan menjunam ke tanah untuk mendapatkan zat makanan. Pokok pandan mempunyai 600 variati dan hanya pokok pandan wangi sahaja yang boleh diolah sebagai rempah tambahan dalam masakan. Variati pandan lain sesuai dijadikan kraftangan seperti anyaman tikar, bakul dan perhiasan lain.

Pokok pandan mempunyai beberapa kandungan bahan kimia antaranya 2-acetyl-1-pyrolline yang menjadi asas kepada pati ekstrak minyak pandan yang dihasilkan menerusi daunnya. Ia juga mengandungi kandungan styrene, linalool dan B-cayophyllene serta beberapa jenis piperidine seperti alkaloid (epandamarin dan pandamarilactones) yang merujuk kepada latex atau seakan-akan susu putih.

Cara menanam pokok pandan ialah menggunakan keratan batang. Tanomkinotuan mendapatkan keratan batangnya dari kawan di Ranau tahun lepas semasa melawatnya ketika itu. Sempat meminta ehsan dan buat-buat muka sedih untuk mendapatkannya, hehehehe. Setiba di rumah tanomkinotuan menanamnya di dalam pasu sahaja sebab masa itu kebun KBR belum wujud lagi. Baru kiranya tanomkinotuan berjinak-jinak dengan tanah. Apabila kebun KBR sudah disiapkan maka tanomkinotuan alihkan pokok pandan tersebut ke dalam tanah hinggalah sekarang.

Jika pandan anda mengeluarkan anak pokok, tunggu sulur-sulur atau anak pokok pandan tersebut kira-kira 12 hingga 15 inci panjang. Potong anak pokok pandang yang telah mengeluarkan akarnya dan tanam di dalam tanah. Jika anda menanam di dalam pasu. Guna media campuran atau guna sahaja tanah pasu (potting soil) yang boleh dibeli di pasaran.

Sekiranya pokok pandan dalam pasu anda sudah tidak cantik dipandang dengan batang meninggi dalam pasu. Anda boleh potong pokok pandan tersebut dan menanam semula di pasu yang lain. Ia akan tumbuh selepas itu dengan galak pula.

Khasiat daun pandan adalah seperti berikut:

1. 

Banyak manfaat pokok pandan terutamanya pada daunnya dari segi masakan (pewangi, perasa, hiasan atau pewarna), kesihatan dan tujuan lain. Antara kegunaan dan manfaat daun pandan ialah:

a. Daun pandan menjadi bahan pewangi bagi nasi tanak, ikan, daging atau agam panggang yang dibalut dengan beberapa daun pandan. Aroma daun pandan sangat serasi dengan aroma yang keluar dari bahan-bahan di atas dan bila aroma-aroma ini bergabung maka terhasil lah aroma yang cukup unik. Daun pandan dicampurkan ke dalam bubur atau masakan jenis pengat seperti pengat pisang, bubur kacang hijau atau bubur jagung. Beberapa helai daun pandang yang direnyuk-renyuk dimasukkan ke dalam belanga untuk menaikkan aroma masakan tersebut.

b. Daun pandan dijadikan sebagai pewarna asli yang cukup berkhasiat. Daun pandan dengan ekstrak daunnya boleh menjadi pewarna asli berwarna hijau kepada pelbagai jenis kuih, warna hijaunya mampu menyerikan warna kuih muih yang dihasilkan menggunakan warna daun pandan. Caranya ambil 6 helai daun pandan, potong kecil-kecil dan masukkan ke dalam blender. Tambah sedikit air dan blender hingga hancur. Tapis airnya dan gunakanlah air pandan tersebut pada tepung anda atau seumpamanya.

c. Daun pandan sebagai pembalut kuih dan isi ayam. Selain daun pisang sebagai pembalut, daun pandan juga sangat popular di negara ini dan di negara jiran menggunakan daun pandan sebagai pembalut bahan yang dimasak. Kuih taro salah satunya menggunakan daun pandan yang dianyam menjadi acuan 4 segi sama bagi meletakkan tepung taro sebelum di kukus dalam pengukus. Selain itu ayam, daging kambing atau ikan boleh dibungkus menggunakan daun pandan dan dibakar di atas pemanggang. Ia bukan sahaja dapat menjaga isi tersebut dari terbakar atau hangus tetapi dapat menambah aroma sedap dan unik kepada masakan.

d. Disimpulkan dua tiga helai daun pandan dan letak dalam almari yang mengandungi banyak lipas. Lipas akan melarikan diri dari terhidu bau daun pandan tersebut.

e. Dijadikan pewangi bunga rampai untuk majlis perkahwinan. Ia boleh menambah aroma unik pada bunga rampai tersebut. Caranya hiris nipis-nipis dan tambah 7 jenis bunga-bungaan. Sembur dengan apa-apa jenis forfume yang disukai.

f. Boleh dijadikan cecair gula pandan untuk meningkatkan rasa dan struktur yang enak pada tauhu minuman atau kuih telur katak.


Daun pandan yang beraroma unik ini sesuai bercampur dengan rempah atau bahan masakan seperti santan, kari dan sebagainya. Contohnya boleh dilihat pada resepi bubur kacang hijau atau jagung. Ia menaikkan aroma yang cukup elegan dan unik bagi menaikkan selera pengguna.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.

3 komen


EmoticonEmoticon