Jumaat

PERKEMBANGAN POKOK ZUCCHINI CROCKNECK KUNING MUSIM KETIGA

Tags




Ini kali ketiga tanomkinotuan menyemai dan menanam pokok zucchini crockneck kuning yang jarang-jarang ditanam di negara kita. Adapun yang menanamnya hanya bersifat individu dan hobi ditanam di laman rumah. Tanomkinotuan tidak terkecuali dengan mencuba menanam zucchini crockneck kuning ini. Sudah 3 kali penanaman benih zucchini crockneck dan belum ada masalah teruk berlaku ke atas pokok kecuali daun dimakan belalang dan buah dibaham ulat pengorek buah.

Ramai diluar sana berpendapat pokok zucchini hanya boleh tumbuh di negara-negara 4 musim dan tidak tumbuh baik di negara kita. Sehingga kesanggupan dan keinginan untuk mencuba menanamnya terbantut. Harga sebiji zucchini yang dijual di pasaraya agak mahal kerana permintaannya melebihi penawaran.

Dan ramai sahabat tanomkinotuan di Facebook cuba bertanya iklim dan cuaca tempat tanomkinotuan yang mana bersuhu sejuk dan terletak di kawasan tanah tinggi. Tanomkinotuan tinggal di Daerah Keningau, salah satu daerah yang terdapat di kawasan pedalaman Sabah. Tapi Keningau juga sama seperti tempat-tempat lain, mengalami arus pemodenan dan kemajuan. Pokok-pokok setiap hari ditebang untuk memberikan laluan pembinaan dan perladangan sehingga suhu naik mendadak. Kini Keningau juga agak panas. Bahangnya boleh membakar kulit.

Ketahuilah bahawa pokok zucchini adalah tanaman musim panas (summer squash crop) bermaksud ia ditanam di negara-negara 4 musim pada tempoh musim panas dan bukan ditanam pada musim sejuk, salji atau musim bunga. Pokok zucchini akan mati pada suhu terlalu sejuk. Dengan mempelajari sifat pertumbuhan dan cuaca yang sesuai untuk pertumbuhan pokok tersebut, kesimpulannya pokok zucchini boleh hidup subur ditanam di negara kita kerana iklim panas dan lembab sepanjang tahun malah menariknya pokok zucchini boleh ditanam di negara kita sepanjang tahun tanpa masalah, jadi mengapa kita tidak mencuba untuk menanamnya? Tentulah pokok zucchini lebih baik pertumbuhannya di kawasan tanah tinggi dan bersuhu sejuk tetapi jika kena caranya pokok zucchini boleh membesar dan berbuah lebat jika ditanam di kawasan tanah rendah. 

Ciri yang perlu diketahui oleh semua ialah pokok zucchini merupakan pokok yang high feed (penggunaan baja nutrient adalah tinggi). Tidak boleh berjimat cermat menggunakan baja jika menanam pokok zucchini kerana pertumbuhan pada tahap maksimum, pokok cantik dan sihat adalah bergantung kepada keseimbangan jumlah baja/zat makanan dalam tanah yang sangat tinggi. Pokok zucchini boleh membesar sehingga 3 inci dalam sehari dan daun pokok zucchini membesar kira-kira 6 inci dalam masa 2 hari. 

Oleh itu untuk mendapatkan pokok zucchini yang sihat dan cantik, media harus cukup zat makanan. Sebelum menanamnya harus menambah 1 kilo kompos atau baja organik ke dalam tanah dan digaul hingga sebati. Rehatkan tanah tersebut selama 1 minggu dan barulah anak pokok zucchini ditanam ke dalam batas. Selepas 2 minggu dialihkan ke batas, tambah semula kompos di sekeliling.pangkal pokok seperti bukit. Lebih elok menggunakan kompos kelapa sawit atau tumbuh-tumbuhan kerana ia sesuai untuk pembentukan batang, dahan, tangkai daun dan akar untuk membesar dengan baik. 

Bagi pembuahan pula anda boleh meletakkan baja alfalfa atau serbuk kulit telur hancur. Juga menggunakan baja organik yang lain untuk tujuan pembuahan yang bantak. Tanah harus senantiasa lembab untuk memudahkan akar menyerap nutrient.  Jangan terlalu basah pula. Pokok zucchini sesuai disiram 2 kali sehari agar media tidak terlalu basah dan juga tidak terlalu kering. 


Pengalaman tanomkinotuan menanam pokok zucchini ialah penjagaannya tidaklah serumit mana. Hanya bubuh baja npk organik 2 minggu sekali. Walaupun pokoknya sudah berbuah pembajaan yang konsisten harus dilakukan mengikut jadual yang diselang selikan dengan baja buah organik dan booster roti, kompos teh dan baja cecair ikan.

Tanomkinotuan juga akan menimbus semula kali kedua dengan kompos di pangkal pokok zucchini untuk mengalakkan batang atasnya berakar untuk pokok tumbuh dengan baik. 

Cuma yang perlu diambil perhatian sedikit ialah benih yang dibeli. Rata-rata benih zucchini yang dijual adalah benih import di mana ditanam ditempat asalnya. Oleh itu, apabila benih tersebut ditanam di negara kita benih mengalami kejutan cuaca dan suhu menyebabkan berlaku gangguan untuk bercambah. Kes ini boleh diatasi dengan mengubah tektik percambahan. Guna cocopeat atau peat moss yang dimasukkan ke dalam cup plastik. Masukkan benih zucchini dengan menanam secara mengiring di permukaan media, separuh terbenam dan separuh lagi terkeluar dari permukaan. Letak cup plastik tersebut ditempat terkena cahaya matahari pada waktu pagi. Media harus lembab dan tidak terlalu basah.

Ia bukan sahaja cepat membesar tetapi selang 3 minggu lebih anda sudah boleh melihat bunga jantan dan betina yang membesar sebagai buahnya. Tanomkinotuan pernah memetik beberapa bunga jantan untuk dijadikan goreng tempura. Ranggup dan lembut untuk dikunyah. Memang terbaik. Masak tumis dan sup juga sedap. Begitu juga dengan campuran dalam topping pizza. Menyelerakan dan memang sedap.

Adakah anda berminat menanam pokok zucchini? Adakah anda ingin mencubanya? Tanam pokok zucchini di laman rumah anda, lihat hasil buahnya yang cukup memikat.

Selamat bertani dan menuai hasil. 

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.

2 komen

luarbiasa..banyak betul pengalaman tanam-tanaman jaf semua menjadi..green hand

thanks cikgu. Cuba2 saja. jadi alhamdulilah, tak jadi bukan rezeki. Selamat bercuti cikgu. Time cuti melancong pi mana?


EmoticonEmoticon