Ahad

PANDUAN MEMBUAT KIMCHI VERSI TANOMKINOTUAN

Tags


Bertemu kembali dalam ruangan kali ini, cerita mengenai sayuran di KBR direhatkan buat masa ini. Tidak ada yang diceritakan kerana agak sukar sayuran tumbuh disebabkan musim hujan melanda. Banyak sayur rosak teruk diserang makhluk perosak.

Namun tanomkinotuan ingin berkongsi cara membuat kimchi sayuran jeruk berasal dari negara Korea. Kimchi merupakan makanan kebangsaan negara tersebut. Ini kali keempat tanomkinotuan membuat kimchi dan pernah membuat kimchi dengan menggunakan buah pisang berangan dan mangga harum manis. Hasilnya tidak ada beza dengan resepi asal.

Berikut adalah bahan-bahan untuk kimchi:

1. Kobis cina bulat lebih kurang 1 kilo.

2. Satu batang lobak merah.

3. Satu batang lobak putih.

4. 2 batang daun sup saiz besar.

5. 10 batang kucai (tidak dimasukkan)

6. Satu biji epal merah dibuang kulit dan biji saiz sederhana.

7. Satu biji buah pir dibuang kulit dan biji saiz sederhana.

8. Satu biji bawang holland.

9. Satu labu bawang putih

10. 2 inci halia.

11. 2 hingga 3 sudu sos ikan.

12. 100 hingga 200 gram serbuk cili.

13. Lima sudu besar tepung beras pulut.

14. 50 gram sotong dipotong kecil.

15. Garam kasar

16. Air secukupnya.


Cara penyediannya:

1. Kobis cina di belah empat dan dipotong kira-kira 2 inci. 





2. Tabur kobis cina dengan garam kasar kira-kira 6 genggam 15 sudu makan. Tambah dengan segelas air dan gaul hingga garam tersebut sebati dengan kobis cina. Rehatkan hingga 6 jam atau lebih elok semalaman.

3. Setelah kobis cina telah layu, cuci kobis cina sebanyak 5 kali. Ini bertujuan untuk menghilangkan lebihan garam pada sayur tersebut dan juga agar sayur tersebut bersih seadanya dan toskan, ketepikan.










4. Ambil lobak merah dan lobak putih, buang kulit luarnya dan potong kira-kira 2 inci dan hiris nipis seperti batang mancis. Ketepikan.

5. Hiris daun bawang secara menyerong secara nipis dan ketepikan.

6. Buang kulit buah epal dan buah pir dan potong kasar.

7. Kemudian bawang holland, bawang putih, halia dikupas kulitnya dan potong kasar. 

8. Buah epal, buah pir, bawang holland, bawang putih dan halia dimasukkan ke dalam alat pengisar. Kemudian masukkan 2 sudu sos ikan berserta sedikit air. Kisar hingga hancur dan ketepikan.

9. Isikan bekas memasak dengan segelas air bersih dan masukkan tepung beras pulut ke dalamnya. Guna api perlahan sambil dikacau hingga tepung pulut tersebut masak. Memadai dengan tepung beras pulut mula mengelegak kemudian tutup api dan sejukkan. Apabila sudah sejuk bolehlah ke proses seterusnya.



10. Sediakan besen atau bekas bersaiz besar. Ini penting untuk keselesaan ketika mengaul untuk menyebatikan semua bahan. 



11. Tuang tepung beras pulut ke dalam besen. 



12. Kemudian tambah bahan yang diblender tadi (epal, pir, bawang holland, bawang putih, halia, dan sos ikan)



13. Seterusnya masukkan serbuk cili.



14. Tambah dengan hirisan lobak putih.



15. Masukkan hirisan lobak merah.





17. Kemudian masukkan pula hirisan daun bawang dan kucai jika menggunakannya dan sotong yang dipotong kecil-kecil. Sotong berfungsi mempercepatkan proses penjerukan dan memberikan rasa yang lebih enak.



18. Gaul sebati bahan-bahan tadi dengan menggunakan sudu. 





19. Akhir sekali masukkan kobis cina bulat dan gaul hingga sebati.



20. Pindahkan ke kontena plastik yang sesuai. Siap.

Kimchi anda perlu diletakkan di dapur atau tempat suhu bilik sehari semalam untuk mengaktifkan proses penjerukan. Keesokan harinya kimchi anda mula meninggi secara perlahan-lahan akibat gas yang terhasil.

Ketika ini anda sudah boleh meletakkan atau menyimpan kimchi anda dalam peti sejuk untuk penjerukan secara perlahan-lahan. Proses penjerukan secara perlahan dalam keadaan sejuk akan memberikan rasa yang enak dan sedap.

Anda boleh menggunakan cili kering yang boleh dibeli di kedai. Caranya, buang biji dan sangai cili kering sehingga rapuh, jangan hangit atau terbakar pula. Sejukkan dan blender hingga hancur. Lebih elok cilinya seperti chilli flakes dan sedikit serbuk. Guna jenis cili kering yang tidak berapa pedas jika tidak mahu kimchi terlalu pedas. 

Sotong boleh digantikan dengan udang basah, ikan, sotong kurita, bilis hidup atau cencalok. Jika anda jenis vegetarian tidak perlu letak.

Daun bawang boleh digantikan dengan kucai atau bawang losun/lokio atau menggunakannya sekali juga boleh campur daun sup/seleri untuk menambah aroma pada kimchi anda. 

Selepas seminggu kimchi anda sudah mula masam akibat tindakan proses penjerukan dan selepas 8 hari ke atas kimchi anda sudah boleh dihidangkan. Namun paling baik hidang setelah 2 minggu dijeruk. Kimchi sesuai dimakan hanya bersama nasi putih panas, dimasak stew kimchi, nasi goreng kimchi, pankak kimchi, sup ayam kimchi, sup daging kimchi, sup seafood kimchi dan juga cucur kimchi.

Adakah kimchi merupakan kesukaan anda? Apa kata anda buat sendiri kimchi berpandukan cara di atas, ia memang berbaloi. 

Selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.

2 komen


EmoticonEmoticon