Selasa

TUAIAN KEDUA TOMBAK ASPARAGUS DI KBR

Tags



Musim hujan telah memberikan harapan baru pada kebun KBR dengan tanaman semakin pulih pertumbuhannya, tanah semakin baik dengan kelihatan tinja-tinja cacing tanah terselit keluar dipermukaan tanah yang lembab. Tanah gersang, kering dan merekah kini lembut, lembab dan berkualiti. Tetapi masalah boleh berlaku jika hujan berterusan pada pokok sayuran boleh lemas dan mati.

Hari ini tanomkinotuan menuai tombak/tunas pokok asparagus di kebun belakang rumah. Selepas dipindahkan dari polibag bersaiz besar dan sudah kali ketiga dicantas pokok tuanya dan membiarkan pokok bertunas semula dan membesar, maka kali ini tunas yang muncul dituai dengan senang hati. Untuk makluman pembaca, usia pokok asparagus kini berusia hampir setahun dari mula bercambah dari benihnya. Jika mengikuti peraturan penuaian. Pokok asparagus sudah boleh dituai setelah usia 3 tahun ke atas sebab ketika ini pokok dan akarnya sudah kuat dan tombaknya bersaiz besar. Namun kerana inginkan sayur tombak asparagus, tanomkinotuan tuai beberapa tunas yang boleh dituai. Merasalah tombak asparagus panggang dengan butter dan bawang putih. Cukup mengujakan. 

Di pekan Kundasang Ranau, harga seeikat tombak asparagus ialah RM20.00 hingga RM25.00. Agak mahal harganya. Tetapi itulah realitinya jika ingin membeli asparagus. Ada beberapa sebab mengapa tombak asparagus sangat mahal. Pertama, penanam asparagus sangat jarang apatahlagi menanam secara sekala besar. Di Kundasang sendiri jika tidak silap hanya seorang sahaja mengusaha penanaman asparagus dalam jumlah yang besar selain mereka yang menanam secara kecil-kecilan. Oleh itu permintaan melebihi penawaran menyebabkan harga naik mendadak. Kedua pula ialah melihat aspek asparagus ini sebagai makanan mewah yang harganya kekal sebegitu dan diterima oleh orang ramai.


Apa-apapun pandangan pokok asparagus belum lagi meluas ditanam khususnya di Sabah. Para petani tidak sanggup mencuba menanam pokok ini kerana mereka tahu hanya boleh ditanam di kawasan tanah tinggi dan bersuhu sejuk, leceh dan cerewet serta penggunaan kos yang tinggi. Apa pun alasan individu mengenai penanaman pokok asparagus harus disandarkan kajian yang terperinci. Jika kena cara yang betul pokok asparagus boleh tumbuh di kawasa tanah rendah malah hidup sihat. Sudah ramai diluar sana telah membuktikan kejayaan menanam pokok asparagus dihalaman rumah.

Anak pokok yang dibeli awal tahun ini kini merasa hasilnya. Walaupun belum cukup umur untuk tuaian, tidak kesah kerana pokok sendiri dan paling penting ialah organik. Hendak menuai atau tunggu dulu sehingga tunas-tunas bersaiz besar adalah ikut penanamnya, pokok sendiri kan lainlah kalau pokok orang lain, itu cerita lain.

Pada hemat tanomkinotuan, tombak asparagus akan bersaiz besar mengikut usia pokok. Ini kerana apabila akar-akarnya mula banyak, batang pokoknya juga akan bersaiz besar hingga ada tombak asparagus yang boleh menyamai ibu jari orang dewasa. Semua ini bergantung kepada kelembapan tanah, pembajaan dan trimming pada pokok. 

Tanomkinotuan 2 minggu sekali akan membubuh baja dalam polibag dalam jumlah yang banyak. Kerana pokok asparagus tersebut ditanam dalam polibag yang sememangnya ruang sempit untuk akar asparagus bergerak. Oleh itu kekerapan membubuh baja pada pokok membolehkan pokok mendapat makanan berterusan tanpa menjejaskan pertumbuhannya.

Tahukah anda terdapat banyak jenis pokok asparagus? Ada yang berwarna hijau dan juga ungu. Dimasa akan datang tanomkinotuan ingin mendapatkan jenis asparagus yang lain pula untuk menambah koleksi di KBR. Lebih banyak tanaman yang pelbagai khususnya jenis pokok asparagus ini, lebih vesertile kebun kita. 


Asal anak pokok asparagus tumbuh selepas dialihkan ke batas atau polibag, ia tidak mudah mati malah tahan sekiranya tidak disiram seminggu pada cuaca panas.

Tombak asparagus tanomkinotuan selamat dimasak dan dimakan dengan jayanya. Rasa cukup memikat dan sedap. Olesan butter dan bayang putih harum semerbak dalam mulut. Mengenyangkan dan tunggu masa lagi untuk menuai tombak pokok asparagus pada masa terdekat ini.


Pokok buah lemak masih dalam polibag. Belum lagi dialihkan. Tunggu pokok besar sikit barulah dialihkan ke tanah nanti. Pokok buah lemak atau avakado ini sangat digemari oleh tanomkinotuan sendiri. Selalunya makan begitu sahaja. 

Tanomkinotuan berhasrat ingin memenuhkan ruang belakang rumah pada pokok-pokok buah. Sekarang ini sudah ada beberapa jenis pokok mangga seperti mangga kuini, mangga udang, mangga manila, mangga harum manis dan mangga apple, pokok limau manis (sedang berbuah), pokok kelapa, pokok buah cristal/mata kucing brazil, pokok bambangan (manggifera pajang), pokok cempedak, pokok asam jawa, pokok delima, pokok durian belanda dan terbaru ialah pokok buah lemak inilah. Pada masa akan datang tidak perlulah membeli buah jika sudah ada pokok sendiri, cuma jaga dan baja sahaja untuk pokok sihat berbuah.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.


EmoticonEmoticon