Isnin

PANDUAN MEMBUAT MOL PISANG (BOOSTER PISANG)

Tags



Pelbagai teknik dan cara kita mendapatkan booster untuk tanaman kita sama ada dibeli di kedai-kedai pertanian atau mencipta sendiri booster atau cecair pengalak tanaman ini dengan menggunakan bahan-bahan murah dan jimat. Antara booster atau cecair pengalak pertumbuhan tanaman yang popular digunakan oleh rakyat Malaysia ialah booster roti, Serum EM1, Booster cecair ikan, kompos teh dan sebagainya.

Kini tanomkinotuan ingin berkongsi pula satu lagi booster yang hangat dan disukai ramai untuk tanaman mereka iaitu mol pisang. Perkataan MOL ialah singkatan daripada Mikro Organisma Lokal di mana kita menggunakan bahan terpilih bagi pembiakan mikroorganisma untuk tujuan pemulihbaik tanah seterusnya mengalak pertumbuhan tanaman. Terdapat banyak asas atau bahan yang boleh dijadikan MOL seperti pisang (pokoknya, buah dan kulit), nasi, tauge dan sebagainya. Namun tanomkinotuan hanya menyinggung cara membuat MOL pisang, akan datang kita akan berbincang pula cara dan panduan membuat MOL menggunakan bahan-bahan yang lain. In Sha Allah...

Pisang adalah bahan yang mudah diperolehi dan kita boleh menggunakan sama ada kulitnya, isi berserta isinya, batangnya atau daunnya. Dalam perbincangan ini tanomkinotuan menggunakan kulit dan sedikit isi pisang. Berikut adalah bahan-bahannya dan cara penyediaannya,


Panduan Membuat MOL Pisang


Alatan yang diperlukan:

1. Bekas atau kontena 

2. sudu kayu


Bahan-bahan yang diperlukan:

1. 20 kulit pisang segar atau sebaliknya, disertakan isinya lagi bagus

2. 200 gram gula merah, gula perang atau molasses

3. 3 helai daun kobis

4. segenggam taugeh busuk/segar

5. 1.5 liter air non-klorin 

6. 2 sudu makan serum EM1 (optional)



Cara Penyediaannya:


1. Masukkan kesemua bahan di atas ke dalam kontena atau bekas yang sesuai.

2. Tuang dengan 2 sudu serum EM1 ke dalam kontena tersebut.

3. Kemudian tuang 1.5 liter air non-klorin ke dalamnya.

4. Dengan menggunakan sudu kayu anda gaul bahan-bahan tadi hingga sebati dan tutup bekas/kontena tersebut.

5. Simpan dan perap selama 2 minggu.

7. Selepas 2 minggu tapis dan ambil airnya dan simpan dalam botol lain. Dengan ini MOL pisang anda sudah selesai dan bersedia untuk digunakan.

MOL pisang selepas ditapis
Dapatlah 500ml

Cara penggunaan Booster MOL Pisang:

Cara menggunakannya ialah ambil 2 sudu makan booster MOL pisang dan tambah dengan 1 liter air dan sembur pada keseluruhan tanaman seperti sayuran, pokok buah-buahan, pokok herba dan sebagainya. 

Perlu diingat untuk keselamatan, buat semburan untuk sepokok dua terlebih dahulu untuk melihat kesan sampingan yang berlaku ke atas tanaman anda. Sekiranya daun terbakar atau rosak akibat semburan kurangkan dos MOL pisang anda. Tetapi jika pokok anda tidak ada tanda kerosakan bolehlah teruskan sukatan tersebut untuk tujuan penyemburan tanaman anda.

MOL pisang juga sesuai disiramkan pada batas yang belum ditanami sebarang pokok atau sayur. Caranya tambah 2 sudu mol pisang dengan 1.5 liter air dan siram batas anda secara menyeluruh dan rehatkan selama 2 minggu untuk bahan mikroorganisma bertindak balas dengan tanah tersebut. 

Selain itu, anda juga boleh menyiram pasu yang ditanam dengan bunga atau sayuran iaitu tambah 1 sudu makan dengan 1.5 liter air dan kacau sebati, siram hanya pada pasu hingga media menjadi basah atau lembab secara keseluruhan. Lakukan penyemburan dan penyiraman ke atas sayuran, batas dan media tanaman dalam pasu 2 minggu sekali dengan diselang-selikan dengan baja NPK organik yang lain. 

Sekiranya anda mempunyai batang pisang di kebun atau jiran, anda boleh menggunakan batang pisang sebagai asas atau bahan membuat MOL pisang dengan memotongnya menjadi saiz kecil dan masukkan ke dalam bekas. Semasa proses pemeraman ia mengeluarkan aroma yang kurang menyenangkan. Juga perlu diambil perhatian, setiap 2 hari atau 3 hari sila buka penutup bekas untuk membebaskan gas yang terhasil semasa proses pemeraman berlangsung dengan membuka secara perlahan-lahan penutupnya.

Booster MOL pisang sangat mudah dibuat di rumah. Jadi para pembaca diluar sana bolehlah mencuba membuat baja booster pengalak tersebut untuk sayuran anda. Lihat hasilnya, anda akan teruja dan kagum akan keberhasilan MOL pisang meningkatkan kualiti dan kuantiti tanaman anda. Apa tunggu lagi jom membuat MOL pisang.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.

2 komen

Pisang ini bagus banyak kegunaannya.

Ya. Manfaatnya tidak diragukan lagi. Terima kasih kerana sudi singgah ke blog ini.


EmoticonEmoticon