Sabtu

CARA DAN PANDUAN MENYEMAI BENIH LOBAK PUTIH

Tags



Menyemai dan menanam lobak putih tidak sesusah mana. Pokok jenis radish atau daikon ini sangat mudah bercambah dan tumbuh dengan baik di negara kita dengan cuaca hujan dan panas sepanjang tahun. Untuk pengetahuan pembaca, benih lobak putih sudah mula bercambah dari hari ke-3 selepas disemai dan tumbuh dengan baik. Lobak putih sesuai dimasak dalam sup berasaskan ayam atau daging, ia menambah rasa unik dan menaikkan sup tersebut menjadi sesuatu yang enak dan mengujakan. Lobak putih juga salah satu asas bahan campuran dalam kimchi atau sayuran jeruk Korea. Berikut adalah cara dan panduan menyemai benih lobak putih. 

Terdapat dua cara menyemai benih lobak putih yang boleh tanomkinotuan tunjukkan di sini iaitu menyemai langsung pada batas atau menyemai dalam pasu/kontena/polibag. Pembaca boleh pilih tapak semaian yang difikirkan sesuai. 

Benih lobak putih adalah jenis benih yang lazimnya dicambahkan terus ke dalam tapak semaian tanpa perlu lagi dialihkan ke mana-mana. Semai dan jaga pokok lobak putih anda hingga mengeluarkan lobaknya. Penghasilan lobak pada lobak putih ini tidak seperti lobak merah di mana lobak merah umbisinya turun dan membesar ke bawah tanah manakala lobak putih pula umbisinya naik dan membesar ke permukaan.

Semaian langsung pada batas

Jika laman rumah anda agak luas bolehlah menyemai lobak putih di atas tanah. Korek tanah sedalam 1 kaki dan gembur tanah hingga menjadi serpihan-serpihan kecil. Anda boleh membuat saiz batas lebih kurang 1X4 kaki persegi atau 2X4 kaki persegi. Pembuatan saiz batas juga mengikut keluasan laman anda. Jika anda mahu membuat batas lagi besar dari saiz yang diberikan di atas tidak ada masalah malah digalakkan.

Gembur batas sehingga tanah lerai dan peroi, naikkan batas setinggi 1 kaki dan tambah kompos 500 gram dan kapur pertanian 50 gram (untuk batas 1X4 kaki persegi) atau 1 kilo kompos dan 100 gram kapur pertanian (untuk batas 2X4 kaki persegi). Anda juga boleh menambah 500 gram atau 1 kilo cocopeat, pasir atau habuk kulit kayu ke dalam batas anda. Gaul sebati dan siram. Rehatkan tanah anda untuk beberapa hari bertujuan untuk menghapuskan mikrob jahat.

Selepas beberapa hari direhatkan, gembur semula tanah atau batas tersebut dan buat alur memanjang untuk semaian benih. Bagi batas bersaiz 1X4 kaki persegi buat satu jalur panjang ditengahnya lebih kurang 1 hingga 2 inci dalam manakala batas bersaiz 2X4 kaki persegi buat 2 alur memanjang sedalam 1 hingga 2 inci. 

Ambil paket benih, tuang beberapa benih lobak putih dan tabur benih lobak putih ke dalam alur memanjang yang dibuat tadi. Tidak mengapa jika benih lobak putih menjadi rapat. Nanti selepas berlakunya percambahan anda boleh jarakkan anak benih dengan mencabutnya selang 6 inci diantara anak pokok. Jangan rasa sayang akan anak pokok yang dicabut, kita perlukan penjarakan anak pokok bagi menghasilkan lobaknya yang bersaiz besar dan cantik.

Timbus semula alur tadi dengan tanah ditepinya. Kemudian siram menggunakan air secukupnya. Pastikan tanah batas anda tidak kering semasa proses percambahan benih lobak putih dan juga tidak terlalu basah pula. Lembab yang sederhana. Selepas 3 hari benih lobak putih anda mula bercambah dan 5 hari berikutnya tunas sudah keluar dari permukaan tanah. Selepas benih lobak putih anda tumbuh jagalah pokok lobak putih anda seperti mana menjaga sayuran yang lain. 2 bulan lebih pokok lobak anda sudah boleh dituai.

Semaian benih pada pasu

Bagi menyemai benih lobak di dalam pasu, Sediakan pasu 18' inci ke atas atau kontena/polibag yang sesuai. Anda beli sahaja tanah semaian di kedai nusery atau kedai pertanian. Untuk mendapatkan isi lobak yang putih berkilat dan bersih, cantik dan bersaiz besar harus menggunakan jenis media yang berkualiti dan tidak berpenyakit. Anda boleh beli media potting soil dan karung atau yang telah dibungkus saiz kecil.

Bagi mereka yang kurang tahu mengenai potting soil, secara ringkasnya potting soil atau tanah semaian pasu ini merupakan media campuran dari cocopeat/peat moss, kompos, perlite/pasir sungai, vermiculite dan pelbagai lagi bahan sampingan lain dan sangat baik untuk media dalam pasu. Bertanyalah kepada penjual sama ada potting soil dijual atau tidak. Masukkan media ke dalam pasu hingga penuh dan tinggalkan 2 inci bahagian atas permukaan pasu. Buat lubang sedalam 1 inci dengan jarak 5 hingga 6 inci antara lubang. Semai 2 biji benih lobak putih untuk 1 lubang. dan timbus semula. Kemudian siram dengan air secukupnya. 1 pasu boleh memuatkan 3 hingga 4 benih lobak putih atau lebih besar pasu maka lebih banyak benih boleh disemai.

Dalam tempoh 3 hari benih mula bercambah dan 5 hari kemudian anak pokok lobak putih sudah keluar dari permukaan. Bagi lubang yang mempunyai 2 anak pokok lobak putih pilih anak pokok yang kurang sihat, saiz kecil dan cabut perlahan-lahan agar anak pokok satu lagi tidak terjejas. Tinggalkan 1 pokok untuk satu lubang sahaja. Letakkan pasu/polibag/kontena di tempat selamat dan terkena cahaya matahari melebihi 6 jam sehari untuk pertumbuhan pokok yang sihat. 

Bubuh baja NPK organik 1 sudu 2 minggu sekali dan 3 sudu 2 minggu sekali apabila ia sudah menghasilkan lobak. Jaga kelembapan media dengan menyiram 2 kali sehari ketika cuaca panas dan tidak perlu ketika musim hujan. Akhir sekali jagalah pokok lobak anda seperti menjaga sayuran yang lain. 2 bulan lebih lobak anda sudah boleh dituai. rasailah nikmat lobak putih tanam sediri yang berbeza dengan lobak putih yang dibeli.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.


EmoticonEmoticon