Sabtu

CILI HIJAU DI KBR KINI SUDAH BERBUAH

Tags



Siapa yang tidak suka makanan yang dibubuh sedikit serbuk cili dalam makanan yang kita nikmati pada satu-satu masa, mee goreng mamak yang ditempah di restoran akan adanya sambal belacan atau sos cili disebelahnya. Salad timun atau mangga wajib ditabur beberapa hiris cili merah atau pun cili api, masakan berasaskan sup tidak kiralah sup ayam, daging atau ikan tetap penambah rasa serbuk cili atau cili hidup akan dibubuh ke dalam. setidak-tidaknya serbuk lada sulah atau lada putih sarawak. Cili mempunyai peranan yang baik untuk menaikkan cita rasa dan selera makan. Tanpa cili makanan adalah hampar bagi mereka yang menggemari cili ini.

Dua tahun lepas tanomkinotuan menanam beberapa jenis cili atau lada pelbagai variati. Kadang-kadang nafsu menanam datang secara tiba-tiba, kalau boleh semuanya ditanam sedangkan masa dan tempoh sangat-sangat terhad untuk memberikan penjagaan dan pembajaan yang sepatutnya. Oleh itu jangan tiru perasan bernafsu menanam macam tanomkinotuan, asyik menanam tetapi satu hasilpun tidak ada, tidak terjaga apatah lagi hendak memberikan kasih sayang bagai bumi dengan langit. Namun semasa menanam cili besar atau kapsikum hijau, Cili ceri bomb dan cili hijau india tempoh hari adalah dapat merasa hasilnya kerana tahun lepas hujan agak kerap membasahi bumi di sini makanya walaupun masa terhad tanomkinotuan hanya simpati belas insan dari sang hujan yang turun pada masa-masa tertentu.

Antara banyak-banyak jenis cili, cili besar hijau atau kapsikum mempunyai cara penjagaan yang rumit dan harus memberikan sepenuh perhatian kepadanya. Mudah diserang penyakit dan layu pokok. 10 pokok ditanam tempoh hari hanya 2 yang berjaya hasilkan buah yang cute dan cantik. Cili bom ceri atau Chili bomb cerry pula mudah tumbuh dan cepat membesar tanpa serangan malah pokok berbuah lebat. Rindu kenangan tiap minggu menjenguk kedua-dua jenis cili ini melihat perkembangan tumbuhbesaran dan pembesaran buah yang terhasil. 

Tanomkinotuan juga menanam cili hijau jenis tidak pedas atau jenis sweet chilies yang juga berjaya dibesarkan di KBR dan berjaya hasilkan buah yang banyak. Malah pokok sangat tahan penyakit dan tahan pada cuaca panas yang melampau. Biji benih hanya diambil pada cili kering yang dijual di pasar atau supermarket dahulu. Selain itu cili putih Sabah dan cili api juga ada ditanam pada waktu itu, tumbuh bagai juara dengan hasil yang lumayan. Masalah daun mengeriting langsung tidak menjamah daun-daun pokok cili ini kerana pada masa itu tanomkinotuan rajin menghasilkan kompos teh untuk dispray kepada pokok-pokok cili.

Sudah lama tanomkinotuan tidak menanam cili ini, kali terakhir tuaian cili ialah pada bulan Ogos dua tahun lalu. Sengaja tanomkinotuan berehat menanam cili kerana seperti mana kajian-kajian yang dilakukan oleh pakar pertanian luar negara, perlu menanam jenis tanaman secara bergilir-gilir agar masalah penyakit tidak menjadi teruk. 

Maka dengan itu tanomkinotuan kini membuka semula peluang cili membesar di KBR tetapi hanya cili hijau jenis kurus yang ditanam. Benihnya diambil dari cili kering yang dibeli oleh emak tanomkinotuan. Semasa membuat rendang pada masa itu tanomkinotuan kutip benih dan tanam. Tumbuh dengan jayanya dan kini hasilkan buah yang banyak pula. Setakat entry ini ditulis sudah 4 kali tuaian dilakukan ke atas pokok cili yang hanya 3 pokok di KBR dan ianya ditanam pada batas sahaja. Tahun ini ada 3 lagi jenis cili ditanam iaitu cili hijau buah kurus, cili taiwan dan cili putih. Pokok cili api masih bertahan hingga hari ini, masih menghasilkan buah yang boleh dituai, bayangkan pokok ini ditanam dalam polibag pembungkus beras...hehe tetapi masyallah pokok tersebut hidup lagi. Jika dibayangkan dengan usia manusia sudah berusia 95 tahun. Sudah tua nyanyuk huhuhu.

Hasil cili hijau jenis sedikit pedas ini membesar gah di kebun belakang rumah. Tempoh hari mengutip benih-benih cili yang diasingkan dari kulitnya. Emak tanomkinotuan menggunakan cili kering untuk rendangnya. Jadi daripada terbuang begitu sahaja kutiplah beberapa biji benih dan semai dalam cup plastik. Tidak disangka-sangka boleh bercambah dengan cantik. 

Dua minggu atau tiga minggu setelah bercambah tanomkinotuan alihkan ke batas. Batas digembur terlebih dahulu, bubuh kompos dan serbuk kapur pertanian serta menabur sedikit garam gipsom ke batas tersebut dan gaul secara keseluruhannya. Tanomkinotuan tidak merehatkan batas kali ini. Langsung sahaja ditanam dengan cili setelah siap megembur dan membubuh baja. Anak pokok cili hijau tersebut ditanam dengan membuat lubang kira-kira 4 inci atau mengikut saiz media dalam cup plastik tersebut. Buka cup plastik secara berhati-hati dan tanamlah anak pokok cili pada lubang yang telah disediakan. Kemudian tanomkinotuan siram dengan air yang banyak. Bagi anak pokok yang ditanam bersama media ke dalam batas tidak perlu dilakukan teduhan apa-apa kerana anak pokok tersebut tidak terganggu akarnya dengan teruk melainkan anda semai benih anak pokok dalam satu bekas dan dicabut apabila dialihkan. Teduhan diperlukan untuk mengurangkan kebarangkalian anak pokok layu teruk dan mati.

3 minggu setelah dialihkan tanomkinotuan bubuh baja NPK organik (Baja Humic) disekeliling pokoknya selepas melakukan pengemburan media. Lalu disiram dengan air agar baja tersebut lebih cepat bertindak terhadap akar anak pokok cili hijau. Baja humic adalah jenis baja  cara pembebasan nutrient secara perlahan-lahan atau slow release fertilizer jadi tanomkinotuan tidak perlu membubuh baja secara berulang-ulang cukup 3 minggu barulah diulang semula pembajaan. Jimat dan mengurangkan tenaga tanomkinotuan.

Selepas 2 bulan pokok cili hijau membesar dengan baik tanpa gangguan bena putih, apid dan mahkluk serangga yang lain pokok ini mula mengeluarkan bunga sulung berwarna putih yang sangat cantik. Makluman kepada pembaca, untuk mengelak dari serangan bena putih dan apid. Pembaca harus menjaga media tanaman agar senantiasa lembab, cukup zat makanan dan tiada penyakit. Sekiranya salah satu faktor diatas tidak terjaga maka pokok cili hijau anda akan mengalami tekanan (stress) menyebabkan pokok tersebut menghasilkan satu bahan kimia yang disebarkan disekelilingnya. Ini akan mengundang serangga-serangga perosak untuk bertandang ke pokok dan merosakkan pokok tersebut.

Satu lagi cara botani mengelak serangan daripada bena putih ialah buat kompos teh dan sembur ke atas pokok 2 minggu sekali. Anda juga boleh menggunakan baja cecair ikan, air beras sebagai menambah zat makanan, air basuhan ikan atau daging dan juga booster roti dan EM1. Kesemua bentuk penggalak atau booster disenaraikan mempunyai kuasa yang terbaik menjadikan pokok anda sihat dan bertenaga bagi mengelak pokok menghasilkan bahan kimia yang mengundang serangga datang ke pokok tersebut. Tanomkinotuan menyiram menggunakan baja penggalak buah buatan sendiri yang diperbuat daripada batang pisang, rumput kering dan serbuk kayu dan diperam selama 2 minggu. Hasilnya cukup lumayan dengan bunga dan buah tidak berhenti-henti.

Tanomkinotuan telah meletakkan mulsa atau sungkupan pada batas cili agar dapat melambatkan berlakunya kekeringan pada tanaman. Maklumlah masa ini cuaca sangat panas dan boleh mengeringkan kelembapan tanah. Memulsaan juga berfungsi untuk mengurangkan pertumbuhan rumput rumpai pada batas. 

Untuk pokok cili hijau tanomkinotuan ini telah pun tanomkinotuan tuai sehingga 4 kali. Dan pokok masih baik dan subur. 2 minggu lepas ibu-ibu di kampung tanomkinotuan berpakat mengambil tanah sawit di kilang tidak jauh dengan rumah. Mereka menyewa lori untuk mengambil tanah sawit. Emak tanomkinotuan pun tidak melepaskan peluang, dilonggokkan tanah sawit tersebut di tepi rumah menyebabkan aromanya memenuhi segenap pelusuk rumah, baunya boleh pengsankan orang. haha

Dengan tanah sawit ini tanomkinotuan bubuh dipangkal pokok cili biar pokoknya mendapat zat makanan yang cukup. Untuk makluman sebenarnya baja tanah sawit bukanlah campuran dari tanah tetapi bahan sisa buangan kelapa sawit dari kilang dan dibiarkan dalam tempoh tertentu. Tanah sawit ini sangat mujarab dijadikan baja bagi tanah yang ditanam dengan sayuran berdaun seperti sawi bunga, sawi kerinting, sawi putih, bak choi dan sebagainya. Pokok sawi cepat membesar dan daun lebar serta warna hijaunya sangat cantik. Serangan serangga pun agak kurang. Bila digunakan pada pokok cili, pokok cili membentuk cabang-cabang baru untuk hasilkan buah yang banyak. Memang terbaik baja sawit ini. Tanomkinotuan jika membuat batas atau menanam sayuran dalam pasu, sila menggunakan campuran baja/tanah sawit sebagai asas media anda. Anda tidak rugi akannya malah sangat berbaloi.

Tuaian cili hijau pertama adik tanomkinotuan masak dengan daging tumis menyebabkan bila memakannya berasap telingga. Apa tidaknya semua tuaian cili hijau tersebut dihiris dan dimasak. Monyet pun boleh mati jika termakan. Adik tanomkinotuan dan seangkatan mereka sahaja yang telah menghabiskan lauk pada masa itu. Memang kaki pemakan cili. Tanomkinotuan menyerah kalah dan tetap tidak akan bertanding dengan mereka. Bagi tuaian kedua pula emak tanomkinotuan campurkan beberapa biji ke dalam masakan kari ayam agar aroma kari sebati dengan cili yang menaikkan aroma kari yang enak dan sedap. Ini tanomkinotuan senyum-senyum sahaja makan. pedas macam digigit semut saiz kecil hahahahaha. Tuaian ketiga dan keemapat masih dalam peti sejuk. Disimpan dan digunakan bila perlu.


Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.


EmoticonEmoticon