Isnin

PANDUAN MENANAM KACANG TANDUK AIR

Tags



Anak pokok kacang tanduk air


Tidak lama lagi perayaan Tahun Baru Cina menjelang tiba. Bagi mereka yang perasaan akan barangan dan sayuran dijual akan berubah corak dengan beberapa jenis sayuran daun dan buah membanjiri gerai, kedai dan pasar yang dimiliki oleh kaum Cina untuk memenuhi permintaan orang ramai. Pokok hiasan yang boleh dikatakan rare juga tidak ketinggalan seperti pokok limau hiasan yang penuh dengan buah yang mengamit selera tetapi jangan tersilap pokok limau tersebut hanya hiasan dan tidak sesuai dimakan kerana ia disuntik dengan bahan kimia tersangat kuat untuk memaksa pokok tersebut menghasilkan buah. Ini kawan cina tanomkinotuan yang beritahu tempoh hari. Pokok-pokok tersebut akan dibeli dan diletakkan sebagai hiasan rumah, pejabat dan sebagainya.

Jadi kepada pembaca diluar sana janganlah teruja membeli bentuk pokok yang kita belum tahu latar belakangnya. Lebih bijak jika mencari info terlebihi dahulu agar tidak merugikan masa, modal dan kesihatan. 

Walaubagaimana pun, satu jenis sayuran umbisi yang terkenal menjelang perayaan tahun Baru Cina ialah Kacang tanduk air yang biasanya diimport dari Tanah Besar China. Kacang tanduk cina bukanlah jenis buah melainkan umbisi yang membesar dicelah akar yang berjuntai di dalam air. Betul umbisi ini dihasilkan di bawah air dengan kulitnya berwarna hitam seperti tanduk kerbau, rupanya sangat menakutkan tetapi kekacang di dalamnya sangat enak berwarna putih. Pokok kacang tanduk mempunyai bebola span pada batang daun untuk membolehkannya terapung di permukaan. Daun berwarna hijau dengan corak unik yang mempersonakan.


Kacang tanduk air adalah tumbuhan aquatik yang hidup subur di sungai-sungai di selatan negara Cina. Ia tumbuh meliar atau ditanam secara komersil oleh para petani di sana. Untuk menuai buahnya para petani harus menaiki sampan dan mengutip biji kacang tanduk air dengan menyelak dan mengangkat pokoknya ke permukaan air. Akarnya sangat halus dan boleh mencecah 2 meter ke dalam air untuk mendapatkan sumber makanan.

Kali ini tanomkinotuan berkongsi cara menanam pokok kacang tanduk air atau dikenali sebagai kacang tanduk kerbau. Tidak susah menanamnya, uniknya anak pokok kacang tanduk tidak menggunakan media tanah untuk hidup subur tetapi hidup subur dalam takungan air. Anda boleh menanamnya di kolam, tasik atau dalam quarium ikan yang diletakkan di kawasan terkena cahaya matahari penuh. Berikut persediaan yang perlu dilakukan untuk proses menanam anak pokok kacang tanduk air:

1. Wajib mempunyai kolam, tasik buatan di laman rumah atau aquarium ikan serta kolam mini.

2. Anak pokok kacang tanduk air

Dapatkan anak pokok kacang tanduk air sama ada membeli ditempat kedai pertanian yang ada menjualnya atau anda boleh meminta dari rakan atau sahabat anda sepokok 2. Untuk menanam pokok kacang tanduk anda tidak perlu memeningkan kepala memikirkan tanah untuk penanaman tetapi anda wajib sediakan air untuk media penanaman. Pada bulan Disember tahun lepas, tanomkinotuan ke Gaya Streets Kota Kinabalu mencari pokok yang boleh dibeli, tanomkinotuan terjumpa pokok ini, kacang tanduk air dan membeli sepokok. Tetapi membawanya balik ke rumah satu masalah kerana penjual itu memasukkan anak pokok kacang tanduk ke dalam plastik dan mengisi air. Terpaksalah tanomkinotuan membeli baldi kecil untuk keselesaan pokok tersebut. Di Pahang ada seorang kakak menanam pokok kacang tanduk ini, cari beliau di facebook. Lupa namanya.

Jika anda mempunyai kolam ikan atau kolam mini di laman rumah yang sudah lama terbiar, ini telah memudahkan kerja anda. Bersihkan kolam tersebut dan campakkan sahaja anak pokok kacang tanduk air ke dalamnya. jangan risau jika sebahagian pokoknya tenggelam ke dalam air. Dua tiga hari bila pokok sudah stabil pandailah pokok itu naik ke permukaan dan tumbuh seperti biasa.

Bagi mereka yang tidak mempunyai kolam sendiri, usah risau kerana anda masih boleh menanamnya di aquarium ikan anda dengan syarat kaca aquarium tersebut diletakkan di tempat terkena cahaya matahari penuh untuk pertumbuhan pokok yang baik. 

Anda juga boleh sediakan sebiji balang saiz besar tambah tanah liat ke dalamnya kira-kira 4 inci dan tambah air hingga penuh. Rehatkan dahulu sehingga 3 jam atau sehingga kelodak tanah  liat betul-betul sudah termendap dengan jayanya. Kemudian masukkan anak pokok kacang tanduk air ke permukaan dan letakkan di kawasan koridor atau tempat yang sesuai. Anda boleh meletakkan seekor dua ikan ke dalam balang kaca tersebut kerana tinja ikan menjadi baja kepada pokok kacang tanduk anda.




Pokok Kacang tanduk air tersebut haruslah juga dibubuh baja subur yang sesuai, bertanya kepada penjual di kedai pertanian atau nusery yang ada menjual pokok-pokok aquatik, berkemungkinan mereka juga menjual baja khas pokok-pokok aquatik yang juga sesuai untuk dibajakan kepada pokok kacang tanduk air anda. Pokok kacang tanduk air menghasilkan bunga berwarna putih menandakan pokok anda tersebut sudah bersedia untuk menghasilkan biji kacang tanduk di dalam air. Selalulah mengintai akan biji-biji kacang tanduk ini untuk melihat sama ada ianya sudah boleh dituai atau pun tidak. Biji kacang tanduk matang apabila berwarna hitam kecoklatan dan berubah menjadi hitam apabila lama terdedah dengan udara dan persekitaran.

Rupa biji kacang tanduk sangat rare, bagi mereka yang pertama kali melihat bijinya terpegun kerana seakan-akan tanduk kerbau dan rupa yang sangat buruk seperti hantu/devil yang sangat jahat. Tetapi bila anda ketuk biji tersebut keluarlah kacang di dalamnya berwarna putih yang sangat enak dimakan. Cara memakannya ialah rebus dengan air dan ditambah sedikit garam untuk menaikkan rasa lemak pada kacang tersebut. 
Kacang tanduk air
Insan google


Anda boleh menanam pokok kacang tanduk dengan jumlah yang banyak agar menuai hasil pun dapat dengan jumlah yang banyak. Bolehlah mengunyah kacang tanduk air bersama keluarga sambil melakukan aktiviti bersama. Untuk membeli benih online sila ke SINI.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.


EmoticonEmoticon