Isnin

Cara Menanam Timun Mini di Dalam Pasu



Timun sememangnya sayuran buah yang ranggup dan berjus sederhana  yang enak dan sedap ketika ditambah ke dalam apa-apa hidangan yang sesuai seperti nasi lemak, burger dan juga campuran berasaskan sup. Khasiat timun diketahui umum sangat tinggi dan buah ini juga boleh dimakan begitu sahaja. Semasa kecil-kecil dulu ibubapa tanomkinotuan ada membuat kebun padi bukit (parai tidong) yang ditanam secara besar-besaran setiap tahun. Untuk hasil sampingan kebun padi bukit ini ditanam dengan tanaman komoditi seperti timun, batad @ indian cucumber dan jagung serta sedikit sayuran berdaun. Timun menjadi kegemaran tanomkinotuan. Maklum di kebun apa-apa yang boleh dimakan cuma makan sahaja jangan keluarkan sifat cerewet, kalau tidak alamat kebulurlah jawapnya.

Kemajuan cara dan teknik menanam dalam bidang pertanian semakin maju dan berkembang. Mereka-mereka yang tinggal di bandar atau sub-bandar pun boleh menanam mengikut kaedah yang difikirkan sesuai seperti menanam dalam pasu. Tanomkinotuan selain menyemai dan menanam di atas batas juga menyukai menanam sayuran dalam pasu. Ini kerana menanam dalam pasu mudah di mana memerlukan sedikit media, pasu boleh dialihkan ke satu-satu tempat dan pembajaan juga tidak perlu jumlah yang banyak cukup 2 sudu dalam 2 minggu sudah memadai. 

Tanomkinotuan ada menanam pokok timun mini dalam pasu, semasa entry ini ditulis, pokok timun mini sudahpun diakhir penghasilan buah yang cinonet lagi cute lote. Sudahlah kecil buah yang terhasil juga begitu banyak (abundant kata bahasa Englishnya...hahaha) Jadi pembaca sekalian, jom baca panduan menanam timun mini dalam pasu dengan kaedah-kaedah yang asas. Manalah tahu kaedah ini sesuai dan berguna untuk anda bagi memulakan proses menanam pokok timun mini.

BENIH TIMUN MINI

Langkah pertama yang harus pembaca laksanakan untuk menanam pokok timun mini ialah mendapatkan benih timun mini sama ada membeli dari kawan, kedai pertanian atau pembelian menerusi online yang berkelayakan. Juga pembaca boleh dapatkan benih secara percuma dari sahabat handai atau saudara mara serta makcik dan pakcik yang ada benih timun mini. Timun mini dan timun jeruk adalah berbeza tetapi termasuk dalam variati buah timun bersaiz kecil.

Sekiranya pembaca membeli benih timun mini dari kedai pertanian atau nusery pastikan melihat tarikh luput pada pembungkusnya terlebih dahulu. Jangan terbeli benih yang sudah tamat tempoh tarikh luput kerana anda akan kecewa kerana benih tersebut tidak akan bercambah, sekali lagi tanomkinotuan ulang tidak akan bercambah. Kenali hak pembaca sebagai pengguna teliti dulu segala informasi yang tertera dalam pembungkus benih jika ada perkara yang memuskilkan segera berjumpa dengan penjual tersebut untuk bertanya lebih lanjut. 

Namun begitu, faktor benih timun tidak bercambah juga pelbagai. Kadang-kadang gangguan oleh semut, media terlebih basah menyebabkan lemas dan membusuk serta nilai PH tanah terlalu berasid atau beralkali. Oleh yang demikian pembaca harus mengetahui hal-hal sebegini untuk rujukan di masa akan datang.

MENDAPATKAN PASU BERSAIZ BESAR

Setelah benih sudah diperolehi, dapatkan pasu pula. Dapatkan pasu-pasu tersebut di kedai yang menjual pasu yang murah dan mampu milik. Setahu tanomkinotuan harga pasu boleh diperolehi serendah RM1.00 hingga RM6.00 mengikut saiz dan bentuk. Tindakan bijak dari pembaca mendapatkan harga yang berpatutan.

Pasu yang sesuai menanam pokok timun ialah bersaiz 18' inci ke atas. Lagi besar lagi bagus untuk akar pokok timun bebas bergerak di dalam media dan ini seterusnya akan memberikan keselesaan pokok membesar dengan jayanya. 

Mengikut pandangan pakar pertanian dalam dalam luar negara. bekas menanam adalah yang diperbuat dari tanah liat kerana ia bersifat sejuk dan terdapat rongga-rongga atau liang-liang pada pasu yang elok untuk pengudaraan di dalamnya. Walaubagaimana pun, pasu plastik juga boleh digunakan, jadi jangan bimbang akan hal tersebut, yang penting anda buat pengemburan tanah 3 minggu sekali.

PENGGUNAAN MEDIA YANG BERKUALITI

Media adalah penting dalam pertumbuhan pokok. Walaupun media bukanlah syarat utama dalam penanaman tetapi sekurang-kurangnya menggunakan media yang baik akan memperlihatkan tanaman kita ke arah pertumbuhan yang baik dan tinggi kualiti. 

Oleh yang demikian, guna potting soil yang mudah dibeli di pasaran. Pilih potting soil yang mempunyai campuran media yang cukup seperti dibawah ini:

Kaedah Campuran Media/potting soil 1

  1. cocopeat 
  2. kompos 
  3. pasir sungai 
  4. vermicast 
  5. habuk kayu

Kaedah Campuran Media/potting soil 2

  1. Peat moss
  2. kompos/tinja binatang terproses
  3. perlite
  4. vermiculite
  5. vermicast/humus tanah cacing
  6. habuk kayu
  7. serbuk rumput kering terproses

Anda boleh mendapatkan info kandungan potting soil pada pembungkus atau karung tersebut. Ini penting agar tindakan selanjutnya jika anda mahu menambah apa-apa media lain yang tidak terkandung di dalamnya. Tetapi awas jangan terbeli potting soil yang dicampurkan dengan baja kimia di dalamnya jika anda pengamal pemakanan organik lagi bebas racun. Kepada anda yang lebih terbuka akan isu sebegini tidak ada masalah jika menggunakannya.

Anda boleh menghasilkan media sendiri untuk timun anda di mana campurkan tanah hitam, tanah merah/lampung, cocopeat dan kompos dengan nisbah 2:1:1:1 serta ditambah dengan vermicast, habuk kayu dan serbuk kulit telur hancur. Gaul sebati dan sedia untuk digunakan. Makluman kepada pembaca jika anda menggunakan tanah yang dikorek di belakang rumah anda tanpa campuran bahan lain selain baja. Tanah anda akan mengeras pada masa akan datang dan ini mengakibatkan akar pokok timun sukar menyerap makanan kecuali anda siram mengikut aturan berkala seperti pagi dan petang setiap hari pada masa kemarau atau cuaca panas.

Sekiranya anda menanam pokok timun secara fertigasi anda boleh menggunakan media cocopeat atau peat moss 100%. Lagi mudah dan senang kerja. Penanaman fertigasi harus ada air yang disalurkan ke pasu agar media tidak cepat kering. Juga jika menggunakan teknik menanam secara nutripot, anda boleh menggunakan cocopeat sahaja. 

CARA PENYEDIAAN PENANAMAN TIMUN MINI

Langkah atau proses seterusnya ialah sebelum menambah media ke dalam pasu. Masukkan dua genggam rumput kering atau daun kering yang mudah diperolehi di laman rumah anda. Jika tidak ada, anda boleh menggunakan batu kerikil untuk tujuan tersebut. Rumput kering atau batu kerikil ini bertujuan agar air di bawah pasu cepat keluar dan tidak berlebihan Bertakung di bawah pasu. Akar akan lemas dan mudah terkena jangkitan sekiranya media terlalu basah akibat air bertakung di bawahnya.

Kemudian masukkan media campuran tadi hingga penuh. Padat-padatkan sedikit media dan tambah jika perlu. Tinggalkan permukaan pasu kira-kira 2 inci dari mulut pasu tersebut, maksudnya jangan terlalu penuh dengan media. Ini bertujuan agar apabila menyiram nanti air tidak melimpah keluar bersama baja sekiranya anda membaja kelak.

SEMAIAN BENIH TIMUN MINI

Semaian timun mini ada dua cara, pertama semai terlebih dahulu dalam cup plastik dan simpan ditempat selamat. Cara menyemainya ialah masukkan media ke dalam cup plastik buat lubang sedalam 2 inci. Masukkan benih dan timbus semula kemudian siram dengan air. Tunggu hingga 2 minggu atau anak pokok timun sudah mengeluarkan daun sebenar dan barulah alihkan ke pasu. Cara ini harus dilakukan penyemaian lebih awal lagi. Genap 2 minggu barulah anda boleh sediakan proses seterusnya seperti penerangan di atas. 

Untuk semaian cara pertama, setelah genap dua minggu, sediakan media dalam pasu. Buat lubang kira-kira 4 hingga 5 inci ditengahnya atau mengikut saiz media semaian timun mini tersebut. Dengan hati-hati tanggalkan media dari cup plastik tersebut dan tanam ke dalam lubang. Kemudian timbus tanah dan siram dengan air yang banyak.

Semaian kedua pula lagi mudah. Cara ini tanomkinotuan gunakan untuk menyemai apa-apa benih sayuran yang mempunyai saiz yang agak besar. Setelah proses penyediaan media semaian seperti di atas dilakukan. Buat lubang ditengah sedalam 1 hingga 2 inci dan semai benih timun mini anda lalu timbus dan siram dengan air. Anda boleh menyemai 2 hingga 4 benih dalam pasu jika pasu anda bersaiz besar. Biasanya tanomkinotuan semai 1 hingga 2 benih timun untuk satu-satu pasu.

Mengikut pemerhatian tanomkinotuan, dalam tempoh masa 2 minggu pokok timun mini yang dialihkan ke pasu belum menampakkan perubahan ketara tetapi selepas 3 minggu dan seterusnya pokok tersebut mula membesar dengan baik malah lagi cepat pertumbuhannya jika cukup nutrient dalam tanah. Bagi benih timun mini yang disemai langsung ke pasu tanaman. Ia akan tumbuh membesar tanpa berlakunya sekatan pertumbuhan.

PEMBAJAAN DAN PENJAGAAN

Masa ini adalah masa untuk memberi perhatian sepenuhnya pokok timun anda. Selepas 2 minggu dialihkan atau 2 minggu pertumbuhan pokok timun dalam pasu, bubuh baja NPK organik 2 sudu makan ke dalam tanah. Caranya buat lubang sedalam 4 inci dengan jumlah lubang 4 di sekeliling pokok timun. Bubuh baja dan timbus semula. Jangan lupa siram agar tindakbalas baja cepat kepada pokok timun. Anda boleh menyembur atau menyiram pokok timun dengan booster roti, baja cecair ikan atau kompos teh untuk makanan tambahan bagi pokok.

Masa ini juga penyiraman pokok harus konsisten kerana masa ini pokok timun anda mesti kuat dan perlu pokok yang sihat untuk mengeluarkan buah yang banyak. Jangan media kering dan juga jangan pula terlalu basah. Pastikan ia lembab dan cukup air.

Aktiviti merumput jarang sangat dilakukan dalam pasu kecuali anda menggunakan media yang telah dicemari oleh benih rumput rumpai. Cabut semua rumput rumpai yang tumbuh di permukaan pasu. Untuk menghalang benih bercambah dan membesar anda boleh meletakkan sungkupan atau mulsa seperti rumput kering atau daun kering di permukaan pasu. Ia juga berperanan untuk mengekalkan kelembapan media pokok timun anda. 

Pokok timun adalah jenis pokok menjalar, oleh yang demikian anda perlu meletakkan kayu pancang dengan mencucuk kayu tersebut ke media dan bantu pokok timun anda menjalar ke kayu yang disediakn dengan mengikutnya dengan sebaiknya. Anda juga boleh meletakkan pasu anda ditepi pagar supaya pokok timun anda menjalar pada pagar anda, ia telah menjimatkan masa anda untuk menyediakan kayu pancang. Tali rafia juga boleh digunakan untuk sebagai bahan sokongan pokok timun mini anda menjalar

TUAIAN HASIL BUAH TIMUN MINI

Genap 3 minggu lebih, pokok timun mini anda akan menghasilkan bunga jantan dengan banyak diikuti oleh bunga betina. 1 putik bunga betina hampir 10 putik bunga jantan untuk membantu bunga betina didebunga. Dan yang paling penting janganlah anda marah atau halau semua serangga yang menghampiri pokok timun anda, bukan semua serangga yang datang itu adalah perosak tetapi sebahagiannya adalah agen pendebunga semula jadi kepada pokok timun anda.

Buah timun mini akan membesar dan membesar dan setelah lebih kurang 2 bulan lebih atau 3 bulan, pokok timun anda sudah bersedia untuk dituai hasilnya. Oleh kerana saiz yang kecil anda kenalah alert dengan buahnya. Jika tidak anda akan menuai buah timun mini yang sudah terlalu matang. cara untuk mengetahui buah timun mini yang sesuai dituai ialah buah berada pada saiz sesuai dan berwarna hijau pucuk pisang/hijau mudah dan kulit berkilat.

Tuaian buah timun mini boleh disimpan dalam peti sejuk dan mampu bertahan sehingga 2 minggu disimpan dalam bekas. Timun mini juga sesuai dibuat jeruk timun. Nikmati buah timun mini tanam sendiri bersama keluarga yang enak, ranggup dan berjus sederhana ini. Sesuai dimakan begitu sahaja sebagai salad, dicampurkan dalam sup dan sebagainya. 

Bagi mereka yang ingin mendapatkan benih timun untuk ditanam di halaman rumah seperti benih timun mini (five mini cucumber), timun kampung dan timun Albino boleh email ke borosmomogun@gmail untuk tindakan selanjutnya atau ingin membeli benih lain sila klik SINI.

Selamat bertani dan menuai hasil. 

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.


EmoticonEmoticon