Ahad

PERKEMBANGAN POKOK TIMUN MINI DALAM PASU

Tags


Sayuran buah adalah menjadi pilihan tanomkinotuan untuk menanam di halaman rumah. Tahun lepas, timun cina menjadi sasaran selain timun kampung Hmung atau albino ditanam di KBR. Ia menghasilkan buah yang sangat banyak untuk bekalan dapur. Menanam sayuran buah tidak cerewet malah ia mudah dijaga. Cuma cukupkan baja dan air maka tumbuhlah pokok ini dengan baik.

Kali ini tanomkinotuan beralih pula dengan jenis miniature cucumber. Timun mini atau five mini cucumber ini mudah tumbuh di negara kita cuma buahnya kecil-kecil belaka. Uniknya tanomkinotuan tanam dalam pasu pula. Selalunya pokok timun akan ditanam di atas batas, biar ia membesar dengan baik. Oleh sebab tanomkinotuan kekurangan batas untuk menanam pokok timun pada kali ini, pasu pula menjadi sasaran. 

Tanomkinotuan mendapati bahawa menanam pokok timun dalam pasu sangatlah mudah dijaga terutamanya serangan penyakit dan reput akar. Tanomkinotuan sering mendapat masalah bilamana menanam pokok timun di atas batas. Daun bawahnya kering disebabkan serangan penyakit dan reput akar seterusnya layu dan mati. Ini belumlagi masalah pemampatan batas yang keras seperti batu. Tetapi menanam di dalam pasu pokok timun sentiasa subur malah kurang penyakit cuma masalah yang dihadapi ialah kurang jumlah berbuah. Ini berkemungkinan disebabkan tidak terkena cahaya penuh. Maklumlah pokok timun tanomkinotuan yang ditanam dalam pasu hanya menerima cahaya sehingga jam 11 pagi sahaja, selebihnya hanya haba atau bahang yang diperolehinya.

Pada mulanya tanomkinotuan semai benih timun mini dalam pasu, sehingga 2 minggu tanomkinotuan alihakan ke pasu dengan menggunakan potting soil buatan sendiri. Media campuran cocopeat, perlite dan kompos kelapa sawit yang ditambah dengan serbuk kulit telur dan kulit pisang potong.




Selepas dialihkan ke pasu. Pokok timun mini mula belajar membesar. Pokok timun mini dalam gambar di atas berusia 2 minggu selepas dialihkan ke batas. Tempoh ini tanomkinotuan bubuh 3 sudu makan baja NPK organik dan siraman EM1 serta booster roti diselang seli 2 minggu sekali.

Pembajaan harus konsisten untuk mendapatkan pokok timun mini cantik pertumbuhannya. Media harus senantiasa lembab bagi mengelak masalah kekeringan yang menyebabkan pokok timun layu dan mati.




Setelah berusia 4 minggu pokok timun mini sudah mula menjalar. Oleh kerana sukar pokok timun mini menjalar pada dinding rumah maka tanomkinotuan mencari kayu sebagai pancang untuk memudahkan pokok timun mini menjalar dengan baik. Ketika ini pokok timun mini sudah belajar berbunga dan berbuah. Seminggu sebelum keluarnya bunga pada pokok tanomkinotuan bubuh baja alfalfa atau siram menggunakan booster air ikan untuk mengalakknya berbunga dan berbuah.

Dalam proses pembungaan pokok tanomkinotuan memberikan kelembapan media dengan siraman agar akar dengan mudah menyerap nutrient dalam media untuk membentukan bunga dan buah yang cantik.



Seminggu kemudian, pokok kini telah mengeluarkan bunga yang banyak termasuk bunga betina yang akan menjadi buah timun seterusnya. Tanomkinotuanlah yang menjadi agen pendebunga secara sukarela kerana didapati kurang benar serangga-serangga berterbangan pada pokok timun disebabkan ditanam dan ditempatkan didinding rumah yang menjadi laluan harian ketika ingin ke laman rumah. Mungkin sebab itu. 

Tanomkinotuan mendebunga bunga jantan dan bunga betina untuk mempercepatkan penghasilan buah. Pendebungaan sendiri pada pokok timun sangat mudah. Ambil bunga jantan dan buang kelopak bunganya, kemudian sentuhkan dengan bunga betina dengan mengeselkan pada bahagian tengah secara merata agar sperm jantan menguasai oval bunga betina untuk proses pendebungaan.

Untuk mengetahui mana bunga jantan mana bunga betina. Bunga jantan hanya bunga yang tidak kelihatan bulb di bawahnya manakala bunga betina pula ialah bunga berserta bulb saiz kecil dibawahnya. Inilah yang akan bertransformasi menjadi buah pada masa akan datang. Jadi jangan tersalah petik bunga betina pula untuk disentuhkan kepada bunga jantan. Hingga kiamat menjelang pun pokok anda tidak menghasilkan buah. 


Bunga betina kini membesar menjadi buah timun mini


4 hari seterusnya selepas proses pendebungaan sendiri kelihatan buah timun kini sudah boleh dilihat berjuntai dengan megahnya menandakan pendebungaan sendiri berjaya dilakukan. 




Hasil pendebungaan pada bunga betina yang lain juga membesar bagai juara. Bunga jantan sangat mekar ketika ini tetapi kelulut atau serangga lain pun tidak kelihatan mukanya yang hodoh sebegitu. Kau ada? semasa entry ini ditulis buah-buah pokok timun mini ini sudah selesai dan habis dimakan buat salad. Hal ini perlaku ketika ketiadaan tanomkinotuan di rumah. Anak-anak buah tanomkinotuan petik dan makan begitu sahaja. Oleh yang demikian gambar tidak dapat disertakan di sini kerana mereka hanya pandai makan tetapi tidak mengambil gambar untuk simpanan saya.

Sebenarnya tanomkinotuan pun tidak sempat merasa keenakan timun mini dalam pasu. tetapi tanomkinotuan tidak marahkan mereka, memang pokok timun mini ditanam untuk dimakan. Jadi tidak ada masalah malah tanomkinotuan amat gembira kerana anak-anak buah tanomkinotuan mendapat dan merasa keranggupan timun mini tanam sendiri yang organik dan segar. Tetapi tanomkinotuan sudah memberi amaran agar sebiji timun mini yang berjuntai pada pokok tersebut dilarang untuk petik. Buah tersebut untuk dimatangkan bagi kelangsungan benih timun mini akan datang.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.


EmoticonEmoticon