Sabtu

TUAIAN SALAD AMERIKA YANG MEMBERANSANGKAN

Tags



Salad Amerika merupakan sejenis salad hijau berdaun kembang (non-heading) yang mempunyai bentuk daun seakan-akan beropol atau sedikit mengeriting. Pokok jenis lembut dan daun licin ini hanya menunggu 2 hingga 3 bulan sudah boleh dituai hasilnya. Tanomkinotuan sangat-sangat suka menanam pokok salad, ini kali ke-6 tanomkinotuan mencemari kebun KBR (Kebun Belakang Rumah) dengan pokok Salad. Salah satu sayuran mentah yang wajib ditanam dan dicuba oleh para pembaca di luar sana untuk melihat kepelbagaian tanaman di halaman rumah.

Tanomkinotuan melihat tanaman pokok salad sememangnya mudah dijaga, tahan penyakit dan jarang menghadapi masalah serangan dari serangga pemakan daun. Tidak seperti sayuran lain contohnya sawi bunga, sawi kerinting, sawi putih dan sawi pahit di mana kebarangkalian serangan serangga perosak dan penyakit disebabkan oleh bakteria dan fungi sangat tinggi sehinggakan memerlukan penjagaan dan kawalan makhluk perosak yang efektif dan berterusan. Tanomkinotuan hanya semai dalam cup plastik dan tunggu 2 minggu, setelah tunas pertama keluar tanomkinotuan alihkan ke cup atau kontena/pasu yang lebih besar dengan menggunakan media potting soil buatan sendiri. Ia hidup subur tanpa gangguan malah jika ditanam secara jumlah banyak boleh disusun dihadapan rumah di tempat yang strategik sebagai dekorasi laman sementara yang cantik dan mempersonakan. Tidaklah laman rumah kita asyik-asyik hanya jenis bunga sahaja yang menguasai hiasan laman. Sekali sekala bertukar angin kepada tanaman yang lain pula, contohnya pokok salad.

Sememangnya menyemai benih salad sangat memerlukan kemahiran dan ilmu yang tinggi. Sebelum menyemai haruslah mencari ilmu terlebih dahulu. Jika bukan dari buku-buku pertanian yang boleh dibeli di pasaran para pembaca juga boleh mendapatkan ilmu menyemai benih salad melalui pembacaan di ruang blog yang banyak bertebaran di laman sesawang di internet. Taip sahaja 'Cara menyemai benih salad' atau 'How to plant/germinate lettuce' di engine carian dan berpuluh atau ratusan laman sesawang yang anda boleh baca untuk mendapatkan ilmu tersebut. Pelbagai cara dan teknik yang ditunjukkan mengikut keperluan dan keadaan iklim. Anda boleh memilih cara dan teknik yang sesuai dengan cuaca setempat.

Tanomkinotuan lebih suka cara semaian langsung dalam tanah dan teknik cambahan dalam cup plastik. Namun semaian langsung dalam tanah kadang-kadang peratus percambahan hanya 50% sahaja. Ini mungkin sebahagian benih salad diganggu oleh serangga seperti semut dan sebagainya menyebabkan percambahan tidak dapat diperolehi seperti yang diinginkan. Teknik cambahan dalam cup plastik yang lembab hampir 98% benih bercambah cuma agak leceh sedikit untuk mengalihkan ke bekas tanaman dengan saiz benih yang bersaiz kecil, harus ada kesabaran yang tinggi dalam proses pemindahan benih salad ini. Para pembaca juga boleh menggunakan kaedah lain yang difikirkan sesuai. menyemai benih sebenarnya perlukan try and error untuk mendapatkan hasil yang memuaskan. Sekiranya teknik pertama tidak berkesan, tukar kepada cara lain. In Sha Allah dipermudahkan oleh Tuhan sekalian alam. Jadi janganlah runsing akan benih tidak bercambah. Apa-apa pun kembalikan kepada Sang Pencipta.

Pokok salad tanomkinotuan ada dua tempat menanam, pertama tanomkinotuan alihkan ke cup plastik minuman, terdapat 6 cup pokok salad semuanya. pertumbuhan setakat ini sememangnya cantik dan sihat belaka. Tanomkinotuan bubuh baja NPK organik 2 minggu sekali dengan sesudu makan ditabur disekeliling pokok. Kedua, ialah dialihkan dan ditanam di KBR. Sebenarnya KBR pada masa itu sudah padat dengan tanaman sayuran lain hingga pokok cili hijau bersaing dengan pokok bendi combo gergasi untuk membesar. Namun terdapat satu ruang pada besen besar bekas ditanam pokok brokoli hijau yang lalu. Tanomkinotuan memulakan proses membuat pengemburan tanah hingga tanah menjadi serpihan-serpihan kecil. Tanah tersebut ditabur kompos buatan sendiri dan sedikit kapur pertanian. Tanomkinotuan gaul sebati dan mulakan menanam pokok salad amerika ini.

Terdapat 8 anak pokok salad amerika ditanam di sini dan membesar dengan baik. Seminggu sekali tanomkinotuan gembur tanah disekeliling pokok untuk memudahkan akar pokok bebas bergerak dengan baik. 2 minggu kemudian setelah dialihkan, tanomkinotuan bubuh baja NPK organik (baja Humic) disekeliling pokok dan mengembur sekali lagi media agar baja bercampur dengan tanah tersebut kemudian disiram dengan air yang banyak. Seingat tanomkinotuan hanya sekali membuat pembajaan kepada pokok salad amerika ini malah ia cepat membesar. Jimat baja hehe...

Selepas 3 minggu dalam besen pokok salad amerika tanomkinotuan bersedia untuk dituai. Tanggal 9 Januari yang lepas sekembalinya tanomkinotuan ke kampung pada petang  itu, tanomkinotuan dengan rasa gembira bercampur teruja. Tanomkinotuan cabut pokok salad amerika dengan sekali gus. Potong akar dan buang daun tua atau yang sudah mula kering. Dapatlah 7 pokok semuanya jika dikira harga pasaran. 7 pokok salad ini sudah berharga RM10.50, 1 ikat ada dua pokok je harganya RM2.00 bagi di tamu/open market manakala di pasaraya pula sudah mencecah RM7.00. Tanomkinotuan jimat untuk membeli pokok salad yang boleh ditanam dengan mudah.

Penyediaan makan malam masa itu tanomkinotuan serahkan kepada emak tanomkinotuan yang sememangnya pandai berkuntau atau bersilat di dapur. Emak tanomkinotuan bersihkan dan susun elok-elok dalam piring leper dengan tambahan hirisan timun yang diserongkan, bendi hijau kukus dan beberapa hirisan tomato brandywine. Dihidangkan bersama sambal belacan dan sambal jeruk tuhau. Ayam masak merah serta nasi putih bario menjadi santapan bersama. Fuhhh.... makan tidak ingat dunia hingga nasi yang dimasak licin habis. Nasib keluarga makan bersama kalau tidak terpaksa kena masak nasi semula, hehehehe.....

Pokok salad lazimnya mengeluarkan latex putih serupa warna susu. Jika pokok salad ditanam di kawasan sejuk terutamanya di kawasan tinggi yang mempunyai suhu rendah. Rasanya sangat enak dan tidak mempunyai rasa pahit sementara itu pokok salad yang ditanam di kawasan tanah rendah bersuhu panas. Kebarangkalian pokok salad agak pahit tetapi tidaklah sepahit seperti buah peria dan sewaktu dengannya. Pahitnya sedang-sedang sahaja dan mampu dimakan tanpa menjejaskan rasa dan keranggupan helaian-helaian daun salad. Walaubagaimana pun, salad amerika yang ditanam oleh tanomkinotuan walaupun sedikit pahit tetapi enak dan ranggup. Biasalah salad, kadang-kadang terasa pahit kadang-kadang terasa manis. Apa-apa sajalah...

Kedatangan kakak tanomkinotuan ke rumah tempoh hari dapatlah merasa burger daging dengan daun salad disusun rapi. Dia memang rajin membuat burger kerana anak-anaknya menyukai makanan Barat ini. Jadi tanomkinotuan pun sekaki memakan burger dengan keranggupan salad Amerika yang ranggup dan enak.

Terkejut kakak tanomkinotuan bagai tidak percaya kerana selama dia membuat burger bersalad tidak pernah merasakan dauan salad yang enak dan sedap. Tanomkinotuan katakan bahawa rasa sayuran yang ditanam secara organik tanpa racun serangga dan baja kimia lagi sedap, enak dan berkualiti sebab ia tumbuh dengan secara semula jadi. Dengan itu, kakak tanomkinotuan meminta 5 pek benih salad Amerika dan 5 pek benih salad cina untuk ditanam sekembali ke rumah mereka.

Berminat membeli benih salad amerika dan salad cina hubungi tanomkinotuan di borosmomogun@gmail.com untuk info selanjutnya. Benih salad 1 pek RM2.90 sahaja.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.


EmoticonEmoticon