Ahad

TUAIAN SAYURAN TAHUN BARU 2016

Tags


Seperti yang dijanjikan, hari ini tanomkinotuan berkongsi hasil tuaian tahun baru tahun 2016. Kebun KBR masih dalam pembersihan dan proses pembatasan semula. Banyak tanaman yang sudah dicabut dan kurang produktiviti dalam pengeluaran hasil. Contohnya pokok Swiss Chard, bendi ungu dan bendi hijau. Proses pembuangan rumput dan pembatasan masih dalam proses berjalan dan mengambil masa untuk disiapkan. Ini kerana tanomkinotuan hanya berada di rumah pada hujung-hujung minggu sahaja. Tidak mengapalah perlahan-lahan lama-lama siap juga semua kerja itu, betul tidak?

Dalam proses membuat batas, tanomkinotuan mula menyemai benih sayuran berdaun seperti kobis, kobis cina, sawi kerinting, sawi putih dan sawi bunga. Selain itu tanomkinotuan ada menyemai beberapa variati jagung, strawberry corn, buncis dan kacang panjang. Tanaman ini sangat tahan dan mudah dijaga. Berikut adalah hasil tuaian awal tahun ini. Ia tidak dikutip dalam masa sekali tetapi dalam tempoh masa 2 minggu. Tanomkinotuan kumpulkan dahulu gambar-gambarnya dan barulah dipos di blog ini. 

Bunga telang atau Blue Butterfly Pea ini mengeluarkan bunga yang tersangat banyak. Tanomkinotuan tuai bunga-bunganya untuk dibuat sirap ungu dan sedikit hirisan halia juga kembang semangkuk. Simpan di dalam petik sejuk dan minum ketika sejuk, kalau hendak tambah ais pun lagi elok dan sedap atau tambah perahan lemon untuk menaikkan rasa dan flavor air sirap bunga telang ini. Juga tanomkinotuan goreng bersama kuih sandwich. Letak 4 helai bunga telang pada sandwich sebelum dilumurkan pada telur dan goreng. makan bersama air sirap ungu yang enak dan menyegarkan. Makan dan minumlah sampai lebam mulut... hahahaha

Selain bunganya yang boleh dimakan dan diolah kepada produk yang bermanfaat, bunganya juga cantik berkembang dilaman rumah. Boleh dijadikan sebagai satu asas dekorasi yang dapat menceriakan rumah anda. 




Tuaian buah tomato ceri anggur dan tomato brandywine ini dilakukan pada awal minggu tahun baru. Tomato ceri anggur sedikit manis dan masam, sesuai dicampurkan ke dalam masakan berasaskan sup dan juga sesuai dimakan begitu sahaja manakala tomato brandywine pula agak masam dan juga sesuai dibuat sos atau dicampurkan ke dalam salad. 

Bagi tanomkinotuan, masak ikut resepi kampung sahaja. Hiris buah tomato ini dan tumis bersama ikan sardin dalam tin, pilih tin sardin yang agak branded supaya rasa sayur tomato anda lagi enak dan sedap. Tanomkinotuan selalu mencampurkannya dengan cili putih borneo (Lado topurak), bawang holand, kapsikum, hirisan lobak putih, bawang kucai atau lokio atau losun, sedikit ikan bilik goreng dan tabur dengan bawang goreng. Fuhhh....telan ayaq lior.



Sekali lagi tuaian sayuran buah seperti gambar di atas. Timun kampung tak cukup sifat, petola ular cuma sebatang kara yang melengkung bagai juara dan cili hijau jenis pedas. Buah timun tanomkinotuan di KBR habis membusuk disengat serangga pengorek buah hingga bentuk buahnya sangat rare dan luar biasa. Hendak tengok pun tidak sanggup. Dapatlah sebiji buah timun dan dimasak dengan kimchi, stew kimchi versi tanomkinotuan. hehe

Petola ular juga mengalami masalah yang sama, pokok timun kampung dan petola ditanam berjiran. Oleh itu mudahlah serangga hendak pilih mana, nak cuba kemanisan timun, timunlah dibantainya. Hendak merasa aroma buah petola ular melantaklah ulat-ulat itu pada buah petola hingga lupa pemilik kebunnya sendiri. Nanti jika pemilik kebun KBR sudah hilang sabar merasalah mereka racun roundap atau malathion ni... jadi apa kau rasa? oren.... ngeeeeeee



Yahoooooo... Salad Amerika sudah boleh dituai. Kembali tanomkinotuan ke rumah petang Jumaat langsung saja ke kebun. Meninjau ala-ala Pegawai pertanian kelas 1, hohoho. Nampak saja pokok salad Amerika ini cepat-cepat dicabut dari tanah. Sebelum di bawa ke rumah ambil gambar dahulu untuk kenangan. Manalah tahu boleh diperlihatkan anak cucu di kemudian hari yang datuknya penanam sayur tegar kah kah kah....

Salad Amerika selepas ia bercambah hinggalah dituai hasil tidak ada ganguan langsung sebab itu tanomkinotuan suka menanam jenis-jenis pokok salad. Tidak kiralah salad apa, semuanya jenis tidak diserang oleh mana-mana komuniti, kumpulan atau perseorangan atau sekawanan serangga. Cuma jangan dibuat main dengan kawanan kambing, memang putih mata, menangis air mata darahlah kamu. Kambing menyukai pokok salad. Sebab tak perlu mengunyah banyak, jimat tenaga mengunyah.

Salad Amerika ini tanomkinotuan makan mentah sahaja. Emak tanomkinotuan yang sediakan untuk makan malam.




Ini pula cili hijau, cili hijau ini dituai kelmarin petang bersama salad di atas tu. Ini adalah kali kedua tuaian cili hijau dan tuaian kali kedua boleh dikatakan sedikit banyak berbanding tuaian pertama. Masak dengan ikan masin dan bawang losun. Berasap telingga.




Tadaaa.... Bendi Combo Gergasi putih dapat dituai hanya 3 biji sahaja. ingatkan sempat dituai buah bendi yang keluar dulu rupa-rupanya bila tanomkinotuan sampai dah tua dan hampir matang. Tidak ada rezekilah kiranya. 


Inilah sayuran yang sempat diambil gambar dan sempat membuat entry untuk tetapan pembaca. Menanam sendiri sayuran tidak kira di atas batas atau pasu di halaman rumah memberikan satu kepuasan yang tidak terhingga kepada penanam. Jimat duit untuk membeli sayuran serta ilmu bertani juga semakin bertambah. Apa kata mulakan menanam pokok cili padi dalam pasu terlebih dahulu. Guna tanah yang ada, tambah baja subur (NPK organik) rehatkan seminggu dan semai 5 biji cili padi. Bila sudah bercambah cabut dan tinggalkan sepokok atau 2 pokok. Jaga pokok cili anda hingga berbuah dan nikmatilah hasilnya.


Selamat bertani dan menuai hasil

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.


EmoticonEmoticon