Sabtu

CARA MATANGKAN POKOK SALAD UNTUK BENIH

Tags


Bertemu kembali dalam entry kali ini mengenai pokok salad. Tanomkinotuan tidak menyinggung panduan menanam atau pemeliharaan pokok, jika para membaca hendak mengetahui cara menanam pokok salad atau panduan menyemai benih salad cuba cari pos-pos yang lepas. Tanomkinotuan sudah singgung tajuk ini dahulu secara panjang lebar. Kali ini tanomkinotuan hendak berkongsi pula dengan pembaca sekalian mengenai cara mendapatkan atau mematangkan benih pokok salad untuk tanaman musim akan datang. 

Mendapatkan benih sayuran salad tidaklah sesusah mana, kini negara kita memutuskan untuk menjalankan pasaran terbuka. Maka dengan itu pelbagai tanaman atau benih luar negara mudah memasuki pasaran di negara kita untuk kita mencuba menanam pelbagai jenis benih yang dijual khususnya benih pokok salad. Jika dilihat secara umumnya, supermarket sekitar Sabah hanya menjual beberapa jenis salad seperti salad amerika, salad cina aka salad siomak, salad iceberg (jenis bulat) dan satu jenis lagi ialah salad little gem. Namun kepelbagaian jenis salad dapat dilihat dijual di supermarket sekitar Kuala Lumpur lagi pelbagai dan banyak pilihan.

Umumnya tumbuhan salad dapat dipecahkan kepada 7 kumpulan berbeza iaitu salad butterhead, salad crisphead, salad looseleaf, salad cos romaine, salad batavian, salad heading lettuce juga dikenali sebagai salad kobis dan celtuce atau salad cina. Setiap nama kumpulan ini terdapat pelbagai bentuk, warna dan saiz ada di dalamnya yang boleh dilihat. Makluman kepada pembaca pokok salad wujud dalam tumbuhan asli, heirloom (pendebungaan silang secara semulajadi diantara dua atau lebih jenis salad) dan jenis hibrid. Bagi mereka yang ingin menanam pokok salad dan mahukan benih dari induk pokok yang ditanam untuk semaian tanaman musim akan datang sila dapatkan atau membeli benih pokok salad jenis asli atau heirloom dan elakkan membeli benih dari jenis hibrid.

Semai dan tanam pokok salad seperti biasa. Kemudian jaga pokok salad anda seperti menjaga sayuran lain. Setelah pokok matang dengan daun dan pokok dah cukup besar anda hanya perlu tuai daun-daunnya sahaja tidak perlu dicabut atau dipetik pucuknya. Caranya, petik atau tuai daun-daun dari bawah yang masih segar, elok dan tidak berpenyakit ataupun daun dalam keadaan sihat belaka. 

Jangan gusar akan pokok yang dituai daunnya, pokok tersebut akan mengeluarkan pucuk-pucuk baharu untuk tuaian akan datang. Perlu diberi perhatian kepada kelembapan, kesihatan tanah dan serangan penyakit dengan melakukan siraman berkala, pembajaan yang betul dan semburan racun organik pada tumbuhan. Dalam tempoh 2 bulan setelah pokok dialihkan atau ditanam di atas batas atau pasu, pokok akan mengeluarkan kuntum-kuntum bunga yang cantik dan menarik.

Apabila pokok salad anda sudah menghasilkan kuntum bunga maka ini menandakan anda harus menghentikan tuaian pada daun-daunnya disebabkan pokok salad anda sudah diperingkat akhir produktivitinya. Ini bermaksud jika pokok salad anda diumpamakan kepada usia manusia pokok salad anda sudah berusia 60 tahun ke atas. Biarkan bunga-bunganya kembang untuk proses pendebungaan daripada haiwan pendebunga yang bertanggungjawab dalam proses pendebungaan.

Setelah 3 minggu hingga sebulan lebih kelihatan bunga-bunga pokok salad sudah mula kering dan meningkalkan satu bulb pada setiap bunga yang berjaya didebungakan. Namun anda belum boleh menuainya kerana bunga-bunga pokok salad masih berwarna hijau. Anda dikehendaki menunggu pokok salad tersebut menjadi kering sepenuhnya barulah boleh dituai buahnya atau benihnya.

Setelah pokok-pokok salad anda telah kering sediakan bekas kontena untuk menuai buah-buah salad yang telah bertukar menjadi hitam satu persatu atau anda patahkan rantingnya dan masukkan ke dalam bekas. Selesai mengutip benih tersebut sila ulang proses pengeringan dengan meletakkan bekas tersebut di bawah cahaya matahari terik selama 2 hingga 3 hari. Ini bertujuan agar benih salad anda benar-benar kering dan tidak rosak sekiranya disimpan dalam bekas nanti. Disyorkan untuk menuai benih salad ini pada waktu petang sebab pada waktu ini pokok salad anda kurang lembab dan tidak basah.

Jika musim hujan sila selamatkan pokok salad anda dengan membuat teduhan sebaik mungkin supaya bunga atau benih pokok salad tidak rosak. Dikhuatiri nanti benih yang sudah mula kering/menguncup atau matang itu rosak jika terkena kelembapan yang berterusan dan berkemungkinan tidak akan bercambah.

Setelah dikeringkan selama 3 hari maka proses seterusnya ialah pisahkan ranting, kelopak bunga dan daun kering dari benihnya. Kerja sebegini memerlukan kesabaran yang tinggi. Maklumlah benih salad bersaiz kecil dan mudah terbang oleh angin. Usai segala kerja-kerja tersebut maka bolehlah benih tersebut disimpan di dalam bekas kedap udara seperti botol atau kontena. Labelkan botol atau kontena tersebut dengan tarikh tuaian dan nama benih salad sebagai rujukan di masa akan datang. 

Dengan ini anda sudah tidak perlu untuk membeli benih pokok salad yang sama jenis dalam simpanan anda, bila hendak menyemai nanti ambil beberapa benih dan semai mengikut proses penyemaian pada semaian benih induknya yang dahulu. Anda hanya perlu membeli benih salad yang berbeza variati jika anda ingin mengumpulkan variati salad yang lain. proses menuai benih berjalan secara berterusan untuk kelangsungan simpanan benih salad anda.

Adakah anda mempunyai tanaman pokok salad dilaman rumah anda? jika tidak ada, tanomkinotuan.blogspot.com ada membekalkan dua jenis benih salad  iaitu salad Amerika dan salad cina dengan harga RM2.90 sepaket. Email ke borosmomogun@gmail.com untuk mendapatkan info selanjutnya. atau klik SINI untuk mendapatkan pelbagai jenis benih yang anda sukai.

Selamat bertani dan menuai hasil.  

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.


EmoticonEmoticon